Lokasi : Pasir Salak, Perak, Malaysia
J.W.W Birch atau nama sebenar James Wheeler Woodford Birch (3 April 1826 – 2 November 1875) adalah Residen British yang pertama di Perak (dilantik pada 4 November 1874) selepas perjanjian Pangkor yang ditandatangani antara Sultan dan pembesar negeri Perak dengan Sir Andrew Clarke (Gabenor Negeri-negeri Selat).
Komplot Membunuh
Kedatangan Birch di Perak sebagai Residen Inggeris tidak menyenangkan hati Sultan Abdullah dan Pembesar-pembesar Negeri kerana sikap dan tindakannya yang dianggap melampau batas. Pengenalan sistem residen juga telah banyak menghakis kuasa Raja dan pembesar-pembesar Melayu. Setelah mengambil kira segala tingkah laku Birch yang menyalahi adat Perak dan ketetapan Perjanjian Pangkor, maka satu mesyuarat diadakan di Rumah Hj. Muhammad Yassin bin Hj. Musa pada 21 JULAI 1875. Mesyuarat ini dihadiri oleh Sultan Abdullah dan para pembesar telah memutuskan untuk membunuh J.W.W Birch melalui racun, bermain hantu dan bunuh(tikam) setelah langkahan meracun dan bermain hantu gagal.
Pembunuhan Birch
Akhirnya pada dua hari raya puasa, 2 November 1875, J.W.W. Birch telah berjaya dibunuh di Pasir Salak, Kampung Gajah ketika beliau sedang mandi. Kerani J.W.W. Birch, Mat Arshad juga turut dibunuh dalam peristiwa tersebut.
Terdapat kekeliruan siapa sebenarnya yang membunuh Birch. MAKA, Aku memetik rumusan hasil kajian Prof. Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali (UM) tentang perkara ini:-
“Kesimpulanya, orang pertama yang merejami lembing kepada JWW Birch yang sedang mandi ialah Pandak Indut dan diikuti oleh Kulup Ali, Ngah Jabor dan Panjang Bur. Serangan ini menyebabkan beliau jatuh ke dalam air. Seterusnya ketika timbul dibelakang rumah mandi Birch ditikam dengan lembing oleh Se Tuah dan ditetak oleh Seputum.”
Mayat Birch dijumpai pada hari yang sama ± 180 meter dari tempat kejadian. Mayat beliau dilaporkan mengalami kecederaan dibadan akibat ditikam oleh lembing, ditetak oleh parang dan jarinya terputus serta kecederaan di kepala dan tangan. Mayat Birch dikebumikan di Bandar Baru pada 06 November 1875.
Tindakbalas British
Pihak British telah mengambil tindakbalas dengan menggerakkan pasukan gerak tempur dibawah pimpinan Major Jeneral Colborne (markas Hong Kong) dan Brigedier Jeneral Ross (Markas India). Serangan tentera British akhirnya berjaya menewaskan orang melayu dan Datuk Maharaja Lela terpaksa berundur.
Akhirnya setelah semua yang terlibat berjaya ditahan dan dihadapkan ke mahkamah dan pada 05 Mac 1876, Hakim Raja Idris memaklumkan bahawa tertuduh berikut adalah bersalah dan dijatuhkan hukuman. Seputum dihukum gantung sampai mati pada 20 Mei 1876 di Bandar Baru. Si Gondah dan Ngah Ahmad dipenjara seumur hidup.
Perbicaraan berikutnya pada 14 - 22 Disember 1876, mahkamah mendapati tertuduh disabitkan dengan pembunuhan Birch dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati kepada Dato’ Maharaja Lela, Dato’ Sagor dan Pandak Indut. Mereka dihukum gantung pada 20 Januari 1877. Manakala Che Ali (Kulup Ali), Se Tuah, Ngah Jabor dan Panjang Bur dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.
Mencari Kubur Birch
Berdasar maklumat dari Tok Abah dan petua dari saudara dan sahabat, kami menuju ke Kampung Pulau Gajah dengan mengikuti jalan Teluk Intan (109) dan di kampung Pasir Panjang Ulu kami mengikuti jalan kecil ladang kelapa sawit dan kemudian meredah semak ± 200 meter sebelum berjumpa dengan kubur yang terletak tidak jauh dari sungai.
Terdapat 5 kubur di dalam kawasan berpagar. Antara yang disemadi disini alah JWW Birch, Kapten Wlliam Inners, Private Fay of the 10th Regiment dan lain-lain. Tempat ini agak semak dan seperti tidak terjaga.
Kapten Wlliam Innes dari Royal Engineers merupakan tentera Inggeris pertama yang terkorban dalam peristiwa Perang Perak. Beliau berusia 34 tahun semasa itu.
BERSAMBUNG ....
Pautan Kembara Berkaitan
1. Mencari Petunjuk - Salasilah Laksamana Yang Terbuang – Part 1
2. Jejak Keturunan & Warisan: Masjid Lama Taiping
3. Jejak Sejarah: Menjejaki Kubur JWW Birch
4.
2. Jejak Keturunan & Warisan: Masjid Lama Taiping
3. Jejak Sejarah: Menjejaki Kubur JWW Birch
4.
No comments:
Post a Comment