Tarikh : 29/08/2019
Lokasi : Kampung Ulu Piul, Manong, Perak, Malaysia
Coordinate: N4.57136° E100.87306°
https://goo.gl/maps/9ygK1qiGWE2xcRNZ6
± 10 Tahun lalu, aku melalui jalan disini dan terlihat sebuah menara kayu 3 tingkat setinggi ±10 meter yang berada di atas bukit kecil dan dibelakangnya adalah sebuah masjid. Masjid ini ialah masjid Kampung Ulu Piul Senggang, Manong, Perak. Masjid lama yang katanya dibina dalam tahun 1938.
Aku kembali ke sini baru-baru ini semasa ingin ke Pasir Salak. Singgah seketika untuk bersolat. Aku mendapati masjid ini dibina semula pada awal tahun 2018 dengan kos ± RM2 juta. Ia baru sahaja siap pembinaannya ± dalam Bulan Julai/Ogos 2019 lalu.
Apa yang menarik perhatianku ialah menara kayunya yang masih utuh. Menara kayu yang menjadi mercu tandanya ini dipelihara walau ia dicadang untuk diruntuhkan semasa proses untuk pembinaan semula masjid ini.
Penduduk ingin mengekalkan identitinya kerana ia mempunyai sejarah dan pihak kerjaan bersetuju mengekalkannya namun ia diperkemaskan semula dengan menggantikan beberapa struktur seperti tiang yang telah reput dimakan anai-anai. Beberapa struktur asal dikekalkan seperti dinding dan sebagainya.
Alhamdulillah menara lama yang menjadi mercu tanda masjid akan sentiasa dipelihara dan pastinya menjadi tatapan kepada generasi yang akan datang.
No comments:
Post a Comment