Wednesday, August 01, 2018

Koh Samui: Day 05 – Nyaman Di Nakhon

Tarikh       : 28 Jun 2018
Misi          : Overland Thailand: Koh Samui: (24 – 30 Jun 2018)
Laluan      : Nakhon Si Thammarat – Ban Kiriwong – Hua Nam Sai Reservoir – Phatthalung – Pak Phra
Jarak        : 225 km
Coordinate:
N7.89192° E99.78899°    

Alam semulajadi pilihanku, menghindar dari hiruk pikuk kota, menghirup udara segar, menikmati kesegaran dan pemandangan sungai, gunung dan hutan simpan. Berada di lembah yang indah dan air terjun yang menyimbah dari kawasan pergunungan, itulah misiku hari ini.

Sarapan yang lazat

6:30am kami menunggang keluar dari hotel mencari kedai untuk bersarapan. Singgah bersarapan di gerai muslim (N8.43802° E99.92140°) berhampiran masjid Kamaluddin, Nakhon Si Thammarat. Kami menikmati makanan yang berat dengan nasi kerabu dan pulut ayam. Kami juga mencuba sejenis makanan tradisional Thai yang dikenali sebagai ‘Khanom Krok’ (ขนมครก). Ia dihasilkan dari campuran tepung beras dan santan lalu dimasak didalam lompang/acuan. Enak dimakan sewaktu panas dan dicicah bersama gula. Ada versi Khanom Krok yang mempunyai inti jagung atau kacang namun Khanom Krok yang ini terasa lebih tradisional dan enak. Kami juga ‘tapau’ pulut ayam buat bekalan makan tengahari nanti.

Sesungguhnya di Nakhon ni bukan sahaja penduduknya yang ramah lagi mesra, ia juga tidak kurang dari segi rasa dengan makanannya yang hebat lagi lazat. 

Kampung Yang Ternyaman

Sungai utama yang mengalir di kampung ini

25km ke Barat Nakhon Si Tammarat, sebuah kampung yang dikatakan paling nyaman di Thailand kami tujui. Kampung yang terletak di celah lembah, dipenuhi dengan tumbuhan dan dusun, dikelilingi oleh bukit dan gunung. Kampung yang berusia 300 tahun dikenali sebagai Ban Kiriwong (N8.43342° E99.78174°) yang bermakna ‘kampung yang dikelilingi oleh gunung dan sungai’.

Dikerumuni oleh ikan

Index Kualiti Udara (AQI) yang dikeluarkan oleh Thailand Pollution Control Department (PDC), mencatatkan bacaan kualiti udara disini ialah antara 17 – 49 (cosidered very good). Sebab itu ia pernah di nobatkan sebagai ‘The Best Ozone in Thailand’. Jika kita ke sini, dapat saksikan bagaimana sungainya yang jernih terjaga dan dipenuhi dengan ikan-ikan sungai seperti kelah, jelawat, keli, lampam dan lain-lain lagi. Suasana kampung yang tenang dimana masa seperti bergerak perlahan, redup dan sejuk dinaungi pepohon hijau dan dihuni penduduk yang peramah. Kebanyakan penduduknya adalah petani, pekebun dan mereka mengusahakan produk kendiri berasas pelancongan.

Dalam bulan November 1988, kampung ini dilanda banjir lumpur hingga meragut nyawa dan rumah. Susulan itu mereka berdikari bangkit semula dangan semangat dan kerjasama. Membenteras penebangan hutan sewenangnya, menjadikan produk ‘mesra alam’ sebagai satu cara hidup dan pedoman. Mereka membentuk satu komuniti untuk menarik pelancong berasaskan kepentingan alam semulajadi. Usaha mereka berbaloi apabila kampung mereka berjaya mendapat Anugerah Pelancongan Thailand pada tahun 1998.

Disini ada sebuah gerai muslim yang menjual pulut ayam

Sebuah bangunan biasa yang diberi sentuhan luarbiasa,  Little House In The Vally (N8.35571° E99.74990°): nikmatilah secawan latte/coffe bersama waffles sambil menjamu mata dengan  pemandangan indah dari balkoninya. Ia terletak di :-

189, Khao Kaeo, Lan Saka, Nakhon Si Thammarat 80230, Thailand (160.50 mi)
Amphoe Lan Saka 80230

Air Terjun Yang Tersorok

Kemudian kami bergerak ke Barat Daya Nakhon menuju ke Khao Pu-Khao Ya National Park, mencari satu air terjun kecil yang kelihatan seperti Erawan Waterfall. Perjalan sejauh ± 115km. Sebelum itu kami hendak singgah ke Karom Waterfall (N8.37004° E99.73603°) tetapi kami dikenakan bayaran masuk THB200 seorang (kaedah rundingan gagal kali ini), maka kami membatalkan hasrat untuk singgah ke beberapa air terjun lainnya.

Nan Sawan waterfall adalah air terjun kecil.  Air terjun ini sememangnya cantik, airnya yang jernih menghijau dan berpunca dari aliran sungai yang bermula dari empangan Huai Nam lalu melalui batu kapur dan jatuh ke dalam kolam takungan.

Kami tiba di sini ± jam 1:40 ptg (waktu Thailand). Semasa kami tiba, hanya ada 4 orang pengunjung yang hanya singgah sebentar sahaja. Untuk masuk ke kawasan ini perlu lalui beberapa buah rumah dan rasanya dikenakan caj untuk masuk dan parkir kereta/motor di kawasan yang disediakan. Tapi Alhamdulillah seperti tidak ada orang yang jaga dipintu masuk bahkan kehadiran kami seperti tak dipedulikan. Ah ..biarkanlah.

Aku memang bercadang untuk berenang menghampiri dan berada di bawah air terjun, namun bila melihat suasana persekitaran yang sepi lagi sunyi (kami berdua sahaja) maka aku batalkan sahaja niat untuk hampiri air terjun (bimbang gak .. takut dibuatnya cram semasa berenang).Disini kami membuka bekalan pulut ayam dan menikmatinya dipondok yang disediakan.

Selepas itu kami menuju ke Selatan dan melalui Hua Nam Sai Reservoir. Disini baru teringat bahawa aku sudah pernah kes ini suatu ketika dahulu namun tidak menyedari bahawa Namtok Nan Sawan ada dikawasan berdekatan.

Kami menuju ke arah Phatthalung dan singgah ke Kwanjai Bamboo Garden (N7.72675° E100.00714°) namun ianya ditutup. Katanya ia dibuka setiap hari Sabtu dan Ahad sahaja. Kini banyak perubahan dilakukan berbanding lawatan kami terdahulu.

Kami teruskan perjalanan ke Pak Phra dan terus ke Sri Pak Pra (N7.72979° E100.14663°) untuk menginap. Hotel ini sedikit mahal dari lain-lain penginapan sepanjang perjalanan kami. Takpa … recovery day.

Bersambung …..


Pautan Kembara Berkaitan
1. Koh Samui: Day 01 – Singgahan di Nakhon
2. Koh Samui: Day 02 – Selamat Datang Ke Koh Samui
3. Koh Samui: Day 03 – Terpukau di Ang Thong
4. Koh Samui: Day 04 – Unseen Khanom
5. Koh Samui: Day 05 – Nyaman Di Nakhon
6. Koh Samui: Day 06 – Pesona di Pak Pra
7. Koh Samui: Day 07 – Singkapan Sejarah Songkhla

No comments:

Post a Comment