Wednesday, October 31, 2018

Boriphat waterfall

Tarikh       : 20 Oktober 2018
Misi          :  Day 02 - Menelusuri Tasik Songkhla
Lokasi       : Khao Phra, Rattaphum District, Songkhla 90180, Thailand
Jarak        :
Coordinate: N6.99529° E100.15048°
Maps Link  : https://goo.gl/maps/hTKRokH3Wpu

 

Bersambung ….

Dari Tha Chamuang kami menuju ke arah Khuan Don (Satun) dan singgah ke sebuah air terjun yang dikenali sebagai Namtok Boriphat. Ia terletak ± 60 km dari Hadyai atau 40 km ke pos sempadan Wang Klian (25km dari Ladang Anggur Tha Chamuang)

Ia terletak di dalam Ton Nga Chang Wildlife Preserve Area yang menjadi  kawasan tadahan dan sumber air terjun di kawasan selatan ini. Kawasan persekitaran yang sejuk dan sentiasa teduh dinaungi pokok. Ia adalah air terjun yang mempunyai 7 tingkat dan aliran airnya adalah berasal dari kawasan pergunungan Ton Nga Chang. Setiap level air terjun mempunyai kolam yang boleh mandi. Level 1 – 4 mudah diakses, lagipun ada laluan mendaki dibina, tetapi untuk ke level seterusnya, perghh... sedikit mencabar. Kami hanya ke level ke 4 sahaja yang berketinggian 129 meter dari aras laut .

Nama asal air terjun ini ialah Khlong Lam Waterfall. Kemudian diubah kepada Boriphat sebagai menghormati YM Prince Boriphat Sukhumphan (prince Of Nakon Sawan) yang pernah ke sini sekitar tahun 1926 – 1928 dan mencatat namanya ‘Boriphat’ di satu tebing berhampiran air terjun ini. Selepas itu air terjun ini mula dikenali dengan nama Boriphat.

Air terjun ini mudah diakses kerana hanya 800 meter dari Highway 406. Terdapat parkir yang luas, gerai makanan/jualan dan kemudahan asas yang teratur. Yang bestnya tiada bayaran masuk dikenakan. YA PERCUMA.


Pautan Kembara Berkaitan
1. Songkhla: Refleksi Di Pantai Cermin    
2. Songkhla: Menjejaki Makam Ulama Sufi Tersohor
3. Songkhla: Menelusuri Pinggiran Tasik
4. Songkhla: Jambatan Gantung dan Floating Market 
5. Songkhla: Ladang Anggur 
6. Songkhla: Boriphat Waterfall 

Monday, October 29, 2018

Ladang Anggur Di Iklim Tropika

Tarikh       : 20 Oktober 2018
Misi          :  Day 02 - Menelusuri Tasik Songkhla
Lokasi       : Tha Chamuang, Songkhla, Thailand
Jarak        :
Coordinate: N7.13992° E100.21675°  
Maps Link  : https://goo.gl/maps/bxoDP9Lt5AQ2

Lazimnya anggur di tanam di negara yang beriklim sederhana sejuk atau sub-tropika. Tetapi sudah ada variati yang sesuai dengan iklim panas tropika. Anggur pernah di tanam di Beris, Sik tetapi hanya sempat bertahan selama ±10 tahun (???). Di Perlis dan Perak pun ada ladang anggur.

Sebuah ladang anggur di dalam wilayah Songkhla kini mula mendapat perhatian . Ia terletak  ± 40km dari pekan Hadyai. Lokasi tepatnya adalah di Tha Chamuang, Daerah Rattaphum, Songkhla Thailand. Untuk ke sana ikuti Highway 406 ( jalan Hadyai –Satun) dan di pekan Tha Chamuang belok ke arah utara dengan mengikuti ‘Ro Pho Cho Songkhla 3001 road’ sejauh ± 3 km belok ke kanan dan telusuri jalan tanah (batas sungai) sejauh ± 500 meter untuk sampai ke ladang ini.

Menurut pemilik ladang ini, idea tanaman anggur ini bermula apabila harga getah mula jatuh. Bermula dengan tanaman secara kecilan dan kini ia meliputi kawasan seluas 2 rai (0.8 ekar). Pada permulaan tanaman, mereka terpaksa memberi perhatian khas kerana anggur sensitif kepada cuaca dan sering terdedah kepada penyakit. Setelah 2 tahun usaha mereka mula berjaya dan seterusnya menjadikan ladang mereka sebagai destinasi pelancongan. Ladang ini ditanam dengan beberapa variati anggur, ada hijau, hitam dan merah. Ketika musim berbuahnya, ia dibuka setiap hari dari jam 9.00 pagi (waktu Siam) – jam 5:30 petang dan bayaran masuk dikenakan sebanyak THB20.00.

Kami berada disini sekitar 30 minit, bergambar dengan anggur segar yang tergantung. Pengunjung dilarang untuk memetik dan memegang anggur. Terdapat juga jualan  buahan segar dan jus anggur tersedia dipintu masuk.

Ada 3 Variati anggur di tanam di sini

Geram haih … Anggur colour grape bergantungan

Tempat tiket .. ada jualan hasil keluaran anggur seperti air buah dll

Pintu masuk …. Anggur ini di tanam di dalam rumah khas

Empangan … ada sungai jernih berdekatan Tha Chamuang


Pautan Kembara Berkaitan
1. Songkhla: Refleksi Di Pantai Cermin    
2. Songkhla: Menjejaki Makam Ulama Sufi Tersohor
3. Songkhla: Menelusuri Pinggiran Tasik
4. Songkhla: Jambatan Gantung dan Floating Market 
5. Songkhla: Ladang Anggur 
6. Songkhla: Boriphat Waterfall 

Saturday, October 27, 2018

Bang Klam: Floating Market & Jambatan Gantung

Tarikh       : 20 Oktober 2018
Misi          :  Day 02 - Menelusuri Tasik Songkhla
Lokasi       : Bang Klam, Bang Riang dan Tha Luang Bridge, Songkhla, Thailand
Jarak        :
Coordinate: Ada dalam catatan

Bersambung

Dari Khlong U Taphao, kami mengikuti Bang Yi-Laguna Road dan sampai di Khlong Ro, jambatan merintangi sungai ini sedang dibina dan terpaksa mengikuti jalan sementara yang berdebu untuk ke Bang Yi. Di sini ada satu tarikan baru iaitu Bang Klam Floating Market (N7.12545° E100.42881°) yang terletak berhampiran Wat Bang Yi , Songkhla . Ia mula dibuka pada 02 September 2017 yang bertujuan untuk mempromosi eco-tourism di kawasan ini. Waktu operasinya mulai jam 3.00pm setiap JUMAAT & SABTU SAHAJA. Floating market ini menjual makanan tempatan (local desserts), OTOP, buah-buahan, sayuran, souvenir dan lain-lain lagi. Sayuran dari daerah ini adalah bebas toxic kerana mereka mengamalkan pertanian bebas racun. Pengunjung juga boleh menaiki bot yang disediakan dengan bayaran tertentu untuk menelusuri sungai ini melawat cara kehidupan penduduk, budaya dan lain-lain lagi tarikan. Kami sampai disini pada jam 10:30 pagi dan pasti ia masih belum dibuka

Google Maps Link : https://goo.gl/maps/2jE3sKyBoor

Kemudian kami menghala ke timur laut  menuju ke muara Khlong Bang Klam untuk meninjau Homestay Chailay Bang Riang yang terletak di pinggiran Tasik Songkhla. Tidak ada chalet pun, yang ada hanyalah restoran tapi kami sempat bergambar di hujung muara ini , cantik gak ….

Kami berpatah balik ± 11 km untuk ke satu lokasi yang terdapat sebuah jambatan (suspension bridge) yang dikenali sebagai Tha Luang Bridge (N7.08842° E100.42158°) yang kini menjadi antara tarikan di Wilayah Songkhla. Jambatan yang terletak di Amphoe Bang Klam. Ia sepanjang ± 64 meter dan selebar 2 meter merentasi Klong Bang Klam.

Jambatan ini asalnya digunakan oleh penduduk sejak lebih sedekad yang lalu sebagai jalan pintas ke stesyen keretapi Ban Klam yang terletak ±600 meter. Dahulu hanya pejalan kaki dan penunggang basikal dan motosikal boleh menggunakannya. Jambatan ini mula ditanggalkan pada awal tahun dan siap pada penghujung tahun 2016. Walaubagaimanapun sebelum ia diserah milik, jambatan ini telah runtuh. Ia dibaiki semula dalam tahun 2017(julai) untuk tujuan tarikan pelancong. Pembaikannya menelan belanja ±THB 3.3 juta. Terdapat ‘waterfront’ di tebing sungai untuk pengunjung beriadah sambil mengambil gambar. Ada jalan simen seluas 4 meter dibina sejauh ±100 meter sebelum menaiki jambatan ini. Aku cuba melaluinya dengan bermotosikal dan keyakinanku goyah apabila ia kelihatan bergoyang ditengah dan mempengaruhi keseimbangan ku ( fhewww….)

Maps Link : https://goo.gl/maps/7QVSfG5quPT2

LAYAB GAMBAR …

Bang Klam Floating Market: Ada tempat berehat

Bang Klam Floating Market: Boleh naik boat dari sini

Bang Klam Floating Market: ada gerai-gerai dan tempat makan sepanjang sungai ini

Tha Luang Bridge: Perbandingan jambatan lama dan baru: Kedua-duanya adalah jambatan berlantaikan kayu

Tha Luang Bridge: Gambar kiri masih dalam pembinaan di gerbang jambatan

Pelan cadangan Tha Luang Bridge bagi meransang pertumbuhan ekonomi melalui pelancongan


Pautan Kembara Berkaitan
1. Songkhla: Refleksi Di Pantai Cermin    
2. Songkhla: Menjejaki Makam Ulama Sufi Tersohor
3. Songkhla: Menelusuri Pinggiran Tasik
4. Songkhla: Jambatan Gantung dan Floating Market 
5. Songkhla: Ladang Anggur 
6. Songkhla: Boriphat Waterfall 

Friday, October 26, 2018

Kembara Wilayah Songkhla: Menelusuri Pinggiran Tasik

Tarikh       : 20 Oktober 2018
Misi          :  Day 02 - Menelusuri Tasik Songkhla
Lokasi       : Ban Nuea, Laem Pho, Muara Khlong U Taphoa, Songkhla, Thailand
Jarak        :
Coordinate: Ada dalam catatan

Kami bermalam di Lake View Resort (N7.15621° E100.57002°), yang terletak ± 4km ke Selatan Pekan Songkhla. Sebuah resort  menarik yang terletak berhadapan (dipinggiran) Tasik Songkhla. Resort ini mempunyai 32 bilik berhawa dingin dan tersedia parkir di hadapan pintu bilik, ada ruang bersantai (terbuka). Semua biliknya dilengkapi dengan TV, peti sejuk, free internet, cerek letrik, hot shower dan tandas yang sempurna. Aku suka resort yang sebegini, selesa dan murah (THB500/per malam sahaja).

Jam 6.00 pagi kami check out dan mula bergerak menelusuri Bahagian Selatan Tasik Songkhla. Kami mahu menghindari lokasi tumpuan maka jalan luar bandar kami terjahi. Kami menelusuri ‘O Bo Cho Songkhla 2084 Road’ hingga ke Khlong Thon Samrong dan melewati beberapa perkampungan muslim di Ban Nuea (N7.11635° E100.46890°) dan berhenti untuk bersarapan berhampiran masjid Ban Nuea. Penduduk kampung ramah menegur kami dan berkomunikasi bahasa ayam & itik. Walaubagaimanapun aku menggunakan ‘Speak To Voice Translator’ apps untuk pemahaman kedua pihak. Sebuah apps yang menyokong 4 perkhidmatan translator(seperti Google, Microsoft, YAndex dan Baidu), hanya cakap atau taip dan ia  boleh menterjemahkan dari/kepada  lebih 100 bahasa yang dikehendaki. Kami dimaklum bahawa perkampungan ini majoriti adalah penduduk muslim dan  sepanjang  khlong Thon Samrong hingga ke Tasik Songkhla didiami oleh penduduk melayu muslim.

Apps yang sering aku gunakan untuk berkomunikasi dengan penduduk tempatan

Selepas bersarapan, kami menuju ke Laem Pho (N7.15227° E100.47091°), sebuah tanjong di muara Khlong Laem Pho. Disini terdapat pantai berpasir dan banyak restoran-restoran terapong yang dibina ditepian pantai. Boleh menikmati hidangan makanan segar dari tasik seperti ketam, udang, ikan dan lain-lain lagi sambil menjamu mata melihat keindahan tasik Songkhla. Restoran ini masih belum dibuka semasa kami sampai (dibuka dalam jam 11:30 pagi ke atas) lalu kami meneruskan perjalanan ke kawasan lebih terpencil dengan menelusuri Khlong U Taphao (N7.15652° E100.45147°), untuk melihat suasana damai tasik, melihat kawasan ragut (ternakan lembu), menara dan rumah terpencil di dalam hutan bakau dan kemudian kami keluar dan menuju ke arah Bang Klam.

LAYAN GAMBAR  …

Awal pagi di tepi Tasik Songkhla

Tangkoi @ Yor di Tasik Songkhla

Menyaksikan lautan tasik Songkhla at Khu Thao, Songkhla

Jambatan kayu seperti di Kg.  Sungai Baru Tengah, Alor Setar

Laem Pho

Ada sebuah kedai makan muslim (halal) di Laem Pho

Deretan tempat makan terapong di Laem Pho

Kawasan ternakan lembu di Khlong U Thapao

Sebuah menara di kawasan terpencil di Muara Khlong U Thapao

Keluar dari offroad menuju jalan raya


Pautan Kembara Berkaitan
1. Songkhla: Refleksi Di Pantai Cermin    
2. Songkhla: Menjejaki Makam Ulama Sufi Tersohor
3. Songkhla: Menelusuri Pinggiran Tasik
4. Songkhla: Jambatan Gantung dan Floating Market 
5. Songkhla: Ladang Anggur 
6. Songkhla: Boriphat Waterfall 

Thursday, October 25, 2018

Menjejaki Makam Ulama Sufi Tersohor

Tarikh       : 19 Oktober 2018
Misi          :  Menelusuri Tasik Songkhla
Lokasi       : Ban Trap, Daerah Chana, Songkhla, Thailand
Jarak        : 60 km (Ko Laenang – Ban Trap)
Coordinate:  N7.01019° E100.66799°
Google Link: https://goo.gl/maps/LSWTM2YZyPr

Bersambung ….

Dari Kolaenang kami menuju ke Thepa (nama asal Tiba) untuk solat Jumaat dan makan tengahari. Seusai merarau (makan tengahari) kami menghala ke utara menuju ke Hadyai dengan mengikuti Highway 43. Sampai di pekan Chanong kami mengikuti highway 408 dan ± 4km disebelah kiri highway akan nampak papan tanda makam ulama ini. Kami menelusuri laluan kuari hingga menuju ke kawasan kebun getah dan jumpa kuari dan tasik yang airnya menghijau jernih. Namun masih belum nampak tanda-tanda makam disini. aku berpatah balik dan kemudian masuk kembali dan mengambil lorong kecil sebelah kiri(kami terlepas pandang tadi) dan terus membawa kami ke hujung tasik tadi dan dari sini sudah nampak seperti binaan yang tersorok di dalam kebun getah. YA ia adalah makam seorang ulama terkemuka. Makam kelihatan bersih terjaga dan ia terletak didalam binaan ini. Binaan berbumbung dengan berlantaikan tile dan terdapat beberapa sejadah, kitab dan quran tersusun ditempatnya.

Ulama ini banyak menyumbangkan ilmu di kawasan Nusantara dan telah syahid semasa menentang tentera kufar Siam. Beliau ditangkap dan disula oleh tentera Siam, kepalanya dipancung dan di bawa ke Bangkok untuk dipersembahkan kepada Maharaja Siam sebagai bukti kematiannya. Makam ini baru sahaja di jumpai oleh pengkaji sejarah yang terletak di Ban Trap, Chana, Thailand. Ia terletak ke Barat dari pekan Hadyai dan sejauh ± 30 km.

Ya beliau ialah SHEIKH ABDUS SAMAD AL-PALIMBANI - merupakan salah seorang ulama besar tasawuf Nusantara. (Jalan As Sammaniyah). Dilahirkan pada 1116 H/1704M di Palembang, Sumatera Selatan. Ayahandanya seorang ulama besar, Sheikh Abdul Jalil bin Sheikh Abdul Wahab (diangkat menjadi Mufti negeri Kedah pada awal abad ke-18 oleh Tengku Muhammad Jiwa yang secara rasminya ditabalkan menjadi Sultan Kedah ke-19 di Istana Kota Bukit Pinang dan baginda memerintah sehingga tahun 1798 M.).

Mendapat pendidikan awal dari ayahandanya dan juga mendapatkan pendidikan agama di daerah Kedah dan Patani (Selatan Thailand). Melanjut pembelajaran ke Mekah dan Madinah (30 tahun di Mekah, 5 tahun di Madinah). Seperguruan dengan ulama Nusantara lainnya seperti Muhammad Arsyad Al-Banjari, Abdul Wahhab Bugis, Abdul Rahman Al-Batawi dan Daud Al-Fatani.

Antara karyanya:-
1. Zahratul Murid Fi Bayani Kalimatit Tauhid ditulis pada 1178 H/1764 M di Mekah dalam bahasa Melayu (karya pertamanya)
2. Hidayah As-salikin Fi Suluk Maslak Al-Muttaqin - adaptasi daripada kitab Bidayatul Hidayah karangan Imam al-Ghazali
3. Siyarus Salikin ila Ibadat Rabb al-Alamin
4. Tuhfat al-Raghibin fi Bayan Haqiqat Iman al-Mukminin
5. Al-'Urwah al-Wusqa wa Silsilah Ulil-Ittiqa'
6. Ratib Abdal-Samad - berisi zikir, puji-pujian dan doa = hampir sama dengan yang terdapat pada Ratib Samman.
7. Zad al-Muttaqin fi Tauhid Rabb al-'Alamin - ringkasan ajaran tauhid yang disampaikan oleh Sheikh Muhammad al-Samman

Terlibat dalam perjuangan Pattani/Kedah menentang Siam dan beliau syahid dalam tahun 1244 H/1828 M (ada yang kata tarikh wafatnya pada 1254 H/1838 M)

Di belakang sana letaknya makam

Mudah untuk masuk melalui jalan ini (terus ke jalan besar)

Kanak-kanak girang

Tenang, Murah & Mewah - Kami bermalam di Lake View Resort, Songkhla


Pautan Kembara Berkaitan
1. Songkhla: Refleksi Di Pantai Cermin    
2. Songkhla: Menjejaki Makam Ulama Sufi Tersohor
3. Songkhla: Menelusuri Pinggiran Tasik
4. Songkhla: Jambatan Gantung dan Floating Market 
5. Songkhla: Ladang Anggur 
6. Songkhla: Boriphat Waterfall