Thursday, July 26, 2018

Koh Samui: Day 04 – UNSEEN KHANOM

Tarikh       : 27 Jun 2018
Misi          : Overland Thailand: Koh Samui: (24 – 30 Jun 2018)
Laluan      : Koh Samui – Don Sak – Laem Prathap – Sichon – Tha Sala – Nakhon Si Thammarat
Jarak        : 251 km
Coordinate: N9.31194° E99.80361°
  

Pendahuluan

Daerah Khanom dikenali sebagai ‘Land of Pink Dolphins’. Ia adalah daerah paling utara dalam wilayah Nakhorn Si Thammarat. Salah satu point atau gerbang untuk melihat dolphin adalah melalui jeti yang terletak disebuah perkampungan nalayan iaitu Laem Phratap. Ia adalah sebuah tanjung dan jeti nelayan yang terletak disebelah barat Don Sak, sejauh ± 20km. Sebelum tiba ke tanjung ini, akan lalui jalan bersimen sejauh ± 3 km.

Ya … tarikan terbesar di Khanom adalah ikan lumba-lumba merah jambunya. Kelihatan banyak patung pink dolphin di sekitar Khanom dan ia menjadi simbol bandar Khanom.

Mulanya Perjalanan

UNTUK MAKLUMAN harga minyak di Koh Samui sedikit mahal dari harga di tanah besar, jadi elok dipenuhkan tangki minyak dahulu sebelum menaiki feri ke Koh Samui. Nasib baik aku telah penuhkan tangki sebelum menaiki feri di stesyen PTT Khanom.

Jam 6:30 pagi, kami check out hotel dan menuju ke Faria Halal Food untuk bersarapan yang berat kerana menjangkakan tiada makanan halal ke lokasi yang bakal kami tempuhi nanti.

Singgah di beberapa lokasi untuk bergambar dan sempat menaiki feri (dari Jeti Nathon) pada jam 8.30 pagi(waktu thai) dan setelah 2 jam perjalanan sampai di Don Sak ± pada jam 10.40 pagi. Sepanjang 2 jam perjalanan aku membuat sedikit ‘reseach’ tentang lokasi yang bakal kami pergi. Jangan bimbang soal internet, sepanjang di lautan … 4G! la (laju beb). Sampai sahaja aku mengambil motosikal dan bergegas keluar dari jeti Donsak untuk mencari Jeti Laem Phratap.

Misi Yang Gagal

Boleh parkir kenderaan anda disini dengan kos THB20

Jeti Laem Phratap (N9.31194° E99.80361°) tersedia parkir, café dan kemudahan asas. Jeti bot yang teratur dengan pondok yang berbumbung, meja dan kerusi untuk taklimat dan penerangan dan ada kemudahan tandas. Kami membayar THB10 untuk parkir motosikal dan simpan bag. Memandangkan hanya kami sahaja disini, suasana kelihatan sunyi. Kami mendapat perkhidmatan bot dari seorang wanita penduduk tempatan dengan bayaran sebanyak THB1,000. Kami memulakan perjalan bot pada jam 11:20 pagi, semasa di atas bot makcik ini asyik bercerita tentang dolphin dalam bahasa Thai seolah-olah aku faham (angguk piii lah). Dalam perjalanan cuaca redup walau di tengah rembang.

Aku difahamkan bahawa masa yang terbaik untuk melihat dolphin ialah antara jam 7.30 pagi – 9:30 pagi kerana masa inilah dolphin akan keluar mencari makan. Persekitaran kawasan ini ditumbuhi dengan rumpai laut yang menjadi makanan ikan. Dolphin adalah mamalia yang peramah dan sangat sensitif kepada perubahan persekitaran terutama pencemaran. Mereka boleh berenang dengan laju (± 37 kph) dan timbul setiap 5 minit untuk bernafas. Biasanya ia akan bergerak dalam kumpulan dan makanan mereka ialah ikan. Kehadiran mereka di kawasan ini adalah petanda bahawa persekitaran dan air laut adalah bersih, nyah pencemaran dan mempunyai eko-sistem yang sihat. Terdapat 4 spesis dolphin disini dan kebanyakan adalah dari spesis Indo-Pacific Humpback Dolphin atau White Chinese Dolphin. Dolphin ini asalnya berwarna hitam/kelabu tetapi bertukar menjadi pink akibat perubahan usia. Kewujudannya semakin terancam dan dianggarkan terdapat kurang dari 60 ekor dolphin yang ada di sini.

Kami melewati beberapa pulau seperti Koh Noi, Koh Tha Rai, Koh Phi dan menghampiri Don Sak Sakon pier. Setelah beberapa lama menunggu kelibat dolphin tidak muncul, akhirnya kami berpatah balik. FRUST ! … (mungkin masa yang tidak sesuai )

Batuan Tua Yang Langka

Semasa hendak melewati Koh Tha Rai, kami singgah seketika disini untuk melihat keindahan geologi yang terbentuk secara evolusi sejak lebih dari 260 juta tahun lalu. Batuan tua ini kelihatan bagaikan dihimpit dan diperah tampak seperti pancake, ia dikenali sebagai Khao Pabpa (N9.32329° E99.78238°) ('Pabpa' dalam bahasa Thai bermaksud "pakaian lipat"). Uniknya batuan seperti ini hanya ada dua sahaja di dunia. Disini (Thailand) dan di New Zealand. Sesuatu yang berbaloi untuk dilawati.

Telaga Air Tawar Di Dalam Laut

Selepas itu kami mengelilingi Koh Tha Rai dan singgah ke sebuah pulau kecil, Koh Nui Nok. (N9.31508° E99.79151°) Pulau ini terkenal dengan air tawar (spring water) yang keluar dari telaga di dalam laut. Ia berada di pinggir pantai dan akan tenggelam apabila air pasang, namun air laut tidak akan merubah rasanya. Air ini terasa payau apabila diminum.

Telaga air tawar di tepi pantai di Koh Nui. Telaga itu kelihatan seperti tapak kaki

Kononnya air tawar ini terjadi berkat keajaiban seorang sami terkenal ‘Luang Pu Tuad’ yang merendam kakinya ke dalam air laut. Keajaiban darinya diabadikan oleh penduduk tempatan dengan membina patungnya dipuncak pulau kecil ini. Pulau ini pada anggaranku berkeluasan ± 0.7 ekar ( ± 80m x 40m). Selepas merasai air dari mata air ini kami naik ke puncak pulau ini dengan mendaki anak tangga yang tersedia bagi melihat panorama sekitar pantai dan lautan berhampiran.

Boleh mendaki naik ke atas pulau

Walaupun tidak dapat melihat dolphin TETAPI dapat mengunjungi tempat yang langka (rare) memang satu pengalaman yang pasti tidak ku lupakan. UNSEEN KHANOM

Menuju Selatan Mencari Penginapan   

Hampir 2 jam juga misi pencarian dolphin. Jam 1.35tgh kami bersiap menuju ke arah Sichon untuk mencari sebuah chalet di tepi pantai dan menikmati makan tengahari. Sichon adalah daerah yang bersempadanan dengan Khanom dan  terletak ±65km dari Don Sak. Ia adalah perkampungan nelayan dan mempunyai pantai yang memanjang mengadap Teluk Siam. Disini pantai-pantainya kurang dikunjungi jadi dapat merasai suasana yang tenang dan boleh merasai suasana kampung. Ramai juga penduduk muslim disini namun kami meneruskan perjalanan ke Selatan setelah tidak berpuas hati tentang lokasi lagipun masih ada masa. Misi kami adalah mencari makanan halal. Kami menuju ke Tha Sala yang majoriti penduduknya adalah muslim.

Tediaaa .. merata dia boh objek ni , dalam bilik pun ada pa

Semasa menelesuri jalan tepi pantai kami singgah ke sebuah pantai, Hat Sai Kaeo (N8.69740° E99.94280°) terlihat sebuah resort unik yang mempamirkan ukiran dan kayu seperti alat kelamin lelaki disekitar resortnya (dari jalan masuk hingga ke halaman – dalam lobi dan bilik tak tau la lagumana - Ish pelik sungguh depa menghargai).

Mencuba menu berbeza

Sampai di Tha Sala kami ke sebuah restoran muslim berdekatan Dan Phasi beach (หาดในถุ้ง ) untuk menikmati makan tengahari yang lewat (4:30petang – waktu Thai). Disini aku berkenalan dengan seorang penduduk Nakhon (Mansor) yang membantu kami terjemah dan order makanan (terima kasih sahabat). Setelah makan kami berehat seketika sambil mencari lokasi hotel dan resort berdekatan untuk bermalam melalui aplikasi.

Kami mengambil keputusan untuk bermalam di Nakhorn kerana mudah mendapat makanan halal dan berdekatan dengan lokasi yang bakal kami tuju besoknya. Perjalanan dari Tha Sala ke Nakhon sejauh ±30 km sahaja. Hujan turun dan kami tetap meneruskan perjalanan ke tempat penginapan iaitu Haru Hara Hotel (N8.41034° E99.92370°). Sebuah hotel yang selesa dan kami diberi honey moon suite yang berharga cuma THB590 sahaja (wow … kat mesia tak dapat la rega ni) ..

Bersambung …..


Pautan Kembara Berkaitan
1. Koh Samui: Day 01 – Singgahan di Nakhon
2. Koh Samui: Day 02 – Selamat Datang Ke Koh Samui
3. Koh Samui: Day 03 – Terpukau di Ang Thong
4. Koh Samui: Day 04 – Unseen Khanom
5. Koh Samui: Day 05 – Nyaman Di Nakhon
6. Koh Samui: Day 06 – Pesona di Pak Pra
7. Koh Samui: Day 07 – Singkapan Sejarah Songkhla

Thursday, July 19, 2018

Koh Samui: Day 03 – Terpukau di Ang Thong National Park

Tarikh       : 26 Jun 2018
Misi          : Overland Thailand: Koh Samui: (24 – 30 Jun 2018)
Laluan      : Chaweng – Nathon Pier – Ang Thong Marine Park
Jarak        :
Coordinate: N9.65816° E99.66662°

Mukadimah

Mu Ko Ang Thong adalah gugusan kepulauan di Telok Siam (Gulf of Thailand). Ia terletak di Barat Laut Koh Samui dan ± 30km dari Koh Samui (Jeti Nathon). Ia telah digazedkan sebagai Taman Laut Negara pada 12 November 1980. Berkeluasan 102km2 dan mempunyai 42 pulau kecil yang berkeluasan 18km2 dari keluasan Taman laut ini. Pulau yag terbesar ialah Ko Wua Ta Lab yang mempunyai puncak tertinggi iaitu 395masl. Pulau-pulau batu kapur yang berceragah dan bertebing, kebanyakan tidak berpenghuni (kecuali di Ko Wua Ta Lap dan Ko Phaluai). Taman laut ini telah diiktiraf sebagai Tapak Ramsar (No. 1184) dalam tahun 2002. Kedudukan pulau dengan arus air yang sentiasa mengalir sangat penting kepada ekosistem yang membolehkan pembiakan terumbu karang dan kelangsungan pembiakan hidupan laut di sini. Di kepulauan ini terdapat beberapa spesis binatang seperti 16 spesis mamalia, ±50 spesis unggas, 14 reptilia dan 5 amphibia. Uniknya ada spesis endemic iaitu sejenis orkid yang hanya boleh didapati disini iaitu Ang Thong Lady’s Slipper Orchid (Paphiopedilum Ang Thong). Taman ini adalah kawasan yang dipelihara oleh itu untuk masuk ke sini dikenakan bayaran sebanyak THB300(pelancong luar dewasa) THB150(kanak) manakala local sebanyak THB40. Hanya operator berlesen sahaja dibenarkan masuk untuk membawa pelancong.

Perjalanan Ke Ang Thong

Untuk makluman, perkhidmatan bot melalui ‘day tour’ ke sini hanya boleh dilakukan dari Koh Samui dan Koh Phangan sahaja. Tiada dari Surat Thani atau Don Sak.

Jam 6.20 pagi kami telah keluar dari hostel menuju ke Faria Halal Food (N9.51455° E100.05052°). Sementara menanti van datang untuk menjemput, kami nikmati dahulu sarapan berat dengan nasi + kengsom + Cha-ron/nasi biryani ayam.

Bot kami yang membawa pelancong l.kurang 30 orang yang kebanyakan adalah pelancong asing

7.30 pagi van datang dan kami dibekalkan nasi biryani ayam untuk santapan tengahari (merarau). Dalam perjalanan ke Jeti Nathon, Van ini menjemput beberapa lagi pelancong dari beberapa hotel.

 

Sebelum menaiki bot kami perlu membayar sebanyak THB300 seorang sebagai ‘bayaran masuk’ ke Taman Laut  dan ‘ditanda’ sebagai ‘pengenalan kelompok’.. Di atas bot sudah tersedia sarapan berupa sandwich tuna, pisang, biskut dan minuman panas - belasahlah sepuasnya. (Tuu pun sampai balik ada lagi tak habis). Bot bertolak pada jam ±8:30 pagi waktu Thailand dan pagi ni lautnya agak beralun, akupun hampir tumbang, nasib baik ada petugas bot yang mengambil berat dan menawarkan ubat mabuk laut kepada penumpang (aku pun tumpang minta sebiji). Bot ini memang slow - perjalanannya lebih 2 jam masa diambil untuk sampai ke destinasi pertama iaitu Ko Wua Ta Lab.

A Landmark Of Ang Thong - Titikpandang yang menerujakan.

Bot tidak dapat menghampiri daratan, jadi dari sini kami menaiki bot panjang(long Tail) untuk ke jeti di Koh Wua Ta Lap (N9.63564° E99.67230°).

Koh Wua Ta Lap adalah pulau terbesar dalam gugusan Ang Thong dan disini ditempatkan pejabat National Park/ranger station/visitor centre dan fasiliti asas. Tersedia juga bungalow untuk penginapan dan restoran. Sewaan khemah (berdua) juga tersedia dengan harga THB250. Walaubagaimanapun bekalan elektrik hanya bermula pada jam 6.00 ptg – 10 malam (melalui generator). Di kawasan Ang Thong ni jangan bimbang tentang liputan internet… laju giler beb bahkan dipulau ini ada Free wifi lagi.

Dihadapan pondok ranjer dan dibelakang sana adalah kantin/restoran

di hadapan Trail head: ada tangga batu yang membawa pelancong ke atas

Tarikan utama disini ialah Pha Jun Jaras viewpoint (N9.63244° E99.67163°) yang berada di ketinggian 500 meter. Dari atasnya dapat melihat hampir kesemua gugusan pulau Ang Thong yang cukup cantik dan menarik dihampari dengan lautan yang menghijau.

Terdapat trail khas untuk ke sana. Ia sejauh 500meter dan memerlukan masa ±1jam (untuk naik/turun). Terdapat 6 level viewpoint disetiap 100 meter dan membolehkan pengunjung berehat seketika sambil menjamu mata akan keindahan pulau pada ketinggian yang berbeza. Pada ketinggian 300 meter – 500 meter terdapat 4 viewpoint pada setiap 50 meter. Pada view point ke 3 – 6 keadaannya agak curam. Sampai diatas memang berbaloi kita berpeluh mendaki. Subhanallah itulah ayat paling sesuai di lafazkan, dari atas ini pemandangan cukup indah menampakkan pulau-pulau yang berada di sekitar.

Untuk mendaki denai ini, siapkan diri anda dengan stamina dan mental. Pakailah kasut yang sesuai (aku jumpa pelancong yang terpaksa menanggalkan slipper kerana asyik tercabut semasa mendaki).

Selepas itu kami dibawa naik semula ke bot untuk menikmati makan tengahari. Aku hanya ambil buah sahaja dan membuka bekalan nasi yang dibekalkan. Tidak beraniku aku menikmati makanan yang dihidangkan dengan ayam kerana kehalalalnya diragui, namun aku tengok ada pelancong Indonesia dan Arab sapu semacam ja. (Bila ditanya memang depa kata halal kerana tiada babi). Pada yang prihatin kepada kehalalan permakanan sila AMBIL PERHATIAN.

Lagun tersembunyi di perut pulau

Koh Mae Ko (Mother Island) (N9.65816° E99.66662°) tersohor dengan tasik hijau yang dikenali sebagai Thale Nai Lagoon. Lagun/tasik air masin yang berkeluasan 17.5 ekar tersembunyi di pulau ini dan bagaikan kawah kerana dikelilingi oleh tebing curam. Ia dihubungkan dengan lautan melalui terusan/terowong bawah tanah. Untuk melihat keindahan Lagun ini, maka bersiaplah diri untuk mendaki tangga yang curam yang hanya sejauh 100 meter ja. Namun kecuraman tangga membuat nafas tercungap-cungap jugalah untuk sampai ke titikpandangnya ( N9.65746° E99.66617°). Titik pandang ini hanya ±50 meter tapi memang berbaloi sampai kesini. Indah menyaksikan tasik hijau bagaikan emerald, dan kita boleh turun hingga ke pelantar yang disediakan di bawah tasik namun tidak dibenarkan untuk berenang di dalamnya.


Memang curan tangga untuk naik/turun ke viewpoint

Selepas turun, aku bersnorkling dahulu melihat terumbu dan ikan yang bermain-main dicelahnya. Kemudian kami berkayak ditepi pulau sambil melihat keindahan batuan tua dan pulau. Kami berkayuh hingga ke satu telok yang mempunyai pantai yang cantik bersih.


Aku terkilan kerana tidak dapat berkayak ke Koh Sam Sao (mungkin tak masuk dalam pakej) melihat kejadian alam yang terhasil dari hakisan dan perubahan masa mewujudkan satu jambatan batu bagaikan arch di lautan.

Pantai yang memutih. Speed boat boleh mampir hingga ke pantai

Selepas itu bot panjang datang mengambil kami di jeti dan membawa kami ke bot besar. Di atas sudah tersedia biskut(ada cop halal), coca cola, ais dan pisang. Dengan lapar dan dahaga, tanpa was-was dan rasa silu, aku sapu sepuasnya. … tapi tak luak pula walau ramai yang berkelaku macam aku. Perjalanan pulang lebih tenang dan aku terelap akibat keletihan. Petangnya kelihatan mendung dan hujan renyai-renyai membuat aku memikirkan semula plan kami untuk ke Koh Tao esoknya.

Sampai dijeti, van sudah sedia menanti dengan memapar nama hotel – (kami lokasi Bangkok Hospital). Van menghantar semua pelancong ke hotel masing-masing dan hujan turun dengan lebatnya. Kami adalah penumpang terakhir dan sampai ke Faria Halal Food pada jam 6.20 petang dan terus pohon keizinan tempat untuk bersolat. Selepas itu kami menikmati makan malam disitu dan pulang selepas kekenyangan.

Selepas berbincang kami terus membatalkan hasrat untuk ke Koh Tao dan tukar haluan ke Khanom untuk melihat dolphin.

Bersambung …..


Pautan Kembara Berkaitan
1. Koh Samui: Day 01 – Singgahan di Nakhon
2. Koh Samui: Day 02 – Selamat Datang Ke Koh Samui
3. Koh Samui: Day 03 – Terpukau di Ang Thong
4. Koh Samui: Day 04 – Unseen Khanom
5. Koh Samui: Day 05 – Nyaman Di Nakhon
6. Koh Samui: Day 06 – Pesona di Pak Pra
7. Koh Samui: Day 07 – Singkapan Sejarah Songkhla

Tuesday, July 17, 2018

Koh Samui: Day 02 – Selamat Datang Ke Koh Samui

Tarikh       : 25 Jun 2018
Misi          : Overland Thailand: Koh Samui: (24 – 30 Jun 2018)
Laluan      : Nakhon Si Thammarat – Khanom – Don Sak – Koh Samui 
Jarak        : 204 km
Coordinate
:
N9.53634° E99.93479°

Jam 6:30 pagi (waktu Thailand) kami bertolak keluar dari Passion Hotel untuk mencari sarapan di jalan menuju Tha Sala. Tiada masalah mencari makanan halal di sini kerana ramai muslim di daerah ini.

Tasik Hijau

Selepas sarapan kami menuju ke Khanom dan singgah di sebuah tasik/kuari tinggalan yang digelar Grand Canyon Khanom ( N9.26219° E99.76381°). Ia terletak di Khuan Thong, Khanom District, Nakhon Si Thammarat 80210, Thailand.

Tidak sukar untuk mencarinya kerana ia terletak di sebelah kiri jalan dari Nakhon ke Don Sak (4142 rural road). Lagipun ada ‘signboard’ jelas dibahu jalan. Tidak pasti samada dikenakan bayaran masuk, kami letak motosikal di sebuah pondok dan berjalan turun ke tasik. Kelihatan berkawan-kawan ikan sedang berenang sambil bermain-main di dalam tasik yang jernih dan menghijau ini. Ditengah tasik ada bonjolan tanah/batu. Persekitaran agak sunyi dan pagi ini hanya kami berdua disini.

Urutan Manja Ikan

Lepas bergambar kami meneruskan perjalanan. Terpandang satu papan tanda lalu masuk menelusuri jalan tanah merah sejauh ± 400 metar. Disini terdapat  lokasi popular baru  untuk beriadah sambil diurut geli oleh Dr. Fish. Ya… SPA ikan dari persekitaran yang semulajadi. Aku rasa nama tempat ini ialah Suan Saran Garden (N9.26675° E99.76397°). Ada beberapa lagi lokasi SPA ikan seperti ini dikawasan berdekatan.

Sungai  yang sama mengalir dari Cho waterfall maka semestinya airnya jernih dan dipenuhi dengan pelbagai ikan. Sungai ini  mengalir dibawah pohon yang rendang dan melalui di celah banir pokok yang tumbuh di kiri, kanan dan tengah sungai. Pelantar kayu dibina ditebing sungai dan dicelah banir bagi mewujudkan satu suasana yang menarik kepada pengunjung.

Hulurkan kaki anda ke dalam air dan sebentar lagi kaki anda akan dikerumuni oleh puluhan ikan (Garra Rufa @ Doctor fish) yang akan mengigit manja seolah mengurut kaki. Pastinya geli tetapi biarkanlah sahaja kerana ia hanya akan memakan daki dan kulit mati di kaki.

Di kawasan ini juga ada tersedia gerai makanan (ada makanan halal). Ianya dibuka dari jam 8.00 pagi – 6.00 petang setiap hari dan bayaran masuk THB20 seorang. Biasanya ramai pengunjung pada sebelah petang tapi Alhamdulillah … hanya kami berdua disini, maka dapatlah  menikmati privasi sepuasnya tetapi kami tidak boleh lama kerana ingin mengejar feri ke Koh Samui.

Pulau Kecil Dihujung Tanjung

Sebelum menaiki feri kami ke hujung tanjung untuk ke sebuah pulau kecil iaitu Ban Koh Rat (N9.32968° E99.70337°). Pulau ini dianggarkan (dari peta garmin) selebar 200m dan sepanjang 350m. Aku mendapat maklumat bahawa terdapat jambatan kayu yang panjang menghubungkan pulau ini dengan tanah besar. Tetapi kini jambatan itu telah digantikan dengan jambatan batu sepanjang ±700 meter. Jambatan ini diberi nama ‘Chaloem Sirirat Bridge’. Ia dibuka secara rasmi pada 13 Julai 2010 dan dirasmikan oleh puteri raja, Her Royal Highness Princess Chulabhorn Mahidol.

Pulau ini didiami oleh penduduk etnik cina yang kebanyakkannya adalah nelayan. Terdapat kurang dari 100 buah rumah di pulau ini. Terdapat jalan batu sejauh ±900 meter yang dibina mengelilingi pulau. Kami menelusuri jalan ini dan melalui celah perkampungan sambil disambut dengan senyuman mesra dari penduduknya. Terdapat formasi batuan/karang di bahagian Timur Laut hingga Utara pulau.  Di Bahagian utaranya ada viewpoint (sebuah pondok) yang digunakan oleh pelancong untuk melihat matahari terbit dan terbenam disamping dapat melihat panorama indah lautan. Terlihat disana Koh Samui dan beberapa gugusan pulau berhampiran.

Ada beberapa buah chalet di atas pulau ini. Selain menyediakan penginapan mereka juga menawarkan perkhidmatan bot untuk melihat dolphin di kawasan berhampiran. Uniknya ada telaga air tawar di dalam laut. Kononnya seorang sami terkenal telah menyentuh kakinya ke dalam laut lalu air masin bertukar menjadi air tawar di kawasan itu.

Feri Ke Koh Samui

Kemudian kami bergegas balik ke daratan dan singgah seketika di Hug Village yang menjadi antara tarikan terbaru di Don Sak. Ia seperti dunia Belanda di Thailand. Selain menyedia penginapan ia juga menjadi tempat eco pelancongan dengan binatang ternakan seperti kambing, kuda ,lembu dan lain-lain lagi. Bayaran masuk ialah THB200 (dewasa) dan THB120 (kanak-kanak). Sempat berbual dengan penjaga tiket seorang muslim yang boleh bertutur bahasa melayu. Kami tidak masuk dan hanya bergambar dipintu masuk kerana ingin mengejar feri.

Kami sempat menaiki feri pada jam 11.00 pagi dari Jeti Seatran (N9.32117° E99.73530°). Kami dikenakan tiket sebanyak THB330 (THB190 + THB140). Ringkasan kadar tiket seperti berikut:-

1

Passenger per pax

140.00

2

Children with a height exceeding 100 cm. but not exceeding 120 cms.

70.00

2

Bicycle and Motorcycle with rider

190.00

4

Big bike with rider

240.00

5

Trailer motorcycle with rider

240.00

6

3-wheel Car,4-wheel Car, Van or Pick-up with driver

450.00

Semua penumpang perlu turun dan naik secara berasingan ke dalam feri. Feri ini memang selesa dan tersedia banyak tempat duduk/kerusi di ruang terbuka dan yang berhawa dingin. Ada kantin yang menjual makanan ringan dan minuman. Air panas percuma tersedia untuk penumpang membancuh air (3-in-one) atau memasak mee yang dijual di kantin. Secara sembunyi aku mengeluar maggie dan Indo coffee dari bag (Syyy … ambil kesempatan dari kemudahan yang tersedia)

Perjalanan dari Jeti Donsak ke jeti Nathon (sejauh ± 15 batu laut nautika atau 25.5 kilometer) mengambil masa ± 1 jam 30 minit. Aku mengambil kesempatan ini untuk berehat sambil lelap seketika di kawasan berhawa dingin sambil mengecaj telefon bimbitku.

Kampung Melayu di Koh Samui

Koh Samui terletak di Teluk Siam dan adalah pulau yang kedua terbesar di Thailand selepas Phuket. Berkeluasan 228.7 km2 dan  dengan status perbandaran (locally self-governing) maka tidak hairanlah sektor pelancungan telah melonjak namanya dan telah memberi kesan kepada pembangunan yang pesat di pulau ini.( rasa macam dok Langkawi pulak)

Sesampai di Koh Samui, kami menghala ke bahagian Tenggara Koh Samui untuk mencari sebuah perkampungan melayu berhampiran Hua Thanon. Kami menuju ke Melayu Samui Seafood & Resort (N9.43927° E100.02193°) untuk menikmati makan tengahari. Berehat seketika selepas menikmati hidangan tengahari yang enak sambil mencari-cari nama hotel yang bakal kami tempah.

Kemudian kami singgah seketika di Masjid Nurulihsan @ Koh Samui Central Mosque (N9.44002° E100.02230°). Dikawasan ini ramai komuniti islam, jadi tidak ada masalah untuk mencari makanan halal dan kebanyakan penduduknya boleh bertutur bahasa melayu. Masjid ini menjadi pusat pertemuan masyarakat islam di Koh Samui dan dihadapannya ada sekolah agama.

Bermalam Di Chaweng

Kami mengambil keputusan untuk menginap di Chaweng kerana ia adalah pekan yang terbesar di Koh Samui dan ‘happening’ lagipun mudah untuk mendapatkan makanan halal. Kami meronda sekitar jalan dan singgah bertanya beberapa hotel yang bersesuaian dan yang penting murah & selesa (nak tidoq ja ….). Akhirnya kami menginap di Fanta Hostel (N9.51944° E100.05661°)  berdekatan Verticolor. Sewaan sebanyak THB500 sahaja. Penginapan yang sederhana dengan bilik yang agak luas tetapi style lama,  ada air panas dan beraircond. Hostel ini boleh dikatakan berada dalam kawasan pesat dan mudah untuk akses kepada makanan halal.

Batu Bertindan

Selepas selesaikan urusan ‘wajib’, kami keluar semula untuk meneroka beberapa tempat sekitar Lamai dan Chaweng. Kami menuju ke satu view point menarik iaitu Overlap Stone (N9.46027° E100.02969°) yang terletak berhampiran Lamai Beach

Untuk kesana perlu melalui sebatang jalan bersimen yang curam sejauh ± 1km. Kami meletak motosikal disebuah kawasan yang dikhaskan dan berjalan sejauh ± 250 meter melalui kawasan kebun kelapa  dan melewati sebuah rumah penduduk. Berhampiran rumah ini ada sebatang jambatan yang menghubung ke batu ini. Tidak ada bayaran masuk dikenakan cuma terdapat kotak derma di permulaan jambatan.

Overlap stone ini berada pada ketinggian 160 meter dari aras laut. Ia setinggi 10 meter dan bersusun di atas sebuah batu lain.Dari sini dapat menikmati pemandangan indah Lamai beach dan kawasan sekitar. Selepas selesai bergambar dan menikmati pemandangan, kami berjalan turun dan ke satu lagi view point yang cantik berdekatan tempat letak motosikal.

Perlu berhati-hati semasa penurunan terutama jika hujan kerana jalan yang curam dan licin.

Formasi Batuan di Pantai Lamai

Kemudian kami ke Hin Ta & Hin Yai (N9.45232° E100.03953°). Formasi batuan unik hasil dari tindakbalas alam. Formasi batuan ini hampir menyerupai alat kelamin lelaki dan perempuan, oleh itu ia dikenali sebagai Grandpa (Ta) & Granma (Yai). Ia kini menjadi tarikan pelancong jika datang ke Koh Samui.

Hin Ta

Hin Yai

View point berdekatan Lamai Beach

Tidak sukar untuk kesini kerana ada papantanda yang jelas dan bayaran masuk ‘macam’ percuma. Disamping itu ada banyak batuan menarik yang boleh dijadikan subjek untuk berfoto.

Kemudian kami menuju ke Lad Koh Viewpoint (N9.49832° E100.06000°) atau dikenali juga sebagai "Zenith Viewpoint". Titikpandang terbaik untuk melihat panorama lautan. Terletak ditengah-tengah antara Chaweng Beach dan Lamai Beach. Ada laluan dibina untuk turun ke pantai sambil dapat melihat formasi batuan tua yang bagaikan dikelar. Kelihatan penduduk tempatan beristirehat bersama keluarga dan ada yang memancing ditebing batu.

Selepas itu kami mencari kedai makan muslim iaitu Faria Halal Food (N9.51455° E100.05052°) yang jaraknya cuma 2.4km sahaja dari hostel kami. Ia terletak berhadapan Bangkok Hospital. Chaweng.

Sebelum ke Koh Samui, kami dinasihatkan oleh sahabat untuk mendapatkan perkhidmatan feri ke Ang Thong Marine Park melalui mereka kerana mereka menyediakan makanan halal. Kami booking tempat untuk program keesokan hari. Bayaran dikenakan sebanyak THB 1,600 seorang.

Sebenarnya ada lagi perkhidmatan yang lebih murah dari tour ejen lain (kena rajin cari) bahkan dapat naik speed boat lagi dan kita boleh request halal food atau bawa bekal sendiri.

Malamnya kami ronda sekitar Chaweng sambil menikmati roti (pan cake) yang kebanyakan diusahakan oleh pelarian Rohingya (UNHCR) yang beragama islam

Bersambung …..


Pautan Kembara Berkaitan
1. Koh Samui: Day 01 – Singgahan di Nakhon
2. Koh Samui: Day 02 – Selamat Datang Ke Koh Samui
3. Koh Samui: Day 03 – Terpukau di Ang Thong
4. Koh Samui: Day 04 – Unseen Khanom
5. Koh Samui: Day 05 – Nyaman Di Nakhon
6. Koh Samui: Day 06 – Pesona di Pak Pra
7. Koh Samui: Day 07 – Singkapan Sejarah Songkhla