Tarikh : 8 – 10 Januari 2015
Lokasi : Dabong, Kemubu, Laloh, Lata Rek & Pasir Mas
Coordinate: N5° 22.578' E102° 00.504'
Setiap kali hujung tahun, hujan yang turun pasti akan mengundang banjir. Namun hujan lebat yang turun berturut-turut pada minggu terakhir tahun 2014 telah menyebabkan negeri dipantai Timur dilanda banjir yang luarbiasa. Negeri Kelantan lumpuh seluruhnya apabila semua jajahan iaitu, Gua Musang, Kuala Krai, Jeli, Kota Bharu, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah dan Tumpat ditenggelami air. Kemusnahan akibat banjir di Kelantan adalah sangat besar. Ia dianggarkan kerosakan berjumlah hampir 1 bilion (RM932.4 juta). Manakala hampir 38,382 orang mangsa banjir ditempatkan di 827 pusat pemindahan.
Perlepasan oleh YB. Dato’ Suraya Binti Yaacob, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita & Keluarga, Pengerusi Jawatankuasa Kebajiakan Masyarakat, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan
Pelbagai pihak mula menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir. Tidak ketinggalan pihak SUK Kedah dan KCS telah mengambil inisiatif segera dengan menggerakan satu misi yang melibatkan 72 orang sukarelawan dari pelbagai agensi Kerajaan Negeri. Misi tiga hari memberi tumpuan kepada agihan barangan kepada mangsa banjir dan pembersihan di sekitar daerah Dabong. Aku menawarkan diri untuk menyertai misi ini bagi melihat sendiri kesan-kesan banjir yang melanda negeri Kelantan selain menawar bantuan yang diperlukan.
Konvoi kami tiba di Jelawang pada jam 6.30 petang disambut dengan hujan renyai. Bermalam di Sekolah Kebangsaan Mempelam Jelawang, Dabong. Sedikit taklimat diberikan. Team Aku bermalam di Masjid Mukim Jelawang (N5° 20.737' E101° 58.960') . Ramai sukarelawan menjadikan masjid ini sebagai pusat operasi dan penempatan disamping menyalurkan bantuan dan makanan kepada penduduk berdekatan.
Esoknya kami ke stesyen keretapi Dabong (N5° 22.625' E102° 00.592') untuk berhimpun dan mengambil barangan untuk diagihkan. Stesyen keretapi yang dibuka dalam tahun 1950 yang memberi khidmat kepada penduduk tempatan telah lumpuh sepenuhnya dan kerja-kerja pemulihan dijangka memakan masa lebih dari setahun. Limpahan air sungai Galas setinggi hampir 10 meter telah menenggelamkan sepenuhnya bangunan Stesyen keretapi dan beberapa koc. Konvoi kami dipecahkan kepada team penyerahan bantuan dan team pembersihan. Team pembersihan melakukan kerja-kerja mencuci di Majlis Daerah Dabong. Manakala team penyerahan bantuan akan mengagihkan bantuan kepada penduduk sekitar kawasan berdekatan. Team aku memilih untuk pengagihan barangan ke kawasan Kemubu.
Bagai di landa tsunami. Itulah yang dapat aku ungkapkan apabila melihat suasana di sekitar kampung ini. Banyak kemusnahan harta benda termasuk tempat tinggal, premis perniagaan serta kenderaan dilaporkan. Paras air yang naik secara mendadak sehingga paras bumbung rumah bahkan ada yang melepasi tiang elektrik. Selain itu mereka juga turut terputus segala hubungan darat untuk beberapa hari. Kuaters stesyen keretapi Kemubu rosak teruk dan jambatan keretapi Kemubu (N5° 17.870' E102° 01.166') yang diperbuat dari besi sebahagiannya telah dihanyutkan air beberapa meter. Sedih sekali melihat kerosakan yang dialami apatah lagi yang menanggung musibah.
Jambatan besi rel kereta api sepanjang 500 meter yang merentasi Sungai Galas di Kemubu, Kuala ‘Cry’ runtuh di badai ‘bah kuning’. Ini menyebabkan perkhidmatan kereta api ke Dabong dan Kemubu terputus dan lumpuh terus. Jambatan ini juga menjadi penghubung atau laluan utama penduduk sekitar Seberang Kemubu, Gua Chetok dan Kampung Ara untuk ke Kampung Kemubu dan laluan utama murid-murid dari sana untuk menyeberang ke Sekolah Kebangsaan Kemubu.
Selepas Jumaat kami meneruskan pula tugas pembersihan majlis Daerah Dabong. Kerosakan total dimana semua peralatan dan perabut rosak. Sumbangan dari pihak tertentu ditempatkan di dewan Majlis daerah Dabong, namun tidak dapat diagihkan. Ramai anggota MDD turut terlibat dalam musibah ini dan sibuk membersihkan rumah masing-masing. Namun ada juga yang tampil untuk membantu kami membersih pejabat mereka.
Bersua dengan Ustaz Azhar Idrus ketika di Lata Rek
Team kami memohon untuk mengagihkan barangan di sekitar kawasan berhampiran. Kami juga membawa barangan ini untuk diagihkan ke kawasan Lata Rek, Laloh (N5° 18.686' E102° 17.907').
Dalam perjalanan ke Pasir Mas, singgah sekejab di Jambatan Sungai Nal atau Jambatan Gantung Sultan Ismail atau Gertak Gantung Sungai Nal (N5° 36.162' E102° 11.500’). Terletak di laluan persekutuan Kuala Krai-Kota Bharu, ± 11 kilometer dari bandar Kuala Krai. Ia merupakan satu-satunya jambatan gantung di Negeri Kelantan yang menjadi perhubungan penting antara Kota Bharu dan Kuala Krai. Tidak dinafikan peranannya memacu kemajuan ekonomi penduduk dan meningkatkan taraf hidup & ekonomi penduduk di Kelantan.
Jambatan ini dibina oleh British pada 1920 'an. Ia telah disempurnakan perasmiannya oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail pada 19 April 1932. Rekabentuknya menyerupai jambatan yang terdapat di Eropah. Struktur binaannya sangat teguh dan kukuh dengan besi keluli. Panjang 70 kaki dan lebar 30 kaki. Tali besi yang menggantungkan jambatan berukuran 12 inci lilitan dan dipintal pada bahagian luar dengan dawai besi lebih kecil menampakan seperti tali berpintal.
Jambatan ini tidak digunakan lagi sejak tahun 1986 apabila jambatan baru berhampiran telah siap dibina. Ianya dikekalkan sebagai warisan sejarah
Kini, Jambatan Gantung Sultan Ismail Sungai Nal yang menjadi simbol Daerah Kuala Krai dikhuatiri akan lenyap dalam lipatan sejarah berikutan kayu lantai jambatan itu sudah semakin reput. Pastinya jambatan tersebut menyimpan begitu banyak nostalgia bagi orang lama di Daerah Kuala Krai dan penduduk di sini.
Esoknya kami membeli barangan tambahan untuk diagihkan ke kawasan Pasir Mas. Tumpuan kami adalah ke Institut Pendidikan Tahfiz Al-Balaghulmubin, Kampung Chenok, Pasir Mas, Kelantan. Sebuah tahfiz yang melahirkan ramai ilmuan, sehingga berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke luar negara.
Institut Tahfiz Al-Balaghulmubin ini dibuka pada 1988, boleh memuatkan 150 pelajar lelaki berusia 12 hingga 15 tahun dan mendapat didikan daripada enam guru dan tujuh kakitangan. Asrama sekolah ini, dibina ketika pentadbiran Bekas Menteri Besar Kelantan ketika itu, Allahyarham Datuk Muhamed Nasir. Ianya pernah ditutup pada 1996, iaitu selepas kematian Datuk Muhamed pada 1996 dan dibuka semula atas usaha anak-anaknya, dua tahun kemudian.
Tahfiz ini ditenggelami air tasik Tok Uban sedalam lebih dari 2 meter yang menyebabkan kawasan bagaikan lautan dan rumah-rumah guru tenggelam semuanya. Terdapat 13 murid semasa kejadian terperangkap dalam lautan banjir. Bekalan makanan terpaksa dihantar kepada mereka melalui helikopter.
Disini terdapat sebuah masjid terapung yang dibina ditepian tasik danau Tok Uban. Masjid indah dipersekitaran yang nyaman. Ianya tidak dibuka kepada orang ramai. Masjid ini dibuka dengan rasminya pada 23 Januari 1993. Ia dibina hasil sumbangan Sultan Brunei, sebab itu ia dikenali sebagai Masjid Brunei Danau Tok Uban (N5° 56.051' E102° 07.807').
Gambar-Gambar kemusnahan di sekitar Dabong, Kuala Kerai
Kampung Manek Urai dan penduduk yang tinggal di sepanjang Sungai Galas paling terjejas apabila banyak rumah hanyut dan rosak teruk. Sisa-sisa runtuhan rumah boleh dilihat di sana sini seolah-olah dilanda tsunami
Bekalan air bersih yang dibekalkan oleh pihak kerajaan untuk kegunaan penduduk
Tudiaa ..tingginya air hingga hampir tenggelam pokok ini – Lata Rek
Pakaian – bukan masanya untuk disumbang
Kerja pembersihan di Majlis Daerah Dabong
No comments:
Post a Comment