Wednesday, July 11, 2018

Koh Samui: Day 01 – Singgahan di Nakhorn Si Thammarat

Tarikh       : 24 Jun 2018
Misi          : Overland Thailand: Koh Samui: (24 – 30 Jun 2018)
Laluan      : TTG – Danok – Hadyai – Pak Ro - Sathing Pra – Hua Sai – Nakhon Si Thammarat
Jarak        : 310 km
Coordinate
: N8.43400° E99.96284°

 

Pendahuluan

Kembara ini sepatutnya dibuat sebelum bulan puasa lalu, namun atas masa yang terhad untuk mendapat ‘kelulusan’ ke luar negara maka kami tangguhkan selepas raya puasa. Disamping itu sengaja dipilih  tarikh ini kerana baru berakhir cuti sekolah  dengan jangkaan tidak ramai pelancong ditempat kami hendak tuju.

Perjalanan kali ini adalah santai darat dengan menunggang motosikal berdua bersama isteriku. Aku merancang percutian ini selama 8 hari kerana ingin merasai nikmat percutiaan disesuatu lokasi. Sehubungan dengan itu aku telah menetapkan ‘point-point’ singgahan agar ada pengisian sepanjang perjalanan dan tidak mahu mengejar masa.

Menghala Nakhorn

Menikmati sarapan dengan nasi sup yang enak

Jam 7.00 pagi kami bertolak dari rumah dan isian penuh minyak di BP Bukit Kayu Hitam. Syukur pagi ni tidak ramai pengunjung, maka lancarlah urusan imigresen dikedua sempadan. Usai urusan imigration dan kastam, aku dapatkan sim kad di sebuah kedai telekomunikasi yang membuka perniagaan di awal pagi. Kami meneruskan perjalanan hingga ke Ban Po Mo untuk bersarapan disebuah kedai muslim (N6.93079° E100.46854°) bersebelahan masjid Ban Po Mo. Menikmati nasi sup tulang yang enak disulam dengan ‘Cha-ron’ (pergh …. Sedarp).

Pokok Tai – Boleh kelihatan sepanjang jalan di Sathing Pra

Pantai yang memanjang

Kemudian kami meneruskan perjalanan tetapi aku tidak mengikuti Highway 4 (Hadyai –Phatthalung – Nakhorn Si Thammarat) sebaliknya mengambil jalan pilihan (4111) melalui Pak Ro - Sathing Phra – Hua Sai – Nakhon. Kami singgah di beberapa pantai dan lokasi yang dirasa menarik bagi melepas lelah dan menjamu mata.

Memang banyak tempat yang menarik untuk disinggahi sepanjang perjalanan

Sampai di Nakhorn terus mencari masjid Salahuddin dan mencari kedai muslim berdekatan untuk menikmati makan tengahari. Alhamdulillah jumpa kedai muslim (N8.43256° E99.96262°). Pengusaha nasi ini boleh bertutur bahasa Melayu dan beliau memaklumkan ada saudaranya di Pulau Pinang. Selepas itu kami check-in di Hotel Passion (N8.43032° E99.97213°). Sewaan semalam sebanyak THB50.00 sahaja. Berehat seketika sebelum keluar untuk santai sekitar pekan Nakhorn.

Nakhon Si Thammarat Yang Hebat

Nakhon Si Thammarat adalah wilayah ke 16 terbesar di Thailand. Nakhon Si Thammarat juga adalah bandar kedua terbesar di Selatan Thailand selepas Hadyai. Ia mempunyai sejarah yang panjang iaitu sejak 1,800 tahun lalu. Nakhorn SI Thammarat mendapat nama dari Rajanya yang pertama iaitu ‘Phra Chao Si Thamma Sokkara’. Kerajaan Nakhon Si Thammarat atau Kerajaan Ligor bertukar ganti dari era pemerintahan Sukhothai (sehingga 1351), kemudian era Ayutthaya (hingga 1767) dan bebas sementara dan ditakluk kembali oleh King Taksin .

Ligor menjadi pusat ketenteraan Siam dan sering menyerang wilayah Melayu terutama Kedah, Patani, Kelantan dan Singgora dan memaksa kerajaan Kedah/Perlis/Singgora membayar ufti kepada Siam.

Tinggalan Runtuhan Kota

Old City Wall adalah sisa tinggalan kota/tembok lama yang terdiri sekian lama. Kami mencari Old City Wall (N7.22591° E100.56393°) yang terletak di Ratchadamnoen road dan cuma sejauh ±1.2km sahaja dari hotel kami.

Kubu ini dipercayai dibina di era pemerintahan Phra Chao Si Thamma Sokkara. Kubu ini adalah sebahagian dari benteng pertahanan kota yang dibina pada tahun 1278. Kota ini memanjang sejauh 456 m dari timur ke barat dan sejauh 2238 m dari utara ke selatan dan ia seperti dikelilingi oleh sistem peparitan. Katanya dahulu kota ini dibina dari kayu dan ia dibina semula dari bata merah pada abad ke 18. Hari ini hanya sebahagian dinding kota ini yang tinggal. Pihak kerajaan telah memulihara dengan membaik pulih dinding di bahagian utara.

Tok Dalang Yang Tersohor

Selepas bergambar kami bergerak ke Si Thammasok Soi 3 sejauh ± 1.7km dari Old City wall dimana terletak rumah seorang artis yang diangkat oleh Raja Siam sebagai National Artist iaitu Suchart Subsin.

Suchart Subsin  adalah seorang seorang seniman wayang kulit yang tersohor. Dilahirkan pada 1938 di Ban Srakaew, Tha Sala, Nakhon. Sebelum beliau meninggal dalam tahun 2015 ketika berusia 79 tahun, beliau sempat menjadikan kawasan rumahnya sebagai muzium dan studio berkaitan seni wayang kulit atau ‘nang Thalung.

Rumahnya dijadikan sebagai tarikan pelancong dalam tahun 1980. Kemuncak kerjayaannya apabila diundang untuk membuat persembahan di hadapan King Bhumipol pada tahun 1985. Pada tahun 1996 rumah/studionya telah mendapat anugerah ‘Best Cultural Tourist Attraction’ dan seterusnya beliau mendapat penghormatan tertinggi sebagai ‘National Artis Of Thailand’ dalam tahun 2006

Rumah/Muzium ini dikenali sebagai Ban Nang Thalung Suchart Subsin (N8.41448° E99.96879°) terletak di 10/18, Si Thammasok 3 road. Ia dibuka setiap hari dari jam 8.30 pagi - 5.00 petang dan masuk adalah percuma. Apa yang ada di sini :-

1. Muzium Wayang Kulit – sebuah bangunan 2 tingkat yang menempatkan pelbagai patung dari serata Thailand dan dari beberapa negara Asean seperti Malaysia, Indonesia dan Cambodia. Ahli keluarga akan mengiringi pelancong sambil memberi penerangan tentang wayang kulit.

2. Kedai Souviner – Kedai ini asalnya adalah rumah Suchart yang menjual pelbagai patung dari pelbagai karekter sebagai souvenir.

3. Demontrasi pembuatan Wayang Kulit – Ahli keluarga akan menunjukan kemahiran pembuatan patung wayang kulit kepada pelancong.

4. Persembahan Wayang Kulit – Jika datang pada masa dan jumlah yang sesuai, persembahan wayang kulit akan dipertunjukkan kepada pelancong

5. Disamping itu disekeliling kawasan rumahnya terdapat beberapa barangan antik dan unik dipamirkan.

Ran - Rumah pokok berdekatan rumah Suchart

Rumah Warisan Klasik Yang Dipulihara

Kemudian kami ke sebuah rumah kayu klasik (Phan-Yah style) yang telah dibaikpulih dikenali sebagai Baan Tan Khun (N8.40968° E99.96764°). Ia terletak di Ratchadamnoen Rd. dan hanya ± 800 meter sahaja dari Ban Nang Thalung Suchart Subsin.

Rumah ini yang berusia lebih 106 tahun ini mempunyai suasana vintaj dengan dikekalkan senibina kayu, dihiasi perabut lama antik dan juga dipamerkan peninggalan cenderahati lama.

Rumah ini dibina oleh seorang pembesar iaitu Tuan Khen dalam tahun 1912. Rumah dan tanah ini kemudiannya diserahkan oleh tuan punya kepada anak saudara mereka Mr. Kovit Trisattayapan. Beliau telah menjadikan bangunan ini sebagai sekolah bernama "Ratwut Wittaya" dan kemudian berubah menjadi sekolah "Nakhon Wittaya" pada tahun 1939. Pada masa ini haya terdapat 26 orang pelajar, 2 orang guru. Apabila meletusnya Perang Dunia 2 dalam tahun 1941. Sekolah ini terpaksa ditutup kerana beberapa masalah terutama kewangan. Selepas perang sekolah ini dibuka semula dan ditutup sepenuhnya dalam tahun 1986.

Pada tahun 1993, Anak saudara Encik Kovit Trisattayapan, Mr Samrarn Trisattayapan yang kini adalah pemilik rumah ini, telah membaikpulih semula rumah ini dan menjadikan salah satu tarikan kepada pelancong.

Rumah ini boleh dilawati setiap hari dari jam 8.00 pagi hingga 8.00 malam dan bayaran masuk adalah percuma. Disebelah rumah ini dibina café untuk melepaskan dahaga sambil berehat menikmati keindahan rumah ini.

           

Memandangkan hujan mula turun pada sebelah petangnya, kami terpaksa mengambil keputusan balik ke hotel walau masih banyak lagi tempat yang perlu dilawati .

Bersambung …..


Pautan Kembara Berkaitan
1. Koh Samui: Day 01 – Singgahan di Nakhon
2. Koh Samui: Day 02 – Selamat Datang Ke Koh Samui
3. Koh Samui: Day 03 – Terpukau di Ang Thong
4. Koh Samui: Day 04 – Unseen Khanom
5. Koh Samui: Day 05 – Nyaman Di Nakhon
6. Koh Samui: Day 06 – Pesona di Pak Pra
7. Koh Samui: Day 07 – Singkapan Sejarah Songkhla

1 comment: