Monday, April 29, 2013

Bukit Langkap: Misi Berjaya Di Episod Kedua

Tarikh  :  27 April 2013
Jarak   :  ± 18 km 
Lokasi : Bukit Langkap, Junun, Kedah Darul Aman, Malaysia.
Coordinate : N5° 55.921 E100° 28.252

Aku sudah mengayuh ke sini pada awal bulan April lalu (Klik). Namun hasratku menawan bukit ini tidak berhasil dek kekangan masa dan keseorangan.

Pagi ini bersama saudara Adihariman menghala ke Pendang. Nekad untuk menawan bukit ini. Hujan mencurah turun seawal pagi tidak membantutkan hasrat kami. Sementara menanti hujan reda kami menikmati sarapan pagi disebuah warong sambil memerhati bilik gerakan, poster, bahan kempen dan gelagat petugas parti yang bertanding pada pilihanraya kali ke 13 di sini.

Setelah hujan renyai pada jam 8.45 pagi kami memulakan kayuhan di Kampung Sungai Durian (N5° 55.563 E100° 28.769) menelusuri laluan kampung sebelum berjumpa dengan bukit langkap. Menngambil laluan mendaki yang curam (yang aku tidak lalui sebelum ini) sehingga menjumpai permatang dan puncak (ketinggian ±90 meter). Walaubagaimanapun agak kecewa kerana semak samun yang  tinggi  menghalang penglihatan. Laluan turun juga semakin semak, aku terpaksa membuka jalan dengan menebas semak samun tersebut. Hasrat untuk mendaki 2 buah bukit yang telah diterangi dan ditanam dengan kelapa sawit terhalang kerana dipagar sekeliling. Meneruskan kayuhan ke Bukit Pinang dan bukit jambul. Menelusuri kawasan ladang kelapa sawit dan kebun getah di kaki bukit Jambul serta merentas kawasan sawah padi. Kayuhan ditamatkan pada jam 11.20 pagi

Seperti dijanjikan, berkat tekad dan  kali ini aku berjaya melengkapkan kayuhan dan  menawan bukit ini. Kayuhan ini juga sungguh bermakna buat Adihariman. Kayuhan jejak kasih & Nostalgia yang mengimbau ‘kenangan indahnya’ di sini.

Bkt Langkap-vert

keindahan alam

Menuju Bukit

Wow permulaan yang curam …

Menuju puncak

pelbagai bentuk rupabumi

Wednesday, April 24, 2013

Darulaman Bike Park: Membina Untuk Menunggang Bersama

Tarikh  :  20 April 2013          
Trek    :   Darulaman Bike Park
Jarak   :  ± 6km - 10km
Lokasi : Suasana Permai (Bukit Nara), Jitra, Kedah, Malaysia
Coordinate : N6° 15.168 E100° 26.730

Darulaman Bike Park dahulunya adalah sebahagian dari trek mainan kami. Asal namanya bukit Nara, sebuah bukit yang tingginya kurang dari 120 meter dan kini dimiliki oleh Darulaman Realty Sdn. Bhd.. Beberapa penganjuran pernah dilaksanakan di sini seperti Darulaman Jamboree (Jan 2011), Darulaman Downhill(Mei 2011), Kayuhan Santai bersama team Perlis dan Girls & Women Jamboree (2012), disamping kunjungan tidak rasmi beberapa team Downhill.

Bagi menjadikan bukit ini ‘hidup’ semula sesuatu perlu dilakukan, sehubungan dengan itu pihak KeDH berusaha untuk menganjurkan event downhill dan mereka sudah mula memperbaiki trek ini sejak bulan Mac lalu. Aku dan beberapa rakan lain menumpukan kepada laluan XC. Laluan lama diperbaharui, laluan baru dicari.

Kini trek ini sudah sedia untuk di tunggangi. Trek yang redup dinaungi pepohon pokok dan sesuai untuk dikayuh pada siang hari. Treknya tidaklah panjang tapi cukup untuk memberi kepuasan dan menaikkan adenalin. Hari ini bersama beberapa rakan menguji  trek ini sambil mengkaji kesesuaian laluan. Kesempatan juga diambil bagi menilai beberapa laluan yang ada potensi untuk dibuka lagi bagi menambah koleksi laluan di sini. Pada yang berminat, silalah bertandang ke trek ini.

Lagi Gambar di FACEBOOKku

Darulaman Bike Park

Darulaman Bike Park2

Bukit Nara menganjur memanjang  ±1.6km. Permulaan dengan mendaki laluan air berdekatan pintu masuk Suasana Indah hingga ke kawasan lapang sebelum mendaki lagi hingga tiba ke tempat perlepasan DH (N6° 14.751 E100° 26.880) setinggi 111 meter. Dari sini laluan menurun dan boleh mengambil beberapa pecahan laluan.

Halangan berupa ‘drop’ dari pokok yang tumbang

Berteknikal: Liang liuk menurun

Akar-akar kayu yang merintang

dikanan jurang didepan curam, keyakinan dan skill dipupuk

Akar-akar pokok menambahkan adrenalin

turun terus ke trek Downhill

Aksi Selamberr Wan Blitz di ‘Jump’ baru

DH trek: Melonjak di halangan yang baru dibina (dahulu dikenali sebagai ‘Jump Unta’)

‘Loncatan’ Penyudah …..

Tuesday, April 16, 2013

Bukit Langkap: Misi Separuh Jalan

Tarikh  :  11 April 2013          
Jarak   :  ± 8 km 
Lokasi : Bukit Langkap, Jenun, Kedah Darul Aman, Malaysia.
Coordinate : N5° 56.198 E100° 28.198

Bukit Langkap adalah sebuah bukit yang membelakangi pekan Kilang Kecil, Jenun. Jarak ± 9km dari pekan Pendang. Terdapat beberapa buih bukit berhampiran seperti Bukit Jambul, Bukit Pinang dan lain-lain lagi. Bukit ini memanjang dan tampak menarik untuk didaki. Ketinggiannya tidak melebihi 100 meter. Walaubagaimanapun Garmin aku tidak mempunyai peta topografi bukit ini( Mungkin kerana ketinggiannya yang kurang dari 100 meter).

Setelah beberapa kali memerhatikan bukit ini dari kejauhan dan mula merisik bertanyakan kepada penduduk tempatan akan laluan dan nama bukit ini. Maka hari ini aku bertekad untuk menjengah bukit ini. Sudah hampir sebulan aku tidak mengayuh maka hari ini memaksa diriku (yang memang ‘baloq’) untuk mennjejaki laluan di sini.

Seawal jam 8.20 pagi, keseorangan mendaki bukit ini mencari laluan yang sesuai. Ada banyak pecahan denai  (simpang) dan aku tekad mengikut naluri menjejaki laluan dilereng bukit. Hampir dihujung laluan  penjejakkan terhenti kerana laluannya semakin semak. Hatiku terasa tidak ‘tenteram’ lantas  berpatah balik dan menelusuri jalan kampung/laluan mini tar ke arah Bukit Pinang (yang selari dengan Lebuhraya Utara Selatan) dihidangkan dengan panorama yang indah dipagi hari. Inginku mendaki bukit botak (milik PDRM), namun dengan masa yang agak terhad (aku ada urusan pada jam 10.00 pagi) maka aku memutuskan untuk balik sahaja.

Hari ini ‘gerak hatiku’ tidak menjadi, beberapa laluan yang aku cuba masuk seperti terhalang. Mungkin ada ‘rahmat’ dan ‘rahsia’ disebalik semua ini.. Apapun Insyaalah aku akan datang lagi untuk menghabiskan jejakku di bukit ini.

Disana adalah Lebuhraya Utara Selatan & Bukit Botak milik PDRM