Showing posts with label Riki. Show all posts
Showing posts with label Riki. Show all posts

Monday, August 24, 2020

KAYUHAN MAAL HIJRAH: DENAI, DUSUN & DANAU

Tarikh       :  20/08/2020      
Rider         :  05 Orang
Lokasi       :  Kg. Perik, Padang Terap, Kedah 
    
Max Elev   :  180 meter
Lokasi       :   N6.3470° E100.51564°

Jarak         :   17km
 
 

Pagi ini kami akan menelusuri laluan tinggalan balak (???) di hutan simpan Bukit Perangin. Minggu sebelum itu aku sudah riki kawasan ini bagi menilai potensi.

Kayuhan hari ini disertai oleh 5 orang iaitu Pudin, Adi, Ustaz Khairul, Musz dan Nizam Airod. Kami memulakan kayuhan dari masjid Perik pada jam 8:40 pagi dan aktiviti dimulai dengan bacaan doa yang dipimpin oleh ustaz Khairul.

Memasuki ‘kepala denai’, kami disambut oleh beberapa ekor kerbau liar yang memerhati tajam pergerakan kami. Berhenti seketika di trailhead dan mendaki ke sebuah bukit kecil bagi meninjau laluan selanjutnya. Dari atas bukit, kami menilai kesesuaian kayuhan. Dari pengamatanku melalui  alat Garmin, laluan ini menuju ke Bukit Buluh(440 m) yang berada di dalam kawasan Hutan Simpan Bukit Perangin. Selepas memahami ‘keadaan’ denai, kami meneruskan kayuhan. Denai yang jelas tetapi mula ditumbuhi semak yang merimbun. Sesekali aku menebas anak-anak pokok yang menghadang jalan bagi memudah penurunan kami nanti.

Sambil mendaki, kami bersembang mengenai kerakusan manusia menarah bukit dan secara tak langsung memberi laluan kepada kami. Walaupun berkali kali mendaki, rasa jemu tidak pernah terlintas kerana kami dihidangkan dengan panorama indah di beberapa kawasan. Akhirnya kami sampai ke satu kawasan yang agak lapang. Bagaikan berada di lembah, kerana  dikelilingi oleh bukit dan hutan. Dari sini ada banyak pecahan laluan namun kami tidak dapat meneruskan misi kerana semua laluan sudah mula menebal ditumbuhi semak. Kami memutuskan untuk berpatah balik. Berbaloi kami mendaki kerana nikmat penurunan yang lancar membelah batuan dan alur air.

Sampai dibawah kami mengikuti jalan kecil hingga berjumpa tasik (pot rahsia kaki pancing). Selepas bergambar kami meneruskan kayuhan dan memasuki semula kawasan hutan simpan. Pendakian bermula, melewati beberapa kampung dan seterusnya menuju ke kawasan dusun yang cantik dan terhenti di sini kerana tiada jalan seterusnya.

Kayuhan berakhir pada jam 12:40 tgh. Fuhh jenuh tenaga dikerah dan kehabisan bekalan air (nasib baik jumpa sumber mata air bawah tanah). Sesungguhnya kayuhan kali ini bermakna kerana kami sudah dapat laluan asas baru yang bakal menjadi pilihan (selain trail jati). Insyaallah kami akan meninjau lagi di sini kerana terlihat beberapa lagi denai yang mempunyai potensi.

Menarik di bukit ini. Bukit berbatu besar dan ditumbuhi lalangMemasuki kawasan hutan simpan menuju dusun    

 

  Cantik dusun ni. Ia bersempadan dengan hutan   

  Kawasan renek dan menjadi tempat lembu liar   

Di belakang sana bukit buluh (440m)

  Ustaz teruju turun disini

  Beberapa kubang babi dijumpai

  Semak diredahi

☟Layan video kayuhan ⬇ : Terima kasih Ustaz Khairul atas video ini

Monday, October 01, 2018

Air Terjun Tersembunyi di Laluan Sunyi

20180929_123938

Tarikh  : 29 September 2018
Misi     : Mencari Air Terjun Tersembunyi
Lokasi  : Sadao, Thailand
Jarak   :


Aku mendapat maklumat mengenai air terjun ini melalui seorang rakan kayuhan. Hasrat yang lama terpendam, secara tiba-tiba teringat balik apabila pencarian trail hiking di Padang Besar menemui jalan buntu (sunyi dan tiada nampak bekas laluan). Aku sudah sampai ke ‘Yon’ (lokasi mula untuk ke air terjun ini yang jauhnya cuma 7km ja) bersama famili dan setelah mengambil maklumat dari penduduk tempatan hari ini aku dan isteri bermotosikal datang kembali untuk mencari air terjun ini.


Dikenali sebagai Namtok Ton Mai Pak dan ada yang kata Namtok Khao Mai Pak (Air terjun Batang Berjuntai) – Terletak dalam Khao Nam Khang National Park, tersembunyi hampir di sempadan Malaysia/Thai, tersorok dari penglihatan awam, terletak di celah kebun getah dan dusun.

Perlu redah anak sungai ini

Petang kelmarin hujan turun dengan  lebat dan sudah pasti air sungai akan meningkat parasnya. Laluan pantas ke air terjun perlu meredah beberapa batang sungai. Aku berjaya melintas sungai yang pertama, batu-batu  sungai berjaya di tackle, nasib paras air tidak melepasi ekzos motosikal. Meredah laluan kebun getah yang becak dan tiba pada sungai kedua, aku meminta isteriku meninjau dan beliau melapor paras air hingga pangkal paha, tidak mahu ambil risiko kami berpatah balik. NAMUN aku tidak  berputus asa. Aku soroti peta dari Garminku, aku amati toponya, laluan pilihan aku fokuskan. Aku dapati ada jalan pilihan tetapi jauh… tidak mahu melepas peluang kami terjahi laluan ini, laluan offroad yang berbatu dan melalui sebahagian lereng bukit. Nasib baik sesekali berjumpa dengan rumah penduduk (kebanyakan muslim). Aku berpandu dengan naluri disamping dibantu dengan teknologi, akhirnya berjumpa juga kami dengan air terjun ini.

Air terjun setinggi 5 meter yang memang betoi-betoi air terjun. Mengalir dari anak sungai kecil dari bukit di Sempadan Malaysia yang jatuh ke dalam kolam kecil yang tidak dalam. Sungai ini yang airnya mengalir masuk ke Sadao Dam yang terletak ± 13km. Dari sini, aku meninjau kawasan ini dan aku dapati memang best ni kalau kayuh mai sini …

BErada di tebing ditepian sungai yang airnya  jatuh ke dalam kolam

Pandangan dari atas (kami di tebing)

Kolam ini tidak terlalu dalam tetapi risau gak (pasai sunyi di sini)

Monday, July 27, 2015

Trek Hosba: Memuktamadkan Laluan Asas

Tarikh : 24 Julai 2015 (Jumaat – 8 Syawal 1436H)
Masa   : 8.05 pagi 
Trek    : Trek Hosba(Baru), Kg. Alor Janggus, Changloon, Kedah DA
Rider   : 4 Orang – Pudin, Nasron, Musz & Mohd Ezzad
Jarak   : 13.9km km
Max Elev  : 107 meter
Coordinate: N6° 22.952' E100° 24.581'

Sudah 48 hari aku tidak mengayuh, terasa malas (baloq) sekali pagi ini, ditambah masih terasa mood Hari Raya. Ku gagahi jua apabila saudara Nasron mengajak untuk sambung meriki trek Hosba – teruja sekali aku dengan trek ini. Hasil pencarian kami hari ini ternyata berbaloi sekali. Terbalas hasrat malas. Bahkan ia sebagai pemangkin untuk aku mula mengayuh. Aku perlu mulakan semula aktiviti kayuhan ini kerana aku cuma ada 2 bulan lagi sebelum program Great Adventure Bromo bermula.

4 orang tampil dan jumlah yang kecil ini bersesuaian sebagai kumpulan pencari. Kami mulakan kayuhan dari RTC Napoh, Jitra, Kedah Darul Aman (N6° 21.701' E100° 25.274') pada jam 8.05am seusai bersarapan. Misi kami hari ini adalah untuk menverifikasi laluan terdahulu disamping memuktamadkannya.

Hari ini kami masuk ke bukit melalui laluan baru. Laluan yang pernah digunakan untuk keluarkan hasil hutan. Seperti kawasan padang ragut yang cantik terbentang sebelum mendaki bukit Alor Janggus dan seterusnya memasuki kawasan ladang getah. Di kawasan hutan getah lama, penurunan dicelah rimbunan hutan renek sambil mengelak kubang babi sebelum merasai kenikmatan di ‘teres berganda’ yang pasti menerujakan pada geng ‘ekor lembut’.  Section ini kami sepakat mengekalkannya. Kemudian saudara Nasron membawa kami ke  kawasan dusun yang cantik, namun tidak ada kesinambungan laluan kerana dusun ini berada di kawasan lembah, tetapi apabila melihat sebuah bukit berdekatan, lalu mencari jalan untuk mendaki. Laluan mendaki yang kami jumpa ini akan dijadikan penurunan kerana mempunyai potensi ditambah ada akar pokok yang melintang yang pasti memberi cabaran kepada kami.

Seterusnya ke ‘bamboo trail’ – kawasan hutan buluh yang mengalir sebatang anak sungai (charok). Untuk menjadikan laluan ini lebih sempurna perlu dibuat pembersihan kerana banyak buluh ditebang dibiarkan melintang oleh beberapa pencari rebong dan buluh baru-baru ini.

Secara dasarnya, ujian laluan hari ini amat berjaya. Kami sudah mengenalpasti laluan yang teratur dan beberapa penambahbaikan akan terus dilaksanakan. INSYAALAH, selepas semuanya sempurna, maka ia akan menjadi antara koleksi dan tumpuan penggemar MTB dihujung minggu.

Atas sebuah bukit - Ladang Getah tua

Menyusup di celah pokok

membersihkan laluan

menjunam menikmati penurunan

Penurunan di section ‘Teres Berganda’

Dusun – cantik – buah durian dah habis

Penurunan dari sini – TQ Musz atas Pic ini

laluan ini akan dijadikan penurunan. Laluan menuju ke bukit yang ada dusun

menghampiri bamboo trail

di Bamboo Trail

Hampir tamat – keluar ke jalanraya berhampiran Kampung Napoh Ulu

Sunday, May 31, 2015

Trek Hosba: Kelangsungan Pencarian - Fasa Ke 2

Tarikh : 28 Mei 2015 (Jumaat)
Masa   : 8.05 pagi 
Trek    : Trek Hosba(Baru), Kg. Alor Janggus, Changloon, Kedah DA
Rider   : 3 Orang – Pudin, Nasron & Haji Zaim
Jarak  : 8 km
Max Elev  : 187 meter
Coordinate:
N6° 23.393' E100° 24.709'
Pencarian trek Hosba (baru) masih berterusan. Seperti sebelumnya pencarian ini dilakukan oleh 3 orang ahli tetap dan misi hari ini ialah mencari jalinan laluan sehingga bertemu dengan laluan sebelum ini.
Dalam usaha mencari laluan, kami perlu memahami kawasan terlebih dahulu. Oleh itu kami menjadikan jalan utama penoreh sebagai asas/panduan sebelum pecahan laluan berikutnya dicari. Menilai ‘contour’ bukit agar satu pendakian yang sesuai dan penurunan yang menarik dapat dilakukan. Mencari  kawasan yang ada kelainan seperti hutan renek, hutan buluh supaya dapat merasai kelainan suasana.
Permulaan kayuhan kami meredah sebuah bukit yang ketinggiannya ±187 meter. Bukit yang bersih, cantik dan laluan mendaki yang luas ( baru lepas di tolak). Beberapa ekor anjing kelihatan berkeliaran disini namun tidak mengganggu kami. Termengah-mengah menunjai naik hingga sampai ke atas. Dari sini nampak banyak potensi laluan yang boleh diketengahkan. Kami menelusuri jalan utama dahulu supaya dapat memahami jalinan laluan dikawasan ini. Laluan ini membawa kami  memasuki kawasan ladang getah dan seterusnya menuju ke sebuah bukit kecil yang ditumbuhi dengan pokok buluh. Hmmm.. sampai disini aku dapat rasakan seperti pernah sampai disini satu ketika dahulu dan disahkan apabila bersua dengan hutan buluh ini. Kalau dahulu aku keseorangan disini, tanpa teman, tanpa garmin, redah tanpa haluan hingga tersekat dikawasan hutan buluh ini dan dikelilingi oleh anjing.  Kini, di hutan buluh ini sudah kelihatan denai pencari rebung, kami telusuri denai-denai ini hingga berjumpa anak sungai dan seterusnya membawa kami ke kebun getah. Di kawasan ini kelihatan banyak teres-teres yang menarik dengan akar-akar pokok yang berselirat yang pasti memberi cabaran kepada kami kelak.
Kami terpaksa memendekkan pencarian kerana masa yang suntuk dan mengambil keputusan untuk berpatah balik dan secara tidak sengaja bertemu dengan persimpangan laluan yang kami cari dahulu.
Pencarian hari ini sangat berjaya kerana sambungan jalinan asas laluan sudah ditemui. Selepas ini akan ada pecahan-pecahan laluan dari laluan asas ini. Maka dengan ini bertambah lagi koleksi trek mainan kami, Insyaallah
Dari Kebun Getah memasuki kawasan hutan buluh
menjejaki laluan di dalam hutan buluh
di sana ada laluan keluar
menyusup mencari laluan
Keluar dari kawasan hutan buluh

Meninjau potensi laluan