… Bersambung Tarikh : 13 - 15 Mac 2019
Misi : Day 06 & 07 : Berbackpacker ke Vietnam Utara
Tempoh : 7H6M
Lokasi : Halong Bay, Vietnam
Coordinate : N20.85845° E107.08046°
Google Maps: https://goo.gl/maps/9Wf5TuopzRnYiafU9
INTRO
Halong Bay terletak di Utara Vietnam berdekatan sempadan China atau lebih tepat di Telok Tonkin. Meliputi kawasan seluas 43,400 hektar dengan mempunyai 1600 pulau yang kebanyakannya tidak dihuni. Ribuan pulau yang terbentuk akibat perubahan geologi mukabumi secara evolusi sejak jutaan tahun lampau. Pulau batu kapur indah yang mempunyai nilai estetika yang luar biasanya hingga telah dianugerah sebanyak 2 kali oleh UNESCO iaitu pada tahun 1994 sebagai World Natural Heritage sebagai pengiktirafan terhadap nilai estetika yang luar biasanya dan dalam tahun 2014. Keunikan pulau-pulaunya menjadikan ia tersenarai sebagai antara “The new 7 Wonders of Nature “ dan kerana keunikanya itu juga ia menjadi salah satu lokasi pengambaran filem Kong: Skull Island .
PAKEJ DIAMBIL
Kami kesini untuk merehatkan diri (ingin memanjakan diri pula setelah penat menggalas bag keranjang semasa berkelana sekitar Vietnam Utara ini) lalu mengambil pakej 2 hari satu malam menggunakan perkhidmatan agen pelancongan di Hanoi dengan bayaran USD150.00 seorang (memang mahal) dan kami juga request “hidangan bebas daging babi” (pork-free menus”) sepanjang cruise kami nanti. Kos kami adalah termasuk pengangkutan ke airport selepas balik dari Ha Long Bay.
Bersama pelacong dari England dan Swiss
Paginya kami dijemput dari hotel ke pejabat agen pelancongan sebelum menaiki bas yang datangmengambil kami. Perjalanan selama 4 jam menuju ke Tuần Châu island yang menjadi pintu masuk utama ke Halong Bay. Ia sebuah pulau berkeluasan ± 2.2 km per dan dihubungkan dengan jalan sejauh ±1.86km dari tanah daratan dan sejauh ± 8 km barat laut Ha Long City.
Dari jeti Tuan Chao, kami menaiki bot kecil ini ke Jong yang lebih besar
Bas kami tiba di perkarangan Jeti Tuan Chao pada pukul 1.00 tengahari. Kami lewat tiba kerana bas kami mengalami masalah tayar dipertengahan jalan. Di sini, kami diminta menunggu diruang legar sebelum tour guide mendapatkan tiket. Sedikit taklimat diberikan kepada kami dan tiket disimpan oleh tour guide kami (untuk elak kehilangan kot – kerana di beberapa lokasi kami perlu tunjukan tiket ini). Selepas itu kami dibawa menaiki bot kecil (transit) ke ‘Jong’ (bot) yang lebih besar. Di atas bot kami, diberikan no. bilik (kabin) dan kuncinya. Sampai di Jong kami dibenarkan untuk meletak bag dan berehat seketika. Wow! bilik macam hotel, siap dengan tandas yang selesa lagi bersih, katil queen size dan dilengkapi dengan air-cond, tandas yang dilengkapi air panas.
Bilik kami yang selesa, ada air cond, tandas yang bersih dan air panas
MAKANAN SEPANJANG CRUISE
Pakej kami menyediakan makan tengahari, malam dan sarapan disamping menu sampingan (makanan ringan). Untuk makluman mineral water tidak disediakan dan perlu membeli (pasti mahal) di atas bot. Jadi kami sudah bersedia membawanya hampir 3 liter.
kami memesan ‘menu tanpa babi’ semasa belayar
Selepas berehat kami, dijemput ke deck untuk ‘Minum Aluan’(welcome drink). Hmmm … ada wine, teh, biskut dan buah-buahan. Kebanyakan pelancong bersama kami adalah dari negara Barat. Maka tak hairanlah wine menjadi pilihan mereka. Selepas berehat di deck seketika, kami dijemput untuk menikmati makan tengahari. Kami diletakan bersama dengan kumpulan vegetarian dan yang tak makan babi. Terasa was-was gak … ku gagahi menelan nasi bersama sayuran dan ikan. Namun untuk menu berikutnya, selepas aku melihat hidangan ikan goreng dipanaskan (di wapkan dalam bekas yang bersama hidangan daging babi).. Terus membantutkan seleraku, kami terpaksa keluarkan ‘ration’ kami dan makan bersahaja didepan pelancong lainnya (pelawa juga mereka).
jadi Dreba bot sat
Malamnya ada majlis santai di deck, dimana hidangan arak (dalam tong besar) disediakan. (Hmm… terasa macam subahat pulak (???)… dahla bayar mahal ). Pelancong boleh minum sepuasnya sambil menikmati pemandangan alam di atas deck. Kami tidak beserta dalam pesta ni dan aku hanya bersembang dan bertukar pandangan dengan Tour Guide yang kebetulan mempunyai minat yang sama mengenai bonsai. Selepas itu kami masuk ke kabin, hadap je maggie mentah dan biskut sambil layan internet .
Di atas bot ini juga ada kelas masakan dimana kami diajar cara membuat spring roll istimewa Vietnam. Penyediaannya mudah (ambil ilmu) namun bila melihat cara penyediaan … ‘syak’ aku semakin menebal, tiada lagi ‘darurat’ – dari sudu yang diguna bercampur dari inti babi kepada yang inti non-pork dan sebagainya …. Hmmmmm… makan biskut dan roti ja la .
TEMPAT LAWATAN
Antara tempat lawatan kami di Halong Bay ialah:
The Magnificient Sung Sot Cave
Muka Sung Sot Cave, perlu mendaki naik sejauh ±50 meter
Sung Sot Cave atau dikenali juga sebagai ‘Surprise Cave’ adalah gua yang terkenal dan adalah yang tercantik dan terbesar di kawasan telok ini. Ia terletak di Bo Hon Island. Ia dijumpai oleh orang Perancis dalam tahun 1901 dan dinamakan “Grotte des Surprises” yang bermakna ‘Surprising Cave’ . Mula menerima pelawat pada tahun 1993.
Para pengkaji sejarah percaya, pembentukan gua ini bermula kira-kira 470-520 juta tahun lampau apabila plat tektonik yang bergeser lalu tercipta mencipta gunung batu kapur yang luas, sebahagian besarnya terhakis dan hasil; tindakbalas resapan air ke atas gunung batu kapur ini telah membentuk gua yang luas.
Sung Sot cave sangat unik kerana mempunyai fomasi batuan stalagmit dan stalaktik dengan pelbagai bentuk yang cantik.
Terdapat laluan pejalan kaki sejauh ±50 meter untuk memasuki gua ini. Gua boleh dibahagikan kepada 2 ruang utama (chamber).Di laluan ini pasang dengan lampu dan beberapa stalagmit dan stalaktik diterangi dengan lampu bagi menambah tarikan dan kecantikannya. Tersangat ramai pelancong yang berpusu-pusu untuk masuk namun tak ramai yang menghayati. Kami semestinya mengambil kesempatan ini untuk menikmati sepenuhnya keindahan di dalam gua ini.
Sebenarnya ada banyak lagi gua di kawasan telok ini dan katanya terdapat 59 gua yang telah disenaraikan secara rasmi (namun ada banyak lagi penemuan yang tidak disenaraikan kerana ribuan pulau ada yang masih belum diteroka sepenyuhnya...)
Ti Top Island
Titov island: aeriel view
Ti Top atau nama sebenarnya Titov island adalah sebuah pulau kecil yang berkeluasan ± 6 ekar yang terletak terletak ± 8km dari pelabuhanTitov Island adalah kira-kira 7-8km tenggara dari Jeti Tuan Chao. Ia menjadi lokasi wajib pada sesiapa yang ke Halong Bay. Terdapat sebuah pantai berbentuk seperti bulan sabit dikaki gunung di pulau ini dimana keindahannya sering diperkatakan kerana keindahannya dengan pantai yang bersih dengan laut yang tenang dan jernih.
Pulau ini asalnya Cát Nàng yang menjadi kawasan perlindungan. Pada tahun 1905, sebuah kapal Perancis tenggelam berhampiran kawasan ini dan mayat kelasi dikebumikan di sini. Sejak itu pulau yang juga dipanggil ‘Cemetery Island’ telah terpinggir kerana para nelayan mempercayai akan tahyul.
Pemandangan dari puncak Titov island
Walaubagaimanapun ia menjadi semakin popular apabila seorang angkasawan Rusia Gherman Titov, ( beliau adalah angkasawan kedua yang mengelilingi dunia selepas Mejar Yuri Gagarin) datang bercuti ke Halong Bay dalan tahun 1962 sambil diiringi oleh Presiden Pertama Vietnam Mr Ho Chi Minh dan sebagai penghormatan atas keberaniannya dan juga sebagai lambang keakraban Rusia/Vietnam pulau ini diabdikan dengan nama Titov oleh Presiden Ho Chi Minh tetapi serasi digelar Ti Top oleh masyarakat tempatan.
Pada tahun 2013, pihak berkuasa Vietnam telah memutuskan untuk membina monumen Titov di pulau itu. Monumen setinggi 106 m2 dengan harganya VND 7 bilion. Ia dirasmikan pada 14 September 2015 sempena ulang tahun ke-65 Vietnam-Soviet Union dan juga sempena harijadi angkasawan tersebut yang ke ke-80.
Selain dari keindahan pantainya, terdapat sebuah bukit disini setinggi ± 100 meter yang di atasnya dibina sebuah pondok. Aku turut melangkah kaki mendaki 400 anak tangga untuk sampai ke puncaknya. Dari atas sini, panorama indah kawasan persekitaran dengan pemandangan 360° keindahan sekitar Halong Bay.
Floating Village & Ladang Mutiara
Terdapat beberapa kampung-kampung terapung sekitar Halong Bay ini dimana ia adalah komuniti penduduk yang hidup di atas air dimana rumah mereka dan aktiviti perniagaan dijalankan. Kami berpeluang menziarahi mereka dan berpeluang bertemu dan melihat bagaimana mereka menjalani kehidupan harian di atas perairan .
Kami juga dibawa melawat salah satu ladang ternakan mutiara di Halong Bay ini. Ia adalah antara salah satu sumber perniagaan dan pendapatan kepada Vietnam. Di sini anda akan melihat proses bagaimana mutiara diternak, melihat penuaian mutiara dan proses bagaimana biji mutiara dikeluarkan dari perut mutiara.
KESIMPULAN & PENUTUP
Bersama 3bberanak pelancong dari Peru yang kini menetap di Australia dan juga Amerika latin
Halong Bay adalah antara 7 keajaiban dunia baru yang telah aku lawati dan ia juga adalah adalah antara tapak UNESCO yang menjadi sasaranku dalam setiap lawatanku ke luar negara. Namun bagiku ia seperti biasa-biasa sahaja (MUNGKIN: indah khabar dari rupa). Pelayaranku terasa seperti cruise bot ke pulau Langkawi, tampak indah seperti kunjunganku ke Mu Koh Ang Thong National Park, Koh Samui Thailand. NAMUN setiap lokasi mempunyai keistimewaan tersendiri
Alhamdulillah perjalanan berdua kami di Hanoi hingga ke sempadan China sejauh ± 1,400km berjaya di tempuhi. Lokasi yang mendapat pengiktiraf UNESCO dilawati , tapak pengambaran King Kong (ke 2 selepas Mursala Island) disinggahi dan pasti air terjun (antara terbesar di Asia) di kunjungi.
Kembara ini dirancang secara ad-hoc, banyak itinerariku dibuat secara asas namun kami digerak olehNYA. Masa dan 'ketika' diatur dengan baik. Dugaan dan cabaran berjaya di atasi, 'perhubungan' dijalin
Terimakasih pada yang mendoakan perjalanan kami, yang sentiasa bertanya khabar, yang sering membantu, pada sahabat sekalian, rakan maya dan tidak dilupa kedutaan Malaysia di Hanoi.
Jazakumullah Khairan Katsiran Wa Jazakumullah Ahsanal Jaza
Pautan Kembara Berkaitan
01.
Hanoi : Prawacana 02.
Hanoi : Day 01 - Santapan Rohani & Jasmani 03.
Hanoi : Day 01 - Seni Mural Di Kota Hanoi 04.
Hanoi : Day 01 - Discover Hanoi's Train Street 05.
Hanoi : Day 01 - Danau Di Tengah Kota 06.
Hanoi : Day 01 - ‘Sleeper Bus’ Ke Cao Bang 07.
Hanoi : Day 02 - Berlindung Dari Kesejukan 08.
Hanoi : Day 02 - Pesona Air Terjun Hebat di Asia 09.
Hanoi : Day 02 - Pagoda di Puncak 10.
Hanoi : Day 02 - Gua Indah Khazanah Alam 11.
Hanoi : Day 02 - Khuổi Ky Stone Village 08.
Hanoi : Day 02 - Hikayat Batu Sempadan 09.
Hanoi : Day 03 - Menghala Ke Ninh Bình, Bermula Di Cao Bằng 10.
Hanoi : Day 04 - Pagoda dan Naga di Puncak 11.
Hanoi : Day 04 - Tràng An: Land Of King Kong 12.
Hanoi : Day 06 & 07 – Cruise di Halong Bay