Sempena Tahun Melawat Kelantan 2012
Tarikh : 08 – 10 Mac 2012
Lokasi : Kota Bharu, Kelantan Darul Naim
Kelantan, Negeri Che Siti Wan Kembang, Negeri Cantik, Budaya Menarik – kaya dengan tradisi, penuh dengan budaya dan seni ditambah dengan seri cik mek yang molek-molek dan makanan yang unik.
Sudah lama aku tidak ke sini. Ketika aku aktif dalam Persatuan Bonsai dahulu sering juga aku ke sini terutama ke rumah Abang Yie bermesyuarat, menghadiri kursus dan seminar bahkan mengikuti beberapa rakan memburu bonsai hingga ke Besut, Terengganu.
Atas urusan pejabat aku ke sini lagi. Berpeluang melawat beberapa lokasi sekitar Kota Bharu yang mengembalikan nostalgia lalu.
Aku menginap di Grand Riverview Hotel yang terletak di Jalan Post Office Lama, 15000 Kota Bharu, Kelantan. Bilikku menghadap sungai Kelantan. Keindahan di pagi hari menyerlah apabila sinaran matahari menyuluh kampung di seberang sana.
Malamnya, terpaksa memberi sedikit ucapan aluan dalam majlis makan malam di New Horizon Garden di Jalan Pasir Mas-Salor, Kota Bharu, Malaysia. Tempat ini agak popular gak. Dari gambar-gambarnya ramailah kenamaan yang bertandang ke sini. Pelbagai kategori telah dimenangi oleh mereka dari ‘kedai harga patut’ dan sebagainya . Sejujurnya bagi aku - ‘kureng’ lahhh
Keesokan harinya meronda sekitar Kota Bharu. Pastinya Pasar Siti Khadijah menjadi pilihan utama
Permulaan, singgah ‘menyorok’ dulu. Walau dah sarapan di Hotel, namun melihat kepelbagaian juadah, terbuka selera lalu nasi kerabu menjadi pilihan.
Pastinya songket dan batik tidak ketinggalan untuk diborong
Sudut yang menjadi kemestian pada penggemar fotografi untuk ‘tembak’
Di hadapan Istana Jahar(Klik)
Istana Jahar siap dibina dalam tahun 1887 semasa pemerintahan Sultan Muhammad II. Dibina untuk Baginda Long Kundor yang bergelar Raja Bendahara yang kemudiannya menggantikan baginda sebagai Sultan Muhammad III. Asal dikenali dengan nama Istana Raja Bendahara dan kemudian ditukar nama kepada Istana Jahar mengambil sempena ‘Pokok Jahare;’ yang terdapat di halaman istana. Kini Istana ini menjadi Muzium Adat Istiadat DiRaja Kelantan. Upacara perasmiannya disempurnakan oleh KDYMM Al-Sultan Kelantan pada 27 Julai 1992
Istana Balai Besar dibina dalam tahun 1844 atas arahan Sultan Muhammad II. Bangunan ini dibina oleh tukang-tukang kayu yang mahir dari seluruh negeri Kelantan menggunakan kayu chengal yang terpilih. Ianya dibina berkonsepkan seni bina bangunan tradisional Melayu yang sangat popular di abad ke 19
Kini ianya digunakan sebagai tempat upacara adat istiadat Dira. Didalam istana ini terdapat alat-alat kelengkapan Diraja seperti Singgahsana, pakaian Diraja dan lain-laian alat kebesaran diraja
Bank Pitih - adalah merupakan sebuah bangunan batu tertua yang terletak di luar pintu masuk ke Istana Balai Besar, Kota Bharu, Kelantan. Bangunan ini telah dibina pada zaman pemerintahan Sultan Muhammaad III (Long Kundur bin Sultan Ahmad 1889- 1890). Tujuan utama bangunan ini adalah untuk menyimpan pitis-pitis (pitis dalam dialek Kelantan bermaksud wang) perbelanjaan negeri Kelantan pada masa itu.
Bangunan ini berbentuk empat segi sama dengan berukuran 12 kaki lebar dan tingginya 12 kaki. Daun pintunya diperbuat daripada kayu cengal dan dipasang dengan tiga penyelak (kunci) yang diperbuat daripada besi.
Pemerintah Kelantan, Sultan Muhammad IV pada tahun 1903 telah menghantar “pohon duit” kepada Raja Siam. Pada masa itu, Kelantan masih merupakan negeri di bawah perlindungan Siam. “Pohon Duit” ini juga dikenali sebagai Pohon Pitis. Berdasarkan dialek Kelantan, “pohon” merujuk kepada “pokok” manakala “Pitis” atau “Pitih” pula merujuk kepada wang. Berdasarkan sejarah, Kelantan menggunakan Pitih sebagai matawang sehingga tahun 1920.
“Pohon Pitis” Kelantan dibuat daripada logam timah yang mengandungi 13 syiling menggunakan teknologi acuan yang diperkenalkan oleh pedagang dari China. Pada bahagian muka syiling tertulis ‘Thuriba Fi Zul-Hijjah Sanat 1321’ bermakna bulan Zul’hijjah 1903 dan dibelakangnya pula tertulis perkataan ‘Belanjaan Kerajaan Kelantan’ untuk mengesahkan bahawa ianya adalah matawang rasmi kerajaan Kelantan.
Kalau ke Kelantan jangan lupa beli batik. Melawat bengkel pembuatan batik di Nordin Batik yang terletak di Lot 74, Kampung Paloh, Pintu Geng, Kota Bharu, Kelantan
Nordin Batik Sdn Bhd adalah sebuah syarikat bumiputera yang menjalankan perusahaan batik di negeri Kelantan. Syarikat ini adalah hak milik Tn Haji Nordin dengan berasaskan nama syarikat Sendirian Berhad. Syarikat ini beroperasi di bawah naungan Tn Haji Nordin b. Mahmood yang menubuhkannya pada tahun 1993
Nordin Batik telah menjadi syarikat yang terulung di negeri Kelantan. Di samping mengusahakan perusahaan batik, Tn Haji Nordin juga telah membangunkan hotel bajet Paloh Inn yang terletak pada bangunan yang sama.
Salam, memang bertuah saudara dapat menginap di Hotel Grad Riverview.. memang selesa dan mendamaikan.. website kami ada buat review hotel grand riverview ini, layari Cuti-Cuti Kelantan
ReplyDeleteTq atas respon anda ..saya dah link terus ke url yang dicadangkan anda
ReplyDelete