Wednesday, October 01, 2014

Cherita2 Pendek DBP: Sastera Pasca Merdeka

Cherita2 Pendek Dewan Bahasa & Pustaka(DBP) mengandungi 13 buah cerita yang dipilih dari Peraduan Mengarang Cherita Pendek anjuran DBP. Tiga daripadanya mendapat tempat pertama, kedua dan ketiga  dan selebihnya mendapat hadiah saguhati. Kebetulan menjumpai buku ini ketika aku pulang ke rumah ibuku menyelongkar almari buku lama untuk mencari buku Berkelahi Dengan Syaitan.

Sebuah buku terbitan DBP cetakan pertama tahun 1958. Buku ini adalah siri kedua daripada Siri Sastera DBP. Buku pertama dalam siri ini ialah “Anak Raja Dengan Anak Papa” yang diterjemahkan oleh Pendita Z’aba dari karya Mark Twain bertajuk “The Prince And The Pauper” dan Buku ketiga ialah Musafir sebuah novel karangan Hasan Muhammad Ali yang telah memenangi hadiah kedua Peraduan Novel DBP 1958.

Selaras dengan penubuhan Dewan Bahasa Dan Pustaka dalam tahun 1956 yang matlamat dan fungsinya sebagai institusi pembina serta pengembangan utama bahasa Kebangsaan dan kesusasteraan negara. Pelbagai aktiviti untuk mempertingkatkan dan memertabat bahasa Melayu. Peraduan Mengarang Cherita Pendek yang tamat diadili pada 20 April 1957 diadakan untuk matlamat ini. Sebanyak 185 penyertaan diterima menunjukan minat dan sambutan yang memuaskan dari penulis pada masa tersebut.

13 buah cerita yang terpilih dari 185 buah cerita dimuatkan dalam buku ini iaitu:-

1. Pelayan Tua

Hassan B Mohd. Ali Tempat Pertama
2. Anak Angkat Penghulu Majid Khalid Bin Abbas Tempat Kedua
3. Kami yang Terlibat Usman Awang. Tempat Ketiga
4. Hendak Membunuh Ketua Negeri Abdul Aziz Bin Alias
5. Sa-choret kisah Dharurat Buang Alias Ibrahim
6. Terbakar Hidup2 Md. Yusuf Bin Jantan
7. Abang-ku Sa-orang Buruh Darus Ahmad
8. Delapan Bulan Di-usek Hantu Baling2 Abdullah Bin Ibrahim
9. 30 Sen Pun Chukup-lah Rawan Hiba
10. Keluarga-ku Dan Musharakat-ku Abdullah Bin Ayub
11. Bukan Alam Pantasi Ismail Bin Ibrahim
12. Di-antara Dua Jenis Chinta Ismail B Muhammad
13. Isteri Budiman - Abdullah Bin H. Rahman

Dalam 13 cerpen ini aku sukakan cerita Anak Angkat Penghulu Majid dan Delapan Bulan Di Usek Hantu Baling2.

Sinopsis

  • Pelayan Tua berkisar mengenai Pak Latan seorang pelayan tua di rumah sakit yang meminati Che’ Asmah  seorang jururawat manis tetapi akhirnya kecewa kerana  jururawat ini berkahwin dengan Tuan Dolah seorang Penolong Doktor.
  • Anak Angkat Penghulu Majid adalah mengenai seorang gadis cina yang cantik yang menjadi anak angkat penghulu Majid, namanya Ah Lam tetapi dipanggil oleh orang ramai dan kekal namanya sebagai Che’ Hawa. Semasa kecil beliau diserahkan oleh ibunya kepada Penghulu Majid. Beliau besama suaminya berkebun sayur di tanah kepunyaan Penghulu Majid dihujung kampung. Di hujung cerita terbongkarlah kisah sebenar siapa Che’ Hawa tersebut setelah penghulu Majid mendedahkannya apabila membawa diri ke Mekah.
  • Kami Yang Terlibat kisah mengenai kehidupan anggota polis dizaman darurat yang terlibat dalam situasi tembak menembak sesama rakan (pasukan Jungle Squard) yang menyebabkan beberapa rakan mereka mati. Kenangan keriuhan sebelum bertolak ke hutan disusuli dengan kematian sahabat sambil mengiringi jasad. Berchachah2 dengan maut …. untuk sesuap nasi.
  • Manakala Delapan Bulan Di-Usek Hantu Baling2 adalah kisah misteri dan mistik seorang guru yang diganggu kehidupannya dengan gangguan mistik pada bulan Februari 1949. Pelbagai kaedah perbomohan dicuba namun semuanya ‘surrender’ hingga bertemu dengan seorang Arab iaitu Tuan Syed Abdullah dengan asbab iktiarnya berjaya menghentikan gangguan yang berterusan ini.

No comments:

Post a Comment