Showing posts with label Famili. Show all posts
Showing posts with label Famili. Show all posts

Monday, December 06, 2021

DUSUN SENGET: AIR TERJUN DI PERBATASAN SEMPADAN

Tarikh  :  26 Nov 2021
Lokasi  :  Dusun Senget, Kuala Perlis, Perlis, Malaysia.
Coordinate :  N6.44504° E100.14496°

Pagi ini kami bersama saudara Adi Harriman bersama isterinya, Deviyana bertolak dari Alor Setar pada jam 7:30 pagi. Plan asal untuk bersarapan di D’ Petak Paksu, namun kecewa kerana tutup pada hari Jumaat maka kami singgah di Kuala Perlis untuk melapik perut.

Jambatan Pelangi Atau Jambatan Tuanku Syed Putra aka Titi Tinggi

Usai sarapan kami menuju ke Jambatan Tuanku Syed Putra atau dikenali sebagai Titi Tinggi oleh penduduk tempatan. Jambatan ini dirasmikan oleh DYMM Tuanku Syed Harun Putra ibni al-Marhum Syed Hassan Jamalullail pada 30 Januari 1961. Jambatan ini menghubungkan Kampung Seberang Tok Pi di sebelah Pekan Kuala Perlis ke penempatan asal Kuala Perlis di Kampung Hujung Tanjung, Seberang Ramai. Jambatan ini telah diganti sebanyak 3 kali atas faktor keselamatan.

 

Jambatan yang dicat oleh Persatuan Mendaki Perlis 

Jambatan ini kini dikenali sebagai Jambatan Pelangi kerana dicat dengan warna-warna pelangi hasil sentuhan Persatuan Mendaki Perlis. Ia bermula pada 17 Januari 2021 dan siap dalam masa 12 hari.

Jambatan ini kini menjadi ikon di Kuala Perlis di samping kampung Seberang Ramai di seberang sana yang dikenali sebagai Kampung Warna Warni.  

Pohon mati di pinggir panta

Kemudian kami mengunjungi Kampung Warna Warni bagi melihat keindahan rumah-rumah disini yang sudah kelihatan cantik dan bersih. Kampung Warna Warni adalah perkampungan nelayan tradisional yang merangkumi beberapa kampung seperti Kampung Tengah, Kampung Hujung Tanjung, Kampung Tandiap, Kampung Baru Seberang, Kampung Seberang Alor, Kampung Seberang Jaya dan Kampung Pulau Ketam.

Tembok sempadan Antarabangsa

Kemudian kami menelusuri laluan tepi pantai menuju ke arah Pos Batu Putih dan singgah ke satu kawasan di pagar sempadan bagi melihat tembok sempadan. Tembok konkrit setinggi ± 2.4 meter dibina bagi memisahkan Kuala Perlis-Satun.

Sempadan Malaysia-Thailand bermula dari Bukit Batu Putih, hingga Bukit Bunga, Kelantan dipisahkan oleh daratan sejauh 551 kilometer manakala sempadan mengikut thalweg (bahagian terdalam) aliran utama Sungai Golok, hingga Pengkalan Kubor, Kelantan sejauh 105 kilometer.

Kayuhan kami ke sini selepas PKP1 -  KLIK SINI

Grand Canyon Perlis @ Kampung Wai - Pada waktu tertentu air sungai ini jernih dan menghijau.
 

Selepas itu kami ke Kampung Wai, ke jambatan viral berhampiran Terowong Lencongan Banjir Barat Timah Tasoh. Terowong sepanjang 756 meter yang bermula dari kampung Tebing Tinggi dan menembusi Bukit Banjaran Nakawan ke Kampung Wai, Kuala Perlis. Dikatakan sebagai terowong laluan air terpanjang di Malaysia. Ia selebar 10 meter dan berketinggian 7 meter. Projek Lencongan Banjir ini bermula pada Disember 2012 dan siap pada tahun 2016.

Kami melanjutkan perjalanan dengan menelusuri laluan mini tar menghala ke arah kawasan dusun. Perjalanan mengambil masa ± 10 minit hingga kami sampai ke kawasan lapang dan dikenali sebagai ‘Dusun Senget’. Disini terdapat air terjun kecil yang mengalir melalui batu-batu kapur. Punca air terjun ini adalah dari matair yang keluar melalui celahan batu dari kawasan bukit berhampiran.

Air terjun ini terletak di atas tanah persendirian. Kebetulan tuan tanah sedang memperbaiki dangaunya lalu aku meminta izin untuk memasuki kawasan dusunnya.

Mencari batu sempadan

Selepasa bergambar, kami meneruskan perjalanan merentas hutan kecil, melalui kawasan dusun untuk mencari batu sempadan Malaysia/Thailand. Malangnya kami tersasar di simpang yang membawa kami ke kawasan dusun yang tamat dipinggir hutan. Memandangkan masa terhad (dah nak masuk jumaat) kami terpaksa menangguhkan pencarian batu sempadan. 

V Tree
Bunga Kantan Hutan. Terima kasih
Santai di Kolam Renang @ Orang-orang Village

Usai solat Jumaat kami ke Orang-Orang Village (N6.4006, E100.2269) di tepi Jalan Jejawi - Tambun Tulang, berdekatan kampung Alor Redis.

Ia adalah penginapan ala Kabin yang pertama di Perlis. Terdapat 3 buah kabin dan yang bestnya ada kolam renang. Ia dikelilingi oleh sawah padi. Kami ke sini bagi meninjau kesesuaian aktiviti di masa hadapan.

    
Bendang View. Kabin atau bilik atau mengadap sawah
    
 

Monday, April 19, 2021

GUA DEDAP: MENEROBOS TEROWONG ALAMI

LANGKAWI 04H 03M
Tarikh  :  25 Mac 2021  - Day 04
Lokasi  :  Hutan Simpan Gua Cherita, Langkawi, Kedah.
Coordinate :  N6.46994°, E99.83380°

… Sambungan

Kami menuju ke satu kawasan telok yang dikenali sebagai Teluk Dedap dan di situ terhadap sebuah gua kecil yang menarik yang dikenali sebagai Gua Dedap. Gua ini adalah sebuah gua tembus kecil yang menghubungkan laut dengan paya atau dikenali sebagai dolina. Gua ini berada di dalam kawasan Hutan Simpan Gua Cherita dan untuk ke sini hanya boleh diakses dengan bot.

Menurut ahli geologi, kawasan ini adalah dari formasi Setul dan gua ini terbentuk daripada hakisan ombak terhadap batuan yang lembut ribuan tahun lampau.

Kami kesini dengan menaiki bot milik saudara Ruslan dari Jeti Tanjung Rhu. Sebelum sampai ke sini kami melalui kawasan pinggiran pantai bertebing dan berceragah. Kawasan ini suatu masa dahulu pernah ditenggelami oleh laut jutaan tahun lalu (zaman Holosen). Tebing yang bergerigi dan bergaris terbentuk hasil dari hakisan ombak.

Dari Teluk Dedap kami menhampiri dengan bot hingga ke muka gua dan air yang cetek membolehkan kami berjalan memasuki gua hingga ke kawasan dolina. Kawasan ini dikelilingi oleh bukit dan tebing yang curam dan sebahagian kawasan ditumbuhi dengan pokok bakau.

Gua in pernah menjadi sebahagian dari scene filem “Langsuir” (2018) arahan pengarah kelahiran Langkawi, sdr Othman Ali yang turut dibintangi oleh Syafiq Kyle, Hannah Delisha dan lain-lain lagi.

Menarik suasana di sini dan memang berbaloi datang dan menjelajah gua ini.


suasana disebelah paya
Di muka gua ini dijadikan scene filem Langsuir
Gua tembus ke laut andaman
Dolina dengan hutan bakau
BERSAMBUNG …

Gua cerita dan gua dedap

Friday, April 16, 2021

TANJUNG RHU: PANTAI, PULAU & LAGUN INDAH DI KILIM GEOFOREST PARK

LANGKAWI 04H 03M
Tarikh  :  25 Mac 2021  - Day 04
Lokasi  :  Tanjung Rhu, Langkawi, Kedah.
Coordinate : 
N6.45609° E99.82620°

sambungan

Tanjung Rhu adalah sebuah tanjung yang memanjang yang selari dengan Sungai Ayer Hangat. Selain menawarkan pantai berpasir yang memutih, Tanjung Rhu juga hebat dengan pemandangan semula jadi dari bukit dan pulau karst yang indah hingga ke pelbagai ciri laguna. Pantainya yang memanjang banyak ditumbuhi dengan pepohon rhu (casuarina) yang mendapat jolokan namanya.

Ia terletak di dalam Kilim Geoforest Park yang mempunyai tujuh hutan simpan iaitu Hutan Simpan Pulau Langgun, Hutan Simpan Kuala Kisap, Hutan Simpan Tanjung Dagu, Hutan Simpan Gua Cherita, Hutan Simpan Ayer Hangat, Hutan Simpan Selat Panchur dan Hutan Simpan Pulau Timun, termasuklah hutan bakau. Batuan tua unik daripada batuan Formasi Setul yang berusia antara 490-350 juta tahun yang lalu. Bukit-Bukit batu kapur dengan puncak tajam yang terbentuk hasil dari hakisan air hujan. Ya kami akan meneroka kawaan sekitar Geoforest ini dan sebelum itu kami singgah ke beberapa lokasi yang kelihatan cantik bak savannah, lagun dan pantai yang tersorok.

sebidang pantai dengan pohon yang menarik



Bagaikan savannah

sebuah pulau dengan tasik buatan

pantai yang memanjang dan memutih

Monday, April 12, 2021

HIKAYAT ‘BATU JATUH’ DI TANJUNG MALI

LANGKAWI 04H 03M
Tarikh  :  24 Mac 2021  - Day 03
Lokasi  :  Pantai Cenang, Langkawi, Kedah.
Coordinate :  N6.28673°, E99.72736°

… sambungan

Di Tanjung Mali, Langkawi terdapat ‘Batu Jatuh’ (Drop Stone: istilah geologi) yang dikaitkan dengan proses pemendapan sedimen oleh air batu yang terapung (iceberg) di lautan berdekatan dengan kutub selatan (kawasan sejuk Antartika).

Batu jatuh adalah struktur primer istimewa (special primier structure) yang hanya terdapat pada batuan Formasi Singa di kepulauan Langkawi. Batuan ini dipercayai diendapkan(deposit) pada zaman Devon Akhir hingga Perm Awal (370 – 290 juta tahun lampau).

Walaupun batu jatuh ada ditemui dibeberapa kawasan lain namun yang terbaik hanya ada di Tanjung Mali. Ia adalah tapak geologi yang sangat penting kepada ilmu geologi Malaysia dan Asia Tenggara, kerana di sinilah katanya antara tapak utama pembuktian berlakunya proses pembentukan bumi Malaysia dan Asia Tenggara. Tak hairanlah ia amat istimewa pada para geologis dalam dan luar negara yang datang ke seni untuk mengkaji dan mencari data dan maklumat baru untuk kajian mereka.

Tapak geowarisan Tanjung Mali terletak di tebing sebuah Bukit Kecil yang memisahkan antara Pantai Cenang dan Pantai Tengah (Belakang Langkawi Underworld) Kami terpaksa melalui dapor restoran The Cliff dan seterusnya memanjat tangga batu untuk ke atas bukit kecil dan turun semula ke tebing yang curam melalui tangga dan tali. Hmm… rupanya cantik juga view disini. Kawasan ini terletak di tepi pantai dan bagaikan sebuah pentas dan di sini kelihatan batu jatuh (sangat rare) dalam pelbagai bentuk dan saiz.

Katanya batu jatuh yang ada di Pulau Tepor berusia 1 billion tahun dan merupakan batu jatuh tertua di Asia Tenggara namun kami tidak ke sana kerana tidak merancang lebih awal.

BERSAMBUNG …

Di belakang restoran ini ada tapak geowarisan Tanjung Mali
dipuncak bukit kecil Tanjung Mali
Tangga hijau untuk turun ke pentas yang ada batu jatuh
Tebing yang menghadap laut

Friday, April 09, 2021

PULAU TUBA: BUKIT BATU LICIN & AIR TERJUN SELAT BAGAN NYIOR

LANGKAWI 04H 03M
Tarikh  :  24 Mac 2021  - Day 03      
Lokasi  :  Pulau Tuba, Langkawi.
Coordinate :  N6.24737° E99.83763°

… sambungan

Bukit Batu Licin adalah antara lokasi hiking di pulau Tuba. Ia terletak di sebuah bukit di belakang Sek. Men. Keb. Pulau Tuba. Trailheadnya boleh diakses melalui Sekolah Men. Keb. Pulau Tuba (perlu dapat kebenaran) atau melalui kebun getah dipinggir sekolah.

Pintu masuk ke kebun getah

Kami memilih untuk memasuki ke denai laluan melalui kebun getah. Selepas sarapan kami menelusuri sebatang jalan berhampiran sekolah  dan berhenti meletak kenderaan berhampiran sebuah rumah penduduk (N6.25006° E99.83311°). Sambil meminta izin meletak kenderaan, bertanya tentang  laluan ke bukit ini. Laluan ini melalui kebun getah dan kena redah hutan renek sebelum berjumpa pintu masuk ke denai.

pintu masuk ke denai

aerial view batu dogiang

   

Berdua kami menyelinap hutan mengikuti denai. Denai laluan yang jelas dan ada penanda yang memudahkan kami mengikutinya. Perjalanan mengambil masa hampir 35 minit untuk sampai ke batu besar yg menjadi viewpoint menarik. Ia menghadap pulau Dayang Bunting dan pemandangan di atasnya, Wow ..ohsem oooii, berbaloi ragaih naik.

AIR TERJUN TERPENCIL
Coordinate: N6.25667° E99.81591°

Selepas turun dari Bukit Batu Licin kami menuju ke selat Bagan Nyiur dan mengikuti kawasan ladang Felcra (sedang dalam proses ditebang) ke satu air terjun yang terletak dipinggir bukit. Air terjun ini popular dikalangan penduduk tempatan dan menjadi tempat beristirehat di hari minggu. Namun airnya sangat berkurangan kerana sekarang musim kering (kemarau).