Tarikh : 25 Jun 2018
Misi : Overland Thailand: Koh Samui: (24 – 30 Jun 2018)
Laluan : Nakhon Si Thammarat – Khanom – Don Sak – Koh Samui
Jarak : 204 km
Coordinate: N9.53634° E99.93479°
Jam 6:30 pagi (waktu Thailand) kami bertolak keluar dari Passion Hotel untuk mencari sarapan di jalan menuju Tha Sala. Tiada masalah mencari makanan halal di sini kerana ramai muslim di daerah ini.
Tasik Hijau
Selepas sarapan kami menuju ke Khanom dan singgah di sebuah tasik/kuari tinggalan yang digelar Grand Canyon Khanom ( N9.26219° E99.76381°). Ia terletak di Khuan Thong, Khanom District, Nakhon Si Thammarat 80210, Thailand.
Tidak sukar untuk mencarinya kerana ia terletak di sebelah kiri jalan dari Nakhon ke Don Sak (4142 rural road). Lagipun ada ‘signboard’ jelas dibahu jalan. Tidak pasti samada dikenakan bayaran masuk, kami letak motosikal di sebuah pondok dan berjalan turun ke tasik. Kelihatan berkawan-kawan ikan sedang berenang sambil bermain-main di dalam tasik yang jernih dan menghijau ini. Ditengah tasik ada bonjolan tanah/batu. Persekitaran agak sunyi dan pagi ini hanya kami berdua disini.
Urutan Manja Ikan
Lepas bergambar kami meneruskan perjalanan. Terpandang satu papan tanda lalu masuk menelusuri jalan tanah merah sejauh ± 400 metar. Disini terdapat lokasi popular baru untuk beriadah sambil diurut geli oleh Dr. Fish. Ya… SPA ikan dari persekitaran yang semulajadi. Aku rasa nama tempat ini ialah Suan Saran Garden (N9.26675° E99.76397°). Ada beberapa lagi lokasi SPA ikan seperti ini dikawasan berdekatan.
Sungai yang sama mengalir dari Cho waterfall maka semestinya airnya jernih dan dipenuhi dengan pelbagai ikan. Sungai ini mengalir dibawah pohon yang rendang dan melalui di celah banir pokok yang tumbuh di kiri, kanan dan tengah sungai. Pelantar kayu dibina ditebing sungai dan dicelah banir bagi mewujudkan satu suasana yang menarik kepada pengunjung.
Hulurkan kaki anda ke dalam air dan sebentar lagi kaki anda akan dikerumuni oleh puluhan ikan (Garra Rufa @ Doctor fish) yang akan mengigit manja seolah mengurut kaki. Pastinya geli tetapi biarkanlah sahaja kerana ia hanya akan memakan daki dan kulit mati di kaki.
Di kawasan ini juga ada tersedia gerai makanan (ada makanan halal). Ianya dibuka dari jam 8.00 pagi – 6.00 petang setiap hari dan bayaran masuk THB20 seorang. Biasanya ramai pengunjung pada sebelah petang tapi Alhamdulillah … hanya kami berdua disini, maka dapatlah menikmati privasi sepuasnya tetapi kami tidak boleh lama kerana ingin mengejar feri ke Koh Samui.
Pulau Kecil Dihujung Tanjung
Sebelum menaiki feri kami ke hujung tanjung untuk ke sebuah pulau kecil iaitu Ban Koh Rat (N9.32968° E99.70337°). Pulau ini dianggarkan (dari peta garmin) selebar 200m dan sepanjang 350m. Aku mendapat maklumat bahawa terdapat jambatan kayu yang panjang menghubungkan pulau ini dengan tanah besar. Tetapi kini jambatan itu telah digantikan dengan jambatan batu sepanjang ±700 meter. Jambatan ini diberi nama ‘Chaloem Sirirat Bridge’. Ia dibuka secara rasmi pada 13 Julai 2010 dan dirasmikan oleh puteri raja, Her Royal Highness Princess Chulabhorn Mahidol.
Pulau ini didiami oleh penduduk etnik cina yang kebanyakkannya adalah nelayan. Terdapat kurang dari 100 buah rumah di pulau ini. Terdapat jalan batu sejauh ±900 meter yang dibina mengelilingi pulau. Kami menelusuri jalan ini dan melalui celah perkampungan sambil disambut dengan senyuman mesra dari penduduknya. Terdapat formasi batuan/karang di bahagian Timur Laut hingga Utara pulau. Di Bahagian utaranya ada viewpoint (sebuah pondok) yang digunakan oleh pelancong untuk melihat matahari terbit dan terbenam disamping dapat melihat panorama indah lautan. Terlihat disana Koh Samui dan beberapa gugusan pulau berhampiran.
Ada beberapa buah chalet di atas pulau ini. Selain menyediakan penginapan mereka juga menawarkan perkhidmatan bot untuk melihat dolphin di kawasan berhampiran. Uniknya ada telaga air tawar di dalam laut. Kononnya seorang sami terkenal telah menyentuh kakinya ke dalam laut lalu air masin bertukar menjadi air tawar di kawasan itu.
Feri Ke Koh Samui
Kemudian kami bergegas balik ke daratan dan singgah seketika di Hug Village yang menjadi antara tarikan terbaru di Don Sak. Ia seperti dunia Belanda di Thailand. Selain menyedia penginapan ia juga menjadi tempat eco pelancongan dengan binatang ternakan seperti kambing, kuda ,lembu dan lain-lain lagi. Bayaran masuk ialah THB200 (dewasa) dan THB120 (kanak-kanak). Sempat berbual dengan penjaga tiket seorang muslim yang boleh bertutur bahasa melayu. Kami tidak masuk dan hanya bergambar dipintu masuk kerana ingin mengejar feri.
Kami sempat menaiki feri pada jam 11.00 pagi dari Jeti Seatran (N9.32117° E99.73530°). Kami dikenakan tiket sebanyak THB330 (THB190 + THB140). Ringkasan kadar tiket seperti berikut:-
1 | Passenger per pax | 140.00 |
2 | Children with a height exceeding 100 cm. but not exceeding 120 cms. | 70.00 |
2 | Bicycle and Motorcycle with rider | 190.00 |
4 | Big bike with rider | 240.00 |
5 | Trailer motorcycle with rider | 240.00 |
6 | 3-wheel Car,4-wheel Car, Van or Pick-up with driver | 450.00 |
Semua penumpang perlu turun dan naik secara berasingan ke dalam feri. Feri ini memang selesa dan tersedia banyak tempat duduk/kerusi di ruang terbuka dan yang berhawa dingin. Ada kantin yang menjual makanan ringan dan minuman. Air panas percuma tersedia untuk penumpang membancuh air (3-in-one) atau memasak mee yang dijual di kantin. Secara sembunyi aku mengeluar maggie dan Indo coffee dari bag (Syyy … ambil kesempatan dari kemudahan yang tersedia)
Perjalanan dari Jeti Donsak ke jeti Nathon (sejauh ± 15 batu laut nautika atau 25.5 kilometer) mengambil masa ± 1 jam 30 minit. Aku mengambil kesempatan ini untuk berehat sambil lelap seketika di kawasan berhawa dingin sambil mengecaj telefon bimbitku.
Kampung Melayu di Koh Samui
Koh Samui terletak di Teluk Siam dan adalah pulau yang kedua terbesar di Thailand selepas Phuket. Berkeluasan 228.7 km2 dan dengan status perbandaran (locally self-governing) maka tidak hairanlah sektor pelancungan telah melonjak namanya dan telah memberi kesan kepada pembangunan yang pesat di pulau ini.( rasa macam dok Langkawi pulak)
Sesampai di Koh Samui, kami menghala ke bahagian Tenggara Koh Samui untuk mencari sebuah perkampungan melayu berhampiran Hua Thanon. Kami menuju ke Melayu Samui Seafood & Resort (N9.43927° E100.02193°) untuk menikmati makan tengahari. Berehat seketika selepas menikmati hidangan tengahari yang enak sambil mencari-cari nama hotel yang bakal kami tempah.
Kemudian kami singgah seketika di Masjid Nurulihsan @ Koh Samui Central Mosque (N9.44002° E100.02230°). Dikawasan ini ramai komuniti islam, jadi tidak ada masalah untuk mencari makanan halal dan kebanyakan penduduknya boleh bertutur bahasa melayu. Masjid ini menjadi pusat pertemuan masyarakat islam di Koh Samui dan dihadapannya ada sekolah agama.
Bermalam Di Chaweng
Kami mengambil keputusan untuk menginap di Chaweng kerana ia adalah pekan yang terbesar di Koh Samui dan ‘happening’ lagipun mudah untuk mendapatkan makanan halal. Kami meronda sekitar jalan dan singgah bertanya beberapa hotel yang bersesuaian dan yang penting murah & selesa (nak tidoq ja ….). Akhirnya kami menginap di Fanta Hostel (N9.51944° E100.05661°) berdekatan Verticolor. Sewaan sebanyak THB500 sahaja. Penginapan yang sederhana dengan bilik yang agak luas tetapi style lama, ada air panas dan beraircond. Hostel ini boleh dikatakan berada dalam kawasan pesat dan mudah untuk akses kepada makanan halal.
Batu Bertindan
Selepas selesaikan urusan ‘wajib’, kami keluar semula untuk meneroka beberapa tempat sekitar Lamai dan Chaweng. Kami menuju ke satu view point menarik iaitu Overlap Stone (N9.46027° E100.02969°) yang terletak berhampiran Lamai Beach
Untuk kesana perlu melalui sebatang jalan bersimen yang curam sejauh ± 1km. Kami meletak motosikal disebuah kawasan yang dikhaskan dan berjalan sejauh ± 250 meter melalui kawasan kebun kelapa dan melewati sebuah rumah penduduk. Berhampiran rumah ini ada sebatang jambatan yang menghubung ke batu ini. Tidak ada bayaran masuk dikenakan cuma terdapat kotak derma di permulaan jambatan.
Overlap stone ini berada pada ketinggian 160 meter dari aras laut. Ia setinggi 10 meter dan bersusun di atas sebuah batu lain.Dari sini dapat menikmati pemandangan indah Lamai beach dan kawasan sekitar. Selepas selesai bergambar dan menikmati pemandangan, kami berjalan turun dan ke satu lagi view point yang cantik berdekatan tempat letak motosikal.
Perlu berhati-hati semasa penurunan terutama jika hujan kerana jalan yang curam dan licin.
Formasi Batuan di Pantai Lamai
Kemudian kami ke Hin Ta & Hin Yai (N9.45232° E100.03953°). Formasi batuan unik hasil dari tindakbalas alam. Formasi batuan ini hampir menyerupai alat kelamin lelaki dan perempuan, oleh itu ia dikenali sebagai Grandpa (Ta) & Granma (Yai). Ia kini menjadi tarikan pelancong jika datang ke Koh Samui.
Hin Ta
Hin Yai
View point berdekatan Lamai Beach
Tidak sukar untuk kesini kerana ada papantanda yang jelas dan bayaran masuk ‘macam’ percuma. Disamping itu ada banyak batuan menarik yang boleh dijadikan subjek untuk berfoto.
Kemudian kami menuju ke Lad Koh Viewpoint (N9.49832° E100.06000°) atau dikenali juga sebagai "Zenith Viewpoint". Titikpandang terbaik untuk melihat panorama lautan. Terletak ditengah-tengah antara Chaweng Beach dan Lamai Beach. Ada laluan dibina untuk turun ke pantai sambil dapat melihat formasi batuan tua yang bagaikan dikelar. Kelihatan penduduk tempatan beristirehat bersama keluarga dan ada yang memancing ditebing batu.
Selepas itu kami mencari kedai makan muslim iaitu Faria Halal Food (N9.51455° E100.05052°) yang jaraknya cuma 2.4km sahaja dari hostel kami. Ia terletak berhadapan Bangkok Hospital. Chaweng.
Sebelum ke Koh Samui, kami dinasihatkan oleh sahabat untuk mendapatkan perkhidmatan feri ke Ang Thong Marine Park melalui mereka kerana mereka menyediakan makanan halal. Kami booking tempat untuk program keesokan hari. Bayaran dikenakan sebanyak THB 1,600 seorang.
Sebenarnya ada lagi perkhidmatan yang lebih murah dari tour ejen lain (kena rajin cari) bahkan dapat naik speed boat lagi dan kita boleh request halal food atau bawa bekal sendiri.
Malamnya kami ronda sekitar Chaweng sambil menikmati roti (pan cake) yang kebanyakan diusahakan oleh pelarian Rohingya (UNHCR) yang beragama islam
Bersambung …..
Pautan Kembara Berkaitan
1. Koh Samui: Day 01 – Singgahan di Nakhon
2. Koh Samui: Day 02 – Selamat Datang Ke Koh Samui
3. Koh Samui: Day 03 – Terpukau di Ang Thong
4. Koh Samui: Day 04 – Unseen Khanom
5. Koh Samui: Day 05 – Nyaman Di Nakhon
6. Koh Samui: Day 06 – Pesona di Pak Pra
7. Koh Samui: Day 07 – Singkapan Sejarah Songkhla
No comments:
Post a Comment