Wednesday, July 11, 2018

Koh Samui: Day 01 – Singgahan di Nakhorn Si Thammarat

Tarikh       : 24 Jun 2018
Misi          : Overland Thailand: Koh Samui: (24 – 30 Jun 2018)
Laluan      : TTG – Danok – Hadyai – Pak Ro - Sathing Pra – Hua Sai – Nakhon Si Thammarat
Jarak        : 310 km
Coordinate
: N8.43400° E99.96284°

 

Pendahuluan

Kembara ini sepatutnya dibuat sebelum bulan puasa lalu, namun atas masa yang terhad untuk mendapat ‘kelulusan’ ke luar negara maka kami tangguhkan selepas raya puasa. Disamping itu sengaja dipilih  tarikh ini kerana baru berakhir cuti sekolah  dengan jangkaan tidak ramai pelancong ditempat kami hendak tuju.

Perjalanan kali ini adalah santai darat dengan menunggang motosikal berdua bersama isteriku. Aku merancang percutian ini selama 8 hari kerana ingin merasai nikmat percutiaan disesuatu lokasi. Sehubungan dengan itu aku telah menetapkan ‘point-point’ singgahan agar ada pengisian sepanjang perjalanan dan tidak mahu mengejar masa.

Menghala Nakhorn

Menikmati sarapan dengan nasi sup yang enak

Jam 7.00 pagi kami bertolak dari rumah dan isian penuh minyak di BP Bukit Kayu Hitam. Syukur pagi ni tidak ramai pengunjung, maka lancarlah urusan imigresen dikedua sempadan. Usai urusan imigration dan kastam, aku dapatkan sim kad di sebuah kedai telekomunikasi yang membuka perniagaan di awal pagi. Kami meneruskan perjalanan hingga ke Ban Po Mo untuk bersarapan disebuah kedai muslim (N6.93079° E100.46854°) bersebelahan masjid Ban Po Mo. Menikmati nasi sup tulang yang enak disulam dengan ‘Cha-ron’ (pergh …. Sedarp).

Pokok Tai – Boleh kelihatan sepanjang jalan di Sathing Pra

Pantai yang memanjang

Kemudian kami meneruskan perjalanan tetapi aku tidak mengikuti Highway 4 (Hadyai –Phatthalung – Nakhorn Si Thammarat) sebaliknya mengambil jalan pilihan (4111) melalui Pak Ro - Sathing Phra – Hua Sai – Nakhon. Kami singgah di beberapa pantai dan lokasi yang dirasa menarik bagi melepas lelah dan menjamu mata.

Memang banyak tempat yang menarik untuk disinggahi sepanjang perjalanan

Sampai di Nakhorn terus mencari masjid Salahuddin dan mencari kedai muslim berdekatan untuk menikmati makan tengahari. Alhamdulillah jumpa kedai muslim (N8.43256° E99.96262°). Pengusaha nasi ini boleh bertutur bahasa Melayu dan beliau memaklumkan ada saudaranya di Pulau Pinang. Selepas itu kami check-in di Hotel Passion (N8.43032° E99.97213°). Sewaan semalam sebanyak THB50.00 sahaja. Berehat seketika sebelum keluar untuk santai sekitar pekan Nakhorn.

Nakhon Si Thammarat Yang Hebat

Nakhon Si Thammarat adalah wilayah ke 16 terbesar di Thailand. Nakhon Si Thammarat juga adalah bandar kedua terbesar di Selatan Thailand selepas Hadyai. Ia mempunyai sejarah yang panjang iaitu sejak 1,800 tahun lalu. Nakhorn SI Thammarat mendapat nama dari Rajanya yang pertama iaitu ‘Phra Chao Si Thamma Sokkara’. Kerajaan Nakhon Si Thammarat atau Kerajaan Ligor bertukar ganti dari era pemerintahan Sukhothai (sehingga 1351), kemudian era Ayutthaya (hingga 1767) dan bebas sementara dan ditakluk kembali oleh King Taksin .

Ligor menjadi pusat ketenteraan Siam dan sering menyerang wilayah Melayu terutama Kedah, Patani, Kelantan dan Singgora dan memaksa kerajaan Kedah/Perlis/Singgora membayar ufti kepada Siam.

Tinggalan Runtuhan Kota

Old City Wall adalah sisa tinggalan kota/tembok lama yang terdiri sekian lama. Kami mencari Old City Wall (N7.22591° E100.56393°) yang terletak di Ratchadamnoen road dan cuma sejauh ±1.2km sahaja dari hotel kami.

Kubu ini dipercayai dibina di era pemerintahan Phra Chao Si Thamma Sokkara. Kubu ini adalah sebahagian dari benteng pertahanan kota yang dibina pada tahun 1278. Kota ini memanjang sejauh 456 m dari timur ke barat dan sejauh 2238 m dari utara ke selatan dan ia seperti dikelilingi oleh sistem peparitan. Katanya dahulu kota ini dibina dari kayu dan ia dibina semula dari bata merah pada abad ke 18. Hari ini hanya sebahagian dinding kota ini yang tinggal. Pihak kerajaan telah memulihara dengan membaik pulih dinding di bahagian utara.

Tok Dalang Yang Tersohor

Selepas bergambar kami bergerak ke Si Thammasok Soi 3 sejauh ± 1.7km dari Old City wall dimana terletak rumah seorang artis yang diangkat oleh Raja Siam sebagai National Artist iaitu Suchart Subsin.

Suchart Subsin  adalah seorang seorang seniman wayang kulit yang tersohor. Dilahirkan pada 1938 di Ban Srakaew, Tha Sala, Nakhon. Sebelum beliau meninggal dalam tahun 2015 ketika berusia 79 tahun, beliau sempat menjadikan kawasan rumahnya sebagai muzium dan studio berkaitan seni wayang kulit atau ‘nang Thalung.

Rumahnya dijadikan sebagai tarikan pelancong dalam tahun 1980. Kemuncak kerjayaannya apabila diundang untuk membuat persembahan di hadapan King Bhumipol pada tahun 1985. Pada tahun 1996 rumah/studionya telah mendapat anugerah ‘Best Cultural Tourist Attraction’ dan seterusnya beliau mendapat penghormatan tertinggi sebagai ‘National Artis Of Thailand’ dalam tahun 2006

Rumah/Muzium ini dikenali sebagai Ban Nang Thalung Suchart Subsin (N8.41448° E99.96879°) terletak di 10/18, Si Thammasok 3 road. Ia dibuka setiap hari dari jam 8.30 pagi - 5.00 petang dan masuk adalah percuma. Apa yang ada di sini :-

1. Muzium Wayang Kulit – sebuah bangunan 2 tingkat yang menempatkan pelbagai patung dari serata Thailand dan dari beberapa negara Asean seperti Malaysia, Indonesia dan Cambodia. Ahli keluarga akan mengiringi pelancong sambil memberi penerangan tentang wayang kulit.

2. Kedai Souviner – Kedai ini asalnya adalah rumah Suchart yang menjual pelbagai patung dari pelbagai karekter sebagai souvenir.

3. Demontrasi pembuatan Wayang Kulit – Ahli keluarga akan menunjukan kemahiran pembuatan patung wayang kulit kepada pelancong.

4. Persembahan Wayang Kulit – Jika datang pada masa dan jumlah yang sesuai, persembahan wayang kulit akan dipertunjukkan kepada pelancong

5. Disamping itu disekeliling kawasan rumahnya terdapat beberapa barangan antik dan unik dipamirkan.

Ran - Rumah pokok berdekatan rumah Suchart

Rumah Warisan Klasik Yang Dipulihara

Kemudian kami ke sebuah rumah kayu klasik (Phan-Yah style) yang telah dibaikpulih dikenali sebagai Baan Tan Khun (N8.40968° E99.96764°). Ia terletak di Ratchadamnoen Rd. dan hanya ± 800 meter sahaja dari Ban Nang Thalung Suchart Subsin.

Rumah ini yang berusia lebih 106 tahun ini mempunyai suasana vintaj dengan dikekalkan senibina kayu, dihiasi perabut lama antik dan juga dipamerkan peninggalan cenderahati lama.

Rumah ini dibina oleh seorang pembesar iaitu Tuan Khen dalam tahun 1912. Rumah dan tanah ini kemudiannya diserahkan oleh tuan punya kepada anak saudara mereka Mr. Kovit Trisattayapan. Beliau telah menjadikan bangunan ini sebagai sekolah bernama "Ratwut Wittaya" dan kemudian berubah menjadi sekolah "Nakhon Wittaya" pada tahun 1939. Pada masa ini haya terdapat 26 orang pelajar, 2 orang guru. Apabila meletusnya Perang Dunia 2 dalam tahun 1941. Sekolah ini terpaksa ditutup kerana beberapa masalah terutama kewangan. Selepas perang sekolah ini dibuka semula dan ditutup sepenuhnya dalam tahun 1986.

Pada tahun 1993, Anak saudara Encik Kovit Trisattayapan, Mr Samrarn Trisattayapan yang kini adalah pemilik rumah ini, telah membaikpulih semula rumah ini dan menjadikan salah satu tarikan kepada pelancong.

Rumah ini boleh dilawati setiap hari dari jam 8.00 pagi hingga 8.00 malam dan bayaran masuk adalah percuma. Disebelah rumah ini dibina café untuk melepaskan dahaga sambil berehat menikmati keindahan rumah ini.

           

Memandangkan hujan mula turun pada sebelah petangnya, kami terpaksa mengambil keputusan balik ke hotel walau masih banyak lagi tempat yang perlu dilawati .

Bersambung …..


Pautan Kembara Berkaitan
1. Koh Samui: Day 01 – Singgahan di Nakhon
2. Koh Samui: Day 02 – Selamat Datang Ke Koh Samui
3. Koh Samui: Day 03 – Terpukau di Ang Thong
4. Koh Samui: Day 04 – Unseen Khanom
5. Koh Samui: Day 05 – Nyaman Di Nakhon
6. Koh Samui: Day 06 – Pesona di Pak Pra
7. Koh Samui: Day 07 – Singkapan Sejarah Songkhla

Sunday, June 10, 2018

Ton Plio Waterfall: Air Terjun Menawan Yang Terpencil

Tarikh       : 11 Mei 2018
Jarak        :   
Max Elev.  :  
Coordinate : N6.99858° E100.23359°
Lokasi       : Chalung, Hat Yai District, Songkhla 90110, Thailand

Menikmati keindahan alam, meraup kesejukan air dan menghirup kesegaran udara.   

Ton Plio Waterfall น้ำตกโตนปลิว terletak ± 30 km dari Hatyai. Ia berada dalam daerah Ratthapung di wilayah Songkhla. Ia antara air terjun yang menawan di wilayah ini. Air terjun ini terhasil dari aliran air yang jatuh dari banjaran gunung di Ton Nga Chang Wildlife Sanctuary yang berkeluasan 181.95 km². Air terjun utamanya setinggi ± 60 meter dan ada 12 tingkat air terjun kecilnya. Dibawahnya ada kolam takungan yang sesuai untuk pengunjung mandi manda. Air terjun ini bagai tersembunyi di sebalik naungan hutan, oleh itu ia kurang dikunjungi pelancong luar kecuali penduduk tempatan. Untuk masuk ke sini pengunjung luar akan dikenakan bayaran THB200, manakala penduduk tempatan hanya dikenakan  THB20 sahaja.

GOPR4640

Kunjungan ku ke sini setelah aku terlepas laluan hendak ke airterjun Ton Nga Chang. Aku membiarkan garmin ‘guide’ perjalananku ke sini.

Memandangkan ia berada dalam kawasan hutan simpanan, maka ada fee dikenakan untuk masuk. Walau aku tak faham apa yang dicakap oleh pengawal, namun dengan bahasa isyarat kami kowtim dan alhamdulillah … lolos. Sampai dikawasan parkir, aku pekena dulu minuman ringan disulam dengan somtam dari gerai berdekatan yang dikendalikan oleh penduduk muslim (ada 2 gerai sahaja yang buka hari ni.) sebelum berjalan masuk untuk menikmati air terjun sedekat yang mungkin.

Di atas Jambatan akar – akar pokok ficus (jejawi) yang berpintal dan menjadi seperti jambatan

Buaian di air terjun : Aliran sungai sebelum memasuki kawasan hutan simpan

20180511_194102

Mini Reunion - Makan malam bersama team GA : bersua di Danok

Monday, May 28, 2018

Khao Loe: Bukit Dogol Yang Indah - Unseen Sadao

Tarikh       : 11 Mei 2018
Jarak        :  470 meter – sehala 
Max Elev.  : 241 meter 
Coordinate : N6.66079° E100.40015°
Lokasi       : Sadao, Sadao District, Songkhla 90120, Thailand

Dua puncak yang berdekatan – Puncak dogol menjadi pilihan

Khuan Loe เขาเล่ adalah sebuah sebuah puncak yang dogol tersembunyi dibelakang sebuah kuil(Chinese Kuan Im shrine). Ada bukit yang memanjang ± 2km dimana terdapat 2 puncak tetapi puncak dogol ini sering menjadi pilihan pendaki. Tarikan utama di puncaknya yang dogol ialah dapat melihat panorama 360° sekeliling Sadao ditambah dengan  batuan menarik dan rumput unik. Biasanya pendaki tempatan akan mendaki pada awal pagi untuk melihat matahari terbit dan melihat lautan kabus (sea of mist) menyelubungi kawasan sekitar terutama kalau hujan pada sebelah petang atau malamnya.

Lama aku dok merancang ke sini, setelah tiada rakan yang boleh guide, maka pada hari ini bersama isteri terjah ja dengan berpandukan ‘garmin’ku. (Sebenarnya aku merancang untuk datang pada hari kedua selepas PRU14, )

Khuan Loe/Khao Loe terletak ±7km dari pekan Sadoa atau mengambil masa ±10 minit sahaja untuk sampai ke sana.

Ikuti laluan ini untuk mendaki – jumpa kuil ini dahulu

Sampai hadapan kuil aku mengikuti papan tanda ‘Way Watch View’ dan lalu sebelah kuil dan terus memanjat laluan. Kami memulakan pendakian agak lewat iaitu pada jam 10.00am (agak lewat kerana sangkut semasa urusan imigration – ramai hari ini orang Malaysia masuk Thailand). Ada denai yang boleh diikuti dan pendakian dimudahkan kerana laluan ditanda. Di tempat tertentu tali dipasang untuk memudahkan pendakian. Jarak pendakian ±470 meter sahaja dan tidaklah sukar tetapi sedikit memenatkan kerana ada beberapa tempat sedikit curam.

Dengar khabar kelulusan untuk membangunkan bukit ini sudah diberi iaitu dengan membina sebuah Taman Buddha Khao Lee Dae dengan keluasan 98 ekar. Ia bakal menjadi  tarikan di Sadao nanti. (Buddhist and Ecotourism)

20180511_114948

Selepas turun aku singgah ke Kedai Nasi Beriani Ayam (N6.63301° E100.42301°) untuk melepaskan dahaga dan lapar. Aku langgah sebanyaknya air oooo (Tersangat haus, lupa bawa bekalan air) . Menikmati Nasi beriani dengan ayam bakar yang enak. Kedai ini terletak bersebelahan 7E Sadao (Ditepi jalan besar atau sebelah kiri bila memasuki Lorong Pracha Bamrong 1).

Denai yang jelas

Ada jurang disisi bukit ini – hati-hati bila berposing

Memang berbaloi ke sini

Friday, May 25, 2018

Meloncat Antara Pulau: Keindahan Gugusan Pulau Pesisir Yan

Tarikh       : 28 April 2018
Misi          :  Jelajah Pulau Bidan, Pulau Telor dan Pulau Songsong
Max Elev.  :
Coordinate: N5.81382° E100.37045°
Lokasi      : Jeti Kuala Sungai Udang, Yan, Kedah, Malaysia

Pulau Songsong

Gugusan pulau ini berada di perairan daerah Yan. Ia melipiti 4 buah pulau iaitu Pulau Bunting, Pulau Bidan, Pulau Telor dan Pulau Songsong. Pulau-pulau ini tidak berpenghuni dan memiliki khazanah lautan yang menarik seperti terumbu karang, ikan yang berwarna warni, flora dan fauna serta pantai yang memutih ditambah dengan pemandangan yang menakjubkan.

20180428_083311

Sebelum ke sana aku ‘recce’ dahulu daerah Yan untuk menentu lokasi jeti yang sesuai, mencari pemilik bot yang boleh membawa kami ke sana dan harganya. Setelah menetapkan tarikh yang sesuai maka aku hubungi saudara Amirul Naim (Tel:014-2515 957) memaklumkan mengenai kehadiran kami sekeluarga pada jam 9.00 pagi untuk meneroka 3 buah pulau. (Kebetulan hari ini, hari penamaan calon PRU14 jadi tidak ramai pengunjung yang akan ke pulau-pulau ini.)

P4280169

Aku memilih Kuala Sungai Udang, Yan (N5.81382° E100.37045°) kerana lebih dekat perjalanan ke pulau. Aku parkir kereta di masjid berhampiran dan naik bot dari jeti LKIM. Bot fiber berenjin Yamaha yang boleh memuat 10 penumpang dipacu laju ke Pulau Bidan sejauh 13.5 km dan mengambil masa ± 24 minit. (kos sebuah bot ialah RM400.00 untuk mengunjungi 3 pulau tersebut)

DJI_0336

Pantai dipulau Bidan

Pulau Bidan (N5.74413° E100.28865°) seluas ±72 ekar adalah pulau yang sepi kerana tiada penduduk. Ianya digunakan oleh nelayan sebagai perlindungan dari hujan ribut. Mempunyai pantai bersih yang cantik dengan air laut jernih yang menghijau. Banyak unggas menjadikan pulau sebagai habitat. Namun yang menjengkelkan bila ada aktiviti mengambil pasir di kawasan ini sejak tahun 2015 dan sudah pasti ekosistemnya terjejas. Pihak APMM pernah merampas kapal korek dan menahan beberapa orang pada awal tahun 2016 lalu.

P4280178

Suatu ketika dahulu Pulau Bidan mempunyai sebuah makam seorang ulama tersohor iaitu Syeikh Abdur Rasyid al-Fathani  yang katanya adalah saudara kandung kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Makamnya juga dikenali sebagai keramat Pulau Bidan dan menjadi   menjadi tempat pemujaan individu tertentu bagi memohon hajat. Bagi mengelak kegiatan ini berterusan, Pejabat Agama Daerah Yan telah memindahkan makam ini ke tanah daratan di lokasi yang dirahsiakan.

DJI_0346

Kemudian kami mendekati Pulau Telur(N5.77062° E100.28573°) tetapi tidak mendarat ke pantai. Pulau Telor adalah pulau paling kecil digugusan kepulauan Yan. Ia berkeluasan ± 11.9 ekar dengan ketinggian pulau ini adalah 68 meter serta jaraknya dari Pulau Bidan ± 1.7 km. Ia adalah tempat persinggahan penyu bertelor terutama bulan Februari hingga Mei.

DJI_0351

Kemudian kami ke Pulau Songsong(N5.81043° E100.29697°) yang kini sedang viral. Kami ditinggalkan dipantai dan berjanji dengan pemandu bot untuk menjemput kami pulang ±jam 2.00 petang. Kami menurunkan bekalan makanan dan  alatan snorkling(bawa sendiri) untuk beriadah disini.

GOPR4549

Kami bawa peralatan snorkling sendiri: atau perlu sewa dari pengusaha bot RM10/unit (kena tempah dahulu)

Pulau Songsong berkeluasan ± 62 ekar dengan ketinggian 118 meter. Jarak Pulau Songsong dari Kuala Sungai Udang ± 8 km. Di utaranya ialah Pulau Bunting. Pulau Songsong mempunyai pantai yang sebahagian besarnya terdiri dari batu berwarna merah yang menutupi sebahagian besar kawasan pantai. Terdapat  hamparan pantai disebelah Tenggara pulau ini. Ia menjadi tempat pengunjung untuk berkhemah kerana disini tersedia kemudahan asas seperti bekalan air, surau dan tandas. Terdapat juga telaga disini namun  ianya  menjadi hampir kering.

P4280204-horz

Telaga yang ada di Pulau Songsong

P4280222

Surau di Pulau Songsong

P4280206

Sebelum tahun 2008 para nelayan dan orang ramai tidak dibenarkan mengunjungi perairan Pulau Songsong kerana ia menjadi lokasi latihan menembak peluru berpandu oleh pesawat pejuang Tentera Udara Australia dan TUDM(???). Tentera Udara Australia mengambil alih pulau tersebut daripada Tentera British sejak 1940-an dan menjadikan pulau tersebut sebagai lokasi ujian menembak peluru. Selepas perjanjian dengan kerajaan Malaysia tamat, pulau ini diserahkan kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Kementerian Pertahanan. Kini Pulau ini telah dibuka untuk kunjungan orang ramai tanpa sebarang halangan. Namun apa yang menghampakan adalah sikap pengunjung yang masih lagi membuang sampah merata-rata. Keadaan ini menyebabkan kecantikannya tercemar.

P4280208

Batuan unik berwrna merah

Aku berharap pihak berkuasa dapat memelihara dan mengurus habitat semulajadi flora, fauna dan ekosisitem kawasan pulau serta pantai bagi menjamin kesinambungan keunikan bio diversitinya. Flora di hutan mempunyai kepentingan tersendiri dalam memastikan ekosistem terpelihara dan mengurangkan hakisan. Fauna seperti burung, hidupan marin termasuk penyu dan terumbu batu karang perlu dilindungi bagi mengekalkan habitat dan pembiakan. Ia perlu dipulihara untuk kepentingan generasi kini dan akan datang. Perlu kawalan kepada aktiviti seperti memungut atau memiliki karang, mengorek pasir atau batu kelikir, membuang apa-apa pencemaran, mengubah atau memusnah tapak pembiakan semula jadi dan habitat hidupan akuatik. Semuanya bagi menjamin kelastarian dan keindahan pulau terus terpelihara.

DJI_0353-horz

Pulau Songsong: Pandangan dari udara dan kawasanpantai yang terdapat di tenggara pulau