Tarikh : 23 Disember 2014
Kos : ± RM1,800.00 (All-in untuk satu famili 7 orang – 4 Dewasa, 3 Kanak-Kanak)
Koordinate: N8° 02.019' E98° 49.689'
Laluan: TTG – Wang Klian – Khuan Kalong – Thung Wa – Trang – Aonang
Jarak : 434 km/1,100 km
Day 1
Sesudah subuh kami keluar dari rumah menuju Wang Klian. Perlu awal kerana ingin singgah dibeberapa lokasi disepanjang jalan sebelum sampai Krabi. Isian minyak sehingga penuh di Caltex Wang Klian (N6° 40.840' E100° 11.205') (dibuka dari jam 8:00am – 7:00 pm). Seusai urusan imigresen kami bergerak menuju pekan Khuan Kalong untuk bersarapan.
Aku sengaja memilih melalui wilayah Satun kerana pintu masuk imigresen Wang Klian tidak ramai pengunjung, bahkan dikatakan laluan ini menjimat perjalanan sejauh ±70km. Lagipun banyak lokasi air terjun dan hutan simpanan yang masih terpelihara. Aku sudah menyediakan senarai dan koordinate lokasi air terjun untuk dilawati sebelum sampai ke Ao Nang.
Bermula dari Wang Prachan, aku menelusuri Highway 416 hingga ke persimpangan berhampiran pekan Thung Yao dan belok ke kanan mengikuti Highway 4125 menuju ke kawasan Khoa Banthat Wildlife Preserve Area yang kaya dengan flora dan fauna dan air terjun yang indah. Hujan rahmat mengiringi sepanjang perjalanan kami menambahkan sejuk suasana alam dan membataskan pergerakkan aku mengunjungi kesemua senarai air terjun yang ku rancang.
Ton Tae Waterfall
Singgahan pertamaku adalah ke To Tae waterfall (N7° 17.615' E99° 52.923'). Dari kejauhan sudah nampak aliran air yang putih bagaikan kapas mengingatkan aku akan Lata Kinjang yang tampak dari kejauhan. Air terjun setinggi 320 meter yang mengalir turun dari Pergunungan Khao Banthat. Kehebatan alirannya menyebabkan ia digelar sebagai a king of waterfall. Untuk melihat lebih dekat aliran air terjun ini perlu mendaki denai yang disediakan sejauh hampir 250 meter. Hujan yang turun menyebabkan aliran air sangat deras dan melimpahi tebing jadi aku tidak berani untuk menghampiri secara dekat air terjun ini.
Terletak ± 10km dari jalan utama (Highway 4264). Jangan bimbang ada papan tanda arah yang memudahkan untuk sampai ke air terjun ini. Prasarana yang teratur disediakan seperti parkir, gerai, tandas dan ada chalet di kawasan berhampiran. Tidak pasti samada dikenakan bayaran kerana aku sampai pada awal pagi ditambah dengan hujan menyebabkan kehadiran kami tidak berapa dipedulikan.
Ton Tok Waterfall
Kami memandu ± 1 km ke selatan menuju ke sebuah lagi air terjun yang bagaikan adik kepada Ton Tae iaitu Air Terjun Ton Tok (N7° 17.615' E99° 52.923'). Air terjun yang alirannya adalah pecahan simbahan air dari Banjaran Khao Banthat. Aliran sungai yang mengalir dicelah batuan dan jatuh ke dalam kolam yang sesuai untuk mandi di dalamnya. Namun aliran yang kuat akibat hujan menyebabkan aliran air laju dan menambahkan keindahannya. Aku berada sedekat mungkin dengan air terjun ini namun tidak boleh mandi dikolamnya hari ini. Dari sini aku dapat melihat kehebatan air terjun Ton Tae dari jauh.
Phrai Sawan Waterfall
Keluar semula ke jalan utama (Highway 4264) dan memandu sejauh ± 12km sehingga jumpa simpang empat, belok ke kanan dan pandu sejauh ±4 km sehingga berjumpa Air Terjun Phrai Sawan (N7° 24.732' E99° 49.344'). Antara air terjun yang terkenal di daerah Trang ini. Air terjun sederhana yang mempunyai beberapa tingkat. Pengunjung boleh juga menaiki bot getah mengelilingi air terjun ini. Namun hujan yang semakin lebat menyebabkan aku tidak berkesempatan untuk turun menjengah lebih dekat.
Sai Rung Waterfall
Nun disana – percikan air dan berkabus bila air menghempas batu
Aku memandu ± 8 km lagi untuk menjengah Air Terjun Sai Rung (N7° 26.423' E99° 48.842') dahulunya dikenali sebagai Pakthaweep Waterfall. Sai rung bermaksud ‘Pelangi’. Air terjun setinggi 60 meter yang turun dari pergunungan tinggi Banjaran Khao Banthat. Perlu mendaki laluan khas sejauh ± 100 meter untuk menikmati pemandangan air terjun ini. Percikan airnya mewujudkan pelangi apabila disinari cahaya mentari. Sesuai tempat untuk berkelah dan merehatkan minda sambil menikmati keindahan alam yang hijau sambil mendengar bunyi unggas rimba. Kolam yang terbentuk dengan air sejuk pergunungan yang menyegarkan badan apabila mandi di sini NAMUN AWAS pernah berlaku kematian disini pada April 2007 apabila ‘Kepala Air’ melanda ratusan pengunjung yang sedang berkelah dan mengorbankan 38 orang yang sedang menikmati keindahannya sempena pesta Songkran. Mengingati peristiwa itu, aku hanya melihat dari kejauhan sahaja lantaran arus yang deras.
Rancangan pengairan berhampiran Namtok Sairung, Daerah Yan Takao. Dibina dalam tahun 1996
Sebenarnya ada banyak lagi air terjun yang perlu ku kunjungi, namun cuaca hujan yang tidak menentu dan masa yang terhad menyebabkan aku membatalkan. (Sasaranku mengunjungi 16 air terjun: 7 di wilayah Phatthalung, 6 di wilayah Trang and 3 di Satun, semua air terjun in mengalir turun dari Pergunungan Banthat).
Menarik! - Rumah dibina dari sumber hutan
Menuju Ao Nang, Mencari Tempat Menginap
2 pintu – 4 tingkat Hotel Ao Nang View LaVilla
Ada lagi hampir 200km dan aku perlu sampai ke pantai Ao Nang sebelum jam 7.00 malam bagi meninjau penginapan dan berunding untuk aktiviti ‘Island Hoping’ esoknya.
Keluar ke Jalanraya, telusuri Highway 4 menuju Trang untuk makan tangahari lewat dan seterusnya mengikuti laluan pintas sebelum memasuki semula Highway 4 dan memasuki Highway 4034 menuju Ao Nang. Sampai di Ao Nang hampir jam 6:30 petang
ALHAMDULILLAH, berjaya mendapatkan bilik suite yang sangat luas bagi menempatkan kami 7 orang sekeluarga di Ao Nang View LaVilla (N8° 02.019' E98° 49.689') dengan harga promosi berjumlah THB2000. Hotel milik pengusaha Muslim. Ditempat lain aku dipaksa mengambil 2 buah bilik kerana pihak hotel tidak membenarkan lebih dari 3 orang untuk sesebuah bilik.
Malamnya kami keluar menikmati pemandangan malam dan mengunjungi gerai-gerai jualan disepanjang Ao Nang Road. Menikmati makan malam yang ringkas. Sebenarnya kami juga membawa bekalan makanan seperti roti, sardin dan maggi sebagai persediaan melapik perut diwaktu ‘kesukaran’. Krabi mempunyai ramai penduduk Muslim, jadi tidak ada masalah mencari makanan halal bahkan ada banyak masjid disekitar kawasan ini.
Masjid Ao Nang – banyak gerai-gerai makanan dan cenderahati sepanjang jalan ini
Pautan Kembara Berkaitan
1. Kembara Famili Ke Krabi - Day 1
2. Kembara Famili Ke Krabi - Day 2
3. Kembara Famili Ke Krabi – Day 3
4. Kembara Famili Ke Krabi – Day 4
5.
Rakan Segari ke Krabi tu, kami sampai ke Satun je, mungkin next time, ada balik Perak rumah orang rumah cakap la tuan
ReplyDelete