Tuesday, March 03, 2015

Sumatera Utara: Kembara Wisata Alam – Keunikan Pulau Mursala

Tarikh : 19 Februari 2015
Lokasi : Sibolga – Mursula Island – Sibolga
Jarak : 97.5 km
Coordinate : N1° 41.836' E98° 27.065'

Day 3

Kami tiba ke Kota Sibolga pada jam 12.10 pagi (waktu Indonesia) lalu ke penginapan kami di Hotel Utara Indah (N1° 44.414' E98° 46.668') di Jalan Ahmad Yani. Sempat meronda di Sibolga Square yang berada dihadapan hotel kami. Medan Selera yang menjual pelbagai juadah makanan. Dibuka dari jam 7.00 malam hingga 4.00 pagi (wow!).

Kota Sibolga terletak di pantai barat Pulau Sumatera dan berada di dalam kawasan Teluk Tapian Nauli. Kota berkeluasan ± 35.36 kilometer persegi. Letaknya  350 km dari Medan.

Kedudukannya yang strategik menjadi titik pertemuan perjalanan ke Acheh atau kepulauan di Sumatera Barat. Tidak hairanlah ia dikenali sebagai ‘Negeri Berbilang Kaum’ kerana situasinya yang menjadi tumpuan penduduk dengan mempunyai pelbagai suku etnik seperti Banjar, Jawa, India, Simalungun, Cina, Bugis, Batak, Minangkabau, dan Melayu.

Bangun paginya,  aku meronda pinggiran Kota Sibolga yang terletak berhampiran teluk. Banyak bangunan lama yang aku saksikan dan tidak sempat menikmati sarapan pagi dengan makanan tradisi mereka.

Menuju Mursala

Jam 11.00 pagi (hmmm lewat sangat ooo ..) kami bertolak dengan bot nelayan. Sepatutnya kami diberikan bot dolphin yang selesa dan dilengkapi dengan peralatan keselamatan dan snorkeling.

Pulau Mursula (N1° 41.836' E98° 27.065') terletak dilautan Hindi dan berada di antara Pulau Sumatera dan Pulau Nias. Terletak di sebelah barat daya kota Sibolga. Jauhnya ± 38km dari Kota Sibolga atau 3 jam perjalanan. Pulau ini juga dikenali sebagai Mansalaar Island, merupakan pulau terbesar yang dimiliki Kabupaten Tapanuli Tengah. Terdapat gugusan pulau lainnya seperti Pulau Setungkus atau nasi bungkus, Pulau Tarika atau setrika, Pulau Talam, Pulau Silabu-labu, Pulau Puti, Pulau Silabu Na Godang, Pulau Kalimantung Na Menek, Pulau Jambe, dan banyak lagi pulau yang kebanyakannya tidak berpenghuni.

Sebelum tiba ke Pulau Mursala kami singgah dahulu ke Pulau Putri (N1° 38.730' E98° 35.838') Sebuah pulau kecil berkeluasan ± 2 km persegi. Sebuah pulau yang pesonanya cukup indah. Hamparan pandai indah yang dapat menyaksikan samudra luas(Lautan Hindi) sambil menghirup udara segar. Pantainya berpasir putih dan air lautnya yang membiru. Sangat cocok untuk melakukan aktiviti pantai seperti memancing, berenang, snorkling dan sebagainya. Beraneka ikan yang mudah memakan umpan dan nikmatilah pemandangan di bawah airnya yang indah dengan hidupan laut dan terumbu karang. Di pulau tersedia penginapan sederhana berupa chalet (agak terbiar kini).

Satu ketika dahulu ada sumber matair tawar disini. Namun setelah berlaku Gempa bumi Acheh pada tahun 2004, tiada lagi sumber matair di sini

Selepas bersolat, bergambar dan menikmati sepuasnya keindahan pulau ini lalu kamipun bertolak ke Pulau Mursala yang terletak ± 18km dari Pulau Putri atau memakan masa ± 1 jam lebih dengan bot nelayan.

Pulau Mursala adalah pulau yang paling besar dalam gugusan pulau ini dan juga tidak berpenghuni. Keunikan Pulau ini ialah air terjunnya yang langsung jatuh ke laut. Ketinggian air terjun ini ± 35m. Airnya mengalir pada batuan granit di tebing pulau dan langsung jatuh tercurah ke permukaan Lautan Hindi dengan bunyi bergemuruh. Fenomena alam sebegini hanya ada beberapa sahaja di dunia. Ia amat unik dan sangat ‘rare’ . Hanya ada 2 sahaja air terjun sebegini di Indonesia. Satu lagi ialah Kahatola waterfall di Maluku. Yang lainnya seperti Kilt Rock Waterfall (55m) di Scotland, Stirling Falls(155m) Milford Sound, Fiordland, New Zealand dan Jeongbang waterfall (23m) di Pulau Jeju, Korea Selatan.

ANGKER! … MISTERI & MISTIK

Kami dinasihati untuk tidak mendekati Pulau ini. Menurut Jurumudi bot, pernah berlaku ‘kesurupan’ sebelum ini.

Air terjun Pulau Mursala berasal dari aliran sungai terpendek di dunia. ( Panjangnya ± 700 meter dan lebar 400 meter). Ada penduduk mendakwa sumber airnya berasal dari Danau Toba. Ini berdasarkan penemuan jerami di aliran air terjun pada musim menuai padi di kawasan danau Toba. Tapi ada juga yang menyebut, airnya berasal dari sebuah sungai yang membelah Pulau Mursala (Wallahu a'lam). Pulau ini pernah dijadikan sebagai lokasi untuk penggambaran filem King Kong tahun 1933.

Jam 6.00 ptg kami bertolak balik dan sampai ke jeti dalam pukul 9.30 malam. Fuhhh … hampir 11 jam dilambung ombak !!! Tidak sempat singgah ke beberapa pulau lagi seperti dijanjikan kerana kesuntukan masa

Selepas makan malam bertolak  ke Parapat. Singgah di sebuah lokasi yang dikenali sebagai Batu Lobang

Terowong Batu Lobang  terletak di Km 8, Kawasan Dusun Simaninggir, Desa Bonandolok, Kecamatan Sitahuis. Jarak perjalanan sekitar 15 minit dari  Kota Sibolga.

Terdapat 2 terowong Batu Lobang dan terletak berdekatan. Batu Lobang pertama (N1° 45.860' E98° 47.917') panjangnya ± 10 meter. Di atasnya ada air terjun. Manakala Batu Lobang kedua (N1° 45.958' E98° 47.861') lebih pendek ± 8 meter. Jalannya sempit dan hanya boleh dilalui oleh sebuah kenderaan sahaja.

Dibina di Era zaman kolonial Belanda dengan  mengerah rakyat Tapanuli (khususnya warga Sibolga dan Tapanuli Tengah) serta pejuang – pejuang kemerdekaan yang menjadi tawanan Belanda masa itu. Tujuan pembukaan Batu Lobang itu adalah untuk mempermudah perjalanan menuju Tarutung sekaligus juga untuk mempermudah pengangkutan hasil bumi dari tanah Batak dan menumpaskan perjuangan  pejuang kemerdekaan Indonesia.

Konon ceritanya pembinaan yang mengorbankan banyak nyawa, sebab itu ada unsur mistik disini.


Pautan Kembara Berkaitan

1. Sumut: Kembara Wisata Alam – Day 1
2. Sumut: Kembara Wisata Alam – Day 2
3. Sumut: Kembara Wisata Alam – Day 3
4. Sumut: Kembara Wisata Alam – Day 4
5. Sumut: Kembara Wisata Alam – Day 5
6. Sumut: Kembara Wisata Alam – Day 6

1 comment: