Monday, March 27, 2017

Explore Lombok: Menghayati Alam, Mendekati Cagar Budaya

TARIKH : 29 Disember 2016
DAY 7 : Misi Jelajah Lombok Tengah : Air Terjun, rafting & Kampung Tradisional
LALUAN : Senggigi – Batu Kliang – Rembitan – Senggigi
JARAK : 181 km
KOORDINATE:

Lombok-Tengah_thumb1

Seawal pagi kami bertolak dari hotel menuju ke arah Batukliang dengan mengikuti jalan Raya Mantang. Awal pagi melalui jalan di kawasan kota sememangnya memudahkan, kurang kenderaan. Tetapi jalan Raya Mantang ini bukanlah laluan yang sepi diwaktu biasa, dipertengahan perjalanan terpaksa juga menyelit disisi kenderaan.

Air Terjun Benang Kelambu (S8.53279° E116.33694°)

20161229_091155_thumb1

Setelah hampir 2 jam diatas motosikal dengan mengharung perjalanan sejauh ± 50km kamipun sampai ke desa Aik Berik. Memasuki desa ini kami disajikan dengan pemandangan alam yang indah. Tanaman padi yang berpetak-petak dan pelbagai tumbuhan, flora dan fauna sepanjang perjalanan di kawasan lereng bukit.

20161229_092451_thumb1

Desa Aik Berik adalah  antara pintu masuk ke Taman Nasional Gunung Rinjani melalui jalur(track) selatan. Untuk pendakian ke Gunung Rinjani, katanya laluan ini lebih dekat berbanding laluan Sembalun atau Senaru. Walaupun sudah pernah digunakan sebelum ini namun ia baru dibuka secara rasmi pada 20 Mei 2016 lalu.

PC291127_thumb1

Disini terdapat sebuah Pusat Informasi Pendakian Rinjani (yang menyediakan maklumat tentang trek dan air terjun berhampiran). Disini juga kita perlu parkir motosikal jika hendak ke air terjun Benang Kelambu atau Benang Stokel.

20161229_093429_thumb1

Kami tiba ±jam 8.30 pagi, berhenti menikmati sarapan pagi (pasti secangkir kopi dan sepinggan nasi goreng) sambil mencari maklumat dengan bertanyakan kepada tuan punya warung. Selepas sarapan kami beriringan menunggang bersama seorang penduduk yang juga ingin ke kebunnya disana tanpa ditegur oleh beberapa orang yang sedang berada dipintu masuk ini (mungkin depa rasa kami orang tempatan kot – katanya tiket masuk Rp5.000).

Kami mengikuti jalan tanah sedikit berbatu yang teduh dinaungi oleh tumbuhan/hutan yang rendang sejauh ±1.6km sehingga ke tempat letak motosikal. Disini juga terdapat beberapa buah gerai yang menjual makanan & minuman. Tidak ada masalah jika tak bawa bekalan makanan. Kami parkir motosikal disini dan menelusuri anak tangga sejauh ± 300 meter menuju ke air terjun.

20161229_092459_thumb1

Ayer terjun Benang Kelambu secara tepatnya terletak di Dusun Pemotoh, Desa Aik Berik, Kecamatan Batukliang Utara, Kabupaten Lombok Tengah.  Sumber airnya adalah dari beberapa matair, sebab itu airnya sangat bersih. Air yang jatuh dari tebing melalui celahan daun kelihatan indah kerana aliran airnya yang halus dan tersebar bagaikan tirai(masyarakat tempatan menyebut kelambu). Air terjun ini setinggi 43 meter dan mempunyai 4 tingkat dengan ketinggian yang berbeza.

Air Terjun Benang Stokel (S8.53325° E116.34127°)

20161229_104037_thumb1

Kemudian kami balik menuju ke arah gerbang untuk ke air terjun seterusnya. Kami tidak dibenarkan untuk memasuki laluan ini dengan motosikal dan dipinta parkir motor ditempatnya. Berjalan kaki dilaluan yang nyaman sejauh ±500 meter sebelum sampai ke lokasinya.

20161229_104154_thumb1

Air terjun Benang Stokel terletak di Desa Teratak, Kecamatan Batukliang Utara, Kabupaten Lombok Utara. Air terjun ini berada di ketinggian 552 m dari permukaan laut dan dikelilingi oleh hutan. Suasana yang dingin dan damai terasa disini. Air Terjun Benang Setokel memiliki 2 cucuran air yang berketinggian sekitar 30 meter. Air terjun yang disebelah kiri limpahan/curahan airnya lebih besar berbanding yang kanan. Sementara itu di bawahnya terdapat kolam kecil tempat menampong curahan air yang jatuh dari atas. Kolam ini tidaklah dalam dan aku memberanikan diri mengharungnya dan berada dibawah air terjun sambil membiarkan curahan air ini jatuh ke badan.

20161229_104432_thumb1

Alam Stokel/Setokel Rafting (S8.57597° E116.32883°)

PC291132_thumb3

Dalam perjalanan pulang, ±5.4 km dari parkir aku ternampak seperti satu kawasan rekreasi iaitu Alam Setokel. Terlihat seperti ada rakit dan beberapa kemudahan masih dalam pembinaan. Ada chalet (masih dalam pembinaan), rumah makan, ATV dan lain-lain lagi. Kami masuk dan bertanyakan tentang rafting. Katanya pusat ini baru dibuka pada 25 Disember 2016 dan kami adalah pelanggan ke 3 disini. Terus kami bersetuju dengan pakej rafting termasuk makan tengahari dengan harga sebanyak rp150.000.

20161229_114023_thumb1

Kami dibawa dengan pickup menghala ke  utara ke tempat permulaan (seperti pintu/kunci air - S8.54828° E116.33338°) sejauh ±3.4km. Hanya kami berdua dan dipandu oleh 2 orang guide tempatan. Memang menarik dan cantik pemandangan di sungai ini. Beberapa air terjun kecil kelihatan mencurah masuk ke dalam sungai ini. Untuk makluman, air sungai ini sangat bersih kerana ia berpunca dari mata air, oleh itu airnya diproses sebagai air minuman(mineral).

20161229_120132_thumb1

Berarung jeram (rafting) disini tidaklah sukar dan agak aman. Sungainya yang cetek dan amat sesuai untuk pelbagai peringkat umur (7 – 65 tahun.) Dengan menggunakan bot getah(angin) yang boleh memuat 4 orang, kami dipandu oleh 2 orang jurumudi. Tahap kesukaran di sungai ini ialah pada gred 2 atau 3 dimana aliran air yang sederhana, batuan yang besar menghadang laluan, beberapa drop kecil yang bersesuaian dan memerlukan sedikit kemahiran manuver.

PC291167_thumb1

Jauh perjalanan ± 3.4km yang memakan masa hampir 1.5 jam. Perjalanan yang menarik dengan disajikan pemandangan yang cantik sambil melewati kawasan hutan, sawah padi, dusun dan sedikit perkampungan. Tidak perlu terburu-buru bahkan kami berhenti dibeberapa tempat untuk bergambar. Perjalanan berakhir di Jembatan Maiq Meres (S8.56743° E116.32127°) sebuah tempat takungan/empangan air. Disini dapat lihat 2 aliran air yang berbeza bertemu. Satu yang jernih lagi bersih dan satu lagi yang keruh.

PC291155-horz_thumb1

PC291187-horz_thumb1

20161229_134755_thumb1

Kemudian apabila sampai ke Alam Setokel, nasi sudah terhidang dengan makanan tradisional yang memang sedap iaitu ikan nila(talapia) bakar madu, pelicing kangkung, urap dan kelaq kelor. Perhh .. berbaloi wooo mai sini …

PC291198_thumb2

Pelicing kangkung makanan khas masyarakat Lombok. Kangkung sebagai asas (direbus) dan diadun dengan sambal tomato dan sambal cili merah, ditambah tauge, kacang panjang dan kacang tanah goreng ataupun urap. ..perghhh kecur air liur wehhhh ….

PC291196_thumb1

Urap pula adalah seperti kerabu dimana parutan kelapa digaul beserta kacang, daun turi yang direbus, sambal goreng … fuhhh …lupa keletihan

PC291200_thumb1

Keloq Kelaq adalah sayur manis daun munggai(aku agak la) yang direbus bersama beberapa sayuran lain. Yang kami punya dimasak bersama jagung manis, hmmm sedap la jugak, tambah lapaq ni.

PC291199_thumb1

Masjid Kuno Rembitan (S8.82951° E116.29415°)

20161229_155602_thumb5

Selepas makan tengahari kami menuju ke arah selatan sejauh ±38km untuk ke salah sebuah perkampungan asal Sasak iaitu di Desa Rambitan bagi mengunjungi sebuah masjid lama.

PC291207_thumb1

Masjid Rambitan terletak di Desa Rambitan, Kecamatan Sengkol, Kabupaten Lombok Tengah, Provinsi Nusa Tenggara Barat. Masjid ini dibina sekitar abad ke 16 dan dikaitkan dengan seorang tokoh spiritual Lombok iaitu Wali Nyatoq. Seorang yang amat berjasa dalam penyebaran islam di daerah ini. Makamnya  terletak terletak ± 2km ke timur dari sini (S8.83591° E116.31087°). Masjid ini dilindungi dibawah undang-undang sejak tahun 1992 oleh pemerintah Indonesia dan dianggap sebagai peninggalan bersejarah (cagar budaya).

PC291220_thumb1

Bertuah! … Berpeluang melihat dan mendengar beduk diketuk sebelum solat

PC291213-horz_thumb6

Mimbar dan pandangan atas bumbung

Masjid ini terletak di atas sebuah bukit dan dikelilingi oleh rumah penduduk sekitar. Keluasan masjid ini lebihkurang 8m x 8m. Mempunyai 4 batang tiang asas yang masih kekal asli dan 28 tiang penyangga yang digunakan untuk melekatkan dinding dari buluh. Manakala atapnya adalah dari sejenis rumput (alang dan ijuk). Berlantaikan tanah. Masjid ini hanya mempunyai satu pintu masuk disisi kirinya dan yang menariknya pintu masuknya agak rendah . Dimana ada makna tersirat iaitu pengunjung perlu tunduk masuk sebagai tanda hormat dan pintunya kecil agar tidak berebut masuk. Dibelakangnya kelihatan sebuah beduk dan aku dinasihatkan  jangan mengetuk beduk tersebut. Katanya beduk tersebut hanya boleh diketuk oleh orang tertentu sahaja dan ada tekniknya. Ia akan diketuk sewaktu masuk waktu solat. Ternyata masjid ini masih digunakan sehingga kini dan aku berpeluang untuk solat disitu bersama isteri dan seorang penduduk.

20161229_155542_thumb3

Pokok Kemboja tua dan Telaga lama - apabila memasuki kawasan masjid ini

Diluarnya, masjid ini dikelilingi oleh pagar yang diperbuat dari susunan batu dan kayu. Untuk masuk ke dalam kawasan masjid, perlu melalui sebuah gerbang. Terdapat beberapa pokok kemboja yang berusia ratusan tahun disini. Dihadapannya terdapat sebuah telaga(sumur) lama berhadapan sebatang pokok ara (ficus). Telaga ini seluas 5 meter persegi yang dahulunya digunakan untuk mengambil wuduk. Terdapat 5 anak tangga batu untuk turun ke dalamnya yang melambangkan rukun islam.

20161229_160238_thumb1

Bersama pemukul beduk – Hanya orang tertentu yang dibolehkan memukul beduk di masjid ini

Desa Sade (S8.83901° E116.29177°)

20161229_164744_thumb1

Kemudian kami menuju ke selatan lagi sejauh ± 1.3 km ke sebuah Desa Tradisional iaitu Desa Sade. Ia adalah perkampungan kecil Lombok Tengah dan dijadikan sebuah sebuah destinasi kerana penduduknya masih menjaga keutuhan budaya dan pola hidup yang diwariskan oleh nenek moyang mereka sejak 600 tahun yang lalu. Bangunan, adat istiadat, gaya berpakaian dan kehidupan seharian mereka masih dikekalkan

20161229_164700_thumb1

Desa ini seluas 5 Hektar dan memiliki 150 buah rumah tradisional dan mempunyai 700 orang  dari satu keturunan.

PC291227_thumb1

Rumah Sade disini menjadi ikon atau daya tarikan utama di Lombok. Rumah yang dikenali sebagai ‘Bale’ yang diperbuat dari bahan tradisional seperti atap ijuk, berdindingkan buluh dan masih kekal berlantaikan tanah(tanah liat). Ruang hadapan dan belakang dipisahkan oleh beberapa anak tangga

20161229_165102_thumb1

Masyarakat Sasak juga terkenal dengan kemahiran menenun kain sehingga anak gadis yang ingin berkahwin harus mempelajari seni tenunan dahulu. Biasanya mereka akan berkahwin sesama suku dan yang paling menarik adalah budaya 'kawin lari'. Dimana jika silelaki menyukai gadis suku sasak dan masing-masing saling bercinta, maka silelaki mesti membawa lari@culik sang gadis ke rumah kaum keluarganya dan esoknya barulah keluarga lelaki akan berkunjung kerumah sigadis untuk melamar.

Tidak dapat lama kami disini kerana kami harus balik ke hotel sebelum malam menjelang yang jauhnya hampir 60km diSenggigi.


Pautan Kembara Berkaitan
1. Xplore Lombok - Day 1 : Pendahuluan
2. Xplore Lombok - Day 2 : Jelajah Pantai & Tanjung
3. Xplore Lombok - Day 3 : Pantai & Tanjung @ Lombok Timur
4. Xplore Lombok - Day 4 : Dari Pantai Ke Tanah Tinggi
5. Xplore Lombok - Day 5 : Bukit Didaki & Air Terjun Di Dekati
6. Xplore Lombok - Day 6 : Santai Dipantai, Berekreasi di Alam Semulajadi
7. Xplore Lombok - Day 7 : Mengahayati Alam, Mendekati Cagar Budaya

Tuesday, March 14, 2017

Xplore Lombok: Santai Di Pantai, Berekreasi Di Alam Semulajadi

TARIKH : 28 Disember 2016
DAY 6 : Misi Jelajah Lombok Utara : Pantai, Air Terjun & Pulau
LALUAN : Senaru – Kayangan – Gangga – Bangsal – Gili Meno – Bangsal – Senggigi
JARAK : 147 km
KOORDINATE:

Day 6

Selepas sarapan kami check-out (± jam 6.30am) dan bertolak menghala ke utara untuk menuju ke arah Kayangan. Setelah ±18km perjalanan, aku ternampak papan tanda Desa Akar-Akar, walau terlajak ambil keputusan untuk kunjungi tempat ini (bila lagi nak sampai kalau bukan harini). Berputar-putar juga aku mencari sambil bertanya penduduk tempatan lalu ditunjukan ke arah Kawasan Tradisional Dusun Batu Gembung yang terdapat sebuah gerbang dipintu masuk.

Masjid Kuno Batu Gembung (S8.22363° E116.36260°).

PC280880

Memasuki gerbang terlihat beberapa buah rumah tradisional dan juga bangunan yang diperbuat dari buluh dan kelihatan sebuah masjid yang dikenali sebagai Masjid Kuno Batu Gembung. Masjid ini berdindingkan anyaman buluh juga dikelilingi oleh pagar buluh. Pintunya terkunci, jadi tidaklah dapat aku menghampiri secara dekat masjid ini. Kelihatan ia seperti tidak digunakan dalam waktu terdekat ini.

PC280878-horz

Pantai Tebing (S8.28791° E116.21574°)

20161228_082717

Pantai Tebing yang nama asalnya ialah Pantai Luk. Terletak di Dusun Luk, Desa Sambik, Bangkol, Kecamatan Gangga, Kabupaten Lombok Utara. Sejauh ±20km dari Dusun Batu Gembung. Dari jalan utama Raya - Banyan terpaksa menyusuri laluan bersimen sejauh ±500 meter untuk sampai ke pantai. Awal pagi masih tiada orang disini bahkan penjaga parkirpun masih belum ada. Dipinggir jalan untuk turun ke pantai kelihatan sebuah kubur lama.

PC280881

Pantai ini mempunyai tebing-tebing setinggi 15 - 25 meter dimana tebingnya bagai dipahat cantik yang terjadi hasil dari hakisan alam. Pasirnya juga berwarna hitam. Pantai ini diletakan dalam kawasan Geopark Rinjani. Dari maklumat yang aku dapati, tebing ini adalah dari batu kapur yang terjadi hasil dari letusan gunung Samalas atau gunung Rinjani Tua (gunung Baru Jari) beribu tahun dahulu.

20161228_082314

Rumah Pohon Gangga Murmas (S8.35124° E116.22709° )

20161228_093221

Kemudian mengikut papan tanda menuju ke air terjun Gangga sejauh ±10km dan disitu berehat seketika sambil menikmati kopi Lombok, bertanyakan beberapa lokasi menarik sekitar kawasan tersebut. Terdapat 4 point menarik iaitu Tiu Pituq, air terjun Kerta Gangga, rumah pohon Gangga Murmas dan Mata air Kakong.

PC280896

Kami mengambil keputusan untuk menuju ke rumah pohon dahulu kerana bila matahari semakin meninggi pasti ramai pelancong mengunjungi ke sana. Sebenarnya ia tidak jauh dari air terjun Gangga, sekitar 15 minit perjalanan kaki mendaki tetapi kami ingin ke mata air Kakong pula selepas itu jadi eloklah kami bermotosikal sejauh ± 6km ke sana dengan mengikut jalan kampung dan melewati perkebunan koko dan buah buahan.

PC280923

Rumah pohon ini diusahakan oleh Perkumpulan Anak-Anak Muda Desa Gangga Murmas secara gotong royong. Projek dimulakan sekitar pertengahan tahun 2016 lalu. Kalau dahulu tempat ini adalah lokasi anak muda berkumpul menghabiskan masa dan kini ia dimanfaatkan dengan membina rumah pohon yang boleh menjana pendapatan kepada penduduk setempat.

Agak gayat juga  apabila mendaki rumah pokok ini kerana memikirkan kemungkinan boleh roboh. Tapi memandangkan ia masih baru dibina maka aku memberanikan diri untuk menaiki hampir semua rumah pohon ini. Dari rumah pohon ini kita dapat menikmati panorama indah lembah Kerta Gangga dengan hijaunya rimba dan bukit

Mata Air Kakong (S8.37440° E116.23197°)

20161228_102542

Kemudian kami menuju ke Mata air Kakong sejauh ± 3.5km ke selatan Rumah Pohon Gangga Murmas. Ia terletak di desa Bantek, Kacamatan Gangga, Lombok Utara NTB. Mata air ini adalah sumber bekalan bagi beberapa dusun/desa berhampiran. Airnya yang sentiasa mengalir setiap waktu dengan diteduhi pepohon yang rendang.

PC280960

Penduduk tempatan bergotong royong memajukan kawasan ini sebagai satu tarikan kepada pengunjung dengan mempergunakan sumber asli sediada. Ditengah sungai dibina pondok/tempat duduk  terapong yang menjadi tarikan pengunjung untuk berswafoto. Disamping itu dibina pelantar 3 tingkat setinggi hampir 10 meter disebatang pokok beringin/jejawi (ficus). Disini kehijauan hutan dan suasana damai kawasan bukit dapat dirasai.

20161228_104944_001

Di atas ada air terjun kecil yang dikenali sebagai Tiu Mejet dimana kedinginan air semulajadi akan dirasai.

20161228_104052

Air Terjun Kerta Gangga (S8.35114° E116.22627°).

Kemudian kami kembali ke parkir air terjun Kerta Gangga. Air Terjun Tiu Pituq tidak dapat dkunjungi kerana jalan yang rosak dan dinasihatkan oleh penduduk untuk tidak ke sana buat masa sekarang.

PC281001

Air Terjun Kerta Gangga berada di Dusun Kerta Desa Genggelang Kecamatan Gangga Kabupaten Lombok Utara (KLU). Terdapat 3 peringkat air terjun dengan 3 kolam menarik dan mempunyai sebuah kolam/gua tersembunyi yang boleh menghasilkan pelangi apabila disinari matahari pada waktu tertentu.

20161228_120927

Air Terjun Pertama - Untuk sampai ke sini terpaksa memanjat beberapa anak tangga. Terdapat jambatan yang baru dibin, dimana air terjun disebelah kiri dan kanan pula disajikan dengan pemandangan yang memesona bagai lukisan dimana sawah padi dikelilingi bukit dikiri dan kanannya.

Air Terjun Kedua - Berada tidak jauh dari air terjun pertama. Disini juga sudah dibina pelantar khas untuk kemudahan pelancong. Air terjun yang jatuh ke dalam kolam dan bagaikan berada di dalam gua kerana dikelilingi oleh tebing yang tinggi. Kolam ini dikatakan kolam tersembunyi.

PC281017

Kami tidak mengunjungi air terjun ke tiga kerana lokasinya sedikit jauh dan perlu turun kebawah dan melintas sawah padi. Kami terpaksa pendekan perjalanan kerana masa yang suntuk. Sebelum bertolak kami menikmati makanan tengahari disini (nasi goreng ja – kerana mudah dan cepat lagi sedap) bersama secawan lagi kopi Lombok.

Pelabuhan Bangsal (S8.39408° E116.09920°)

PC281044

Kemudian kami menuju ke arah pelabuhan Bangsal yang menjadi transit ke 3 Gili (Gili Terawangan, Gili Meno & Gili Air). Kami parkir motosikal di kawasan khas yang berbumbung (seperti bangsal) dan diberi karcis (tiket). Bayaran sebanyak Rp10,000 sehari.

PC281046

Kami menuju ke kaunter tiket dan untuk makluman syarikat ‘Karya Bahari’ diberi kuasa oleh pemerintah daerah Kabupaten Lombok Utara untuk mengurus pengangkutan dan tiket ke 3 Gili. Setelah berbincang kami mengambil keputusan untuk mengunjungi Gili Meno sahaja.

PC281050

Untuk penyeberangan dengan menggunakan bot biasa kadarnya adalah sebanyak Rp8,000.00 dan dengan speedboat ialah sebanyak Rp85,000 dengan mengambil masa ± 30 – 45 minit.

Gilis MAp

Gili Meno (S8.35307° E116.06188°)

PC281069-horz

Terdapat perusahaan pembaikan bot

Gili Meno terletak ditengah 3 gili (pulau) dan adalah yang paling kecil. Ia berkeluasan ± 2km2 (memanjang sejauh ± 2 km dan selebar ± 1km). Mempunyai penduduk sekitar 300 orang. Pulau ini banyak ditumbuhi dengan pepohon kelapa, mempunyai pantai yang cantik dan spot snorkling yang menarik terutama di bahagian utaranya. Walaubagaimanapun tidak ramai pelancong berkunjung ke sini berbanding Gili Terawangan. Kebanyakan yang ke Gili Meno adalah pelancong yang gemarkan kedamaian, kesunyian, lari dari kebisingan dan ia popular sebagai lokasi honeymoon.

20161228_153555

Danau Air asin – ketika kami sampai air di danau ini banyak sekali

Ada keunikan disini iaitu  pada sebuah danau air masin (S8.34802° E116.05313°) seluas ± 2 ekar yang terletak di bahagian barat laut pulau (tidak jauh dari pantai). Katanya air ditasik ini lebih masin dari laut disekitarnya. Pada musim tertentu (kemarau), air tasik ini akan diproses untuk menghasilkan garam.

20161228_155316

Buaian Di Turtle Beach .. berdekatan sini ada Pusat Pembiakan Penyu

Dipulau ini tidak ada langsung kenderaan bermotor, yang ada hanyalah basikal dan ‘Cidomo’ iaitu sebuah kereta kuda. Sesampai kami di Gili Meno, semua pelancong/pengunjung terpaksa serahkan kad pengenalan (aku bagi lesen kenderaan yang luput tempoh pada mereka) di kaunter khas. Ia sebagai langkah keselamatan berikutan ancaman bom dari golongan pelampau. ID kad boleh dituntut semula apabila hendak keluar dari pulau.

PC281054

Di pulau ini, kami terpinga-pinga dan memusing seketika untuk cari tempat bermalam. Akhirnya kami di ‘temukan’ dengan seorang pemandu Cidomo (pernah bekerja di Malaysia). Kami minta beliau bawa  ke tempat penginapan yang cantik di lokasi yang menarik. Setelah singgah dibeberapa lokasi aku tidak berasa tertarik untuk meneruskan percutian disini, putuskan untuk balik ke darat sahaja. Tetapi sebelum itu, kami ajak pemandu Cidomo ini untuk pusing pulau.

PC281076

balik ke Pelabuhan Bangsal - Kena naik Bot Transit untuk ke speed boat

Bot terakhir dari Gili Ke Bangsal ialah pada jam 4.30 petang ..fuhhh nasib baik  sempat naik lagi tetapi ia adalah speedboat bukan seperti bot yang kami datang.

Sampai di Bangsal terus ambil motosikal dan meneruskan perjalanan sejauh ±28km ke Senggigi, melewati Bukit Malimbu (S8.44316° E116.03375°) dan perlu cepat sampai ke penginapan sebelum gelap. Selamat sampai dan check in di Hotel Puri Senggigi (S8.50496° E116.05526°) ± jam 7.00 malam. Biliknya yang cukup selesa dengan kadar sewaan  Rp130.000 semalam.

Puri Senggigi

Hadapan bilik kami @ Puri Senggigi - di waktu malam – gambar dari internet

Bersambung …….


Pautan Kembara Berkaitan
1. Xplore Lombok - Day 1 : Pendahuluan
2. Xplore Lombok - Day 2 : Jelajah Pantai & Tanjung
3. Xplore Lombok - Day 3 : Pantai & Tanjung @ Lombok Timur
4. Xplore Lombok - Day 4 : Dari Pantai Ke Tanah Tinggi
5. Xplore Lombok - Day 5 : Bukit Didaki & Air Terjun Di Dekati
6. Xplore Lombok - Day 6 : Santai Dipantai, Berekreasi di Alam Semulajadi
7. Xplore Lombok - Day 7 : Mengahayati Alam, Mendekati Cagar Budaya