Sunday, January 04, 2015

Kembara Famili Ke Krabi: Warna, Suhu Dan Rasa – Kelainan Antara Kolam

00

Tarikh : 26 Disember 2014
Koordinate: N7° 55.509' E99° 16.086'
Lokasi: Krabi - Khlong Tom -  Trang - Pak Payun
Kos    : THB1540 (THB340 + THB1000 + THB200) 
Jarak : ± 317 km

Day 4

Jam 7.30 pagi (waktu Malaysia) kami check out hotel dan menelusuri Highway 4 yang lengang menuju ke arah Khlong Thom sejauh ±35 km dan belok ke kiri mengambil jalan Sukhaphiban 2 (4021 rural Road) sejauh ±10km untuk ke Ayer Terjun matair panas.

Namtok Ron

Namtok Ron atau Hot Waterfall (N7° 55.988' E99° 12.429') adalah antara ‘Unseen places in Thailand’ . Air terjun kecil setinggi 5 meter dan seluas 10 meter lebar. Air panas jernih yang keluar dari perut bumi dan mengalir seperti sungai kerana kedudukan tanah yang curam. Di penghujungnya wujud beberapa kolam mandian bak ‘bathtub’ yang membolehkan pengunjung berendam dalam air yang suhunya antara 40 – 50°C. Rendaman di dalam kolam ini mempunyai nilai perubatan yang tinggi. Aliran air panas ini akan turun dan berakhir ke sungai (agak keruh sungai ini).

Air terjun jernih yang mengalir turun ke dalam sungai (di bawah)

Terletak dalam kawasan hutan yang dinaungi, tenang dan tenteram. Ada denai pejalan kaki buat pengunjung menikmati keindahan alam. Kolam  ini dibuka pada jam 7.00 pagi (waktu Malaysia)dan kadar bayaran masuk sebanyak THB90 (dewasa) manakala bayaran parkir sebanyak THB20. Terdapat beberapa gerai di dalamnya dan ada penjual muslim disitu. Kami sampai pada jam 8.30 pagi dan sempat bersarapan dahulu sambil menanti hujan renyai berhenti. 9.20 pagi (waktu Malaysia) kami bergerak masuk dan sempat bergambar dan menikmati keindahan kolam ini tanpa gangguan pelancong kerana kami adalah yang terawal tiba. Kemudian sekitar jam 10.00 pagi barulah datang kelompok pengunjung eropah. Aku tidak melepaskan peluang untuk berendam dan meraup kesegaran air panas ini. Sesungguhnya berbaloi hadir dan mandi disini.

Bak Mandian SPA di Bathtub

Sa Morakot

Jam 10.15 pagi kami beredar untuk mengunjungi lokasi seterusnya iaitu Sa Morakot atau Emerald Pool (N7° 55.384' E99° 15.598'). Sebuah kolam berkeluasan ±25 meter persegi dan berkedalaman ± 2 meter. Airnya yang cukup jernih sehingga membolehkan melihat ikan yang berenang dengan jelas sekali. Digelar emerald kerana warna permukaan air yang menghijau terutama apabila terkena sinaran matahari diwaktu pagi. Airnya yang berpunca dari sumber alamiah bawah tanah dan mengalir masuk menyebabkan suhu kolam antara 31-32°C

Kami terpaksa meletak kereta di kawasan parkir khas (N7° 55.290' E99° 15.570') dan dikenakan caj sebanyak THB20. Terpaksa berjalan melalui laluan khas sejauh ±800 meter sebelum sampai ke kolam ini. Ada juga laluan pilihan sejauh 1400 meter dengan melalui denai khas berpelantar kayu. Untuk masuk pelancong luar akan dikenakan bayaran sebanyak THB200 (dewasa) dan THB100 (kanak-kanak). Pelancong tempatan hanya dikenakan bayaran masuk sebanyak THB20 dan THB10. Masa operasi dari jam 08:30 -17:00 setiap hari (waktu Thailand)

Agak bertuah kerana kunjungan awal pagi kami masih belum ramai pengunjung, jadi dapat menikmati dan mandi sepuas tanpa gangguan. Tapi AWAS di tebing kolam sangat licin akibat algae maka aturlah langkah dengan berhati-hati. Pengunjung DILARANG membawa makanan dan menggunakan sabun atau shampoo kerana ia boleh merosakan algae di dalam kolam. JANGAN minum air kolam ini kerana kandungan Calcium Carbonates (CaCo3) boleh menyebabkan batukarang.

Di bahagian atas kolam ada satu kawasan dimana ada aliran air  panas yang mengalir masuk. Kawasan batukapur yang dikenali sebagai Lam Chaomphunam atau Java Apple Courtyard. Kawasan ini ditumbuhi oleh pokok ini yang berusia lebih dari 100 tahun. Kawasan berbatukapur yang terhasil dari bawaan aliran air.

Air panas yang mengalir masuk ke kolam ini

Sa Nan Phut

Sa Nan Phut atau Blue Pool atau Spring Pool (N7° 55.729' E99° 16.325') adalah punca/asal kepada wujudnya So Morakot. Air panasnya berasal dari bawah bumi yang mengalir keluar dari rekahan bumi dan mewujudkan air yang jernih berwarna biru indigo. Gelembung-gelembung matair panas akan lebih cepat keluar sekiranya ada getaran, jadi sekiranya pelancong menepuk tangan akan kelihatan gelembung dan buih air panas ini keluar. Kolam ini TIDAK boleh mandi kerana sangat dalam dan lumpurnya akan menarik (sucking mud) dan amat membahayakan.

Kami terpaksa berjalan ±400 meter untuk sampai ke sini dari Emerald Pool. Anda DINASIHATKAN berkasut kerana selepas melalui pelantar kayu akan akan menempuh denai hutan yang berselirat dengan akar kayu dan akan menyakitkan kaki. Sepanjang perjalanan kami menjumpai menara pandang yang telah rosak dan perlu tempuhi Dong Fern (Fern Grove). Kawasan yang dipenuhi dengan spesis paku pakis yang tumbuh secara intensif. Peranan paku pakis sangat penting dalam ekosistem alam.

Saline Hot Spring

Pukul 12.30tgh kami bergerak keluar keluar dan mengalas perut perut dengan membeli makanan dari peniaga muslim disekitar kawasan ini (tiada masalah untuk dapat makanan halal disini). Seterusnya menuju ke Khong Thom menuju ke Salene Hot Spring (N7° 54.286' E99° 06.530') yang terletak ± 25km dari So Morakot. Satu kawasan yang baru dibangunkan dengan kemudahan parkir, tandas, bilik persalinan dan kolam-kolam dibuat semula.

Air panas yang jernih dan menghijau

Khlong Thom Salene Hot Spring ditemui dengan 14 kolam air panas yang masin dengan suhu antara 40 – 47°C dengan air yang jernih. Airnya yang kurang kandung Karbon Dioksida dan bau belerang (sulfur). Mempunyai khasit dari segi kesihatan seperti dapat merehatkan badan dan membuang toksid dari badan dan seterusnya melancarkan peredaran darah. Air panas yang keluar dari bawah tanah melalui rekahan bumi bercampur antara air panas dan air laut dibawah bumi. Katanya kandungan garamnya melebihi 9 gram/litre.

Bayaran masuk pelancong luar ialah THB100 (untuk dewasa) THB50 (kanak-kanak) dan bayaran parkir sebanyak THB20. Namun hasil rundingan aku cuma dikenakan bayaran THB200 untuk semua sekali.

Ka Chong Waterfall

Kami keluar ±jam 2.00 petang dan terus menuju ke arah Trang. Singgah makan tengahari di sebuah Restoran Muslim (N7° 51.265' E99° 10.204') diantara perjalanan Khlong Thom ke Trang.

Gambar tahun lalu

Ka Chong Waterfall (N7° 32.969' E99° 47.076') terletak ± 12 kilometer dari Trang di Khao Chong Wildlife Conservation Development and Extension Center. Air terjun yang turun dari Banjaran Khoa Banthat dengan beberapa lapisan kecil kolam yang sesuai untuk berendam. Sebab itulah ia menjadi salah satu tarikan kepada orang ramai untuk mengunjunginya

Khao Chong Wildlife Development and Conservation Promotion Station adalah pusat penyelidikan hidupan liar dan alam yang pertama di Thailand. Kawasan yang luas merangkumi pelbagai flora dan fauna, sungai dan airterjun serta binatang. Sangat sesuai untuk menikmati dan mengkaji alam. Terdapat Muzium dan Bilik Pameran untuk memberi maklumat dan penerangan.

Singgah sebentar kerana hujan sebelum menuju ke Pak Payun untuk bermalam…….


Pautan Kembara Berkaitan

1. Kembara Famili Ke Krabi - Day 1
2. Kembara Famili Ke Krabi - Day 2
3. Kembara Famili Ke Krabi – Day 3
4. Kembara Famili Ke Krabi – Day 4
5.

No comments:

Post a Comment