Tarikh : 08 Februari2019
Misi : Jejak Mimbar
Lokasi : Sai Khao, Patani, Thailand
Coordinate: N6.67160° E101.09455°
Map Links : https://goo.gl/maps/aMkYw5R78d5uNb3n6
Masjid Najmuddin terletak di Ban Khuan Langnga, Sai Khao, KhokPho, Patani, Thailand. Terletak ke Barat Daya Bandar Patani (± 32 km). Nama asalnya ialah Masjid Banggol Langgar. Ia dipercayai di bina dalam tahun 1634 di era pemerintahan Ratu Ungu. Semasa itu terjadi peperangan disekitar kawasan ini antara kerajaan Patani dengan Kerajaan Siam. Siam menghantar tentera untuk menyerang Patani apabila baginda engkar menghantar ufti berupa ‘bunga emas’.
Pertempuran yang berlarutan selama beberapa tahun menyaksikan benteng pertahanan Ratu Ungu utuh menghadapi serangan siam berkat kerjasama penduduk dengan tentera baginda. Setelah peperangan mula reda, sebuah masjid di bina di sebuah lokasi di kaki pergunungan San Kalakiri. Penduduk kampung samada muslim dan Buddha bergotong royong membina masjid kayu ini yang bahan binaannya dari kayu bermutu yang diambil dari kawasan pergunungan San Kalakiri. Mereka menggunakan kapak dan peralatan asas tradisional dalam pembinaan masjid ini. Peralatan yang digunakan semasa pembinaan, quran tulisan tangan dan lain-lain masih dipulihara dan dipamir di satu sudut masjid. Pembinaan masjid ini banyak dipengaruhi oleh gaya senibina islam dengan pengaruh Arab, jawa dan Melayu/Thai. Sebab itu gaya pembinaanya hampir serupa dengan masjid lama seperti di Aur Tanjung dan Wadi Husein, Talo Mano.
Pembinaan masjid yang dibina atas asas harmoni 2 agama dan hubungan itu berkekalan sehingga kini. Masyarakat melayu muslim dan Thai Buddha hidup bersama dengan aman dan bertoreransi sesama sendiri. Masjid ini masih kekal berada pada kedudukan yang sedia ada. Ia dibina dengan ciri-ciri tempatan tanpa mempunyai ciri-ciri nyata seperti masjid-masjid di Timur Tengah yang mempunyai bumbung berkubah. Pelan bangunannya ringkas, berbentuk segiempat. Reka bentuk dan susun atur dalaman tidaklah kompleks dimana reka bentuk bangunan bertiang berkonsep terbuka dan tidak mempunyai sekatan dinding. Hal ini memberi keselesaan dan laluan pengudaraan yang nyaman. Terdapat 20 batang tiang kayu besar yang menyokong rangka bumbungnya. Berbumbung 2 lapis dengan atap Singgora.
Semasa pembinaan masjid ini terdapat sebuah kolam disisi masjid ini yang digunakan untuk berwuduk dan kolam itu kini dipindahkan ke kedudukan terkini semasa proses penambahbaikan suatu ketika dahulu.
Selain itu, Beduk (gendang raya) juga adalah antara peralatan yang menarik tentang masjid ini. Beduk yang diperbuat daripada batang pokok yang besar di mana batangnya ditebuk agar menjadi kosong. Selepas itu, hujung batang pokok berkenaan akan dibalut dengan kulit lembu atau kulit kerbau. Jenis kayu yang digunakan untuk memukul gendang itu terdiri daripada tiga jenis dan berlainan bunyi. Bunyinya boleh didengar sehingga sejarak 3 km. Selain diguna sebagai pemberitahu masuk waktu, pemberitahuan tentang kematian, bunyiannya juga sebagai amaran kepada penduduk tentang serangan musuh atau ancaman/bencana.
Masjid ini masih digunakan dan dikekalkan binaannya. Perubahan masa menyebabkan masjid ini semakin usang dan diperbaharui berkali-kali namun bangunan ini masih digunakan dan struktur asas utuh terpelihara. Bangunan masjid baru dibina bersebelahannya pada 1970 bagi menampung jumlah jemaah yang semakin bertambah.
No comments:
Post a Comment