Wednesday, November 20, 2019

Prasasti di Cherok Tok Kun

Tarikh      :  07/09/2019
Lokasi       :  Bukit Mertajam, Seberang PeraiPulau Pinang, Malaysia
Coordinate:  N5.35283° E100.47659°
https://goo.gl/maps/PRzyKHP84uPUT8zR8

Aku mendapat beberapa 'petunjuk' mengenai batu bersurat ini. Walau agak TERLEWAT namun ia menambah koleksi pengetahuanku tentang sejarah dan pengetahuan dalam beberapa 'aspek'.

Batu bersurat ini terletak dalam perkarangan gereja St. Anne, Bukit Mertajam, Seberang Perai. Kami singgah dipintu masuk gereja dan bertanya kepada pengawal yang menunjukkan kepada kami lokasi batu ini.

Batu bersurat ini dijumpai oleh Lt. Col. James Low dalam tahun 1845 dan di namakan Inskripsi Cherok Tokun. Ia adalah bongkah batu granit yang terletak di kaki Bukit Tokkun. Beliau mencatatkan bahawa terdapat 7 inkripsi dan menyatakan berbahasa India(Sanskrit). Beliau juga mencatatkan bahawa inkripsi terpanjang ialah 10 kaki.

Inskripsi tersebut agak terhakis kerana sudah berusia lebih dari 1500 tahun ( antara abad ke-5 dan 6 ) dan menyukarkan kerja-kerja pembacaan. Prasasti tersebut kemudian telah diteliti oleh Laidlay (1886) dan beliau telah mencatatkan ia sebagai bahasa Pali dan menterjemahkan prasasti tersebut.

Berikut merupakan terjemahan yang telah disediakan oleh Laidlay:

“Saya mengakui kewujudan musuh Raja Ramaunibha. Ini dikatakan oleh Manikatha, pelindung kesemua Buddha-Buddha. Dalam setiap bentuk kehidupan pengetahuan bermanifestasi di semua tempat dan semua cara. Karma merupakan punca kepada kelahiran semula” (Laidley 1848).

Jumpaan ini mungkin ada kaitan dengan perkembangan yang berlaku di Sungai Mas yang merupakan pusat kerajaan Kedah Tua pada ketika itu dan juga sebuah pelabuhan entrepot yang maju dan sibuk.

Batu ini kini didaftar sebagai WARISAN Kebangsaan pada tahun 2005


Mungkin kecewa tak dapat baca, lalu Lt. Col. James Low pon inskripsikan namanya di batu tu
Seketul batu yang mungkin ada ‘rahsia’ tersembunyi.

No comments:

Post a Comment