Tarikh : 28 April 2018
Misi : Jelajah Pulau Bidan, Pulau Telor dan Pulau Songsong
Max Elev. :
Coordinate: N5.81382° E100.37045°
Lokasi : Jeti Kuala Sungai Udang, Yan, Kedah, Malaysia
Gugusan pulau ini berada di perairan daerah Yan. Ia melipiti 4 buah pulau iaitu Pulau Bunting, Pulau Bidan, Pulau Telor dan Pulau Songsong. Pulau-pulau ini tidak berpenghuni dan memiliki khazanah lautan yang menarik seperti terumbu karang, ikan yang berwarna warni, flora dan fauna serta pantai yang memutih ditambah dengan pemandangan yang menakjubkan.
Sebelum ke sana aku ‘recce’ dahulu daerah Yan untuk menentu lokasi jeti yang sesuai, mencari pemilik bot yang boleh membawa kami ke sana dan harganya. Setelah menetapkan tarikh yang sesuai maka aku hubungi saudara Amirul Naim (Tel:014-2515 957) memaklumkan mengenai kehadiran kami sekeluarga pada jam 9.00 pagi untuk meneroka 3 buah pulau. (Kebetulan hari ini, hari penamaan calon PRU14 jadi tidak ramai pengunjung yang akan ke pulau-pulau ini.)
Aku memilih Kuala Sungai Udang, Yan (N5.81382° E100.37045°) kerana lebih dekat perjalanan ke pulau. Aku parkir kereta di masjid berhampiran dan naik bot dari jeti LKIM. Bot fiber berenjin Yamaha yang boleh memuat 10 penumpang dipacu laju ke Pulau Bidan sejauh 13.5 km dan mengambil masa ± 24 minit. (kos sebuah bot ialah RM400.00 untuk mengunjungi 3 pulau tersebut)
Pantai dipulau Bidan
Pulau Bidan (N5.74413° E100.28865°) seluas ±72 ekar adalah pulau yang sepi kerana tiada penduduk. Ianya digunakan oleh nelayan sebagai perlindungan dari hujan ribut. Mempunyai pantai bersih yang cantik dengan air laut jernih yang menghijau. Banyak unggas menjadikan pulau sebagai habitat. Namun yang menjengkelkan bila ada aktiviti mengambil pasir di kawasan ini sejak tahun 2015 dan sudah pasti ekosistemnya terjejas. Pihak APMM pernah merampas kapal korek dan menahan beberapa orang pada awal tahun 2016 lalu.
Suatu ketika dahulu Pulau Bidan mempunyai sebuah makam seorang ulama tersohor iaitu Syeikh Abdur Rasyid al-Fathani yang katanya adalah saudara kandung kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Makamnya juga dikenali sebagai keramat Pulau Bidan dan menjadi menjadi tempat pemujaan individu tertentu bagi memohon hajat. Bagi mengelak kegiatan ini berterusan, Pejabat Agama Daerah Yan telah memindahkan makam ini ke tanah daratan di lokasi yang dirahsiakan.
Kemudian kami mendekati Pulau Telur(N5.77062° E100.28573°) tetapi tidak mendarat ke pantai. Pulau Telor adalah pulau paling kecil digugusan kepulauan Yan. Ia berkeluasan ± 11.9 ekar dengan ketinggian pulau ini adalah 68 meter serta jaraknya dari Pulau Bidan ± 1.7 km. Ia adalah tempat persinggahan penyu bertelor terutama bulan Februari hingga Mei.
Kemudian kami ke Pulau Songsong(N5.81043° E100.29697°) yang kini sedang viral. Kami ditinggalkan dipantai dan berjanji dengan pemandu bot untuk menjemput kami pulang ±jam 2.00 petang. Kami menurunkan bekalan makanan dan alatan snorkling(bawa sendiri) untuk beriadah disini.
Kami bawa peralatan snorkling sendiri: atau perlu sewa dari pengusaha bot RM10/unit (kena tempah dahulu)
Pulau Songsong berkeluasan ± 62 ekar dengan ketinggian 118 meter. Jarak Pulau Songsong dari Kuala Sungai Udang ± 8 km. Di utaranya ialah Pulau Bunting. Pulau Songsong mempunyai pantai yang sebahagian besarnya terdiri dari batu berwarna merah yang menutupi sebahagian besar kawasan pantai. Terdapat hamparan pantai disebelah Tenggara pulau ini. Ia menjadi tempat pengunjung untuk berkhemah kerana disini tersedia kemudahan asas seperti bekalan air, surau dan tandas. Terdapat juga telaga disini namun ianya menjadi hampir kering.
Telaga yang ada di Pulau Songsong
Surau di Pulau Songsong
Sebelum tahun 2008 para nelayan dan orang ramai tidak dibenarkan mengunjungi perairan Pulau Songsong kerana ia menjadi lokasi latihan menembak peluru berpandu oleh pesawat pejuang Tentera Udara Australia dan TUDM(???). Tentera Udara Australia mengambil alih pulau tersebut daripada Tentera British sejak 1940-an dan menjadikan pulau tersebut sebagai lokasi ujian menembak peluru. Selepas perjanjian dengan kerajaan Malaysia tamat, pulau ini diserahkan kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Kementerian Pertahanan. Kini Pulau ini telah dibuka untuk kunjungan orang ramai tanpa sebarang halangan. Namun apa yang menghampakan adalah sikap pengunjung yang masih lagi membuang sampah merata-rata. Keadaan ini menyebabkan kecantikannya tercemar.
Batuan unik berwrna merah
Aku berharap pihak berkuasa dapat memelihara dan mengurus habitat semulajadi flora, fauna dan ekosisitem kawasan pulau serta pantai bagi menjamin kesinambungan keunikan bio diversitinya. Flora di hutan mempunyai kepentingan tersendiri dalam memastikan ekosistem terpelihara dan mengurangkan hakisan. Fauna seperti burung, hidupan marin termasuk penyu dan terumbu batu karang perlu dilindungi bagi mengekalkan habitat dan pembiakan. Ia perlu dipulihara untuk kepentingan generasi kini dan akan datang. Perlu kawalan kepada aktiviti seperti memungut atau memiliki karang, mengorek pasir atau batu kelikir, membuang apa-apa pencemaran, mengubah atau memusnah tapak pembiakan semula jadi dan habitat hidupan akuatik. Semuanya bagi menjamin kelastarian dan keindahan pulau terus terpelihara.
Pulau Songsong: Pandangan dari udara dan kawasanpantai yang terdapat di tenggara pulau
No comments:
Post a Comment