Friday, November 29, 2019

Makam Guru Sufi Di Ayer Itam

Tarikh      :  08/09/2019
Lokasi       :  Kampung Melayu, 11500 Ayer Itam, Pulau Pinang, Malaysia
Coordinate:  N5.40094° E100.28662°
https://maps.app.goo.gl/rQMcFBWdztGnLNPv5

Kami ke kampung Melayu Ayer Itam untuk menziarahi Makam Sheikh Omar Basheer Al Kholidi. Sebuah makam yang dikatakan terindah dan terbesar di Pulau Pinang. Makamnya diletak dibawah sebuah kubah berbumbung setinggi ± 20 meter dan kelihatan berkunci semasa kami tiba.. Makam yang diiktiraf sebagai WARISAN KEBANGSAAN. NAMUN bangunan ini kelihatan kurang penjagaannya.

Sheikh Omar Basheer banyak berjasa dan mengembang islam semasa pemerintahan British. Meninggal dunia dalam tahun 1881.

Sheikh Omar Basheer asalnya adalah imam di Masjid Melayu Lebuh Acheh. Sheikh Omar berketurunan Arab dari Hadramaut. Sheikh Omar di lahirkan di Kampung Masjid Kapitan Keling pada tahun 1811 dan pernah menetap untuk belajar ilmu agama di Mekah selama beberapa tahun. Beliau pernah menjadi guru agama dan kadi di daerah Demak, Pulau Jawa.

Selain menjadi imam di Masjid Melayu Lebuh Acheh, Sheikh Omar juga merupakan pemimpin tarikat Naqsyabandiah yang dibawa masuk dari Acheh oleh datuknya, Hamid bin Bahaman. Tarikat ini mendapat sambutan bukan sahaja penduduk tempatan malah tersebar sehingga ke Johor, Kedah dan Indonesia. Pusat utama kegiatan ini ialah di Madrasatul Suluk Kampung Melayu, Ayer Itam, yang juga menjadi rumah kediaman Sheikh Omar.

Gambar kiri dari blog Muhammad Qul Amirul Hakim

Sheikh Omar juga dikatakan memainkan peranan penting dalam menyelesaikan masalah penglibatan orang Islam di Pulau Pinang dalam kegiatan kongsi gelap. Hal ini berikutan tercetusnya rusuhan kongsi gelap yang terbesar di Pulau Pinang pada tahun 1867 yang menyaksikan dua buah kongsi gelap Melayu, Bendera Putih dan Bendera Merah, bergabung dengan dua kongsi gelap Cina (Bendera Putih bergabung dengan Ghee Hin manakala Bendera Merah bergabung dengan Toh Peh Kong)

Rusuhan kongsi gelap pada tahun 1867 telah menyebabkan banyak harta benda musnah dan nyawa terkorban. Apa yang lebih membimbangkan pihak kerajaan pada waktu itu ialah fenomena penglibatan orang Melayu-Muslim dalam rusuhan tersebut dan dalam kegiatan berkongsi gelap yang selama ini dianggap asing bagi kehidupan sosiobudaya orang Melayu. Oleh yang demikian kerajaan telah memberi mandat kepada Sheikh Omar Basheer yang pada waktu itu dianggap sebagai pemimpin orang Melayu-Muslim di negeri itu untuk menasihati orang Melayu berhubung penglibatan dalam kongsi gelap. Sehubungan dengan itu pada 24 Ogos 1867, Sheikh Omar Basheer telah mengeluarkan satu fatwa yang mengharamkan orang Melayu-Muslim di negeri itu daripada menyertai sebarang kegiatan kongsi gelap. Sejak fatwa tersebut dikeluarkan, ramai orang Melayu-Muslim datang mengangkat sumpah di hadapan Sheikh Omar bahawa mereka telah keluar daripada kongsi gelap atau mengisytiharkan bukan ahli mana-mana kongsi gelap.

Sheikh Omar juga turut mengeluarkan peraturan yang sama bagi ahli kumpulan tarikatnya bagi memastikan tarikat tersebut bersih daripada gejala kongsi gelap.

Selepas Sheikh Omar meninggal dunia, tradisi kepimpinan keluarga Basheer ini diteruskan oleh anak-anaknya. Anak pertamanya, Haji Yahya (1853-1901) membuka “the first Muslim Registrar’s office” di No. 69, Lebuh Acheh pada tahun 1888. Anak keduanya, Sheikh Zakaria Basheer (1855-1926) pernah menjadi imam masjid Lebuh Acheh dan menjadi mufti pertama di negeri itu. Haji Muhammad Natt (1862-1910) pula dilantik menjadi kadi sekitar awal abad ke-20 dan memegang jawatan tersebut sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 1910.


Monday, November 25, 2019

Penang’s 1st Mansion & Kubur Francis Light

Tarikh      :  08/09/2019
Lokasi       :  Pulau Pinang, Malaysia
Coordinate:  N5.41058° E100.30511°
https://goo.gl/maps/ryHYVsLKizkBShbY8

Suffolk House juga dikenali sebagai first ‘Great House’ of Penang. Ia adalah rumah peninggalan Kapten Francis Light. Rumah asal dibina dalam tahun 1790. Sebuah rumah agam 2 tingkat ( Anglo-Indian Georgian Mansion) yang dibina di tebing Sungai Ayer Itam. Bangunan ini dibina di kawasan ladang lada hitam yang dimiliki oleh Kapten Francis Light dan di namakan Suffolk Estate, sempena nama kampungnya di England.

Sebuah tinggalan senibina kolonial British dan satu satunya rumah agam gaya Georgian yang masih ada di Malaysia. Rumah dengan taman Anglo-Indian yang menakjubkan dan pernah menjadi kediaman beberapa gabenor British.

Selepas kematian Kapten Light, ladang dan rumah ini telah beberapa kali bertukar tangan dan pihak Majlis Perbandaran Pulau Pinang telah membeli sebahagian dari ladang ini dan  yang kemudiannya membina beberapa banglo untuk dijadikan sebagai kediaman kakitangan kanan kerajaan atau disewa. Beberapa bangunan ini masih kelihatan kukuh hingga hari ini.

Pihak gereja Methodist telah membeli Suffolk House bersama sebahagian tanah dalam tahun 1929 dengan harga RM20,000 dan kemudiannya menjadikan sebagai sekolah (Methodist Boy’s School). Ia kemudiannya digunakan sebagai kantin sekolah sehingga ia ditinggalkan pada tahun 1974 kerana keadaan rumah yang tidak selamat.

Ia dibaikpulih semula kepada keadaan sekarang setelah mendapat dana yang mencukupi melalui kempen bagi memuliharanya (sejak tahun 1956) dan mulai tahun 2000 kerja-kerja pemuliharaan telah dijalankan dan selesai dalam bulan Jun 2007 dan kini ia adalah sebuah restoran eksklusif.

Suffolk House telah mendapat Anugerah ‘UNESCO Asia-Pacific Heritage Award of Distinction’ dalam tahun 2008  dan secara rasminya disampaikan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 9 Oktober 2009.

Suffolk House: Gambar Ehsan Muzium Penang

Keadaan rumah ini yang sangat uzor sebelum pembaikan

Tangga kayu yang telah di perbaiki semula

Terkini Susunan Ruang Dalaman yang menarik – Ia kini menjadi Restoran eksklusif

KUBUR FRANCIS LIGHT

Coordinate:  N5.42276° E100.33309°
https://goo.gl/maps/ggXfuKbzUsohQZ3s5

Kubur Francis Light terletak di Tanah Perkuburan Kristian Protestan Jalan Sultan Ahmad Shah. Ia  adalah antara perkuburan terawal di Pulau Pinang (1789)

Kapten Francis Light dilahirkan di Dallinghoo, Suffolk, England pada 15 Disember 1740 dan meninggal ketika berumur 54 tahun pada 21 Oktober 1794 (akibat malaria) dengan meninggalkan seorang isteri yang berdarah campuran Thailand dan Portugis, serta lima orang anak.

Kubur Francis Light – Di kawasan kubur ini banyak jasad orang ternama disemadikan

Kubur ini menjadi antara lokasi selfie pelancong kerana persekitarannya yang redup dan cantik

Friday, November 22, 2019

Raja Di Satun, Rumah Di Tanjung


Tarikh      :    07/09/2019
Lokasi      :   Segara Ninda, 20, Jalan Penang,
                     10000 George Town, Pulau Pinang
Coordinate:  N5.42225° E100.33429°
https://goo.gl/maps/aGHkSmYC56CFhddu6

Minatku terhadap senibina lama dan sejarah membawaku ke sebuah mansion lama kepunyaan seorang bangsawan Kedah. Peluang untuk kami bermalam di Rumah Agam milik Tengku Burhan ud-din bin Tengku Meh (Ku Din Ku Meh - 1848 – 1932).

Ku Din dilantik oleh King Chulalongkon sebagai raja Setoi dianugerahkan gelaran Phraya Purminard Pakdi dalam tahun 1902 dan kekal sebagi raja hingga 1916. Beliau adalah seorang pemerintah yang bijak dan licik. Beliau juga bertanggungjawap memajukan Satun. Istana beliau di Satun telah dibaikpulih dan dijadikan sebagai muzium sekitar tahun 2000. Beliau juga terlibat dengan urusan perkapalan dan mempunyai 2 buah bangunan di Penang iaitu Segara Ninda dan Udini House (dibina dalam tahun 1882)

Rumah Agam 2 tingkat ini adalah antara hartanya. Ia dibina semasa era Kolonial British di abad 19. Senibina yang indah dengan pengaruh Inggeris, India dan Melayu. Rumah ini dibeli oleh Ku Din dari saudagar China dalam tahun 1901 untuk dijadikan sebagai pejabat perdagangannya.

Rumah ini telah disewa kemudiannya dan diambil alih semula oleh keluarga Ku Din dalam tahun 2004. Ia dibaikpulih dan dijadikan sebagai hotel dan diberi nama 'SEGARA NINDA'. Terdapat 14 buah bilik yang berharga antara RM130.00 - RM230.00. Ia diurus oleh cicit Ku Din iaitu Tengku Yahaya Bin Tengku Mahadi.

Rumah ini kini merupakan sebahagian dari warisan di George Town, Pulau Pinang

Bersama cicit Ku Din iaitu Tengku Yahaya Bin Tengku Mahadi. Aku dimaklumkan bahawa beliau telah meninggal dunia pada bulan Nov 2019 lalu. Semoga rohnya ditempat bersama orang yang beriman
Tingkap dan Tangga: Ruang dalaman dengan sentuhan pertukangan senibina melayu menarik perhatianku

Thursday, November 21, 2019

99 Doors Mansion: Rumah Agam Yang Seram

Tarikh      :  07/09/2019
Lokasi       :  Byram Estate (The 99-door mansion) (Caledonia House)
                   14300 Nibong Tebal, Pulau Pinang, Malaysia

Coordinate:  N5.17425° E100.45717°
https://maps.app.goo.gl/rQMcFBWdztGnLNPv5

Rumah Agam dua tingkat dengan gaya kolonial yang penuh MISTERI dan pelbagai kisah seramnya

Rumah Agam gaya Caledonia ini dibina John Ramsden sekitar tahun 1800an. Beliau yang berasal dari keluarga kaya di United Kingdom telah membeli tanah dan dijadikan ladang di sini semasa ledakan ekonomi perladangan abad ke-19. Rumah ini dikatakan mempunyai 99 pintu. Mempunyai 10 bilik dan setiap bilik mempunyai 5 - 6 pintu dan selebihnya pintu pada balkoni, dewan tari menari, ruang tamu dan dapur.

Bermula dengan kematian tragik cucu pemilik rumah ini (John St. Maur Ramsden) yang dikatakan ditembak dihadapan tangga rumah pada 08 Jun 1948 dan seterus pelbagai kisah misteri pun bermula sehingga ia ditinggalkan dalam tahun 1960an.

Ia terletak tersorok di dalam ladang Kelapa Sawit (Ladang Byram). Kami melolos masuk melalui pintu pagar yang berkunci dan berjalan sejauh 150 meter sebelum sampai ke rumah yang kelihatan agak uzur dimakan usia dan anai-anai. Lantainya kelihatan reput dan ada 2 tangga kembar hebat untuk naik ke tingkat atas. NAMUN di hadang untuk naik atas faktur keselamatan.

Aku cuba untuk meninjau 'mendalam' beberapa bilik ditingkat bawah NAMUN apabila bulu kudukku hingga ke kaki tetiba berdiri (sensa seram) MAKA aku batalkan tinjauanku dan sekadar menjengok mengambil tahu.

Sumber berita: Penang Heritage Trust (PHT) Newsletter, April 2012 – “Mystery of Rubber Estate Manager's Murder”

di hadapan pintu masuk utama

Senibina gaya Inggeris yang hebat

Dikelilingi oleh ladang kelapa sawit. Dulunya adalah ladang getah milik keluarga Ramsden





Wednesday, November 20, 2019

Prasasti di Cherok Tok Kun

Tarikh      :  07/09/2019
Lokasi       :  Bukit Mertajam, Seberang PeraiPulau Pinang, Malaysia
Coordinate:  N5.35283° E100.47659°
https://goo.gl/maps/PRzyKHP84uPUT8zR8

Aku mendapat beberapa 'petunjuk' mengenai batu bersurat ini. Walau agak TERLEWAT namun ia menambah koleksi pengetahuanku tentang sejarah dan pengetahuan dalam beberapa 'aspek'.

Batu bersurat ini terletak dalam perkarangan gereja St. Anne, Bukit Mertajam, Seberang Perai. Kami singgah dipintu masuk gereja dan bertanya kepada pengawal yang menunjukkan kepada kami lokasi batu ini.

Batu bersurat ini dijumpai oleh Lt. Col. James Low dalam tahun 1845 dan di namakan Inskripsi Cherok Tokun. Ia adalah bongkah batu granit yang terletak di kaki Bukit Tokkun. Beliau mencatatkan bahawa terdapat 7 inkripsi dan menyatakan berbahasa India(Sanskrit). Beliau juga mencatatkan bahawa inkripsi terpanjang ialah 10 kaki.

Inskripsi tersebut agak terhakis kerana sudah berusia lebih dari 1500 tahun ( antara abad ke-5 dan 6 ) dan menyukarkan kerja-kerja pembacaan. Prasasti tersebut kemudian telah diteliti oleh Laidlay (1886) dan beliau telah mencatatkan ia sebagai bahasa Pali dan menterjemahkan prasasti tersebut.

Berikut merupakan terjemahan yang telah disediakan oleh Laidlay:

“Saya mengakui kewujudan musuh Raja Ramaunibha. Ini dikatakan oleh Manikatha, pelindung kesemua Buddha-Buddha. Dalam setiap bentuk kehidupan pengetahuan bermanifestasi di semua tempat dan semua cara. Karma merupakan punca kepada kelahiran semula” (Laidley 1848).

Jumpaan ini mungkin ada kaitan dengan perkembangan yang berlaku di Sungai Mas yang merupakan pusat kerajaan Kedah Tua pada ketika itu dan juga sebuah pelabuhan entrepot yang maju dan sibuk.

Batu ini kini didaftar sebagai WARISAN Kebangsaan pada tahun 2005


Mungkin kecewa tak dapat baca, lalu Lt. Col. James Low pon inskripsikan namanya di batu tu
Seketul batu yang mungkin ada ‘rahsia’ tersembunyi.

Monday, November 18, 2019

Makam Kerabat DiRaja Kedah Di Pulau Pinang

Tarikh      :  07/09/2019
Lokasi       :  Kampung Kota, Permatang Pasir, Pulau Pinang
Coordinate:  N 05.42937, E100.43975
https://maps.app.goo.gl/LXgVGtJ9i3ktexHM7

Aku mengunjungi ke sebuah makam Diraja Kedah yang terletak di Pulau Pinang setelah dimaklumkan oleh sahabatku baru-baru ini.  Makam ini terletak di Kampung Kota, Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Kawasan ini diteroka oleh Almarhum Tunku Sulaiman Ibni Almarhum Sultan Abdullah Mukarram Shah sejak sebelum tahun 1821 lagi.

Kawasan ini dijadikan tanah wakaf dan diserahkan kepada keluarga Tunku Sulaiman untuk dijadikan Makam Diraja Kedah. Terdapat 5 makam disini. Ia terletak di dalam kawasan berpagar yang terjaga dan seluas ± 1 ekar.

Diantara keluarga Diraja Kedah yang dikenalpasti dimakam disini ialah Tunku Sulaiman Ibni Almarhum Sultan Abdullah Mukarram Shah, Tunku Kutam dan keluarga Tunku Sulaiman.

Kampung Kota ini juga pernah menjadi pusat gerakan penentangan pejuang Kedah melancarkan serangan gerila terhadap Tentera Siam di Kedah (1821 – 1839). Ianya adalah lanjutan dari Kejatuhan Kedah secara mendadak pada 12 November 1821  (dalam keadaan rakyat Kedah tidak bersedia untuk berperang, malah Bendahara dan Laksamana memberi layanan baik kepada tentera Siam kerana menganggap ‘satu lawatan biasa’).

Serangan bermula apabila Sultan Kedah, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II (1804 – 1845)  dituduh berkomplot dengan Burma menentang Siam menyebabkan Siam memberi tekanan kepada Kerajaan Kedah. Sebagai langkah berjaga-jaga, baginda menukar kota pemerintahannya ke satu tempat di Merbok iaitu di Pulau Tiga. Apabila mendapat tahu hal itu dendam Raja Ligor semakin membuak, maka dengan lampu hijau dari Siam, seramai 7,000 perajurit  Siam berperahu dari Trang  melancarkan serangan mengejut ke Kedah.

Kejatuhan Kuala Kedah menyebabkan baginda Sultan  berundur dari istananya dan diselamatkan oleh adinda baginda ke Kampung Kota sebelum dipindah ke Pulau Pinang setelah diterima suaka politik dari Inggeris.

Disebabkan perang gerila yang berterusan menyebabkan Siam  menyerah kembali pemerintahan Kedah tetapi penyerahan itu diberi kepada Tunku Anum Paduka Raja Jambangan dan dibantu oleh Tunku Hassan. Namun demikian, langkah tersebut gagal menyelesaikan ketegangan politik di Kedah. Bagi mengatasi kemelutan itu, Gabenor Bonham mewakili pihak Inggeris berusaha mendapat kembali takhta baginda yang terancam itu. Walau bagaimanapun, beberapa wilayah Kedah terpaksa ‘dikorbankan’ apabila Kubang Pasu, Perlis dan Setul dipisahkan dari Kedah tetapi ‘perpisahan’ Kubang Pasu tidak mengambil masa yang lama kerana diserahkan kembali kepada pertuanan Kedah oleh Rama IV.



Friday, November 15, 2019

Batu Terat & Jambatan Keretapi Yang Ditinggalkan

Batu Terat Bukit Semetol : Penanda Sempadan British/Siam

Tarikh      :  07/09/2019
Lokasi       :  Kampung Ekor Kuching,  Malaysia
Coordinate:  N5.56667° E100.50420°
https://goo.gl/maps/HB6ogef6oxtcWrVTA

Kedah ditakluki oleh Siam pada 1821 dan dipecahkan kepada 4 buah kerajaan kecil pada tahun 1842. Pada masa itulah baru siam menetapkan kawasannya. Perjanjian Burney pada tahun 1826 telah menyatakan bahawa pihak British telah mengiktiraf negeri Kedah sebagai hak Siam.

Bagi menanda pemilikan kawasan,batu penanda telah dipacak. Sebuah batu tanda yang masih kekal berada disebuah kawasan sawah padi (berhampiran tebing sungai) di Kampung Ekor Kuching, ± 20 km dari pekan Kulim dipercayai dibina oleh Kerajaan British dan Siam yang bertujuan membahagikan kawasan antara negeri Kedah/Saiburi(Siam) dengan Penang (British).

Batu ini dipercayai wujud sejak 1869 berikutan Perjanjian yang ditandatangani pada 06 Mei 1869 (dikenali sebagai Perjajian Bangkok 1869) mengenai kedudukan hubungan Inggeris-Kedah (dimana Siam meraih sebagian wilayah di daratan utama tersebut yang sementara Penang diberikan untuk Inggeris) yang ditandatangani oleh Konsul Jeneral British di Siam, bagi pihak kerajaan British dengan Perdana Menteri Siam bagi pihak Raja Siam. Perjanjian juga menyatakan bahawa British membayar saguhati sebanyak $10,000 (Spanish Dollar) secara tahunan kepada Sultan Kedah atas kehilangan Penang. Sehingga kini Kerajaan Pulai Pinang masih membayar RM10,000.00 secara tahunan kepada Kerajaan Kedah.

di inskripsi batu terat tertulis dengan 3 bahasa iaitu Inggeris, Thai dan Jawi dan tertera "British & Siamese Boundry"

Batu sempadan dengan lebar 1.5 meter dan tinggi 2.4 meter kini di naik taraf setelah sekian lama terbiar tidak terurus. Pihak Muzium telah membina bumbung dan lantai pada tahun 2010 lalu.

Penentuan sempadan antarabangsa Malaysia-Thailand yang  membentuk sempadan antarabangsa sepanjang ± 350 batu dalam peta moden sekarang ini adalah berasaskan kepada Perjanjian bertarikh 10 Mac 1909 yang ditandatangani di antara Great Britain dan Siam. Namun perjanjian susulan tetap diteruskan sehingga kini untuk tujuan keselamatan, kastam, imigresen dan aktiviti pembangunan sosioekonomi.

Gambar dari National Archives Of Singapore

Titi Besi Keretapi Yang Sepi

Tarikh      :  07/09/2019
Lokasi       :  Kampung Pinang Tunggal, Pulau Pinag, Malaysia
Coordinate:  N5.56667° E100.50420°
https://goo.gl/maps/LL7nWSFsRnMp47cd8

Titi ni biasa ja, macam titi keretapi Anak Bukit(berhampiran rumahku). Mungkin yang jadi istimewa bila aku tak pernah lalu atasnya.  Jambatan sepanjang ±150 meter merentasi Sungai Muda dan menghubungkan 2 negeri - Pinang Tunggal di Kedah dengan Kepala Batas, Pulau Pinang. Sejarah peperangan Dunia ke 2 menyaksikan ia pernah diletupkan British untuk melambat pergerakan askar Jepun bergerak ke Selatan menakluki Tanah Melayu. Sisa letupan katanya boleh dilihat ketika air surut.

Setelah hampir 1 abad, kini Ia sudah ditinggalkan. Dibiar sepi tak dipeduli apabila laluan keretapi berkembar dibina dlm tahun 2008.

Jaraknya ±150 meter atau lebih

Terbiar sepi

Sesekali menjadi lokasi penduduk berselfie