Showing posts with label Satun. Show all posts
Showing posts with label Satun. Show all posts

Friday, November 13, 2020

PERMULAAN TEMBOK SEMPADAN MALAYSIA/THAI

Tarikh       :  24/10/2020
Misi           :  Menelusuri permulaan sempadan Mal/Thai
Lokasi       :  Batu Puteh, Kuala Perlis, Perlis, Malaysia.        
Coordinate : N6.42287° E100.12059°        

Sempadan Malaysia/Thailand adalah bermula dari Batu Puteh, Perlis hingga ke Pengkalan Kubur, Kelantan dan dianggarkan sejauh 646 km.

Sempadan dari Batu Puteh (Bukit Putih), Perlis ke Bukit Kayu Hitam, Kedah adalah sejauh 105 km panjang. Sepanjang sempadan ini dibina tembok konkrit dan pagar dengan kawat berduri.

Kami mengunjungi permulaan sempadan di Batu Puteh, Perlis untuk melihat tembok sempadan yang dibina pada tahun 1994 yang bertujuan menghalang aktiviti rentas sempadan secara haram.

Kami memulakan kayuhan dari kampung Kurung Tengar menuju ke kampung seberang Tok Pi. Menyeberang Sungai Perlis ke Kampung Tandiap dengan menaiki jambatan Tuanku Syed Putra. Memasuki dan meronda perkampungan nelayan dan seterusnya kami menelusuri laluan tepian pantai yang cantik melewati tandop (ada sungai yang airnya jernih) hingga jumpa satu pos kawalan (tiada anggota menghalang). Kami meneruskan kayuhan melalui laluan tanah merah yang sedikit becak hingga jumpa tembok dan menuju ke pantai bagi melihat bagaimana permulaan tembok sempadan ini. Kawasan ini agak terpencil dan tidak hairanlah mudahnya sempadan dibolosi.

Permulaan tembok dari sini hingga ke Padang Besar dan seterusnya pagar hingga ke Sintok (Kedah) sejauh 27 km. Tembok sempadan setinggi ± 2.4 meter (tapi di sini rendah ja) dan selebar 1.8 meter. Sudah berusia hampir 26 tahun dengan kos sebanyak RM54.6 juta (1994).

Pada pemerhatianku, keadaan tembok dan pagar sempadan amat menyedihkan dengan kawalan yang longgar dan tidak hairanlah aktiviti penyeludupan mudah berlaku.

 

Catatanku berkaitan boleh dirujuk:-

1. Blogku – Puncak 2 sempadan (KLIK)

    dan Facebookku

2. https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10221647196987256&id=1174047994 

3. https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10217597349303595&id=1174047994

Jambatan Tunku Syed Putra yang menggantikan jambatan besi lama merentasi sungai Perlis

Jambatan ini sepanjang ± 100 meter menghubungkan Kg. Tok Pi & Kg. Seberang Ramai

 Jalan gravel pinggiran pantai diteduhi pepohon Rhu

Nun Disana Koh Yao atau Pulau Panjang

Bermula Sempadan 2 negara – diseberang sana adalah kolam udang penduduk Siam

Ada pintu yang berkunci – Kawasan ini katanya menjadi ‘hot spot’ aktiviti penyeludupan

Thursday, June 13, 2019

Satun: White Dragon Spine Beach

Tarikh          : 01 Februari 2019
Misi             :  Mencari Pantai Belakang Naga Putih
Lokasi          :  Hua Hin, Satun, Thailand
Coordinate   :
Google Maps:

Pantai belakang naga adalah istilah yang diberikan kepada keadaan dimana apabila air surut menyebabkan timbulnya beting pasir corak dan warna serta fizikal seakan-akan seekor naga yang sedang berenang di dalam laut. Sememangnya banyak beting pasir yang terdedah apabila air surut di kawasan pantai namun di wilayah Satun ini terdapat 8 pantai belakang naga yang diiktiraf kerana memenuhi ciri yang boleh disifatkan sebagai pantai belakang naga iaitu:-

1. Black Dragon Spine Beach @ Koh Lidi

2. Golden Stone Dragon Spine Beach @ Koh Lidi

3. Little Red Dragon Spine Beach @ Bakan Yai, Koh Tanyong Uma

4. Red Dragon Spine Beach @ Koh Jabang, Che Bilang

5. Golden Dragon Spine Beach @ Tanyong Po

6. White Dragon Spine Beach @ Ban Hua Hin Langu

7. Double Dragon Spine Beach @ Tamalang

8. Copper/Bronze Dragon Spine Beach @ Koh Ko Noi Tarutao

Lima yang teratas telah ku jijakki dan hari ini aku mencari Pantai Belakang Naga Putih pula yang terletak di Hua Hin, Langu. Ia berada ke Selatan Tenggara pekan Pak Bara iaitu sejauh ± 13 km.

Di muara sungai

Kami datang ke sini dalam jam 12:30 tgh (waktu tempatan). Sampai disimpang ke Pak Bara kami belok ke kiri menghala ke pekan Langu dan kemudian menelusui laluan pantai dan menuju ke Nathon Beach. Dari Nathon Beach sudah kelihatan berbalam-balam pantai ini bak pulau putih yang timbul di laut. Aku teruskan perjalanan hingga ke kuala dan turun meredah sungai untuk cuba menghampiri pantai ini. Aku mengamati laluan cetek dan potensi melintas ke seberang sungai  yang mudah untuk terus berjalan menuju ke pantai ini. Namun masa yang singkat (perlu pi solat jumaat) dan risiko air semakin pasang membatalkan niatku ke sana. Lalu aku terbangkan drone bagi mendapat aerial view pantai ini . Sememangnya pantai ini kelihatan berwarna putih dan air yang surut banyak mendedahkan beting pasir berdekatannya. Dari pemerhatianku, pantai ini memenuhi ciri pantai belakang naga seperti ada sisik (terjadi kesan aliran air laut yang membentuk pasir) dan banggol bak belakang naga.

Terasa agak kecewa kerana tidak dapat menjijak kaki ke atasnya, namun aku bertekad akan datang semula bagi menjijak kaki di atas pantai belakang naga ini dan seterusnya mencari 6 pantai Belakang Naga di Wilayah Trang pula.

Air mula pasang pada ketika ini

Pantai yang memanjang hingga ke Langu

Monday, June 10, 2019

Fosil Di Satun Geopark

Tarikh          : 01 Februari 2019
Misi             :  Meninjau Fosil Di Satun
Lokasi          :  Kamphaeng Subdistrict, Satun, Thailand
Coordinate   :
Google Maps: https://goo.gl/maps/D4aAJyEGodwES3x86

Pada 17 April 2018, Satun Geopark telah diiktiraf UNESCO sebagai satu tapak warisan pertama global di Thailand. Tapak warisan dengan fitur geologis yang luar biasa ini dengan lanskap gunung ganang batu kapur dengan puncak karst yang mempesona merangkumi pulau yang indah dengan gua laut yang menakjubkan, ditambah dengan laguna tersembunyi dan fosil berusia jutaan tahun

Aku beberapa kali telah menjelajahi kawasan Satun Geopark ini sebelum ianya diistiharkan lagi. Pulau telah kami pergi, gua telah kami terokai, kali ini  fosil pula dicari.

Fosil pertama yang kami kunjungi dikenali sebagai Hin Sarai part 1 (N6.97826° E99.78159°) yang terletak di Ban Thung Samet, Moo 11, Kamphaeng Subdistrict, La-ngu District, Satun sejauh ±60 km dari bandar Satun. Ia adalah batuan stromatilitic limestone yang berwarna merah. Tiada sebarang fosil dilaporkan tetapi dikaitkan dengan pembentukan ‘formasi batuan Ordovician Pa Kae’

Ia terletak di dalam kawasan kebun getah yang dimiliki oleh penduduk tempatan. Pemilik ladang ini telah bernazar untuk menjaga batu ini selepas beliau memenangi loteri. Beliau telah membuat binaan berbumbung dan kelihatan kain merah diikat pada batu ini sebagai penghormatan. Batuan ini kini menjadi salah satu konservasi. Batuan ini kini dipelihara

± 700 dari sini ada batuan yang dikenali sebagai Hin Sarai part 2 (N6.97702° E99.77543°) ia adalah batuan yang sama seperti di Hin Sarai part 1 tetapi ia terletak di kawasan terbuka dengan beberapa batuan berselerakan.

Khao Noi Fossil (N6.97515° E99.77248°)

Fosil  boleh dilihat di kawasan bukit Khao Noi. Bukit ini sebahagiannya telah ditarah menjadi kuari dan kini dipelihara. Di lapisan tanah liat yang berwarna merah gelap, dijumpai serpihal fosil pelbagai tumbuhan laut yang dikategorikan sebagai teratai laut dengan ciri stromatolite structure. Di Bahagian atas ditemukan fosil Trilobot, Nautiloid, sea lilies dan braiopods yang wujud pada era Ordovician. Stromatolit menyerupai alga dan merupakan sumber pertama oksigen untuk dunia. Katanya Alga stromatolite hanya boleh didapati di dua tempat sahaja di dunia ini iaitu di Shark Bay, Australia Barat dan di sini, Daerah La-Ngu, Satun, Thailand. Wallahu a’lam.

Kami singgah disini pada waktu tengahari. Matahari tegak di atas kepala dan terik panas bagai menggigit-gigit kulit dan ini menyebabkan kami tidak meneroka sepenuhnya, cuma melihat sekeliling kawasan dan bergambar sahaja.

Lan Hin Pa Phon (ลานหินป่าพน) (N7.08588° E99.97327°)

Tapak ini terletak di dalam kawasan sekolah. Berkeluasan 40 x 40 m2 dengan hampir 10 ketul batuan berada satu penjuru dalam kawasan sekolah Ban Pa Phon.

470 juta tahun lalu, seluruh kawasanini asalnya adalah lautan, maka tidak hairanlah ada didapati ada lapisan yang terjadi dari pembentukan rumpai laut (seaweed stromatolite). Batuan ini adalah sebahagian daripada ‘Pa Kae Formation’ dari ‘Ordovician Thung Song Group’.

Thursday, June 06, 2019

Khao Bokha Viewpoint เขาบอฆ้ะ

Tarikh          : 01 Februari 2019
Misi             :  Menakluki Khao Bokha
Lokasi          :  Khao Bokha, Khuan Don, Satun, Thailand
Coordinate   : N6.77534° E100.10587°
Google Maps: https://goo.gl/maps/wkrEhMDeqTcrMJE79

Bukit kecil batu kapur yang indah dengan pemandangan 360 sekitar

Simpang untuk ke trailhead

Lebihkurang 19km dari pintu sempadan Wang Kelian (sempadan Malaysia/Thailand), tertegak sebuah bukit batukapur kecil setinggi ± 105 meter yang mula mendapat perhatian penduduk tempatan sejak beberapa bulan lalu kerana keindahan puncaknya terutama pada waktu pagi untuk menikmati lautan kabus. Bukit ini terletak di Khuan Sato, Khuan Don District, Satun 91160, Thailand.

Terdapat gerai di bawah bukit ini. Jika datang pada hari cuti memang meriah disini

Bukit ini dulunya digelar Dok Lom dimana penduduk kampung memasang petunjuk arah angin dipuncak bagi mengetahui arah angin ketika musim kemarau/menuai. Kini, penduduk kampung berjaya menonjolkan keistimewaan/keindahan yang ada di bukit ini dan juga mempromosikan aktiviti sihat seperti pendakian, wall climbing dan abseiling. Usaha ini dilakukan oleh Bokha Conservation Group, yang dianggotai oleh ± 40 orang ahli yang terdiri dari pelbagai lapisan umur dan jantina.

Aku mendapat tahu mengenai bukit ini melalui sahabatku di sana. Kami bertolak dari rumah (Alor Setar) ± jam 8.00 pagi dan tiba kesini hampir jam 10.00 pagi. Pagi jumaat agak sunyi  kerana masih tiada pengunjung. Rupanya bukit ini tidak jauh dari Masjid Al Islahiyah yang selalu aku singgah dahulu untuk regroup ketika mengayuh MTB ke kawasan sebelah sini.

Ada tangga yang tersedia di lokasi curam

Kami meletak kenderaan berhampiran gerai makan berdekatan dan meminta kebenaran meletak kenderaan sambil memaklumkan bahawa kami ingin mendaki bukit ini.

Laluan mendaki mempunyai tanda yang jelas dan bolehlah dikategorikan sebagai ‘easy’. Pendakian mendaki bukit yang curam ini dipermudahkan dengan tangga kayu dan tali pada tempat tertentu (yang curam) . ± 25 minit mendaki akhirnya kami sampai ke puncak. Di atas ini  dapat melihat panorama 360° sekeliling kampung dan agak berangin. Biasanya untuk melihat kabus perlu mendaki sejak jam 5:30 pagi. Pendakian bukit ini adalah percuma, cuma jika ingin bermain abseiling dan rock climbing baru dikenakan bayaran.

Puncak: Menguning bendang di sebelah utara

Belakang: jalan menghala ke Khuan Don

Dipuncak

Ada batuan unik di pertengahan jalan

Monday, January 21, 2019

Koh Tanyong Uma: Hamparan Pantai Karang

... BERSAMBUNG

Tarikh       : 12 Januari 2019
Misi          :  Menjejaki Pantai Batu Karang     
Tempoh    :  2 hari (11 – 12 Jan 2019)
Lokasi       :  Koh Tanyong Uma, Satun, Thailand
       
Jarak        :  
Coordinate:
  N6.71377° E99.84352°
Maps Link  :

Terumbu karang adalah sejenis haiwan yang tidak bertulang belakang. Ia adalah sejenis struktur yang berupa deposit kalsium karbonat (CaCO3). Sejenis hidupan laut yang kompleks dan adalah salah satu ekosistem paling tua di bumi. Merupakan khazanah alam yang tidak ternilai. Sering dirujuk sebagai ‘Hutan Hujan Tropika Dasar Laut’ kerana hanya terdapat di perairan tropika yang mempunyai kepelbagaian biodiversiti yang tinggi.

Disamping memiliki keindahan tersendiri, hidupan unik ini mempunyai banyak keisitimewaannya. Ia menjadi tempat perlindungan atau habitat hidupan marin disamping menjadi tempat pembiakan dan sumber makanan marin. Ia juga sebagai pelindung kepada hakisan dan bertindak sebagai penahan ombak. Selain itu kajian menunjukan bahawa terumbu karang sangat sensitif kepada persekitaran perairan yang melibatkan suhu, kemasinan, sedimentasi, Eutrofikasi serta memerlukan kualiti air yang natural. Pencemaran dapat dikesan berdasar ‘petunjuk’ dari kehidupan batu karang di satu-satu kawasan.

Kajian menunjukan terumbu karang di Laut Andaman berkeluasan hampir 118 km2. Kebanyakan terumbu karang terbentuk di sebelah timur pulau dan kawasan yang terlindung dari monsun barat daya yang membawa ombak dan ribut. Lautnya yang cetek dengan penerimaan sinar matahari yang mencukupi membolehkan pembiakan terumbu karang. Pembiakan terumbu karang yang banyak di Laut Andaman adalah dari wilayah Satun.

Tidak jauh dari kawasan bakau , terhampar sebidang pantai yang bercampur antara pasir dan lumpur, terdapat air sungai kecil mengalir ke laut melaluinya. Apabila air surut, maka akan kedapatan batu karang dengan pelbagai warna timbul. Air yang jernih dan cetek boleh menampakan terumbu dan hidupan marin bermain di sekitar. Banyaknya batu karang disini menunjukan bahawa kualiti airnya yang bersih dan sihat dan pasti menjadi sumber makanan ikan disekitarnya. Tidak hairanlah penduduk tempatan turut mencari rezeki berhampiran kawasan ini.

Di kawasan ini juga terdapat batu-batu besar yang selari memanjang dan digelar sebagai ‘The Red Dragon Backbone’. Apabila air pasang akan kelihatan bonjolan batuan berketul ketul memanjang bagaikan tulang belakang naga.

Layan gambar

Di permulaan pantai karang ini. Dibelakang kelihatan kawasan bakau dan sungai kecil yang mengalir masuk ke laut

Di sini dapat melihat karang dan hidupan Krustasea

Di Laut Andaman terdapat 269 spesies terumbu karang

BERSAMBUNG …



Pautan Kembara Berkaitan

1.  Koh Tanyong Uma: Mencari Pantai Belakang Naga Merah di Ban Bakan Yai
2.  Koh Tanyong Uma: Touching the dragon's back

3.  Koh Tanyong Uma: Hutan Bakau Warisan Alam

4.  Koh Tanyong Uma: Hamparan Pantai Karang

Saturday, January 19, 2019

Koh Tanyong Uma: Hutan Bakau Warisan Alam

BERSAMBUNG  …

Tarikh       : 12 Januari 2019
Misi          :  Menjejaki Pokok Bakau Tua Yang Dipulihara    
Tempoh    :  2 hari (11 – 12 Jan 2019)
Lokasi       :  Koh Tanyong Uma, Satun, Thailand
       
Jarak        :  
Coordinate:
  N6.71377° E99.84352°
Maps Link  :

Paya Bakau adalah hutan unik yang mendominasi zon pasang surut di tepi pantai. Sangat penting dalam menyumbangkan kepada ekonomi, ekosistem, dan sebagai ‘Perisai Alam’ yang bertindak sebagai, penahan ombak, penghalang hakisan pantai, menjadi penapis semulajadi (filter) bahan cemar dari laut dan menjadi pembiakan hidupan laut yang menjadi makanan kepada hidupan laut terutama kepada pembiakan ikan.

Dalam usaha mewujudkan hubungan harmoni antara manusia dan alam, penduduk kampung telah mewujudkan satu ‘Learning Center’ yang memberi pengetahuan tentang kepentingan bakau dan menjadikan ia sebagai salah satu tarikan. Ia diusahakan oleh saudara Adul Chana Bandit (Abang Adul - President of the Sufficiency Economy Learning Center Ban Bakan Yai) yang juga pengusaha Bakanyai homestay yang aku duduk ini.

Dengan mengetengahkan kawasan hutan bakau tua yang terletak ± 500 meter dari homestaynya. Sebatang pokok api-api(spesis bakau) tua unik yang dikatakan BERUSIA 300 tahun dan mempunyai lubang bagaikan gua dijadikan sebagai ikon pelancongan. Pokok ini berukurlilit ± 6.2 meter dan setinggi 10 meter kini menjadi menjadi daya tarikan utama lokasi pelancong berswafoto dan menyusup masuk ke dalam lubangnya. Pokok ini kini berada dibawah pengawasan Koh Sarai Community, Wilayah Satun. Jika air pasang boleh berkayak disini dan menikmati keindahan kawasan bagaikan berada di zaman Pra Sejarah.

Jalan menuju ke Lamphu tree yang berusia 300 tahun. Ketika air kering lebih mudah ke sini disamping menyaksikan ‘Pantai Karang’

Bersama anak-anak penduduk kampung. Pokok tua ini berukur lilit 6.2 meter

Ia kini dijadikan salah satu tarikan pelancongan

Pelbagai bentuk pokok berada di kawasan yang dipulihara ini

Banir pokok yang cantik … kalau bonsai ..waduh !
Selepas penat … makan time
Lihat video di kawasan ini

Pautan Kembara Berkaitan

1.  Koh Tanyong Uma: Mencari Pantai Belakang Naga Merah di Ban Bakan Yai
2.  Koh Tanyong Uma: Touching the dragon's back

3.  Koh Tanyong Uma: Hutan Bakau Warisan Alam

4.  Koh Tanyong Uma: Hamparan Pantai Karang