Monday, January 26, 2015

Gunung Jerai: Meninjau Kesinambungan Trek Terjunan (DH)

Tarikh  : 24 Januari 2015
Lokasi :  Kampung Setar, Yan, Kedah Darul Aman, Malaysia    
Jarak   :  5.6 km 
Coordinate : N5° 48.651' E100° 25.024'

Bukan material yang dicari, tidak juga nama tetapi berbekal semangat kental dan minat yang mendalam telah mendorong sekelompok peminat MTB (dikenali sebagai KeDH) mencari sesuatu kelainan trek untuk mencabar diri disamping memupuk keyakinan, keberanian dan mengasah skill. Banyak sudah tempat yang dicuba, banyak jua kejohanan disertai. Ternyata Gunung Jerai mempuyai keistimewaan tersendiri. Gunung Jerai adalah  trek DH tertinggi di Malaysia yang mempunyai kemudahan pengangkutan (akses) hingga ke puncak (tempat permulaan) maka setiap minggu, ada sahaja permintaan dari peminta DH seluruh Malaysia untuk merasai nikmatnya penurunan di sini.

Kini sudah ada 3 Trek ‘terjunan bukit’ di Gunung Jerai yang sering digunakan: -

1. Resort ke Titi Hayun  sejauh 8km
2. Resort ke Sri Perigi   sejauh 5km   
3. Muzium ke Sri Perigi  sejauh 5 km 

Tidak puas dengan yang ada, Resort ke Merbok sejauh 9 km sudah diterokai (KLIK) namun ada beberapa perkara perlu di beri perhatian maka trek ini ditangguhkan dahulu penggunaannya.

Sebermula disini – Mata air

Hari ini aku bersama saudara Md. Nasron aka Lontruth dan saudara Syukor Asja (yang berpengalaman dan mempunyai pengetahuan mendalam meengenai laluan sekitar Gunung Jerai) mencari kesinambungan laluan Trek Sri Perigi. Kalau dahulu trek ini berakhir di Sungai Setar dan terpaksa memanjat tebing yang tinggi untuk turun ke kawasan air terjun Sri Perigi (N5° 48.584' E100° 24.455'). Hari ini kami akan terokai laluan pilihan yang bersesuaian dan menurun ke Kampung Setar pula.

Kami bermula dari Taman Rimba (N5° 48.372' E100° 25.923') pada jam 10.20 pagi. Kami menelusuri trek Sri Perigi ini sejauh ± 2.5 km sehingga ke air terjun Sungai Setar (N5° 48.651' E100° 25.024') berehat seketika dan dari sini kami akan mencari laluan yang bersesuaian untuk turun ke kampung Setar. Semak dan hutan kami redah untuk merintis denai disamping memasang penanda (marking). Kami secara daya upaya ingin mengelak dari mengikuti aliran sungai. Kami hampir buntu apabila mendapati laluan ini banyak berakhir dikawasan yang berbatu hampar, curam, semak dan dihalangi dengan balak yang tumbang. Namun berkat kemahiran saudara Abdul Syukur mengesan dan menjejaki laluan, akhirnya berjaya menjumpai kawasan dusun dan seterusnya menyusur keluar dan berakhir di kawasan Tahfiz Al-Fityan di Kampung Setar. Alhamdulillah sesungguhnya pencarian hari ini dipermudahkan olehNya dan kami mengakhiri misi pada jam 1.30 tengahari tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Trek Sri Perigi – Lama

Nampak curam – Namun boleh dilakukan jika ada keyakinan

CP1 – Sungai Setar. Tak Perlu cross sungai dan mendaki tebing untuk ke Sri Perigi

Pathfinder - Membuat tanda

Pengakhiran – Tahfiz Al Fityan

Tuesday, January 20, 2015

Sungai Baling: Berkayak Menghayati Alam

Tarikh :  18 Januari 2015 
Lokasi :  Kampung Lalang, Ulu Legong, Baling, Kedah
Coordinate: N5° 47.721' E100° 54.109'

Kayak

Teruja dengan posting sahabatku, Shukri anak Siong yang berkayuh di sungai Baling tempohari, meruntun hatiku untuk menyahut cabaran merasai pengalaman berkayak di Sungai Ketil @ Sungai Baling. Lantas aku menghubungi Cikgu Ahmad Nazit Bin Rashid atau lebih mesra dikenali  Jack Baling dari Kayak Baling. Cuti hari ini sempena Hari Keputeraan KDYMM Sultan Kedah kali ke 87 digunakan sepenuhnya untuk menikmati aktiviti ini.

Jack Baling

Kayak Baling dimiliki dan diurus oleh saudara Jack. Beliau memulakan operasi kayak ini sejak bulan Disember 2014 lalu. Beliau melabur sejumlah wang demi untuk merealisasikan penubuhan Kayak Baling ini. Berkat minat, pengalaman dan usaha gigih beliau maka sukan rekreasi sungai ini sudah mula di ikuti/ceburi kalangan orang ramai.

Cabaran berkayak sejauh 22 kilometer menyusuri Sungai Ketil ini bermula dari Kampung Lalang ke Kampung Tok Weng, Pekan Baling. Ekpedisi (XPDC) ini adalah yang ke 2 di anjurkan olehnya dan berjaya menarik penyertaan seramai 23 orang. Peserta  dikenakan bayaran sebanyak RM75.00 (harga asal RM85.00) yang meliputi kayak dan kelengkapannya, makan pagi & tengahari, river guide, bekalan air mineral, roti dan buah, pengangkutan ke tempat permulaan.

Aku bersama Rohizam bertolak dari Alor Setar pada petang hari sebelumnya dan menginap di Kompleks Rakan Muda Baling (N5° 39.392' E100° 52.543'). Aku meminta Jack untuk mengurus penginapan kami di sini. Bilik berdua ber-aircond dengan harga sebanyak RM42.00 sahaja. Esok paginya kami ke rumah Jack yang juga menjadi stor kayak yang terletak di simpang Telok Teduri (N5° 39.582' E100° 54.153'). Semua peserta akan bekumpul dan mendaftar. Disini kami dijamu dengan kuih muih dan nasi lemak. Selepas selesai mendaftar dan memuat kayak ke atas lori, kami pun dibawa ke Kampung Lalang (N5° 47.721' E100° 54.109') yang terletak ± 18km dari pekan Baling. Ia terletak ± 6km dari Ulu Lengong Hotspring.

Disini kami diberi penerangan tentang teori cara-cara mendayung dan aspek keselamatan dan sedikit praktikal. Selepas bacaan doa, maka kamipun memulakan kayuhan pada jam 9.40 pagi. Mendayung di Sungai Ketil atau lebih dikenali sungai Baling yang berarus. Sungai ini dikategorikan sebagai kelas 1 hingga kelas 2.

Di awal permulaan memudik di sungai yang jernih airnya namun hujan lebat tempohari menyebabkan banyak ‘reba’ terutama pokok buluh. Kayak aku beberapa kali terbalik apabila terlanggar tunggul atau terlanggar reba buluh ini. Dibebarapa tempat kami terpaksa berhenti kerana terhalang dengan pokok yang tumbang dan di beberapa tempat yang arus sedikit deras. Berhenti dibeberapa tempat untuk rehatkan badan dan melapik perut dengan bekalan yang diberi. Apabila kami memasuki kawasan perkampungan suasana mula berubah. Sampah sarap dibuang dipinggir sungai dan secara langsung mencemarkan sungai ini. Namun berhampiran pekan Baling air semakin cetek dan pemandangan indah dengan berlatarkan gunung Baling. Terik panas memerit kulit kerana kawasan sini agak terbuka. Kami sampai ke Kampung Tok Weng (N5° 39.977' E100° 54.258') yang menjadi tempat perhentian/penamat pada jam 3.45 petang. Setelah memuat kayak ke lori kami dibawa ke rumah Jack yang terletak ± 1.5 km sahaja. Kami menurunkan dan membasuh kayak dan menyimpan ke dalam setor sebelum menikmati makan tengahari yang lewat dengan hidangan yang lazat. Walau keletihan namun semua gembira.

Insyaalah beberapa siri penjelajahan sungai sekitar Baling dan beberapa tempat lagi akan diteruskan demi untuk memertabat dan memberi pilihan kepada peminat sukan air. Pada yang berminat untuk menyertai xpdc ini bolehlah hubungi:-

Jack Baling/Kayak Baling019-503 4132 
Minima  : 10 pax
Maksima: 20 pax

River Guide – yang mengawasi & membantu kami

Mereka akan memastikan keselamatan terutama ditempat bahaya

termasuk dalam pukat pulak

Chandek – sejenis alat menangkap ikan. Arus deras - tidak sempat mengelak masuk ke laluan Chandek

Membuang batang buluh yang boleh membahayakan peserta dan menyekat laluan

Terbalik adalah lumrah

sisa sisa pokok yang dihanyutkan

CP di beberapa tempat – ikut ‘dan’

mengelak halangan pokok yang tumbang

Pokok yang besar menghalang laluan – terpaksa angkat kayak

redup, sejuk, indah & permai

Penduduk yang sedang memasang pukat di chandek

Santai

Riang

Rehat

Indah berlatarkan gunung Baling

Cetek tapi cantik disini

Wednesday, January 14, 2015

Kelantan: Misi Bantuan Banjir 2015

Tarikh :   8 – 10 Januari 2015 
Lokasi :  Dabong, Kemubu, Laloh, Lata Rek & Pasir Mas
Coordinate: N5° 22.578' E102° 00.504'

Setiap kali hujung tahun, hujan yang turun pasti akan mengundang banjir. Namun hujan lebat yang turun berturut-turut pada minggu terakhir tahun 2014 telah menyebabkan negeri dipantai Timur dilanda banjir yang luarbiasa. Negeri Kelantan lumpuh seluruhnya apabila semua jajahan iaitu, Gua Musang, Kuala Krai, Jeli, Kota Bharu, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah dan Tumpat ditenggelami air. Kemusnahan akibat banjir di Kelantan adalah sangat besar. Ia dianggarkan kerosakan berjumlah hampir 1 bilion (RM932.4 juta). Manakala hampir 38,382 orang mangsa banjir ditempatkan di 827 pusat pemindahan.

Perlepasan oleh YB. Dato’ Suraya Binti Yaacob, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita & Keluarga, Pengerusi Jawatankuasa Kebajiakan Masyarakat, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan

Pelbagai pihak mula menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir. Tidak ketinggalan pihak SUK Kedah dan KCS telah mengambil inisiatif segera dengan menggerakan satu misi yang melibatkan 72 orang sukarelawan dari pelbagai agensi Kerajaan Negeri. Misi tiga hari memberi tumpuan kepada agihan barangan kepada mangsa banjir dan pembersihan di sekitar daerah Dabong. Aku menawarkan diri untuk menyertai misi ini bagi melihat sendiri kesan-kesan banjir yang melanda negeri Kelantan selain menawar bantuan yang diperlukan.

Konvoi kami tiba di Jelawang pada jam 6.30 petang disambut dengan hujan renyai. Bermalam di Sekolah Kebangsaan Mempelam Jelawang, Dabong. Sedikit taklimat diberikan. Team Aku bermalam di Masjid Mukim Jelawang (N5° 20.737' E101° 58.960') . Ramai sukarelawan menjadikan masjid ini sebagai pusat operasi dan penempatan disamping menyalurkan bantuan dan makanan  kepada penduduk berdekatan.

Esoknya kami ke stesyen keretapi Dabong (N5° 22.625' E102° 00.592') untuk berhimpun dan mengambil barangan untuk diagihkan. Stesyen keretapi yang dibuka dalam tahun 1950 yang memberi khidmat kepada penduduk tempatan telah lumpuh sepenuhnya dan kerja-kerja pemulihan dijangka memakan masa lebih dari setahun. Limpahan air sungai Galas setinggi hampir 10 meter telah menenggelamkan sepenuhnya bangunan Stesyen keretapi dan beberapa koc. Konvoi kami dipecahkan kepada team penyerahan bantuan dan team pembersihan. Team pembersihan melakukan kerja-kerja mencuci di Majlis Daerah Dabong. Manakala team penyerahan bantuan akan mengagihkan bantuan kepada penduduk sekitar kawasan berdekatan. Team aku memilih untuk pengagihan barangan ke kawasan Kemubu.

Bagai di landa tsunami. Itulah yang dapat aku ungkapkan apabila melihat suasana di sekitar kampung ini. Banyak  kemusnahan harta benda termasuk tempat tinggal, premis perniagaan serta kenderaan dilaporkan. Paras air yang naik secara mendadak sehingga paras bumbung rumah bahkan ada yang melepasi tiang elektrik. Selain itu mereka juga turut terputus segala hubungan darat untuk beberapa hari. Kuaters stesyen keretapi Kemubu rosak teruk dan jambatan keretapi Kemubu (N5° 17.870' E102° 01.166') yang diperbuat dari besi  sebahagiannya telah dihanyutkan air beberapa meter. Sedih sekali melihat kerosakan yang dialami apatah lagi yang menanggung musibah.

Jambatan besi rel kereta api sepanjang 500 meter yang merentasi Sungai Galas di Kemubu, Kuala ‘Cry’ runtuh di badai ‘bah kuning’. Ini menyebabkan perkhidmatan kereta api ke Dabong dan Kemubu terputus dan lumpuh terus. Jambatan ini juga menjadi penghubung atau laluan utama penduduk sekitar Seberang Kemubu, Gua Chetok dan Kampung Ara untuk ke Kampung Kemubu dan laluan utama murid-murid dari sana untuk menyeberang ke Sekolah Kebangsaan Kemubu.

Selepas Jumaat kami meneruskan pula tugas pembersihan majlis Daerah Dabong. Kerosakan total dimana semua peralatan dan perabut rosak. Sumbangan dari pihak tertentu ditempatkan di dewan Majlis daerah Dabong, namun tidak dapat diagihkan. Ramai anggota MDD turut terlibat dalam musibah ini dan sibuk membersihkan rumah masing-masing. Namun ada juga yang tampil untuk membantu kami membersih pejabat mereka.

Bersua dengan Ustaz Azhar Idrus ketika di Lata Rek

Team kami memohon untuk mengagihkan barangan di sekitar kawasan berhampiran. Kami juga membawa barangan ini untuk diagihkan ke kawasan Lata Rek, Laloh (N5° 18.686' E102° 17.907').

Dalam perjalanan ke Pasir Mas, singgah sekejab di  Jambatan Sungai Nal atau Jambatan Gantung Sultan Ismail atau Gertak Gantung Sungai Nal (N5° 36.162' E102° 11.500’). Terletak di laluan persekutuan Kuala Krai-Kota Bharu, ± 11 kilometer dari bandar Kuala Krai. Ia  merupakan satu-satunya jambatan gantung di Negeri Kelantan yang menjadi  perhubungan penting antara Kota Bharu dan Kuala Krai. Tidak dinafikan peranannya memacu kemajuan ekonomi penduduk dan meningkatkan taraf hidup & ekonomi penduduk di Kelantan.

Jambatan ini dibina oleh British pada 1920 'an. Ia telah disempurnakan perasmiannya oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail pada 19 April 1932.  Rekabentuknya menyerupai jambatan yang terdapat di Eropah. Struktur binaannya sangat teguh dan kukuh dengan besi keluli. Panjang 70 kaki dan lebar 30 kaki. Tali besi yang menggantungkan jambatan berukuran 12 inci lilitan dan dipintal pada bahagian luar dengan dawai besi lebih kecil menampakan seperti tali berpintal.

Jambatan ini tidak digunakan lagi sejak tahun 1986 apabila jambatan baru berhampiran telah siap dibina. Ianya dikekalkan sebagai warisan sejarah

Kini, Jambatan Gantung Sultan Ismail Sungai Nal yang menjadi simbol Daerah Kuala Krai dikhuatiri akan lenyap dalam lipatan sejarah berikutan kayu lantai jambatan itu sudah semakin reput. Pastinya jambatan tersebut  menyimpan begitu banyak nostalgia bagi orang lama di Daerah Kuala Krai dan penduduk di sini.

Esoknya kami membeli barangan tambahan untuk diagihkan ke kawasan Pasir Mas. Tumpuan kami adalah ke Institut Pendidikan Tahfiz Al-Balaghulmubin, Kampung Chenok, Pasir Mas, Kelantan. Sebuah tahfiz yang melahirkan ramai ilmuan, sehingga berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke luar negara.

Institut Tahfiz Al-Balaghulmubin ini dibuka pada 1988, boleh memuatkan 150 pelajar lelaki berusia 12 hingga 15 tahun dan mendapat didikan daripada enam guru dan tujuh kakitangan. Asrama sekolah ini, dibina ketika pentadbiran Bekas Menteri Besar Kelantan ketika itu, Allahyarham Datuk Muhamed Nasir. Ianya pernah ditutup pada 1996, iaitu selepas kematian Datuk Muhamed pada 1996 dan dibuka semula atas usaha anak-anaknya, dua tahun kemudian.

Tahfiz ini ditenggelami air tasik Tok Uban sedalam lebih dari 2 meter yang menyebabkan kawasan bagaikan lautan dan rumah-rumah guru tenggelam semuanya. Terdapat 13 murid semasa kejadian  terperangkap dalam lautan banjir. Bekalan makanan terpaksa dihantar kepada mereka melalui helikopter.

Disini terdapat sebuah masjid terapung yang dibina ditepian tasik danau Tok Uban. Masjid indah dipersekitaran yang nyaman. Ianya tidak dibuka kepada orang ramai. Masjid ini dibuka dengan rasminya pada 23 Januari 1993. Ia dibina hasil sumbangan Sultan Brunei, sebab itu ia dikenali sebagai Masjid Brunei Danau Tok Uban (N5° 56.051' E102° 07.807').


Gambar-Gambar kemusnahan di sekitar Dabong,  Kuala Kerai

Kampung Manek Urai dan penduduk yang tinggal di sepanjang Sungai Galas paling terjejas apabila banyak rumah hanyut dan rosak teruk. Sisa-sisa runtuhan rumah boleh dilihat di sana sini seolah-olah dilanda tsunami

Bekalan air bersih yang dibekalkan oleh pihak kerajaan untuk kegunaan penduduk

Tudiaa ..tingginya air hingga hampir tenggelam pokok ini – Lata Rek

Pakaian – bukan masanya untuk disumbang

Kerja pembersihan di Majlis Daerah Dabong