Showing posts with label Antik. Show all posts
Showing posts with label Antik. Show all posts

Monday, November 25, 2019

Penang’s 1st Mansion & Kubur Francis Light

Tarikh      :  08/09/2019
Lokasi       :  Pulau Pinang, Malaysia
Coordinate:  N5.41058° E100.30511°
https://goo.gl/maps/ryHYVsLKizkBShbY8

Suffolk House juga dikenali sebagai first ‘Great House’ of Penang. Ia adalah rumah peninggalan Kapten Francis Light. Rumah asal dibina dalam tahun 1790. Sebuah rumah agam 2 tingkat ( Anglo-Indian Georgian Mansion) yang dibina di tebing Sungai Ayer Itam. Bangunan ini dibina di kawasan ladang lada hitam yang dimiliki oleh Kapten Francis Light dan di namakan Suffolk Estate, sempena nama kampungnya di England.

Sebuah tinggalan senibina kolonial British dan satu satunya rumah agam gaya Georgian yang masih ada di Malaysia. Rumah dengan taman Anglo-Indian yang menakjubkan dan pernah menjadi kediaman beberapa gabenor British.

Selepas kematian Kapten Light, ladang dan rumah ini telah beberapa kali bertukar tangan dan pihak Majlis Perbandaran Pulau Pinang telah membeli sebahagian dari ladang ini dan  yang kemudiannya membina beberapa banglo untuk dijadikan sebagai kediaman kakitangan kanan kerajaan atau disewa. Beberapa bangunan ini masih kelihatan kukuh hingga hari ini.

Pihak gereja Methodist telah membeli Suffolk House bersama sebahagian tanah dalam tahun 1929 dengan harga RM20,000 dan kemudiannya menjadikan sebagai sekolah (Methodist Boy’s School). Ia kemudiannya digunakan sebagai kantin sekolah sehingga ia ditinggalkan pada tahun 1974 kerana keadaan rumah yang tidak selamat.

Ia dibaikpulih semula kepada keadaan sekarang setelah mendapat dana yang mencukupi melalui kempen bagi memuliharanya (sejak tahun 1956) dan mulai tahun 2000 kerja-kerja pemuliharaan telah dijalankan dan selesai dalam bulan Jun 2007 dan kini ia adalah sebuah restoran eksklusif.

Suffolk House telah mendapat Anugerah ‘UNESCO Asia-Pacific Heritage Award of Distinction’ dalam tahun 2008  dan secara rasminya disampaikan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 9 Oktober 2009.

Suffolk House: Gambar Ehsan Muzium Penang

Keadaan rumah ini yang sangat uzor sebelum pembaikan

Tangga kayu yang telah di perbaiki semula

Terkini Susunan Ruang Dalaman yang menarik – Ia kini menjadi Restoran eksklusif

KUBUR FRANCIS LIGHT

Coordinate:  N5.42276° E100.33309°
https://goo.gl/maps/ggXfuKbzUsohQZ3s5

Kubur Francis Light terletak di Tanah Perkuburan Kristian Protestan Jalan Sultan Ahmad Shah. Ia  adalah antara perkuburan terawal di Pulau Pinang (1789)

Kapten Francis Light dilahirkan di Dallinghoo, Suffolk, England pada 15 Disember 1740 dan meninggal ketika berumur 54 tahun pada 21 Oktober 1794 (akibat malaria) dengan meninggalkan seorang isteri yang berdarah campuran Thailand dan Portugis, serta lima orang anak.

Kubur Francis Light – Di kawasan kubur ini banyak jasad orang ternama disemadikan

Kubur ini menjadi antara lokasi selfie pelancong kerana persekitarannya yang redup dan cantik

Friday, November 22, 2019

Raja Di Satun, Rumah Di Tanjung


Tarikh      :    07/09/2019
Lokasi      :   Segara Ninda, 20, Jalan Penang,
                     10000 George Town, Pulau Pinang
Coordinate:  N5.42225° E100.33429°
https://goo.gl/maps/aGHkSmYC56CFhddu6

Minatku terhadap senibina lama dan sejarah membawaku ke sebuah mansion lama kepunyaan seorang bangsawan Kedah. Peluang untuk kami bermalam di Rumah Agam milik Tengku Burhan ud-din bin Tengku Meh (Ku Din Ku Meh - 1848 – 1932).

Ku Din dilantik oleh King Chulalongkon sebagai raja Setoi dianugerahkan gelaran Phraya Purminard Pakdi dalam tahun 1902 dan kekal sebagi raja hingga 1916. Beliau adalah seorang pemerintah yang bijak dan licik. Beliau juga bertanggungjawap memajukan Satun. Istana beliau di Satun telah dibaikpulih dan dijadikan sebagai muzium sekitar tahun 2000. Beliau juga terlibat dengan urusan perkapalan dan mempunyai 2 buah bangunan di Penang iaitu Segara Ninda dan Udini House (dibina dalam tahun 1882)

Rumah Agam 2 tingkat ini adalah antara hartanya. Ia dibina semasa era Kolonial British di abad 19. Senibina yang indah dengan pengaruh Inggeris, India dan Melayu. Rumah ini dibeli oleh Ku Din dari saudagar China dalam tahun 1901 untuk dijadikan sebagai pejabat perdagangannya.

Rumah ini telah disewa kemudiannya dan diambil alih semula oleh keluarga Ku Din dalam tahun 2004. Ia dibaikpulih dan dijadikan sebagai hotel dan diberi nama 'SEGARA NINDA'. Terdapat 14 buah bilik yang berharga antara RM130.00 - RM230.00. Ia diurus oleh cicit Ku Din iaitu Tengku Yahaya Bin Tengku Mahadi.

Rumah ini kini merupakan sebahagian dari warisan di George Town, Pulau Pinang

Bersama cicit Ku Din iaitu Tengku Yahaya Bin Tengku Mahadi. Aku dimaklumkan bahawa beliau telah meninggal dunia pada bulan Nov 2019 lalu. Semoga rohnya ditempat bersama orang yang beriman
Tingkap dan Tangga: Ruang dalaman dengan sentuhan pertukangan senibina melayu menarik perhatianku

Thursday, November 21, 2019

99 Doors Mansion: Rumah Agam Yang Seram

Tarikh      :  07/09/2019
Lokasi       :  Byram Estate (The 99-door mansion) (Caledonia House)
                   14300 Nibong Tebal, Pulau Pinang, Malaysia

Coordinate:  N5.17425° E100.45717°
https://maps.app.goo.gl/rQMcFBWdztGnLNPv5

Rumah Agam dua tingkat dengan gaya kolonial yang penuh MISTERI dan pelbagai kisah seramnya

Rumah Agam gaya Caledonia ini dibina John Ramsden sekitar tahun 1800an. Beliau yang berasal dari keluarga kaya di United Kingdom telah membeli tanah dan dijadikan ladang di sini semasa ledakan ekonomi perladangan abad ke-19. Rumah ini dikatakan mempunyai 99 pintu. Mempunyai 10 bilik dan setiap bilik mempunyai 5 - 6 pintu dan selebihnya pintu pada balkoni, dewan tari menari, ruang tamu dan dapur.

Bermula dengan kematian tragik cucu pemilik rumah ini (John St. Maur Ramsden) yang dikatakan ditembak dihadapan tangga rumah pada 08 Jun 1948 dan seterus pelbagai kisah misteri pun bermula sehingga ia ditinggalkan dalam tahun 1960an.

Ia terletak tersorok di dalam ladang Kelapa Sawit (Ladang Byram). Kami melolos masuk melalui pintu pagar yang berkunci dan berjalan sejauh 150 meter sebelum sampai ke rumah yang kelihatan agak uzur dimakan usia dan anai-anai. Lantainya kelihatan reput dan ada 2 tangga kembar hebat untuk naik ke tingkat atas. NAMUN di hadang untuk naik atas faktur keselamatan.

Aku cuba untuk meninjau 'mendalam' beberapa bilik ditingkat bawah NAMUN apabila bulu kudukku hingga ke kaki tetiba berdiri (sensa seram) MAKA aku batalkan tinjauanku dan sekadar menjengok mengambil tahu.

Sumber berita: Penang Heritage Trust (PHT) Newsletter, April 2012 – “Mystery of Rubber Estate Manager's Murder”

di hadapan pintu masuk utama

Senibina gaya Inggeris yang hebat

Dikelilingi oleh ladang kelapa sawit. Dulunya adalah ladang getah milik keluarga Ramsden





Friday, November 15, 2019

Batu Terat & Jambatan Keretapi Yang Ditinggalkan

Batu Terat Bukit Semetol : Penanda Sempadan British/Siam

Tarikh      :  07/09/2019
Lokasi       :  Kampung Ekor Kuching,  Malaysia
Coordinate:  N5.56667° E100.50420°
https://goo.gl/maps/HB6ogef6oxtcWrVTA

Kedah ditakluki oleh Siam pada 1821 dan dipecahkan kepada 4 buah kerajaan kecil pada tahun 1842. Pada masa itulah baru siam menetapkan kawasannya. Perjanjian Burney pada tahun 1826 telah menyatakan bahawa pihak British telah mengiktiraf negeri Kedah sebagai hak Siam.

Bagi menanda pemilikan kawasan,batu penanda telah dipacak. Sebuah batu tanda yang masih kekal berada disebuah kawasan sawah padi (berhampiran tebing sungai) di Kampung Ekor Kuching, ± 20 km dari pekan Kulim dipercayai dibina oleh Kerajaan British dan Siam yang bertujuan membahagikan kawasan antara negeri Kedah/Saiburi(Siam) dengan Penang (British).

Batu ini dipercayai wujud sejak 1869 berikutan Perjanjian yang ditandatangani pada 06 Mei 1869 (dikenali sebagai Perjajian Bangkok 1869) mengenai kedudukan hubungan Inggeris-Kedah (dimana Siam meraih sebagian wilayah di daratan utama tersebut yang sementara Penang diberikan untuk Inggeris) yang ditandatangani oleh Konsul Jeneral British di Siam, bagi pihak kerajaan British dengan Perdana Menteri Siam bagi pihak Raja Siam. Perjanjian juga menyatakan bahawa British membayar saguhati sebanyak $10,000 (Spanish Dollar) secara tahunan kepada Sultan Kedah atas kehilangan Penang. Sehingga kini Kerajaan Pulai Pinang masih membayar RM10,000.00 secara tahunan kepada Kerajaan Kedah.

di inskripsi batu terat tertulis dengan 3 bahasa iaitu Inggeris, Thai dan Jawi dan tertera "British & Siamese Boundry"

Batu sempadan dengan lebar 1.5 meter dan tinggi 2.4 meter kini di naik taraf setelah sekian lama terbiar tidak terurus. Pihak Muzium telah membina bumbung dan lantai pada tahun 2010 lalu.

Penentuan sempadan antarabangsa Malaysia-Thailand yang  membentuk sempadan antarabangsa sepanjang ± 350 batu dalam peta moden sekarang ini adalah berasaskan kepada Perjanjian bertarikh 10 Mac 1909 yang ditandatangani di antara Great Britain dan Siam. Namun perjanjian susulan tetap diteruskan sehingga kini untuk tujuan keselamatan, kastam, imigresen dan aktiviti pembangunan sosioekonomi.

Gambar dari National Archives Of Singapore

Titi Besi Keretapi Yang Sepi

Tarikh      :  07/09/2019
Lokasi       :  Kampung Pinang Tunggal, Pulau Pinag, Malaysia
Coordinate:  N5.56667° E100.50420°
https://goo.gl/maps/LL7nWSFsRnMp47cd8

Titi ni biasa ja, macam titi keretapi Anak Bukit(berhampiran rumahku). Mungkin yang jadi istimewa bila aku tak pernah lalu atasnya.  Jambatan sepanjang ±150 meter merentasi Sungai Muda dan menghubungkan 2 negeri - Pinang Tunggal di Kedah dengan Kepala Batas, Pulau Pinang. Sejarah peperangan Dunia ke 2 menyaksikan ia pernah diletupkan British untuk melambat pergerakan askar Jepun bergerak ke Selatan menakluki Tanah Melayu. Sisa letupan katanya boleh dilihat ketika air surut.

Setelah hampir 1 abad, kini Ia sudah ditinggalkan. Dibiar sepi tak dipeduli apabila laluan keretapi berkembar dibina dlm tahun 2008.

Jaraknya ±150 meter atau lebih

Terbiar sepi

Sesekali menjadi lokasi penduduk berselfie



Monday, October 21, 2019

Istana Raja Billah dan Masjid Kayu Tua di Papan

Tarikh      :  01/09/2019
Lokasi       :  Istana Raja Bilah, Papan, Perak, Malaysia.

Coordinate:  N4.51554° E101.01294°
https://goo.gl/maps/NmsVbohfv6zUDmEw5

Kami menuju ke pekan Papan, sebuah Pekan lama yang terletak ± 11km dari Batu Gajah. Pekan ini kelihatan seperti pekan koboi atau ghost town kerana banyak bangunan lama dan kelihatan usang seperti tidak ada penduduk. Pekan Papan dikatakan  telah wujud sejak 200 tahun yang lalu dan namanya diambil sempena pengeluaran dan perusahaan papan serta pembalakan yang merupakan sumber kegiatan ekonomi yang utama di kawasan tersebut. Papan dikatakan telah dimajukan oleh orang-orang Mandailing dari Sumatera dan setelah itu kaum Cina datang berhijrah apabila berlaku ledakan aktiviti perlombongan bijih timah. Majoriti penduduk di pekan ini kini adalah orang Cina.

Sesampai ke sini kami mencari sebuah rumah agam lama yang terletak dibelakang pekan ini. Rumah yang  dikenali sebagai ‘Rumah Raja’ adalah kepunyaan Raja Billah yang merupakan  penghulu Papan. Beliau yang  berketurunan Raja  Mendailing dari Sumatera telah melarikan diri ke Tanah Melayu setelah tercetusnya perebutan kuasa dalam istana di sana. Raja Bilah bersama isteri dan keluarganya menetap di Pekan Papan semenjak tahun 1877. Oleh kerana beliau adalah seorang yang berpengaruh, disegani, mempunyai kewibawaan dan pengetahuan keagamaan yang luas, pihak Inggeris telah melantik beliau sebagai Penghulu Mukim Belanja dalam tahun 1882.  Beliau mewarisi urusan perlombongan bijih timah di Papan dari bapa saudaranya. Dengan kekayaan itu, tidak hairanlah beliau mampu untuk membina sebuah rumah agam yang  hebat ini. 

Rumah ini siap dibina pada tahun 1896. Rumah dua tingkat yang dibina campuran kayu dan batu dengan gaya senibina Mandailing (Bagas Godang). Aku mengamati senibina kayunya yang menarik tetapi tidak berpeluang memasuki ke dalam rumah kerana berkunci.

Menariknya rumah ini, ia tersergam indah diatas bukit dan terdapat pintu gerbang dan tangga untuk naik ke rumah ini. Ia mempunyai laman menghijau yang cantik dan ada rumah penjaga/orang gaji disebelah kiri rumah.

Tampak sisi (kanan) Rumah dua tingkat, atas dari kayu dan bawah dari batu
Pemandangan aerial view – tampak belakang

Menaiki tangga melalui gerbang menuju ke kawasan lapang di rumah ini
Aerial view keseluruhan kawasan rumah agam iniDihadapan pintu utama rumah dan seni ukiran yang menarik di tingkapnya
Aerial view – Istana, masjid dan sebuah rumah di hadapan masjid


MASJID LAMA PAPAN


Coordinate:  N4.51544° E101.01327°

https://goo.gl/maps/TAawRiNxdrSFSbT16

Disebelah rumah ini terdapat sebuah masjid kayu yang boleh dikatakan sebagai masjid kayu tua di Perak.  Sebelum masjid ini rosak dan rebah menyembah bumi, maka aku harus menziarahinya. 'Merasai' dan 'berkomunikasi' dengan binaan hebat yang mempunyai nilai yang tersendiri.

Dengan perkembangan pesat pekan Papan sekitar tahun 1887 telah menyebabkan pertambahan penduduk terutama yang beragama Islam. Al-Fadil Tuan Syed Sheikh Mohd Taib yang merupakan Ketua Agama Islam Perak  ketika itu telah menggesa agar sebuah masjid didirikan di kampung tersebut bagi menampung jumlah jemaah yang semakin ramai. Di atas keprihatinan beliau, Raja Bilah telah mewakafkan sebidang tanah miliknya untuk pembinaan masjid yang siap dibina pada tahun 1888.

Masjid ini terletak di hadapan Istana Raja Billah. Senibina masjid ini banyak dipengaruhi oleh senibina Mandailing, Inggeris dan Cina. Ia tidak mempunyai menara dan kubah. Bumbungnya berkonsep bumbung limas bungkus yang berlapis (dua tingkat - bumbung Juglo). Binaan dengan lantai berpanggung dan dibina dari kayu bermutu seperti cengal, merbau dan damar laut.

Masjid ini pada pengamatanku bersaiz ± 25’ x 35’. Ia disokong oleh 30 tiang kayu yang dilapik dengan pelapik batu dan sebuah tangga batu dibahagian belakang  untuk naik ke serambi dan terus ke dewan sembahyang. Aku memasuki masjid ini (dari sisi kanannya) dengan meninjau serta mengamati suasana didalamnya. Secara asas, masjid ini mempunyai ruang serambi, dewan sembahyang, mihrab dan mimbar serta lantai yang masih kukuh. Ruang dewan sembahyang utama berbentuk segi empat sama dengan kedudukan serambi tertutup dibahagian belakang. Di bahagian hadapan, terdapat bukaan di dinding yang aku rasa berfungsi  untuk pengudaraan dan pencahayaan. Ditengah ruang utama terdapat empat batang tiang seri yang bertujuan untuk menyokong struktur bumbung. Kelihatan beduk dan ‘gendang raya’ yang berada dibahagian belakang masih utuh dan dapat berfungsi dengan baik (cuma gendang raya tiada kulit lembu dipasang). 

Tampak dari bahagian hadapan Masjid

Tampak sisi (kiri) masjid

Tampak belakang  masjid – Pintu utama untuk masuk ke masjid tetapi pintunya berkunci. Ada tangga batu untuk naik

Tampak sisi (kanan) – disini juga ada pintu masuk tetapi telah terkopak. Masjid ini tiada kolah dan di bahagian sini juga ada telaga untuk jemaah mengambil wuduk

Mimbar masjid kelihatan masih utuh dan diperbuat dari kayu bermutu. Ada bukaan untuk pengudaraan dan pencahayaan

Ruang dewan sembahyang. - Selain azan, ketika masuknya waktu sembahyang tabuh dan gendang akan dipalu. Tabuh dan gendang raya ini masih kelihatan utuh dan ia ditempatkan dibahagian belakang ruang sembahyang (peran)

Monday, July 22, 2019

Patani: Dari Laem Tachi Ke Saiburi - Part 2

... BERSAMBUNG

Tarikh       :  09 Februari 2019
Misi          :  Menelusuri laluan pantai Patani – Part 1
Lokasi       :  Patani, Thailand
Coordinate:
Map Links :

Kami meneruskan perjalanan ke Saiburi sebuah daerah dalam wilayah Patani. Ia dahulunya dikenali sebagai ‘Teluban’. Nama Teluban dipercaya diambil daripada nama sungai dimana bandar berkenaan berada. Saiburi telah dipecah perintah oleh Siam setelah Patani jatuh. Di bawah pemerintahan King Rama II (1785), Patani dipecahkan kepada 7 wilayah dan dilantik Gabenor(Raja) untuk daerah tersebut:-

1. Negeri Patani diperintah oleh Tuan Sulong

2. Negeri Nong Chik diperintah Oleh Tuan Nik

3. Saiburi diperintah oleh Nik Dah

4. Yala diperintah oleh Tuan Jalor

5. Raman diperintah oleh Tuan Mansor

6. Legeh(Narathiwat) diperintah oleh Nik Deh(Diah); dan

7. Yaring (Jambu) diperintah oleh Nai Phai.

Sebelum tiba ke Saiburi, kami singgah seketika Samphimo beach ± 4km dari Saiburi. Ia adalah sbuah pantai yang tenang dan agak sunyi. Berdekatannya ada sebuah homestay yang menjadi pilihanku jika kami tidak sempat pulang ke Bandar Patani.

Coordinate: N6.72892° E101.62517°
Map Links : https://goo.gl/maps/4Nj4WCeyN3FtDo3K8

Masyarakat Melayu Patani sepanjang pantai dilingkungi dengan ‘dunia laut’. Oleh itu ia berkait rapat dengan budaya perahu. Perahu-perahu tradisional atau di kenali sebagai kolek adalah jenis perahu yang mempunyai hiasan dengan dekorasi tertentu dan mempunyai warna serta motif yang tersendiri.

Difahamkan pembinaan sesebuah perahu kolek memakan masa sehingga berbulan-bulan. Perahu jenis ini dikatakan mampu bertahan sehingga puluhan tahun kerana diperbuat 100 peratus daripada kayu cengal yang terkenal dengan ciri-ciri keras, padat, berkualiti tinggi dan tahan daripada perubahan suhu dan cuaca. Jadi, tidak hairanlah jika ada di antara perahu kolek yang sudah berusia lebih 60 tahun tetapi masa boleh digunakan nelayan berkenaan. Para nelayan hanya memperbaiki atau mengecat semula bagi menaikan serinya.

Kami singgah di beberapa tempat melihat kolek dan seterusnya ke Ban Pase Yawo yang masyhur dengan seni pembuatan perahu

Coordinate: N6.71490° E101.62706°
Map Links : https://goo.gl/maps/qDkGdppQzu1w5cCo7

Kemudian kami mengunjungi istana Raja Saiburi yang terletak berhampiran highway 4074. Ia dibina oleh Tengku Abdul Hamid (Pipit Phakdi). Ia adalah sebuah bangunan kayu 2 tingkat dengan senibina gabungan seni tempatan dan barat. Keistimewaan Istana ini ialah pada bahagian anjung dimana dindingnya melengkung dan tangga batunya yang melengkung. Ia berusia > 100 tahun. Beberapa kedai dibuka berhampiran(tepi pagar) bangunan ini dan pintunya berkunci. Kami tidak dapat masuk ke dalam istana ini kerana penjaganya keluar ketika kami tiba …. Hmmm kecewa juga.

Coordinate: N6.70299° E101.61887°
Map Links : https://goo.gl/maps/zrR9iBKAAd9Li7gQ8

Hasrat hatiku untuk mengunjungi istana lama (asal) Raja Saiburi yang terletak tidak jauh dari sini kerana masa sudah suntuk maka kami ambil keputusan untuk balik ke Patani untuk aktiviti seterusnya.

Tangga batu melengkong

Industri makanan: Sambal ikan dan kelapa di Ban Pase Yawo


Pautan Kembara Berkaitan

01. Patani: Dari Laem Tachi Ke Saiburi  -  Part 1
02. Patani: Dari Laem Tachi Ke Saiburi  -  Part 2