Tarikh : 13 Disember 2014
Jarak : 12.9 km
Max Elev : 276 meter
Rider : 2 Orang = Pudin dan Cikgu Fisol
Coordinate : N6° 15.904' E100° 28.675'
Setelah hampir 5 tahun Kedah Jamboree berlalu (1 Ogos 2009) maka hari ini aku bersama Cikgu Fisol akan menjejaki semula lokasi sebenar Check Point 2 (CP2). Aku mengajak Cikgu Fisol kerana beliau terlibat secara langsung dengan Jamboree ini, mencari trek dan menjadi mashall di CP2.
Lokasi CP2 yang pernah dijaga oleh Cikgu Fisol
Kemeriahan di CP2 - Md. Nasron, Cikgu Fisol, Wan Blitz, Rashdan dan soldadu-soldadu gagah – Gambar dari blog Rush Done - TQ
Aku pernah menjejaki beberapa bukit di kawasan ini semasa persediaan Trek untuk Kedah Jamboree 2010 (KLIK)(Ia dibatalkan atas sebab tertentu KLIK – maklumat pembatalan) dan pernah juga melalui kawasan ini semasa Kayuhan Angpau: Menuju Puncak Jitra bersama team Redflag(KLIK) pada 11 Februari 2013, namun tidak berapa ingat lokasi asal CP2 ini.
Kami bermula dari kampung Kota Mengkuang pada jam 8.00 pagi, menelusuri jalan mini tar dan seterusnya merentasi kawasan perkebunan getah sebelum mendaki bukit yang agak mencanak. Aku mengajak cikgu Fisol mendaki sebuah bukit berhampiran (nama tak pasti…(N6° 15.998' E100° 28.338')) yang berketinggian 276 meter bagi membuat ‘tinjauan jauh’ kawasan ini. Dari sini nampak jelas Bukit Kelubi dan beberapa bukit lagi. Dari puncak bukit cikgu Fisol menunjukkan ke satu tempat yang mungkin menjadi lokasi CP2. Setelah puas merehatkan badan, minda dan mata dengan sajian panorama indah dan belaian angin pagi, maka kami pun turun mengikuti teres yang sedikit semak. Beberapa kali aku terjatuh apabila basikal aku melanggar batu dan memasuki lurah air yang tersembunyi dalam semak yang agak tebal. Aduss! nasib baik tak laju dan ada rumput dan lalang yang menyambut jatuhanku, tapi sakit juga tulang kering bila betis terkena ketoi batu yang agak besar.
Tempat jatuh lagikan dikenang inikan pula tempat bertugas, maka sampai sahaja di satu kawasan, cikgu mengamati bentuk laluan dan mengesahkan bahawa tempat ini adalah CP2. Namun dengan perubahan semasa, rumput dan hakisan telah merubah suasana dan mengelirukan. Dari tepi tebing juga aku meninjau Bukit Payung dan Bukit Haji, Owh! bukit inilah yang menjadi sasaranku minggu lepas untuk diterjah. Aku bercadang untuk balik dengan melalui laluan yang kelihatan agak semak tetapi apabila melihat dihadapannya semak dan rumput yang semakin menebal, curam dan berbatu. Tidak mahu ambil risiko maka kami membatalkan untuk kembali mengikuti jalan yang kami datang tadi.
Sesungguhnya kayuhan hari ini sedikit sebanyak mengembalikan nostalgia dan mengajar betapa pentingnya pemuliharaan hutan supaya kelestarian alam bagi memelihara ekologinya.
Laluan yang terhakis
Disana Bukit Haji dan Bukit Payung (Laluan minggu lalu)
Bersedia untuk DH
No comments:
Post a Comment