Tuesday, October 01, 2019

Mencari Petunjuk - Salasilah Laksamana Yang Terbuang – Part 1

Siapa Laksamana tersebut?
Dia adalah Laksamana Mohamad Amin Duakap atau gelaran penuhnya Orang Kaya-Kaya Laksamana Raja Mahkota Perak Muhammad Amin Alang Duakap @ Abdul Wakaf” seorang pembesar Melayu Kesultanan Perak. Beliau, Ngah Ibrahim Jaafar (Menteri Larut) yang juga adalah menantunya, Dato Maharaja Lela, Pandak Endut, Sipuntum dan beberapa orang lagi bersama-sama menentang penjajahan British setelah tidak berpuashati dengan Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874 .
Walaupun mereka berkomplot dan merancang pembunuhan James Wheeler Woodford  Birch (JWW Birch) yang  merupakan Residen British yang pertama di Perak pada 4 November 1874. Namun beliau bersama menantunya itu, terlepas dari hukuman gantung kerana ketiadaan bukti kukuh bagi mengaitkan mereka dengan pembunuhan tersebut. Memandangkan pengaruh mereka sangat besar di Perak dan  menjadi ancaman kepada penguasaan British, maka mereka berdua bersama Sultan Abdullah, Syahbandar Uda Mahamor termasuk kaum keluarga dan orang suruhan mereka berjumlah 47 orang semuanya ( 24 lelaki dan 23 orang perempuan ) dibuang daerah ke Kepulauan Seychelles.  Pagi 20 Julai 1877 rombongan ini  berangkat dari sebuah penjara di Singapura dengan menaiki kapal stim Cotherstone yang belayar selama sebulan dan akhirnya tiba dipulau Seychelles pada 30 Ogos 1877.  Rombongan ini ditempatkan sementara di sebuah rumah yang terletak ± 1.6 km ke utara bandar Port Victoria dan kemudiannya Ngah Ibrahim, Laksamana dan Syahbandar ditempatkan di Felicite (±48 km dari Port Victoria) manakala  Sultan Abdullah dan 26 orang yang lain ditempatkan di Pulau Mahe.
Setelah beberapa lama dalam buangan,  bekas Sultan Abdullah telah beberapa kali mengajukan surat pada Ratu England merayu menyemak dan siasat semula kesnya dengan alasan tidak mendapat peluang membela diri dan juga memohon dibebaskan dan seterusnya meletakkan kembali beliau ke atas taktha kerajaan Perak. Begitu juga dengan Ngah Ibrahim yang sering mengutus surat memohon pertimbangan untuk kembali ke Pulau Pinang atau Singapura dengan alasan sudah tua dan dapat mengamalkan agamanya dengan sempurna dan sekiranya beliau meninggal dapatlah dikebumikan dengan sempurna.

Setelah melalui pelbagai proses pertimbangan dan sokongan, Kerajaan British bersetuju untuk membawa pulang tahanan politik Melayu Perak ini ke negeri Melayu namun tidak dibenar tinggal di Semenanjung Tanah Melayu sebaliknya boleh menetap di Singapura atau Sarawak sahaja.

Sultan Abdullah, selepas 17 tahun menetap di Syechelles, baginda dibenar tinggal di Singapura. Kemudiannya berpindah ke Pulau Pinang dan tanggal 1894 baginda dibenarkan pulang ke Kuala Kangsar dan mangkat pada tahun 1922, dimakamkan di Bukit Chandan dan digelar sebagai Marhum Habibullah.
Januari 1893, Menteri Ngah Ibrahim mula tinggal di Singapura dan meninggal dunia di sana pada 4 Februari 1895. Jenazah beliau dikebumikan di permakaman Al-Junid, Singapura.
 
Laksamana Mohd Amin  meninggal dunia dalam tahun 1905 di Singapura dan disemadikan di pusara River Valley/Bidadari, Singapura. Pada 1970an, ia dipindahkan ke Pusara Abadi(Choa Chu Kang Cemetery). Pusaranya berjaya di kesan oleh warisnya sekitar 1980-an.
Dipusara Laksamana Amin di Makam Diraja Kuala Kangsar
Susulan itu, setelah mendapat kebenaran daripada kerajaan Singapura, Jabatan Warisan Negara pada 07 September 2006 telah memindahkan rangka beliau dan dibawa pulang ke tanah air dengan kapal korvet TLDM (KD Laksamana Muhammad Amin).  Pada 09 September 2006, rangka jasad dua pahlawan Melayu ini,  selamat dikebumikan semula dengan penuh adat istiadat pembesar negeri di Kuala Kangsar dan Taiping.
Rangka jasad Laksamana Mohamad Amin di semadikan di Makam Diraja Bukit Chandan, Kuala Kangsar pada jam  11 pagi. Manakala rangka jasad Ngah Ibrahim di semadikan di Kota Ngah Ibrahim yang kini dikenali sebagai Kompleks Sejarah Matang di Taiping pukul 1.30 tengah hari.
KD Laksamana Amin : Gambar dari sumber internet: kredit kepada nadia arifin
Kapal korvet Tentera Laut Diraja Malaysia, F136 KD Laksamana Muhammad Amin telah dinamakan sempena nama beliau. Kapal ini  dibina oleh Limbungan Fincantieri di Breda Mestre, Itali pada 22 Mac 1982 dan telah dilancarkan pada 5 Julai 1983 yang mana asalnya untuk kegunaan Tentera Laut Iraq. Namun hasrat tersebut dibatalkan dan kapal tersebut telah diubah suai dan ditauliahkan pada 31 Julai 1999 dan ianya adalah milik Tentera Laut Diraja Malaysia.
Kenapa aku mencari?
Bila disusur galur keturunan isteriku, beliau adalah adalah generasi ke 5  melalui anak ke 4 Laksamana Amin iaitu Hajah Aminah. Bagi mengenali dan mendalami, aku dan keluarga isteriku berusaha mengesan jalur keluarga dan menyedia salasilah. MAKA banyaklah rahsia dan sejarah perlu dicari & dibukti sambil menyambung silaturahim sesama keluarga keturunan Laksamana ini.

Bersama 'Tok Abah' atau Mohd Zabidi Bin Mohd Hamidi
Dihadapan rumah kelahiran mertuaku di Changkat Jering,Taiping
Ahmad Nasib (kanan) Cucunda kepada Laksamana Muhammad AminAminah Ajri (dua dari kanan) adalah cicit kepada Laksamana Muhammad Amin dan adalah ibu kepada mertuaku
BERSAMBUNG ....

Pautan Kembara Berkaitan

No comments:

Post a Comment