Tarikh : 21 Mac 2015
Lokasi : Gunung Jerai , Kedah Darul Aman
Jarak : 35 km
Coordinate : N5° 45.130' E100° 22.144'
Trek mengelilingi Gunung Jerai ini pernah di terokai oleh sdr Abdul Shukur sekitar tahun 2005/2006. Ada beberapa trek yang telah diterokanya pada masa tersebut. Beliau pernah membawa beberapa group menelusuri trek ini.
Saudara Abdul Shukur adalah salah seorang sahabat lamaku. Kami pernah sama-sama bergiat di dalam Persatuan Rekreasi Kedah (ReKe) suatu ketika dahulu (awal 90an). Beliau berpeluang mendaki dan menjelajah beberapa gunung terutama gunung Jerai berbanding aku yang terpaksa melupakan aktiviti ini atas komitmen keluarga.
Baru-baru ini beliau telah memasuki sebahagian trek ini dengan group pacuan 4 roda. Ini menyebabkan keinginannya untuk meneroka semula trek ini meluap-luap. Sehubungan dengan itu beliau telah mengajak aku untuk mencari semula trek ini.
Hari ini aku, Art TTBC dan Abdul Shukor Asja (Kort) memulakan kayuhan dari kediaman Kort di Kampung Titi Serong, Yan, Kedah. Menelusuri laluan bendang, memasuki kawasan hutan getah, merentas ladang kelapa sawit dan dusun, menikmati segarnya bayu laut di laluan tepian pantai. Cabaran sebenar bermula di kawasan Tanjung Jaga dimana kami mendaki bukit yang agak mencanak sejauh ±2km. Dilaluan ini tenaga dikerah, penat tak terkira, keringat membasahi baju, beberapa kali aku berhenti menarik nafas, melepas lelah sambil mengumpul semula tenaga untuk sampai ke puncak. Sampai dipuncak pada ketinggian 255 meter, kami berehat seketika, membuka bekalan sambil menghilang dahaga. Dari sini habuan menanti setelah penat mendaki, lebih 4 km penurunan yang menerujakan. Terpaksa berpatah balik setelah basikalku beberapa kali pancit. Kami tiba kembali ke tempat permulaan pada jam 4.15 petang ( Fuhhh!.. 8 jam perjalanan .. nasib baik bawa bekalan makanan)
Sesungguhnya kayuhan hari ini telah membuka semula laluan lama yang tertutup ( kami meredah sambil menebas). Ada lagi fasa seterusnya untuk diterjah bagi melengkapkan jalinan kayuhan sejauh lebih dari 65 km yang mengelilingi Gunung Jerai dengan melalui pelbagai pola mukabumi dan lanskap tanaman. INSYAALLAH
laluan terhakis dek air hujan
Kawasan hutan renek
semak semakin meninggi – tersasar beberapa kali dan terpaksa menebas sebahagian laluan
melintas parit yang dalam
Kawasan pantai
Meredah melepasi halangan di tanah persendirian
Kawasan yang terbakar atau dibakar ? Sayang sekali
No comments:
Post a Comment