Thursday, October 25, 2018

Menjejaki Makam Ulama Sufi Tersohor

Tarikh       : 19 Oktober 2018
Misi          :  Menelusuri Tasik Songkhla
Lokasi       : Ban Trap, Daerah Chana, Songkhla, Thailand
Jarak        : 60 km (Ko Laenang – Ban Trap)
Coordinate:  N7.01019° E100.66799°
Google Link: https://goo.gl/maps/LSWTM2YZyPr

Bersambung ….

Dari Kolaenang kami menuju ke Thepa (nama asal Tiba) untuk solat Jumaat dan makan tengahari. Seusai merarau (makan tengahari) kami menghala ke utara menuju ke Hadyai dengan mengikuti Highway 43. Sampai di pekan Chanong kami mengikuti highway 408 dan ± 4km disebelah kiri highway akan nampak papan tanda makam ulama ini. Kami menelusuri laluan kuari hingga menuju ke kawasan kebun getah dan jumpa kuari dan tasik yang airnya menghijau jernih. Namun masih belum nampak tanda-tanda makam disini. aku berpatah balik dan kemudian masuk kembali dan mengambil lorong kecil sebelah kiri(kami terlepas pandang tadi) dan terus membawa kami ke hujung tasik tadi dan dari sini sudah nampak seperti binaan yang tersorok di dalam kebun getah. YA ia adalah makam seorang ulama terkemuka. Makam kelihatan bersih terjaga dan ia terletak didalam binaan ini. Binaan berbumbung dengan berlantaikan tile dan terdapat beberapa sejadah, kitab dan quran tersusun ditempatnya.

Ulama ini banyak menyumbangkan ilmu di kawasan Nusantara dan telah syahid semasa menentang tentera kufar Siam. Beliau ditangkap dan disula oleh tentera Siam, kepalanya dipancung dan di bawa ke Bangkok untuk dipersembahkan kepada Maharaja Siam sebagai bukti kematiannya. Makam ini baru sahaja di jumpai oleh pengkaji sejarah yang terletak di Ban Trap, Chana, Thailand. Ia terletak ke Barat dari pekan Hadyai dan sejauh ± 30 km.

Ya beliau ialah SHEIKH ABDUS SAMAD AL-PALIMBANI - merupakan salah seorang ulama besar tasawuf Nusantara. (Jalan As Sammaniyah). Dilahirkan pada 1116 H/1704M di Palembang, Sumatera Selatan. Ayahandanya seorang ulama besar, Sheikh Abdul Jalil bin Sheikh Abdul Wahab (diangkat menjadi Mufti negeri Kedah pada awal abad ke-18 oleh Tengku Muhammad Jiwa yang secara rasminya ditabalkan menjadi Sultan Kedah ke-19 di Istana Kota Bukit Pinang dan baginda memerintah sehingga tahun 1798 M.).

Mendapat pendidikan awal dari ayahandanya dan juga mendapatkan pendidikan agama di daerah Kedah dan Patani (Selatan Thailand). Melanjut pembelajaran ke Mekah dan Madinah (30 tahun di Mekah, 5 tahun di Madinah). Seperguruan dengan ulama Nusantara lainnya seperti Muhammad Arsyad Al-Banjari, Abdul Wahhab Bugis, Abdul Rahman Al-Batawi dan Daud Al-Fatani.

Antara karyanya:-
1. Zahratul Murid Fi Bayani Kalimatit Tauhid ditulis pada 1178 H/1764 M di Mekah dalam bahasa Melayu (karya pertamanya)
2. Hidayah As-salikin Fi Suluk Maslak Al-Muttaqin - adaptasi daripada kitab Bidayatul Hidayah karangan Imam al-Ghazali
3. Siyarus Salikin ila Ibadat Rabb al-Alamin
4. Tuhfat al-Raghibin fi Bayan Haqiqat Iman al-Mukminin
5. Al-'Urwah al-Wusqa wa Silsilah Ulil-Ittiqa'
6. Ratib Abdal-Samad - berisi zikir, puji-pujian dan doa = hampir sama dengan yang terdapat pada Ratib Samman.
7. Zad al-Muttaqin fi Tauhid Rabb al-'Alamin - ringkasan ajaran tauhid yang disampaikan oleh Sheikh Muhammad al-Samman

Terlibat dalam perjuangan Pattani/Kedah menentang Siam dan beliau syahid dalam tahun 1244 H/1828 M (ada yang kata tarikh wafatnya pada 1254 H/1838 M)

Di belakang sana letaknya makam

Mudah untuk masuk melalui jalan ini (terus ke jalan besar)

Kanak-kanak girang

Tenang, Murah & Mewah - Kami bermalam di Lake View Resort, Songkhla


Pautan Kembara Berkaitan
1. Songkhla: Refleksi Di Pantai Cermin    
2. Songkhla: Menjejaki Makam Ulama Sufi Tersohor
3. Songkhla: Menelusuri Pinggiran Tasik
4. Songkhla: Jambatan Gantung dan Floating Market 
5. Songkhla: Ladang Anggur 
6. Songkhla: Boriphat Waterfall 

No comments:

Post a Comment