Sunday, March 01, 2015

Sumatera Utara: Kembara Wisata Alam – Yang ‘Langka’, Yang Unik

Tarikh  : 18 Februari 2015
Lokasi :  Parapat – Porsea – Sipoholon-Tarutung - Sibolga  
Jarak   :  280 km 
Coordinate :

Day 2

Ponot Waterfall  (N2° 33.301' E99° 18.286')

Awal pagi selepas sarapan kami memulakan perjalanan menuju ke arah Porsea sejauh ± 36km. Belok ke kiri memasuki jalan kawasan perindustrian dan projek janakuasa elektrik milik Jepun. Laluan luarbandar sejauh ±40km yang kadangkala berbatu untuk menikmati keindahan air terjun eksotik yang terletak di Desa Tangga, Kecamatan Aek Songsongan iaitu Air Terjun Ponot.

Air Terjun Ponot adalah salah satu dari begitu banyak air terjun yang terdapat di Kabupaten Asahan. Air terjun 3 tingkat dengan ketinggian keseluruhan ± 250 meter yang menjadi antara air terjun tertinggi di Indonesia. Kedudukannya yang agak terpencil dan keadaan jalan yang tidak ‘mulus’ membuat air terjun ini jarang dikunjungi oleh pelancong.

Kota Siborong Borong – jumpa banyak beca seperti ini. Vescak (Vespa Becak) dimana vespa diubahsuai dan digunakan sebagai alat pengangkutan seperti beca. Sebenarnya VESCAK cukup popular di Kota Padang Sidempuan, Tapanuli Selatan. Manakala di Siantar ada becak mesin yang menggunakan motor BSA tua.

Sipoholon Hotspring (N2° 04.488' E98° 56.719')

kolam mata air panas

Jam 11.00 pagi bertolak ke Sipoholon  yang terletak ± 105km untuk mengunjungi objek wisata air panas di Kota Tarutung, Tapanuli Utara

Air panas bersuhu ± 70º C yang datang dari kolam dari bukit batu kapur. Kami mendaki bukit kapur ini untuk melihat fenomena  yang membentuk ukiran alam yang indah. Air panasnya yang mengandungi sulfur dipercayai dapat menyembuhkan berbagai penyakit kulit disamping dapat menjadikan kulit lebih halus dan cerah (dengan izinNYA).

Keunikan bukit kapur

Keindahan Bukit Kapur ini MUNGKIN akan terancam kerana penduduk mula mengorek bukit-bukit bagi mendapatkan batu kapur untuk dijual ke Medan. SAYANG sekali jika keindahan & keunikan alam ini dirosakkan oleh tangan manusia.

Dibelakang sana banyak pengusaha rumah permandian suana

MUSNAH – Bukit ditarah & dikorek – memusnahkan keindahan bukit

Hujan yang turun menyebabkan kami tidak dapat berada lama disini.

Permandian Air SODA  (N2° 00.034' E98° 57.946').

Dari Sipoholon kami bergerak ±13.5km menuju ke Desa Parbubu, Tapanuli Utara untuk ke Pemandian Air Soda.  Kami sampai pada jam 3.45 petang dalam hujan yang renyai.

Kolam mandian yang dikelilingi panorama indah sawah dan bukit bukau. Lebihan air dialirkan ke outlet

Punca mata air di dalam kolam yang mengeluarkan buih-buih kecil yang bersoda

Permandian air soda ini sangat unik kerana ia adalah matair panas yang keluar dari perut bumi dengan buih halus dengan rasa seperti ‘sprite’ (sebab itu ia digelar permandian air soda). Sumber mata airnya yang sentiasa mengalir keluar dan ditampung dengan membuat kolam. Kecantikannya terserlah dengan panorama sawah padi dan berlatarkan gunung yang menghijau pasti menenangkan jiwa. Keunikan alam yang sebegini hanya ada 2 sahaja di dunia. Selain di Desa Parbubu, satu di Venezuela, Amerika Selatan. Walaupun hujan aku tidak melepaskan peluang untuk merasai dan menikmati khazanah alam ini. Terasa pedih mata bila menyelam disamping menyengat hidung. Walaupun seperti bersoda namun airnya tidak melekit di badan, badan terasa segar dan ringan.

sedang menuramah Mbah Tobeng mengenai mata air ini

Pemandian Air Soda ini ditemui pada tahun 1976 oleh Minar Sihite @ Mbah Tobeng secara tidak sengaja apabila sedang mencangkul tanah lalu menemukan aliran air soda yang keluar dari semak belukar. Beliau yang juga seorang bidan mendapat alamat melalui mimpi dan selepas itu beliau mula menjadikan kawasan ini sebagai lokasi permandian.

Sejuk bangat - Senja di Hutan pinus

Selepas itu kami bergerak ke arah barat menuju ke Kota Sibolga (N1° 44.417' E98° 46.667') yang mengadap Lautan Hindi. Perjalanan malam yang membosankan dilaluan yang sungguh mencabar. Jalannya yang teruk, sempit, berlubang-lubang  dan cabaran semasa berselisih dengan kenderaan atau ingin memotong. Jaraknya hanya ±65km namun kondisi jalan menyebabkan perjalanan mengambil masa hampir 4 jam.


Pautan Kembara Berkaitan

1. Sumut: Kembara Wisata Alam – Day 1
2. Sumut: Kembara Wisata Alam – Day 2
3. Sumut: Kembara Wisata Alam – Day 3
4. Sumut: Kembara Wisata Alam – Day 4
5. Sumut: Kembara Wisata Alam – Day 5
6. Sumut: Kembara Wisata Alam – Day 6

No comments:

Post a Comment