Friday, September 07, 2012

Muzium Diraja Seri Menanti: Keindahan Seni Bina Melayu Yang Terpulihara

IMG_0967

Tarikh : 31 Ogos 2012 (Sabtu) = 7 Syawal 1433H 
Lokasi: Muzium Diraja Seri Menanti, 71550 Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan  
Coordinate: N2 41.858 E102 09.385

Dengan minatku dalam senibina tradisional melayu dan kebetulan berada di Negeri Sembilan membawa aku mengunjungi Istana Lama yang kelihatan gah dan mengkagumkan ini suatu ketika dahulu. Berjalan disekitar bangunan ini mengingatkan aku akan rumah lama yang pernah aku duduki di Titi Gajah, Alor Setar( dan rumah Tok Menteri di sebelahnya). Binaan dan senibina kayunya mengimbau dan mengembalikan nostalgia ketika aku mendiami rumah yang hampir sebegini.. Aduh sayuuuunya…

Istana Lama Seri Menanti adalah istana yang unik diperbuat daripada kayu. Dibina pada 1902 dan siap pada tahun 1908. Istana ini setinggi empat tingkat. Ia mempunyai 99 batang tiang menggunakan kayu chengal termasuk empat batang tiang seri yang panjangnya 67 kaki. Keempat-empat tiang ini telah diambil dari Bukit Pergai, Jelebu. Kayu-kayu lain diambil dari Bukit Tinggi iaitu dari jenis kayu penak. Keunikan istana ini ialah ia tidak menggunakan sebarang paku besi tetapi pakunya diperbuat daripada kayu yang dipanggil pasak. Ditengah-tengah bangunan istana ini didirikan menara yang dinamakan ‘TINGKAT GUNUNG’. Struktur atas bumbungnya menggunakan kayu chengal yang berbentuk ‘LIPATAN GUNUNG’. Ditingkat pertama, ruangnya menempatkan ‘Balai Rong Seri’ untuk upacara mengadap. Di tingkat 2 menempatkan Bilik Beradu keluarga kerabat Diraja, sementara di tingkat 3 dikhaskan untuk Yang Dipertuan Besar. Di menara ‘TINGKAT GUNUNG’  menempatkatkan khazanah diraja. 

Pelan asalnya telah direka oleh dua orang tukang Melayu bernama Kahar dan Taib. Tukang Kahar telah dianugerahkan gelaran Dato' Panglima Sutan oleh Tuanku Muhammad kerana khidmat beliau. Pelan istana ini telah diperincikan semula oleh Ketua Pelukis Pelan, Mr. Woodford dari JKR, Seremban dan telah diluluskan pada bulan November 1902 oleh Jurutera Negeri dan Residen British. Istiadat perasmian istana ini telah dilakukan oleh DYMM Yang DiPertuan Muhammad Ibni Almarhum Yamtuan Antah. Baginda telah bersemayam di istana ini sehingga tahun 1931 dan baginda berpindah pula ke istana baru yang dibina berhampiran dengan istana lama.

Istana ini dengan rasminya diwartakan sebagai 'Muzium Diraja'. Perasmiannya telah dilakukan pada 14 Julai 1992 bersamaan 14 Muharram 1413 Hijrah. Pengurusan Muzium Diraja adalah di bawahPentadbiran Muzium Negeri, Negeri Sembilan. Sebagai Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti ia mempamerkan koleksi-koleksi keluarga Diraja. Setiap ruang telah diisi tanpa mengubah bentuk asal istana bagi menerangkan fungsi ruang-ruang tersebut. Penambahan bahan koleksi Muzium akan dilakukan dari semasa ke semasa dengan kerjasama pihak istana.

Jabatan Warisan Negara telah mewartakan muzium ini sebagai “WARISAN KEBANGSAAN” di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) dalam tahun 2009. Ia juga telah mencatat sebagai ‘THE TALLEST TIMBER PALACE” di dalam Malaysia Book Of Records

Sebarang pertanyaan sila hubungi:- Tek / Fax : 06-497 9653

IMG_0966

Istana yang bertukar menjadi muzium Diraja

IMG_0951

Pandangan dari Tingkat 3

IMG_0952

Anugerah sebagai Istana Kayu Tertinggi dari Malaysia Book Of Records dan pengistiharan sebagai Warisan Kebangsaan

IMG_0956

Senibina kayu yang indah, tampak gah

IMG_0965

 

Istana yang diilhamkan oleh Tuanku Muhammad Shah ibni Almarhum Yamtuan Antah.

Mula dibina pada 5 November 1902. Baginda bersemayam di istana ini mulai tahun 1908 sehingga tahun 1930.

 

2 comments:

  1. Wah...

    jauh berjalan...
    lama tak gi sana...

    ReplyDelete
  2. Memetik penulisan Prof. Dr. Siti Zainon Ismail, Anuar Dan melukis ’ukiran budi’ Melayu dengan dua bentuk dimensi, mengutip semula khazanah budaya, ukiran kerawang, bumbung rumah kutai, tangga Melaka, buyung, serkap ayan dan sangkar burung. Semuanya kembali untuk dicintai kerana Anuar Dan percaya di situlah inti dan semnagt budi Melayu yang bersalutkan akal menyatukan di jiwa.

    Antara karya-karya seni Anuar Dan yang menarik untuk dihayati ialah, ’Mendengar Guruh Di Langit, Air Tempayan Dicurahkan, ’Rumah Sudah Pahat Berbunyi, ’Rumah Buruk Disapu Cat, ’Ibarat Burung, ’Mata Terlepas Badan Terkurung.

    ReplyDelete