Wednesday, May 06, 2015

Koh Lidee: Pulau Kecil Indah Di Taman Negara Mu Koh Phetra

 

Tarikh : 03 Mei 2015
Kos    : ± RM210.00 
Laluan:
TTG – Wang Kelian – Khuan Kalong - Langu – Ao Noon – Chalung – Wang Kelian - TTG 
Jarak : 324 km
Koordinate: N6° 46.941' E99° 45.875'

Mu Koh Petra

Mu Koh Phetra National Park

Mu Koh Phetra adalah sebuah Taman Negara Laut di Laut Andaman. Penubuhannya pada 31 Disember 1984 dan menjadi Taman Negara ke 49 dan Taman Negara Laut yang ke 14 di Thailand. Berkeluasan 494.38 km² yang merangkumi sebahagian pantai wilayah Satun hingga bersempadanan dengan Perairan Trang. Terdapat ± 30 buah pulau yang diselia dari pejabat Taman Negara yang terletak ± 2 kilometer dari Pak Bara Pier, Terdapat beberapa pulau yang menarik untuk dikunjungi seperti Koh Laoliang Nua, Koh Laoliang Tai, Moo Koh Bulon Arhcipelago, Koh Khao Yai dan Koh Lidi. Setiap pulau mempunyai keistimewaan tersendiri dengan pantai yang putih bersih dan gua yang menarik.

Menghala ke Pak Bara

Sempena cuti hari Wesak aku mengajak keluargaku untuk berkunjung ke Satun bagi menikmati keindahan pulau disekitar Mu Koh Phetra National Park. Sesudah subuh kami bertolak dari rumah menuju pintu sempadan Wang Kelian. Perlu sampai awal kerana hari ini adalah hari cuti umum/mingguan dan pastinya ramai pengunjung akan ke Wang Kelian. Sampai sebelum pintu sempadan dibuka dan menjadi orang pertama memasuki pintu sempadan. Seusai urusan imigresen kami menuju ke Khuan Kalong bagi menikmati moi telur disebuah kedai disana. Malangnya kedai ditutup jadi terpaksa mencari kedai pilihan bagi menikmati sarapan.

Pekan dan jalan kelihatan lengang mungkin kerana cuti hari Wesak (???). Setelah 70km perjalanan dari Wang Kelian kami pun tiba ke Ao Noon (N6° 50.179' E99° 45.326') pada jam 9.50 pagi waktu Malaysia. Bergambar seketika di hadapan kawasan Taman Negara dan parking di dalamnya. Kami juga meminta operator disitu mendapatkan bot khas untuk ke Koh Lidee. Sewaan sebuah bot ialah sebanyak THB1200 ( muatan 4 – 12 orang penumpang ).

Menuju Pulau

Koh Lidee atau Pulau Lidi adalah gugusan 2 pulau yang berdekatan.(Koh Lidi Lek dan Koh Lidi Yai) Dipisahkan oleh laut sejauh 300 meter. Pulau yang berkeluasan 2km per. Ia sejauh ±5km dari Ao Noon dan perjalanan ke sana mengambil masa 20 minit sahaja.

Kami mendarat di Koh Lidi Yek (N6° 46.941' E99° 45.875'), pulau yang lebih kecil. Disini terdapat stesyen Ranger 2. Pulau ini mempunyai pantai yang bersih lagi cantik. Lautan yang menghijau dengan terumbu karang yang cantik. Terdapat hutan paya bakau yang menarik yang boleh diterokai. Yang menarik ialah pelantar pejalan kaki sejauh ±300 meter yang dibina ditepi tebing. Katanya dugong boleh ditemui disini kerana sumber makanannya banyak disini.

Kami tiba awal jadi tidak ramai pengunjung disini. Akibat teruja kami terlupa mempersiapkan bekalan makanan, maka terpaksa memendekkan masa di pulau ini kerana masing-masing terasa lapar, tambahan melihat pengunjung lain menikmati hidangan makanan tengahari… hmmm terliur rasanya. Kebanyakan pengunjung hari ini adalah penduduk tempatan dan sebahagian besar adalah muslim. Pukul 1.00 tgh terpaksa memanggil bot kami dan balik ke tanah besar akibat kelaparan (sebenarnya kami boleh duduk selama mana di pulau ini – Cuma berunding tempoh masa dengan pengusaha bot yang membawa ke sini). Menikmati makan tengahari yang mewah lagi lazat di Pak Bara.

Ingin bermalam ?

Selain Stesyen Ranger di Koh Lidee, juga terdapat 8 buah rumah penginapan yang boleh disewa dengan harga THB600 semalam. Ada restoren tetapi tiada pengusaha jadi bawalah kelengkapan dan bekalan makanan/air secukupnya jika ingin bermalam disini. Tapak perkemahan juga disediakan.

Di daratan, kawasan Pejabat Taman Negara terdapat Chalet terapung yang boleh disewa dengan kadar harga antara THB600 - THB1,800 semalam. Berminat? sila hubungi pejabat:-

Mu Koh Phetra National Park
298 Moo4, Bantalaosi, Pak Nam, Langu Satun 91110


Tel 074783074 Email:
mu_ko_phetra@hotmail.com 

Kunjunganku kali ini juga bagi mendapatkan lokasi dan maklumat mengenai Taman Laut sekitar selatan Thailand ini. Insyaalah akan aku terokai lagi pulau-pulau sekitar Taman Negara di sini.

Masih di daratan – kawasan Taman Negara Mu Koh Phetra

Macam di Korea plak

Mendarat di pulau

Banyak buaian disini – berehat sambil melihat anak-anak mandi

Pelantar pejalan kaki – Nikmatilah panorama pinggiran pulau sambil melihat ikan-ikan kecil di lautan

Di belakang sana adalah Koh Lidee Yai – hanya 100 meter dari pelantar ini

Restoran yang tiada pengusaha dan tapak perkemahan

Romantik - Pantai indah bersih

Insyaalah – akan ku jelajah banyak lagi pulau di sini

4 comments:

  1. Terima kasih banyak En Saifudin. Ilmu & pengalaman tuan amat berguna, Masa Pakcik muda macam tuan, rajin juga mengembara, sekarang dah 74 th dah kurang. Thanks again.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih Cikgu atas singgahan
    Memang seronok mengembara terutama bersama keluarga. Banyak yang dipelajari dan boleh didedahkan kepada mereka.

    ReplyDelete
  3. Salam nk ty .. Nk ke sini guna passport @ border pass?

    ReplyDelete
  4. W'salam
    Border pass pun boleh passport pun OK

    ReplyDelete