Lokasi : Kampung Melayu, 11500 Ayer Itam, Pulau Pinang, Malaysia
Coordinate: N5.40094° E100.28662°
https://maps.app.goo.gl/rQMcFBWdztGnLNPv5
Kami ke kampung Melayu Ayer Itam untuk menziarahi Makam Sheikh Omar Basheer Al Kholidi. Sebuah makam yang dikatakan terindah dan terbesar di Pulau Pinang. Makamnya diletak dibawah sebuah kubah berbumbung setinggi ± 20 meter dan kelihatan berkunci semasa kami tiba.. Makam yang diiktiraf sebagai WARISAN KEBANGSAAN. NAMUN bangunan ini kelihatan kurang penjagaannya.
Sheikh Omar Basheer banyak berjasa dan mengembang islam semasa pemerintahan British. Meninggal dunia dalam tahun 1881.
Sheikh Omar Basheer asalnya adalah imam di Masjid Melayu Lebuh Acheh. Sheikh Omar berketurunan Arab dari Hadramaut. Sheikh Omar di lahirkan di Kampung Masjid Kapitan Keling pada tahun 1811 dan pernah menetap untuk belajar ilmu agama di Mekah selama beberapa tahun. Beliau pernah menjadi guru agama dan kadi di daerah Demak, Pulau Jawa.
Selain menjadi imam di Masjid Melayu Lebuh Acheh, Sheikh Omar juga merupakan pemimpin tarikat Naqsyabandiah yang dibawa masuk dari Acheh oleh datuknya, Hamid bin Bahaman. Tarikat ini mendapat sambutan bukan sahaja penduduk tempatan malah tersebar sehingga ke Johor, Kedah dan Indonesia. Pusat utama kegiatan ini ialah di Madrasatul Suluk Kampung Melayu, Ayer Itam, yang juga menjadi rumah kediaman Sheikh Omar.
Gambar kiri dari blog Muhammad Qul Amirul Hakim
Sheikh Omar juga dikatakan memainkan peranan penting dalam menyelesaikan masalah penglibatan orang Islam di Pulau Pinang dalam kegiatan kongsi gelap. Hal ini berikutan tercetusnya rusuhan kongsi gelap yang terbesar di Pulau Pinang pada tahun 1867 yang menyaksikan dua buah kongsi gelap Melayu, Bendera Putih dan Bendera Merah, bergabung dengan dua kongsi gelap Cina (Bendera Putih bergabung dengan Ghee Hin manakala Bendera Merah bergabung dengan Toh Peh Kong)
Rusuhan kongsi gelap pada tahun 1867 telah menyebabkan banyak harta benda musnah dan nyawa terkorban. Apa yang lebih membimbangkan pihak kerajaan pada waktu itu ialah fenomena penglibatan orang Melayu-Muslim dalam rusuhan tersebut dan dalam kegiatan berkongsi gelap yang selama ini dianggap asing bagi kehidupan sosiobudaya orang Melayu. Oleh yang demikian kerajaan telah memberi mandat kepada Sheikh Omar Basheer yang pada waktu itu dianggap sebagai pemimpin orang Melayu-Muslim di negeri itu untuk menasihati orang Melayu berhubung penglibatan dalam kongsi gelap. Sehubungan dengan itu pada 24 Ogos 1867, Sheikh Omar Basheer telah mengeluarkan satu fatwa yang mengharamkan orang Melayu-Muslim di negeri itu daripada menyertai sebarang kegiatan kongsi gelap. Sejak fatwa tersebut dikeluarkan, ramai orang Melayu-Muslim datang mengangkat sumpah di hadapan Sheikh Omar bahawa mereka telah keluar daripada kongsi gelap atau mengisytiharkan bukan ahli mana-mana kongsi gelap.
Sheikh Omar juga turut mengeluarkan peraturan yang sama bagi ahli kumpulan tarikatnya bagi memastikan tarikat tersebut bersih daripada gejala kongsi gelap.
Selepas Sheikh Omar meninggal dunia, tradisi kepimpinan keluarga Basheer ini diteruskan oleh anak-anaknya. Anak pertamanya, Haji Yahya (1853-1901) membuka “the first Muslim Registrar’s office” di No. 69, Lebuh Acheh pada tahun 1888. Anak keduanya, Sheikh Zakaria Basheer (1855-1926) pernah menjadi imam masjid Lebuh Acheh dan menjadi mufti pertama di negeri itu. Haji Muhammad Natt (1862-1910) pula dilantik menjadi kadi sekitar awal abad ke-20 dan memegang jawatan tersebut sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 1910.
No comments:
Post a Comment