Tarikh : 29 Jun 2018 Misi : Overland Thailand: Koh Samui: (24 – 30 Jun 2018) Laluan : Pak Phra – Pak Phayun – Songkhla Jarak : 120 km Coordinate:
Pak Pra terletak di dalam daerah Khuan Khanun, Phattalung. Sungai Pak Pra mengalir masuk ke tasik Songkhla dan menjadi tarikan para penggemar fotografi kerana keindahan pemandangan muaranya dan cantiknya lautan teratai di Thale Noi. Aku pernah ke sini dengan bertouring basikal dan bersama keluarga beberapa tahun lalu, namun kunjungan kali ini sedikit berbeza dari segi orientasi, pemandangan dan subjeknya.
Menginap di Sri Pak Pra
Sri Pak Pra Resort(N7.72979° E100.14663°) adalah resort yang terletak di muara sungai Pak Pra. Lokasinya ditepi Lagoon dan mengadap Tasik Songkhla menyajikan panorama indah dari beranda dan restorannya. Sebuah tempat yang tenteram dengan suasana alam semulajadi paya. Resortnya dibina dari kayu dan bambu dan berbumbung nipah(???), luarannya ala tradisional tetapi mewah di dalamnya. Kami check-in disini kelmarin untuk berehat sebagai ‘masa pemulihan’. Menikmati sepenuhnya suasana. Walaupun bayaran penginapan sedikit mahal dari lain-lain penginapan sepanjang perjalanan kami, namun nilai yang dibayar itu berbaloi dengan servis yang diperolehi.
Biliknya mewah dan agak luas (42sqm) dengan katil saiz queen ditambah sofa besar ditepinya, berhawa dingin, ada mandian air panas, TV, minibar, IDD telefon, pemanas air (hot water kettle lengkap ovaltine dan 3+1 coffee), 2 botol mineral water,hair dryer dan yang penting free Wifi. Kebanyakan resort/bilik disambungkan dengan titian kayu merentasi paya di bawahnya. Resort yang kami sewa berharga THB1,500 + breakfast manakala 5 lagi resort yang balkoninya mengadap terus ke tasik/lagooon berharga THB2,000. Harga yang ditawarkan adalah untuk 2 orang dan extra bed dicaj sebanyak THB700.
Restoran Sri Pak Pra
Restorannya juga menjadi tarikan pengunjung dan dikatakan antara yang terkenal di Khuan Khanun. Ia adalah restoran terbuka dan berbumbung dan terdapat 2 geladak yang dibina diatas sungai. Malamnya ia ramai dikunjungi oleh penduduk sekitar dan luar untuk menikmati makanan authentic thai (fresh dari tasik) dan western style. Hiasan dan penampilan dengan sinaran lampu mewujudkan suasana romantis di sini terutama ketika matahari hampir terbenam.
Sri Pak Pra (kiri) dan Pak Pra Lagoon (kanan) yang kini berana di bawah satu pengurusan
Mulai 1 Julai Sri Pak Pra Lagoon dan Pak Pra Lagoon digabungkan dibawah satu pengurusan dan diberi nama Sripakpra Andacura Boutique Resort Phatthalung. Pengurusannya dibawah Andacura, sebuah syarikat perhotelan terkemuka yang mempunyai banyak cawangan diserata Thailand. Ia dibawah pengurusan Mr. Klaus R. Rauter yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang perhotelan selama lebih dari 30 tahun.
Damai di Thale Noi
Golden hour/magic moment di muara
Kami telah membuat tempahan boat trip di Lobi dengan harga THB1,200. Jam 5:20am sudah keluar dan pekerja hotel terus membawa kami ke jeti dimana bot sudah siap menanti. Kami memulakan perjalanan ke muara sungai Pak Pra untuk melihat Tangkul gergasi yang dikenali sebagai Yor oleh penduduk tempatan. Tangkoi ini ini diperbuat dari buluh dan kayu disamping jaring yang diguna untuk menangkap ikan secara tradisional. Ia telah diguna sejak turun temurun lagi. Yor memang popular di tasik Songkhla namun di muara Pak Pra ia menjadi tarikan pelancong kerana terdapat beratus tangkoi yang mewujudkan satu pemandangan yang unik dan cantik. Arus sungai yang perlahan menyebabkan penggunaan Yor sangat efektif. Dengan berlatarkan matahari yang sedang terbit, disinar cahaya kekuningan mewujudkan satu pemandangan yang memukau lagi mengasyikkan.
Tanaman padi di tebing tasik, rasanya tanaman ini dibuat setahun sekali
Kemudian kami ke hujung arah selatan lagoon untuk melihat penanaman padi di tepi tasik. Memang unik penanaman disini kerana tidak banyak kawasan yang boleh ditanam padi disebabkan keadaan air yang turun naik boleh mempengaruhi kesuburan padi.
Bot kami menghala ke utara pula menuju Thale Noi, sebelum itu kami menelusuri tebing tasik yang sememangnya amat berbeza dengan kunjungan kami dahulu. Kami dapat melihat rumah renjer yang ditinggalkan. Kemudian kami melintasi jambatan biru kuning yang dikenali sebagai Thanon Chaloem Phra Kiat 80 Phansa atau Ekachai bridge iaitu sebatang jambatan jalan (road bridge) yang menghubungkan, Phatthalung (Khuan Khanun District) dengan Songkhla(Ranot District). Jambatan ini sepanjang ± 6.5 kilometer melintasi terusan Ban Klang (ia menghubungkan Thale Noi dengan Thale Luang).
Kami memasuki Thale Noi seluas 457km² yang merupakan non-hunting wetland. Yaa… ini kali ke 3 aku mejelajah ke sini. Kalau dulu aku tidak dapat menyaksikan panorama lautan teratai seperti hari ini kerana bukan musimnya. Thale Noi merupakan tapak Ramsar pertama yang diiktiraf di Thailand. Tasik ini menjadi kediaman kepada 287 spesis unggas, 57 spesis mamalia, 40 spesis ikan air tawar dan pelbagai spesis tumbuhan. Sepanjang perjalanan kami dapat menyaksikan lautan bunga teratai, sambil burung-burung celapak berterbangan bila mendengar bunyi bot kami mendekati. Kelihatan kerbau-kerbau (water buffalo) sedang meragut rumput dipulau yang dikhaskan oleh pemiliknya. Waduh memang indah dan damai disaji terus dengan pemandangan semulajadi.
Kami balik semula ke resort melalui laluan yang berbeza, menelusuri sungai kecil Khlong Yuan ke Pak Pra canal sejauh 3.5km. Sampai kembali ke Pak Pra Resort pada jam 9:45 pagi dan terus mengadap sarapan yang mewah(bukan layan diri). Aku cuma makan moi kosong, telur separuh masak, roti, salad dan buah-buahan disamping minuman buah-buahan dan kopi, sosej aku tak berani makan walaupun chef maklum bahawa makanan ini adalah halal. Selepas sarapan kami balik dan berehat di resort sebelum check out dari hotel pada jam 12:00 tgh.
Perjalanan dari Pak Pra ke Songkhla melalui Pak Phayun
Lampam Floating Market dibuka pada hari Sabtu dan Ahad dari jam 10.00 am – 8.00pm
Di Phattung Beach
Menikmati makan tengahari berupa laksa sup + somtam seafood di Pak Phayun
Kami meninggalkan Pak Pra menuju Songkhla dengan kenangan yang penuh memori. Menelusuri jalan di tepian tasik Songkhla, singgah melepas lelah menikmati indah pantai pasir halus di Phathong beach(N7.50546° E100.19634°). Berhenti menikmati makan tengahari di Pak Phayun(N7.35288° E100.32675°).(Ia sebuah pekan kecil yang biasa sahaja, namun aku suka persekitarannya). Sebuah perkampungan nelayan yang majoritinya penduduk adalah muslim. Kami meneruskan perjalanan lagi 57km ke Songkhla untuk bermalam di LakeInn Hotel (N7.50546° E100.19634°). Hotel yang sering menjadi pilihanku kalau berada di Songkhla kerana ia dekat dengan kawasan muslim dan mudah mencari makanan halal lagipun ia terletak di Old Town Songkhla yang akan menjadi misi kami esok pagi.
No comments:
Post a Comment