Showing posts with label Masjid. Show all posts
Showing posts with label Masjid. Show all posts

Monday, October 05, 2020

MASJID TERTUA DI TERENGGANU

 

Tarikh  :  09/08/2020 
Misi      :  Trip Pantai Timur - Masjid Lama Kampung Tuan
Lokasi  :  Kampung Gong Limau, 24000 Chukai, Terengganu
Coordinate : N4.23802°, E103.42300°

   

Berada di Cukai, kami tidak melepas peluang mengunjungi  sebuah masjid yang dikatakan  paling tua yang wujud di Terengganu.  Masjid berlantai panggung dan masih memiliki struktur asal.

Chukai satu ketika dahulu menjadi salah satu laluan persinggahan pengangkutan air. Masjid ini berada tidak jauh dari Sungai Limbong yang merupakan laluan masuk ke kawasan sini.

Pembinaannya diasaskan dalam tahun 1830 oleh Syeikh Abdul Rahman (Tuan Mandak) bin Syeikh Abdul Samad Al-Palimbani. Seorang ulama sufi yang turut berjuang menegakkan Islam di medan perang . Beliau berundur ke Kemaman setelah bapanya, Syeikh Abdul Samad Al-Palimbani syahid di Patani dalam peperangan menentang Siam. Rujuk catatanku mengenai Syeikh Abdul Samad Al-Palimbani (KLIK SINI)

Masjid ini bersaiz ± 9.23 meter x 8.70meter dan mempunyai 18 tingkap kecil (bersaiz ±60 cm). Katanya dibina hanya dari sebatang kayu cengal dari kawasan hutan berhampiran (Bukit Kuang). Sebanyak 12 tiangnya disambungkan menggunakan pasak (tanggam) dan tiada paku digunakan. Yang paling menarik adalah mihrabnya berbentuk melengkung. Dibuat dengan menebuk sebatang kayu cengal dan disokong dengan tiang tambahan. Ruang dalamannya lapang dan terbuka. Yang menariknya tidak mempunyai ‘tiang seri’ seperti masjid tradisional lain.

Berbumbung limas bungkus dengan 4 lapis (tingkat) dan menggunakan atap singgora (tanah liat). Dipuncaknya terdapat ‘BUAH BUTUNG’ yang diperbuat dari tembaga yang menjadi antara identitinya.

 

Masjid ini diistiharkan sebagai WARISAN KEBANGSAAN pada 2008. 

Ukiran bunga timbul dengan motif pokok kacang

Apa yang menariknya masjid ini masih mempunyai telaga berdinding batu bata merah dibina sejak masjid ini didirikan
ada penduduk yang datang ambil air dari telaga ini utk tujuan perubatan

Monday, October 21, 2019

Istana Raja Billah dan Masjid Kayu Tua di Papan

Tarikh      :  01/09/2019
Lokasi       :  Istana Raja Bilah, Papan, Perak, Malaysia.

Coordinate:  N4.51554° E101.01294°
https://goo.gl/maps/NmsVbohfv6zUDmEw5

Kami menuju ke pekan Papan, sebuah Pekan lama yang terletak ± 11km dari Batu Gajah. Pekan ini kelihatan seperti pekan koboi atau ghost town kerana banyak bangunan lama dan kelihatan usang seperti tidak ada penduduk. Pekan Papan dikatakan  telah wujud sejak 200 tahun yang lalu dan namanya diambil sempena pengeluaran dan perusahaan papan serta pembalakan yang merupakan sumber kegiatan ekonomi yang utama di kawasan tersebut. Papan dikatakan telah dimajukan oleh orang-orang Mandailing dari Sumatera dan setelah itu kaum Cina datang berhijrah apabila berlaku ledakan aktiviti perlombongan bijih timah. Majoriti penduduk di pekan ini kini adalah orang Cina.

Sesampai ke sini kami mencari sebuah rumah agam lama yang terletak dibelakang pekan ini. Rumah yang  dikenali sebagai ‘Rumah Raja’ adalah kepunyaan Raja Billah yang merupakan  penghulu Papan. Beliau yang  berketurunan Raja  Mendailing dari Sumatera telah melarikan diri ke Tanah Melayu setelah tercetusnya perebutan kuasa dalam istana di sana. Raja Bilah bersama isteri dan keluarganya menetap di Pekan Papan semenjak tahun 1877. Oleh kerana beliau adalah seorang yang berpengaruh, disegani, mempunyai kewibawaan dan pengetahuan keagamaan yang luas, pihak Inggeris telah melantik beliau sebagai Penghulu Mukim Belanja dalam tahun 1882.  Beliau mewarisi urusan perlombongan bijih timah di Papan dari bapa saudaranya. Dengan kekayaan itu, tidak hairanlah beliau mampu untuk membina sebuah rumah agam yang  hebat ini. 

Rumah ini siap dibina pada tahun 1896. Rumah dua tingkat yang dibina campuran kayu dan batu dengan gaya senibina Mandailing (Bagas Godang). Aku mengamati senibina kayunya yang menarik tetapi tidak berpeluang memasuki ke dalam rumah kerana berkunci.

Menariknya rumah ini, ia tersergam indah diatas bukit dan terdapat pintu gerbang dan tangga untuk naik ke rumah ini. Ia mempunyai laman menghijau yang cantik dan ada rumah penjaga/orang gaji disebelah kiri rumah.

Tampak sisi (kanan) Rumah dua tingkat, atas dari kayu dan bawah dari batu
Pemandangan aerial view – tampak belakang

Menaiki tangga melalui gerbang menuju ke kawasan lapang di rumah ini
Aerial view keseluruhan kawasan rumah agam iniDihadapan pintu utama rumah dan seni ukiran yang menarik di tingkapnya
Aerial view – Istana, masjid dan sebuah rumah di hadapan masjid


MASJID LAMA PAPAN


Coordinate:  N4.51544° E101.01327°

https://goo.gl/maps/TAawRiNxdrSFSbT16

Disebelah rumah ini terdapat sebuah masjid kayu yang boleh dikatakan sebagai masjid kayu tua di Perak.  Sebelum masjid ini rosak dan rebah menyembah bumi, maka aku harus menziarahinya. 'Merasai' dan 'berkomunikasi' dengan binaan hebat yang mempunyai nilai yang tersendiri.

Dengan perkembangan pesat pekan Papan sekitar tahun 1887 telah menyebabkan pertambahan penduduk terutama yang beragama Islam. Al-Fadil Tuan Syed Sheikh Mohd Taib yang merupakan Ketua Agama Islam Perak  ketika itu telah menggesa agar sebuah masjid didirikan di kampung tersebut bagi menampung jumlah jemaah yang semakin ramai. Di atas keprihatinan beliau, Raja Bilah telah mewakafkan sebidang tanah miliknya untuk pembinaan masjid yang siap dibina pada tahun 1888.

Masjid ini terletak di hadapan Istana Raja Billah. Senibina masjid ini banyak dipengaruhi oleh senibina Mandailing, Inggeris dan Cina. Ia tidak mempunyai menara dan kubah. Bumbungnya berkonsep bumbung limas bungkus yang berlapis (dua tingkat - bumbung Juglo). Binaan dengan lantai berpanggung dan dibina dari kayu bermutu seperti cengal, merbau dan damar laut.

Masjid ini pada pengamatanku bersaiz ± 25’ x 35’. Ia disokong oleh 30 tiang kayu yang dilapik dengan pelapik batu dan sebuah tangga batu dibahagian belakang  untuk naik ke serambi dan terus ke dewan sembahyang. Aku memasuki masjid ini (dari sisi kanannya) dengan meninjau serta mengamati suasana didalamnya. Secara asas, masjid ini mempunyai ruang serambi, dewan sembahyang, mihrab dan mimbar serta lantai yang masih kukuh. Ruang dewan sembahyang utama berbentuk segi empat sama dengan kedudukan serambi tertutup dibahagian belakang. Di bahagian hadapan, terdapat bukaan di dinding yang aku rasa berfungsi  untuk pengudaraan dan pencahayaan. Ditengah ruang utama terdapat empat batang tiang seri yang bertujuan untuk menyokong struktur bumbung. Kelihatan beduk dan ‘gendang raya’ yang berada dibahagian belakang masih utuh dan dapat berfungsi dengan baik (cuma gendang raya tiada kulit lembu dipasang). 

Tampak dari bahagian hadapan Masjid

Tampak sisi (kiri) masjid

Tampak belakang  masjid – Pintu utama untuk masuk ke masjid tetapi pintunya berkunci. Ada tangga batu untuk naik

Tampak sisi (kanan) – disini juga ada pintu masuk tetapi telah terkopak. Masjid ini tiada kolah dan di bahagian sini juga ada telaga untuk jemaah mengambil wuduk

Mimbar masjid kelihatan masih utuh dan diperbuat dari kayu bermutu. Ada bukaan untuk pengudaraan dan pencahayaan

Ruang dewan sembahyang. - Selain azan, ketika masuknya waktu sembahyang tabuh dan gendang akan dipalu. Tabuh dan gendang raya ini masih kelihatan utuh dan ia ditempatkan dibahagian belakang ruang sembahyang (peran)

Friday, October 18, 2019

Masjid Kayu Tertua di Selangor

Tarikh       :  30/08/2019
Lokasi       :  Simpang Tiga, Ulu Bernam, Selangor, Malaysia.

Coordinate:  N3.67541° E101.52178°

https://goo.gl/maps/e5XRrNXeH1YQxX1M6


Negeri Selangor mempunyai sejumlah > 100 aset warisan yang telah dikenalpasti yang meliputi bangunan/monumen. Sebuah masjid yang terdapat di Hulu Selangor telah disenaraikan sebagai sumber warisan ialah masjid Syeikh Ismail. Ia dikenalpasti antara masjid kayu tertua di Selangor.

Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur aku singgah ke sini bagi menyaksikan sendiri masjid kayu yang dikatakan berusia lebih dari 100 tahun itu. Ia terletak di Simpang Tiga, Ulu Bernam.  Kedudukannya di tengah pekan berhampiran lampu isyarat di tepi jalan menyebabkan masjid itu mudah kelihatan.

Masjid yang dinamakan Masjid Sheikh Ismail Ulu Bernam (Masjid Tua)  bersempena nama seorang tokoh ulama sufi iaitu Syeikh Ismail Al Khalidi An Nasqsyabandi atau nama penuhnya Syeikh Ismail bin Hj. Mohd Arif, seorang tokoh tarekat Naqsyabandiyyah al-Khalidiyyah. Ianya dibuka  pada 15 Safar tahun 1345 H(berdasar tulisan jawi di pintu masjid) bersamaan 23 Ogos 1926.

Walaupun sudah berusia lebih seratus tahun namun ia masih utuh dan digunakan oleh umat Islam untuk beribadat. Reka bentuk bangunan yang keseluruhannya adalah daripada kayu dan papan kelihatan masih kukuh dan menampilkan hasil binaan kesenian melayu lama.

Masjid berbentuk empat segi, mempunyai bumbung limas dan mempunyai 2 tingkat. Ditengahnya ada sebuah menara yang menjadikan ia bertingkat dan dihiasi dengan kubah kecil diatasnya. Bumbungnya adalah dari zink berwarna hijau (tidak pasti samada bumbung asal atau diganti semula). Sepanjang tepian hujung bumbung pula dihiasi 'papan cantik' berukir. Di sebelah sisi kirinya adalah juga  pintu utama masuk ke masjid dan ada kolah dibina untuk mengambil wuduk

Dindingnya dibina dengan susunan papan lapis secara menegak dan tingkap kepak serta pintu kayu yang disusun dengan kemas. Cermin warna yang pasang pada bahagian atas tingkap menjadikan ruang dalaman masjid lebih terang dengan pencahayaan, menarik dan cantik terutama ketika matahari menyinarinya.

Ruang dalamannya agak luas dan terdapat 4 tiang utama ditengah masjid yang dibina bagi menyokong struktur menara. Ada loteng dibina untuk naik ke menara ada ada 2 tangga bertingkat yang curam menghubungkan loteng dan menara. Aku memanjat naik ke loteng dan dari sini kita boleh melihat dengan lebih jelas reka dalaman masjid ini. Dari loteng ada tangga untuk naik ke menara dan aku memanjat naik dan menolak pintu atas dan mendapati ada pembesar suara disini. Menariknya silingnya dipasang dengan kayu berlapis yang menutup bahagian bumbung kecuali di bahagian menara.

Mimbar dan pencahayaan dari kaca berwarna

Monday, October 14, 2019

Menara Kayu: Mercu Tanda Masjid Ulu Piol


Tarikh       :  29/08/2019
Lokasi       :  Kampung Ulu Piul, Manong, Perak, Malaysia

Coordinate: 
N4.57136° E100.87306°
https://goo.gl/maps/9ygK1qiGWE2xcRNZ6 


± 10 Tahun lalu, aku melalui jalan disini dan terlihat sebuah menara kayu 3 tingkat setinggi ±10 meter yang berada di atas bukit kecil dan dibelakangnya adalah sebuah masjid. Masjid ini ialah masjid Kampung Ulu Piul Senggang, Manong, Perak. Masjid lama yang katanya dibina dalam tahun 1938.
Aku kembali ke sini baru-baru ini semasa ingin ke Pasir Salak. Singgah seketika untuk bersolat. Aku mendapati masjid ini dibina semula pada awal tahun 2018 dengan kos ± RM2 juta.  Ia baru sahaja siap pembinaannya ± dalam Bulan Julai/Ogos 2019 lalu.

Apa yang menarik perhatianku ialah menara kayunya yang  masih utuh. Menara kayu yang menjadi mercu tandanya ini dipelihara walau ia dicadang untuk diruntuhkan semasa proses untuk pembinaan semula masjid ini.

Penduduk ingin mengekalkan identitinya kerana ia mempunyai sejarah  dan pihak kerjaan bersetuju mengekalkannya namun ia diperkemaskan semula dengan menggantikan beberapa struktur seperti tiang yang telah reput dimakan anai-anai. Beberapa struktur asal dikekalkan seperti dinding dan sebagainya.
Alhamdulillah menara lama yang menjadi mercu tanda masjid akan sentiasa dipelihara dan pastinya menjadi tatapan kepada generasi yang akan datang.

Thursday, October 03, 2019

Jejak Keturunan & Warisan: Masjid Lama Taiping

Tarikh        :   29/08/2019
Lokasi        :  Taiping, Perak, Malaysia    
Coordinate : 
N4.84945° E100.73733°

https://goo.gl/maps/nQTsbcwptLSkGjgL7

Kami ke bandar Taiping yang menjadi ikon sejarah Malaysia. Taiping yang nama asalnya ialah Klian Pauh dibangunkan oleh Long Jaafar ekoran penemuan bijih timah pada 1840an. Nama ‘TAIPING’ tercetus daripada pertelingkahan 2 kumpulan kongsi gelap utama iaitu Gee Hin Dan Hai San. Taiping menjadi penting kepada penjajah British dan menyebabkan bandar ini membangun. Kedudukannya sebagai ibu negeri juga telah menyebabkan banyak prasana dibina sesuai dengan status dan kepesatan perkembangan ekonominya.

Kami singgah di  masjid lama  Taiping atau Masjid Melayu dan juga dikenali sebagai Masjid Tengku Menteri yang banyak menyimpan rahsia tentang keluarga Laksamana Muhammad Amin. Kami meninjau masjid dan menziarahi kubur beberapa tokoh yang bersangkutan.
Masjid ini telah dibina pada tahun 1897 oleh keluarga Ngah Ibrahim. Asalnya ia adalah sebuah madrasah kayu dan ia dibina dari batu dan menjadi masjid pertama sedemikian pada era tersebut. Seni binanya banyak dipengaruhi gaya Belanda- Inggeris.

Masjid ini masih kukuh dan teguh berdiri sejak lebih 120 tahun dan menjadikan ia sebagai masjid yang tertua di bandar Taiping. Ia telah digazetkan sebagai bangunan warisan di Taiping.
Di belakang masjid ini terdapat banyak makam dan kubur lama tokoh-tokoh dan insan yang hebat dan terkenal samada di Perak dan  Tanah Melayu, Ia dijaga dan dipelihara  dengan baik sehingga ke hari ini. Orang pertama yang disemadikan disini ialah Toh Puan Halimah Bt Laksamana Muhammad Amin yang meninggal dunia pada 12/11/1899.

Kami menyimpulkan bahawa sejarah Taiping bukan sekadar penanda kepada sejarah Perak semata-mata bahkan ia menjadi ikon persejarahan dan pembangunan negara kita. 
Antara makam kaum keluarga Laksamana Amin
Makam Dato' Meor Abdul Rahman (antara guruku yang mengajar erti seni)
Pejuang kemerdekaan yang juga bekas presiden Pas ini pernah menuntut di pondok Pulau Pisang, Jitra. (Dr. Burhanuddin al-Helmi dihantar belajar oleh ayahnya di Pondok tsb dimana Tuan guru pondok itu ialah Tuan Guru Haji Salleh Ismail iaitu sahabat kepada bapanya). Beliau juga adalah pengasas perubatan homeopathy di Malaysia.
BERSAMBUNG ....

Pautan Kembara Berkaitan

Friday, July 05, 2019

Masjid Najmuddin: Masjid Kayu Tua (Dibina Dengan Harmoni)

Tarikh       : 08 Februari2019
Misi          :  Jejak Mimbar
Lokasi       :  Sai Khao, Patani, Thailand
Coordinate: N6.67160° E101.09455°
Map Links
: https://goo.gl/maps/aMkYw5R78d5uNb3n6

Masjid Najmuddin terletak di Ban Khuan Langnga, Sai Khao, KhokPho, Patani, Thailand. Terletak ke Barat Daya Bandar Patani (± 32 km). Nama asalnya ialah Masjid Banggol Langgar. Ia dipercayai di bina dalam tahun 1634 di era pemerintahan Ratu Ungu. Semasa itu terjadi peperangan disekitar kawasan ini antara kerajaan Patani dengan Kerajaan Siam. Siam menghantar tentera untuk menyerang Patani apabila baginda engkar menghantar ufti berupa ‘bunga emas’.

Pertempuran yang berlarutan selama beberapa tahun menyaksikan benteng pertahanan Ratu Ungu utuh menghadapi serangan siam berkat kerjasama penduduk dengan tentera baginda. Setelah peperangan mula reda, sebuah masjid di bina di sebuah lokasi di kaki pergunungan San Kalakiri. Penduduk kampung samada muslim dan Buddha bergotong royong membina masjid kayu ini yang bahan binaannya dari kayu bermutu yang diambil dari kawasan pergunungan San Kalakiri. Mereka menggunakan kapak dan peralatan asas tradisional dalam pembinaan masjid ini. Peralatan yang digunakan semasa pembinaan, quran tulisan tangan dan lain-lain masih dipulihara dan dipamir di satu sudut masjid. Pembinaan masjid ini banyak dipengaruhi oleh gaya senibina islam dengan pengaruh Arab, jawa dan Melayu/Thai. Sebab itu gaya pembinaanya hampir serupa dengan masjid lama seperti di Aur Tanjung dan Wadi Husein, Talo Mano.

Pembinaan masjid yang dibina atas asas harmoni 2 agama dan hubungan itu berkekalan sehingga kini. Masyarakat melayu muslim dan Thai Buddha hidup bersama dengan aman dan bertoreransi sesama sendiri. Masjid ini masih kekal berada  pada kedudukan yang sedia ada. Ia dibina dengan ciri-ciri tempatan tanpa mempunyai ciri-ciri  nyata seperti masjid-masjid di Timur Tengah yang mempunyai bumbung berkubah. Pelan bangunannya ringkas, berbentuk segiempat. Reka bentuk dan susun atur dalaman tidaklah kompleks dimana reka bentuk bangunan bertiang berkonsep terbuka dan tidak mempunyai sekatan dinding. Hal ini memberi keselesaan dan laluan pengudaraan yang nyaman. Terdapat 20 batang tiang kayu besar yang menyokong rangka bumbungnya. Berbumbung 2 lapis dengan atap Singgora.

 

Semasa pembinaan masjid ini terdapat sebuah kolam disisi masjid ini yang digunakan untuk berwuduk dan kolam itu kini dipindahkan ke kedudukan terkini semasa proses penambahbaikan suatu ketika dahulu.

Selain itu, Beduk (gendang raya) juga adalah antara peralatan yang menarik tentang masjid ini. Beduk yang diperbuat daripada batang pokok yang besar di mana batangnya ditebuk agar menjadi kosong. Selepas itu, hujung batang pokok berkenaan akan dibalut dengan kulit lembu atau kulit kerbau. Jenis kayu yang digunakan untuk memukul gendang itu terdiri daripada tiga jenis dan berlainan bunyi. Bunyinya boleh didengar sehingga sejarak 3 km. Selain diguna sebagai pemberitahu masuk waktu, pemberitahuan tentang kematian, bunyiannya juga sebagai amaran kepada penduduk tentang serangan musuh atau ancaman/bencana.

Masjid ini masih digunakan dan dikekalkan binaannya. Perubahan masa menyebabkan masjid ini semakin usang dan diperbaharui berkali-kali namun bangunan ini masih digunakan dan struktur asas utuh terpelihara. Bangunan masjid baru dibina bersebelahannya pada 1970 bagi menampung jumlah jemaah yang semakin bertambah.

Yang lama & yang baru
Berswama Tuan Imam Masjid ini, Tuan Haji Abdul WahabBin Abdullah. Masyrakat disini walaupun berada di Patani tetapi ‘gagap’ berbual dalam bahasa jawi (melayu)
Tampak kiri: pic dari luar pagar masjid
Pic dari dalam ruang solat. Tampak membelakang qiblat dan menghadap ke arah balai lintang. Lihatlah bentuk tiang yang besar
Struktur bumbung