Thursday, January 01, 2015

Kembara Famili Ke Krabi: Berkayak Di Ao Thalene

Tarikh : 25 Disember 2014
Koordinate: N8° 08.587' E98° 44.845'
Lokasi: Ao Thalene 
Kos    : THB2900
Jarak : ± 6.5 km

Day 3

Ao Thalane (muddy bay) adalah sebuah teluk yang pantainya berlumpur dan ditumbuhi dengan pokok bakau dan adalah antara kawasan hutan bakau tercantik di Thailand. Sebuah perkampungan nelayan yang tenang. Sesuai untuk menyaksikan satu kelainan pemandangan Krabi  dengan berkayak menyusuri ke serokan, lagun dan hutan bakau.

Terletak ± 30 km dari hotel kami(Ao Nang). Jam 8.30 pagi (waktu tempatan) aku diberi salam oleh pemandu van yang membawa kami dari hotel ke pengkalan operator kayak (Let’s Go) di Ao Thalane (N8° 08.587' E98° 44.845'). Perjalanan mengambil masa ± 35 minit. Kami membeli pakej berkayak untuk half day tour di hotel. Kadar biasa ialah THB700 untuk dewasa dan THB500  untuk kanak-kanak, namun seperti biasa dapat diskaun baik punyer.

Disini kami  bergabung dengan satu group pelancong dari Penang seramai 6 orang dan 2 orang dari Amerika. Sebelum bermula, kami diberi penerangan dan tunjuk ajar cara mendayung. Kami diberi 3 kayak dan aku membawa 2 orang anak perempuanku. Isteriku dan anak perempuanku tidak berapa biasa menggunakan kayak tetapi bila berada di air mereka sudah dapat memahami cara yang betul mendayung kayak.

Kami menyeberang muara sungai seluas hampir 350 meter dan menyusur di tepian bukit bak canyon. Melewati beberapa buah pulau kecil sebelum memasuki kawasan sungai untuk ke kawasan paya bakau. Di kawasan ini airnya sudah tenang tetapi  keruh. Paya bakau yang berselut  sengaja dipelihara sebagai penapis air dan rintangan kepada ombak. Beberapa binatang seperti unggas dan monyet kelihatan di dahan pokok. Hujan renyai mulai turun yang membuat kayuhan kami semakin segar. Sampai disatu anak sungai, jurupandu meminta kami berpatah balik kerana anak sungai semakin cetek. Agak kecewa kerana tidak dapat buat satu loop dayungan.

Semasa berpatah balik  bertembung dengan ramai pelancong yang baru nak masuk ke sungai ini. Kayuhan berpatah balik ini amat memenatkan kerana terpaksa melawan arus kerana air laut sedang pasang dan masuk ke dalam sungai. Selepas berjaya keluar ke laut kayuhan menjadi semakin mudah. Aku berada paling belakang kerana mengawasi perjalanan keluargaku. Kami berhenti disuatu lagun (N8° 08.231' E98° 45.076') yang tersembunyi yang mempunyai pantai kecil. Disini  berehat ±30 minit sambil bergambar dan anak-anakku tidak melepas peluang untuk mandi-manda lagi.

Selepas itu kami mula berkayuh balik ke pengkalan. Semasa ini, hujan renyai mula turun dan angin mula bertiup kencang. Semasa hendak menyeberang muara sungai, ombak semakin kuat dengan angin yang kuat. Aku semakin bimbang apabila anak-anak aku mula keletihan, bahkan kayak mereka berpusing arah dan ditolak ke arah laut kerana dibawa ombak dan angin. Namun aku sentiasa memberi semangat dan meminta mereka berusaha sedaya mungkin. Aku bimbang kayak akan terbalik sambil berdoa dijauhkan malapetaka. Berkat usaha mereka dapat juga sampai ke pengkalan pada jam 1.00 tgh.

Berjaya harungi

Satu pengalaman baru bagi keluargaku. Dapat merasai pengalaman hampir dengan alam semulajadi. Gembira walau keletihan.

Sebelum ke Ao Thalene, kami sudah check-out hotel dan segala bag & barangan telah dimasukan ke dalam kereta. Selepas selesai membersih diri dan menikmati buah yang dihidangkan, kami dibawa pulang ke hotel dan aku bertolak menuju ke Ban Laem Pho (N8° 01.351' E98° 53.014')  yang terletak ± 8km dari hotel  di Ao Nang. Pantai di kawasan ini terbentuk dari kulit siput sejak 40 juta tahun lalu.

Bayaran masuk dikenakan sebanyak THB200 (dewasa) dan THB100 (kanak-kanak). Aku rasa tak berbaloi untuk masuk kerana aku bukan ahli geologi, mungkin sekadar nak lihat sahaja. Di kawasan parkir, ada pokok kelapa laut (Crescentia cujete L) yang menjadi tarikan pengunjung.

Kemudian kami bergerak menuju pekan Krabi untuk bergambar di monumen ketam laut(N8° 04.023' E98° 55.034') dan monumen Helang di kilometer 0 yang menjadi simbol Krabi dan seterusnya ke Resort Baan Prasat (N8° 06.357' E98° 56.332') yang terletak ditepi Lebuhraya Trang – Krabi untuk bermalam. Kami dipaksa mengambil 2 buah bilik namun kadar yang murah sahaja THB550 sebilik. Bilik yang murah, luas lagi selesa.

Baan Prasat Resort


Hutan bakau – berpatah balik

di sebuah pantai kecil yang cantik lagi menarik

@ Krabi


Pautan Kembara Berkaitan

1. Kembara Famili Ke Krabi - Day 1
2. Kembara Famili Ke Krabi - Day 2
3. Kembara Famili Ke Krabi – Day 3
4. Kembara Famili Ke Krabi – Day 4
5.

2 comments: