Showing posts with label Great Adventure Team Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Great Adventure Team Malaysia. Show all posts

Thursday, July 06, 2017

Bukit Wang: Menjelajah Bukit Tunggul Besar

Tarikh  : 26 Februari 2017
Jarak   :  3.8 km   
Max Elev.  : 280 meter  
Coordinate: (N6.31446° E100.48331°).
Lokasi  : Bukit Tunggul Besar, Bukit Wang, Jitra, Kedah, Malaysia 

Hiking Bukit Wang

Bukit Wang adalah salah satu kawasan rekreasi yang terkenal dikalangan penduduk kawasan utara terutamanya dari Alor Setar dan Jitra. Ia terletak ± 40km dari Alor Setar dan 11km dari Pekan jitra. Berada di dalam kawasan Hutan Simpan Bukit Perangin di daerah Kubang Pasu dan dikelilingi oleh bukit bukau. Hutan Lipur ini berkeluasan 867 hektar dan telah diwartakan sebagai hutan simpan kekal sejak tahun 1937.

Terkenal kerana kedinginan air terjunnya yang datang dari sebatang sungai yang dikenali Sungai Tosak sepanjang ± 15 km. Terdapat kemudahan asas yang disediakan seperti chalet, tapak perkhemahan, tandas awam, kolam kanak-kanak, pondok, laluan refleksologi kaki, surau, jambatan, laluan pejalan kaki dan lain-lain. Kemudahan yang tersedia menyokong untuk aktiviti riadah seperti berkhemah, berbasikal dan trekking hutan. Terdapat beberapa buah bukit yang mengelilinginya iaitu Bukit Hangus (470 m) di utara, Bukit Besar (461 m) di barat, Bukit Buluh (440 m) di timur dan Bukit Tunggal Besar (260 m) di Selatannya.

Aku acapkali berbasikal disini tetapi tidak pernah untuk hiking dibukit dikawasan ini. Dek kerana itu, maka perkara pertama yang aku lakukan adalah membuat tinjauan awal ke sini, memahami laluan disamping merujuk peta topo. Dari pemerhatian, aku mendapati  bukit ini sudah pernah dijelajah oleh geng 4H Jitra, jadi sudah ada tanda/jejak dilakukan oleh mereka. Ini memudahkankan kami untuk hiking dikawasan ini.

Graf Elev Bkt Wang

Memandangkan kawasan ini tersangat sunyi, maka aku mengajak beberapa sahabat GAT dan keluarga untuk turut menjelajah ke bukit ini. Kami parkir kereta di kawasan parking sediada di air terjun Bukit Wang. Jam 9.30 langkah dimula, doa dibaca memohon agar selamat perjalanan dan dijauhkan bahaya. Perlu diingatkan bahawa di kawasan ini banyak babi hutan. (Dulu kami pernah membina trek DH disini dan sering dirosakkan oleh babi). Dari parkir kami berjalan menelusuri jalanraya (ke selatan) ± 400 meter ke trailhead (N6.31613° E100.48029°) dari sini pendakian pun bermula. Laluan ± 1 km semuanya mendaki sehingga kami hampir sampai ke puncak Bukit Tunggul Besar Kecerunanpun seperti mencanak. Hutannya tidaklah tebal dan kebanyakan pokok didominasikan oleh pokok palm, pokok Seraya (Shorea curtisii) yang tumbuh secara semulajadi dimana diameternya  lebih dari 120 cm. 

P2261573

Kami mengelilingi bukit tunggul ini yang laluannya turun naik tetapi kecerunan agak mencanak. Setelah 2 jam 50 minit, dengan berjalan turun dan naik sejauh 3.8km, akhirnya kami selesai menjelajah mengelilingi Bukit Tunggul Besar ini dan kembali ke kawasan parkir. Disini kami merehatkan diri dan membuka bekalan buat mengalas perut yang sudah berbunyi.

Sedikit  pengalaman pahit   yang aku hadapi ialah apabila digigit oleh ‘cekenit ‘@ sengkenit (kutu babi) yang hinggap dicelah paha. Kesan dari gigitan aku terpaksa merana kegatalan hampir 2 bulan.

20170226_091309

7 orang memulakan langkah dari kawasan parkir

20170226_095225

Trek yang sudah ada laluan/tanda

P2261583

Pernah kajian dilakukan disini yang mendapati sebanyak 15 spesies amfibia yang terdiri daripada 6 famili dan 15 spesies reptilia yang terdiri daripada 7 famili telah ditemui.

P2261590

Dominasi pokok palma  dikawasan ini

20170226_095346

Merenung Bukit yang kecerunannya lumayan jugak tu …

P2261598

Kawasan sekitar (Bukit Wang) juga menjadi tumpuan penggemar burung.

P2261591

Saturday, April 23, 2016

Gunung Irau : Menjengah Dunia Hutan Berlumut

Tarikh  :  09 April 2016    
Rider    : 4 Orang (Pudin, Adi Hariman, Saiful Azman &  Rohizam)
Peserta: 11 Orang 
Lokasi  : Gunung Irau, Cameron Highlands, Pahang

Coordinate:  N4.52898° E101.36520°

Gunung Irau

Seawal pagi kami sudah bangun, kaum hawa menyediakan sarapan dan menyiapkan bekalan makan tengahari. Bertolak dari homestay pada jam 7.30 pagi dengan menghala ke Tringkat dan melewati Pekan Brincang. Untuk ke Mossy Forest/Gunung Irau, perlu melalui sebatang jalan kecil (N4.50875° E101.40812°) menghala ke Sungai Palas Boh Tea Center. Ia sejauh ±6km sebelum sampai ke tempat parking/pintu masuk ke Mossy Forest/Gunung Irau (N4.52418° E101.38181°). Hati-hati semasa memandu di jalan ini kerana jalannya tidak berapa elok, sangat sempit dan berbengkang bengkok. Berilah laluan kepada kenderaan untuk melalui kerana jalannya sempit menyukarkan kereta untuk berselisih. Kebanyakan pengunjung menggunakan kenderaan pick-up (4x4) untuk ke sana, tetapi kami menggunakan 2 buah kenderaan sendiri iaitu Proton Pesona dan Toyota Inova.

P4096014

Untuk makluman Gunung Irau juga dikenali sebagai MOSSY FOREST kerana lumut menyeluputi keseluruhan pokok hingga ke perdu dan banir. Keadaan ini menyebabkan wujud suasana yang indah bagaikan berada di dunia khayalan.   Gunung Irau setinggi 6,924 kaki @ 2,110 meter dari aras laut dan merupakan gunung ke 15 tertinggi di Malaysia. Ia sejauh lebihkurang 2.6 km sahaja (dari Parking ke puncak ) dan memakan masa 4 hingga 5 jam (sehala) untuk sampai ke puncak.

P4096026

Nampaknya pagi ini ramai sekali pendaki yang akan menawan gunung Irau. Sebelum memulakan perjalanan kami membuat sedikit aktiviti regangan dan bacaan doa  dipimpin oleh saudara Saiful Azman. Kemudian bergambar beramai-ramai dihadapan papan tanda Mossy Forest. Jam 9.00 pagi kami memulakan langkah dengan mendaki tangga/laluan kayu sambil melewati beberapa buah pondok. Laluan inipun sudah cantik dengan pokoknya sudah diseluputi oleh lumut. Ramai pendaki sudah mengambil kesempatan berselfie disini termasuklah kami. Ahhh.. peduli pa! Bukan senang nak sampai sini. ±200 meter sehingga habis laluan pelantar kayu kita akan mula memasuki hutannya dan disini cabaran sudah bermula. Laluannya bukan sekadar mendaki tetapi juga menurun, akar terpaksa dipaut, tempat dipijak perlulah kemas dan berhati-hati. Ini kerana kami sedang menjejak bukan atas tanah tetapi atas timbunan dedaun yang terjadi ribuan tahun lalu, bahkan jika tidak berhati-hati boleh terjerlus. Pemandangan memanglah cantik, penat bergambar dari mendaki. Nasib baik kami datang pada waktu kering sebegini, jika waktu hujan, memang ada masalah terutama di akar pokok yang licin dan pasti ‘berlemoih’ lah.

P4096126

Hampir 3 jam kami bertungkus lumus, akhirnya sampai ke Mini Irau atau dikenali sebagai Anak Irau (N4.52956° E101.37147°) berketinggian 6,666 ka (Wow), merupakan puncak palsu (False Peak). Hah .. ingat jauh rupanya baru 1.4km. Kami berhenti berehat ± 10 minit sebelum meneruskan perjalanan ke puncak Irau sejauh ±800meter lagi. Pejalanan ke puncak Irau disajikan pemandangan hutan lumutnya lebih cantik dan sekitar jam 12.45 tgh kamipun tiba ke Puncak Irau (N4.52898° E101.36520°). Terasa puas dan seronok apabila tiba ke puncak. Walaubagaimanapun agak sesak disini, jadi kami terpaksa mencari sudut yang sesuai untuk melepas lelah dan membuka bekalan makanan tengahari. Kebanyakan pendaki akan memasak disini dan aroma maggie mee terbau disana sini.

GOPR1386

Jam 1.50 pm kami memulakan perjalan turun, kebetulan suasana redup dan berkabus menyebungi puncak Irau dan hujan renyai mula  turun dipertengahan perjalanan kami. Laluan menjadi semakin sukar, akar kayu menjadi licin, penurunan terpaksa dilakukan dengan berhati-hati. Tambahan apabila melihat  seorang wanita kelihatan berada disatu sudut sambil menahan sakit(mungkin bukulalinya terseliuh) tidak jauh dari Puncak Irau. Ini menambah kerisauan aku akan keselamatan anak aku yang tidak biasa dengan pendakian. Jam 4.40 petang kamipun sampai ke tempat permulaan.. Fuhh memang meletihkan …

P4096121

Perjalanan balik, kami tersangkut dalam kesesakan pula sebelum menghampiri pekan Brincang ..akhirnya hampir jam 8.00malam kami selamat sampai ke homestay. Malamnya mula terasa lengoh segala lutut dan selepas makan malam, aku terlelap tak sedar khabar hingga esok pagi

Bersambung …. Kayuhan reverse trail Thomson Trail

P4096023

Awal pendakian – di laluan berpelantar sejauh ±200metar

DSC03490

dari kiri Adihariman, Man, Sabrina, Zakiah, Sofina, Devi, Shakirah, Shauqi

DSC03503

Bagaikan di dunia khayalan

DSC03507

berehat di bawah naungan. Banyak spesis pokok periuk kera disini

DSC03513

DSC03521

cantik

GOPR1347

ada tali - terpaksa memanjat dibeberapa section

GOPR1356

GOPR1392

GOPR1395

CP Bonsai

GOPR1396

Berkabus – hujan renyai di perjalanan balik

P4096153

Hanya 0.8km tapi jenuh

P4096101

tudia … akar berselirat

P4096148

Man & Isteri di CP Slide

Monday, April 18, 2016

Gunung Irau: Hiking Famili - Pendahuluan

P4096011

Tarikh  :  8 – 10 April 2016    
Rider    : 4 Orang (Pudin, Adi Hariman, Saiful Azman &  Rohizam)
Peserta: 11 Orang 
Lokasi  : Gunung Irau, Cameron Highlands, Pahang

Coordinate:  N4.52898° E101.36520° 

Setelah merancang, akhirnya kami dapat juga merealisasikan satu aktiviti yang melibatkan keluarga. Setelah menetapkan tarikh maka kami membahagikan tugasan, aku dipertanggungjawab untuk mencari maklumat laluan dan seterusnya memasukan ‘route’ ke dalam garmin, Ini kerana hiking kami adalah tanpa guide. Aku juga perlu menghubungi pihak pejabat Hutan Daerah Raub bagi mendapatkan permit mendaki.

Irau Map

Anda boleh download route ini dalam format gpx KLIK SINI

Untuk mendaki Gunung Irau memerlukan permit dan  permohonan untuk mendapatkannya perlu dibuat ke Pejabat Hutan Daerah Raub di alamat:

Pejabat Hutan Daerah Raub
Rotan Tunggal
27600 Raub
Pahang

Tel: 09-3551060 Fax: 09-3550857

Hubungi pihak Pejabat  Hutan Daerah Raub untuk dapatkan borang permit atau boleh download borang permit  di sini (KLIK) .

Fee sebanyak RM5.00 seorang

Borang permit, senarai nama peserta dan Wang Pos (Bayaran atas nama : PENGARAH PERHUTANAN NEGERI PAHANG ) perlu dihantar ke Pejabat Hutan Daerah Raub 2 minggu sebelum tarikh aktiviti. Seeloknya sentiasalah berhubung dengan pihak Pejabat hutan untuk mendapat perkembangan kelulusan permit.

Permit Irau

AdiHariman pula mengurus soal penginapan dan makanan. Beliau telah menghubungi kenalannya dan mendapatkan homestay di Tanah Rata iaitu Homestay Zuraidah di Kampung Taman Sedia, (N4.47851° E101.38018°).

Taman Sedia Homestay7

Gambar dari Internet

Taman Sedia adalah penempatan orang Melayu yang pertama di Cameron Highlands. Dimajukan sebagai sebuah perkampungan oleh Lembaga Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) pada tahun 1969. Kampung Taman Sedia mempunyai  48 lot yang mempunyai keluasan 0.25 ekar setiap satu dan kini masih dihuni oleh sebilangan peneroka asalnya.

Disini kebanyakan penduduk menjadikan kediaman mereka sebagai homestay. Chalet kami adalah sebuah rumah kayu lama 2 tingkat yang  comel dengan 3 bilik, ruang tamu dan dapur di tingkat bawah. Jadi selama 2 hari disini kami memasak sendiri makanan. Berdekatan kawasan ini ada kebun strawberry, jambatan gantung dan kawasan rekreasi air terjun iaitu hutan lipur Parit Fall.

20160408_185705

20160408_185054

Ayer terjun – Hutan Lipur Parit Fall

P4086002

Perkampungan Taman Sedia

Monday, November 09, 2015

Kembara Bromo: Misteri Lumpur Lapindo

Tarikh  :  24 – 31 Oktober 2015    
Rider    : 4 Orang (Pudin, Adi Hariman, Saiful Azman &  Rohizam)
Jarak   :  ± 400 km 
Lokasi  : Surabaya, Jawa Timur, Indonesia.

* Waktu yang dinyatakan disini adalah waktu Malaysia
* Sebahagian gambar adalah dari koleksi Rohizam

Day 2

Malamnya kami memunggah kotak dan memasang basikal dan paginya sebelum check-out kami memohon kepada pengurus hotel untuk menyimpan kotak basikal dan beberapa barangan di tempat khas hotel ini.

PA250100

Seusai doa, kami memulakan kembara pada jam 7.00 pagi dengan mengikuti jalan Panglima Sudirman. Singgah sebentar bergambar di Monumen Buluh Runcing (S7.26773° E112.74433°).

Monumen ini bagi memperingati perjuangan penduduk tempatan yang hanya bersenjatakan buluh melawan kolonialisme Belanda. Tarikh 10 November 1945 adalah peristiwa bersejarahnya dan setiap tahun, 10 November akan dirayakan sebagai Hari Pahlawan.

Lebihkurang 1.5km mengayuh apabila hendak memasuki Jalan Raya Darmo (S7.27819° E112.74123°) kami dapati laluan di hadapan dihadang tetapi kenderaan seperti basikal atau pejalan kaki dibenarkan, Oh.. rupanya hari ini adalah Hari Bebas Kendaraan Bermotor (HBKB) @ Car Free Day. Patutlah semasa awal kayuhan tadi punya la ramai penunggang basikal berbondong-bondong memotong kami. Punyalah sesak dengan pengunjung. Ada yang berjoging, ada yang menari, berzumba, berbasikal, berniaga, bersosial sesama kelompok. Dari pelbagai peringkat dan usia. Dari pelbagai jenis basikal, lama dan baru. Fuhhh best bahkan ada promosi khas dari Polygon bagi pemilik jenamanya.

Di Indonesia Car Free Day pertama kali diadakan pada tahun 2000 di kota Surabaya. Ia adalah sebahagian dari kempen kesedaran untuk mempertingkatkan kualiti udara kota. Kempen yang diberi nama "Segar Suroboyoku Rek".

Car Free Day bertujuan untuk menggalakkan masyarakat kota mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan kenderaan bermotor. Tema penting dalam hari bebas kendaraan bermotor, adalah tinggalkan kenderaan bermotor dirumah dan berjalan kakilah atau gunakan kenderaan tidak bermotor ataupun menggunakan kenderaan umum untuk perjalanan.


Setelah mengayuh ± 33km, kami sampai ke Porong yang terletak dalam kecamatan Sidoarjo. Disini dapat menyaksikan satu fenomena alam yang menjadikan sebahagian kawasan digenangi dengan lumpur panas dari perut bumi yang disebut Lumpur Lapindo (S7.51173° E112.70798°). Banjir lumpur yang menyembur keluar pada 29 Mei 2006  berpunca dari projek carigali(drilling) gas oleh pihak Lapindo Brantas Inc. di Dusun Balongnongo Desa Renokenongo, Kecamatan Porong, Kabupaten Sidoarjo, Jawa Timur, Indonesia. (sumur asal - S7.52654° E112.71037°). Lumpur panas yang masih mengalir keluar sehingga kini telah menenggelamkan  16 desa di 3 kecamatan di Sidoarjo yakni Porong dan kini mencecah keluasan ±650 hektar.

Pihak Kerajaan telah membina tambak khas bagi menahan limpahan lumpur dan mengalirkan air ke sungai Porong. Tambak selebar 15 meter dan sepanjang hampir 10 kilometer dengan ketinggian ± 10 meter. Projek yang dimulakan pada tahun 2011.

± jam 4.00 kami tiba di Bangil dan membuat keputusan untuk berhenti bermalam di pekan ini dan menginap di Anugerah Hotel (S7.60216° E112.79200°) yang selesa biliknya.

Bangil terkenal dengan makanan khas iaitu Nasi Punêl. Nasi Punel adalah sepertimana nasi campur lain namun keistimewaannya adalah pada cara hidangan dan masakan. Dihidangkan bersama daging atau ayam goreng, tempe goreng, sambal potongan kacang panjang mentah yang dicampur dengan sambal pedas buah tomato, sayur nangka muda, serunding dan ada juga otak otak. Makanan ini dialas dengan daun pisang dan rasanya memang sedap.

Di Jalan Raya Darmo – Car Free Day – Pelbagai aksi dan aktiviti

Memperkemaskan jentera

Memasuki kawasan Lumpur – Mengayuh diatas tambak yang dibina bagi mengepong Limpahan Lumpur

Monumen Tragedi Lumpur Lapindo

Antara rumah yang tenggelam dan rosak – banyak lagi kampung dihadapan yang ditinggalkan

Sungai Porong – Air lumpur dialirkan ke sungai ini

Memasuki Pekan Bangil

GOPR3833

Terpaksa berhenti di banyak lokasi

PA250182

Suasana yang panas menyebabkan kami menjadi terlalu dahaga – Disini hujan  sudah lebih dari 5 bulan tidak turun

Berlatarkan Jambatan Kedung Larangan di Bangil