Monday, August 13, 2018

Koh Samui: Day 07 – Singkapan Sejarah Songkhla

Tarikh       : 30 Jun 2018
Misi          : Overland Thailand: Koh Samui: (24 – 30 Jun 2018)
Laluan      : Songkhla – Danok – Titi Gajah
Jarak        : 139 km
Coordinate:
 


Songkhla atau satu ketika dahulu dikenali sebagai Singgora (sebuah kerajaan Melayu Islam) Di masa tersebut Singgora adalah sebuah bandar yang makmur. Peninggalan artifak berupa kubu dan kota adalah bukti kehebatan tamadunnya dan menjadi sebahagian tarikan pelancong dan sejarah untuk dikenang dan diambil iktibar.

Contengan Dinding Di Jalanan


Songkhla Old Town dihuni oleh ethnik cina dan perkembangan Songkhla sebagai pelabuhan utama banyak  mempengaruhi senibina bangunannya iaitu rumah kedai. Rumah kedai ala china dan sino-eropah  dibina dalam tahun 1836 dan hampir menyerupai senibina di Pulau Pinang, Melaka dan di Old Town Phuket. Bagi menghidupkan kembali suasana disekitar pekan lama ini, maka dinding-dinding bangunan yang lama di beri nafas baru. Mural berkaitan kehidupan di Songkhla dicoretkan di dinding yang bersesuaian di lorong-lorong sepanjang Nakhon Nok road dan Nakhon Nai Road. Mural ini telah merubah suasana dan berjaya menarik pelancong untuk mengunjungi kawasan ini.

Jam 6.00 pagi kami sudah keluar ke jalanan. Kami bermula dari Saksiphitak Jetty (N7.19398° E100.58941°). Ada peta yang menunjukkan lokasi setiap mural ini. Terdapat lebih dari 10 mural di beberapa lokasi/dinding jalanan. Kami menelusi setiap lorong berdasarkan peta sambil bergambar. Untuk mendapat gambar yang lebih privasi tanpa gangguan, eloklah keluar pada awal pagi.

Berdekatan Saksiphitak Jetty

Di dinding area Yala Road

area Raman Road

area Raman Road

Hub Hoe Hin, ada gudang beras yang terkenal dengan warna merahnya (warna asal). Terletak pada lokasi strategik di pelabuhan. Dahulu tenaga manusia diguna untuk mengangkut/memunggah beras dari kapal. Kemudian pemilik gudang menggunakan kren berkuasa stim dari England. Kini kren tersebut digunakan di pelabuhan untuk bot ikan

Berdekatan Syburi Road

Selepas selesai menelusi setiap lorong kami mencari kedai makan untuk bersarapan. Di kawasan ini tidak ada masalah untuk mendapat makanan halal. Kawasan selatan pekan lama ini didiami oleh komuniti muslim. Ia  dipanggil ‘Ban-Bon District’. Sepanjang Phatthalung road menjadi kediaman masyarakat muslim. Di tengah kediaman muslim ini terdapat sebuah masjid iaitu Masjid Asasul Islam’ (N7.19308° E100.59069°) yang dibina dalam tahun 1850.

Menyingkap Sejarah 

Jam 8:30 pagi, kami check out hotel dan menuju ke Chana road untuk melihat Songkhla City Wall (N7.20203° E100.58979°). Walaupun sudah beberapa kali ke sini namun aku ingin menyingkap lagi sejarah kota ini. Kota ini bukanlah kota tinggalan kerajaan Singgora. Ia dibina dalam tahun 1836 dan siap dalam tahun 1842. Asalnya ia adalah benteng dan dibina bersegi empat dengan mempunyai 10 pintu, 8 menara meriam dan setinggi 7 meter. Gaya pembuatannya lebih kepada ala China dan bahan binaannya adalah dari batu merah yang dibawa dari bukit berdekatan Singgora (kota terawal).  Sayangnya sebahagian dari kubu ini telah dirobohkan untuk pembesaran jalan dan kini hanya tinggal 2 Bahagian dinding yang terletak berhadapan dengan Songkhla National Muzium.

Rumah Kelahiran PM

Kemudian kami ke Phathammarong Museum atau Tinsulanonda Family House (N7.20214° E100.59056°). Ia hanya 80 meter dari City Wall. Terletak di tepi jalan Chana Road, selepas lampu isyarat. Ia adalah rumah kelahiran General  Prem Tinsulanonda, bekas PM Thailand ke 16.

Pada masa itu ia menjadi kediaman bapanya , Khun Winunit Sutthanon, seorang warden penjara di Songkhla. Muzium ini dibina oleh Jabatan Penjara . Kerja pembinaan rumah ini dilakukan oleh Jabatan Penjara dan bermula pada 25 Ogos 1987 dengan perbelanjaan sebanyak THB736,039.26. Ia dibuka secara rasmi pada 4 September 1989.

Ia adalah sebuah rumah kayu setingkat, dengan berbumbung bertingkat bagi memboleh peredaran udara  yang menyamankan bilik di dalam rumah. Terdapat katil dan kerusi malas dipamir dibilik tidur, dapur dengan peralatan memasak lama, bilik yang mempamir koleksi senjata lama seperti pedang, parang dan senapang. Perabot antik yang sezaman dan pastinya nostalgia terasa bila berada di dalam rumah ini.

Ia dibuka dari jam 8:30 pagi hingga 4:00 petang pada setiap hari kecuali  hari Isnin dan cuti kelepasan am. Bayaran masuk adalah PECUMA

Kota Singgora dan Makam diRajanya

Singgora asalnya dibuka oleh seorang saudagar Parsi bernama Datuk Muzaffar dari Jawa Tengah (ada yang menyebut Datuk Monggol) pada tahun 1603 M dan mendirikan kerajaan Singgora Darussalam (Hua Khoa Deng). Apabila Sultan Muzaffar Syah mangkat pada tahun 1618, baginda diganti oleh putranya,  Sultan Sulaiman Syah yang meneruskan usaha ayahandanya bahkan semakin makmur. Bagi menjaga pertahanan Singgora, beliau telah membina tembok /kubu/kota yang strategik dan bedil yang hebat (salah satu bedil kini berada di England). Sebelum ini Sultan memberi penghormatan kepada Kerajaan Siam dengan membayar ufti tetapi apabila Sultan Sulaiman Shah mengistiharkan kemerdekaan, hubungan Singgora dengan Ayuthaya menjadi tegang dan mewujudkan konflik. Kerajaan Singgora di serang beberapa kali sepanjang pemerintahan Sultan Sulaiman Syah namun tidak berjaya menawannya. Setelah Sultan Sulaiman mangkat dalam tahun 1668 barulah Siam dapat menaklukinya pada tahun 1687 M.

        

Kami melawat ke sebuah kubu yang dikenali sebagai Fortress Of Singgora  No. 8 (N7.22237° E100.57421°). Ia terletak di atas bukit setinggi ± 40 meter. Perlu mendaki anak tangga untuk sampai ke sini. Kedudukannya amat strategik dan sesuai sebagai menara pandang dan seterusnya dapat mengawasi kapal yang keluar masuk dari Teluk Siam ke Songkhla Lake.

   

Selepas itu kami ke Fort No. 1 (N7.22591° E100.56393°) yang terletak tidak jauh dari Kota No. 8. Kini hanya tinggal tembok sahaja. Tembok ini kelihatan seperti berwarna merah dan katanya ia dibina dari bukit dari sini dan seterusnya ke kota/kubu kecil Fort No. 9 (N7.21939° E100.55677°). 

Antara kubu/kota yang ku daki

di Fort No. 5 (menghadap ke daratan)

Fort No. 6

Fort No. 18 (puncak). 2 buah pagoda dibina dalam tahun 1830 bagi memperingati kekalahan pemberontakan Kedah/Patani

Sebenarnya sengaja aku melawat kembali lokasi ini bagi memberi semangat menyiasat lebih lanjut lokasi kota Singgora di kaki bukit merah ini. Insyaallah aku akan catat semula setelah aku menghimpun semula cerita dan lokasi yang aku jelajahi dahulu dan akan datang. Aku kini sedang menghimpun maklumat dan koordinat kesemua 19 lokasi kota Singgora ini

Dihadapan Bangunan yang menempatkan makam Sultan Sulaiman Shah

Makam Sultan Sulaiaman - Pemandangan di dalam bangunan

Makam Datuk Mongol, Ayahanda Sultan Sulaiman Shah

Kami mengunjungi  makam Sultan Sulaiman Shah (N7.23459° E100.55658°).  Makamnya ditempatkan di dalam sebuah bangunan khas yang berbumbung dengan atap ala Singgora. Manakala makam Datuk Mongol (ayahanda baginda) bersemadi dibelakang bangunan ini. Makam ini sering dikunjungi oleh masyarakat tempatan. Cuma aku musykil berkaitan foto yang katanya adalah gambar Sultan Sulaiman Shah (hmmm... kamera tercipta pada hujung abad ke 19 dan mula diguna sekitar awal abad ke 20 sedangkan Sultan Sulaiman mangkat pada hujung abad ke 17)

Antara chalet terapong di Soi 5 Rom Yen: Dalam perjalanan pulang, kami mengelilingi Koh Yo


Pautan Kembara Berkaitan
1. Koh Samui: Day 01 – Singgahan di Nakhon
2. Koh Samui: Day 02 – Selamat Datang Ke Koh Samui
3. Koh Samui: Day 03 – Terpukau di Ang Thong
4. Koh Samui: Day 04 – Unseen Khanom
5. Koh Samui: Day 05 – Nyaman Di Nakhon
6. Koh Samui: Day 06 – Pesona di Pak Pra
7. Koh Samui: Day 07 – Singkapan Sejarah Songkhla

3 comments:

  1. Terima kasih share banyak info, banyak bantu saya untuk susun itinerary kembara berbasikal.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sama-sama.
      Semoga selamat dan dipermudahkan kembara anda

      Delete