Monday, December 06, 2021

DUSUN SENGET: AIR TERJUN DI PERBATASAN SEMPADAN

Tarikh  :  26 Nov 2021
Lokasi  :  Dusun Senget, Kuala Perlis, Perlis, Malaysia.
Coordinate :  N6.44504° E100.14496°

Pagi ini kami bersama saudara Adi Harriman bersama isterinya, Deviyana bertolak dari Alor Setar pada jam 7:30 pagi. Plan asal untuk bersarapan di D’ Petak Paksu, namun kecewa kerana tutup pada hari Jumaat maka kami singgah di Kuala Perlis untuk melapik perut.

Jambatan Pelangi Atau Jambatan Tuanku Syed Putra aka Titi Tinggi

Usai sarapan kami menuju ke Jambatan Tuanku Syed Putra atau dikenali sebagai Titi Tinggi oleh penduduk tempatan. Jambatan ini dirasmikan oleh DYMM Tuanku Syed Harun Putra ibni al-Marhum Syed Hassan Jamalullail pada 30 Januari 1961. Jambatan ini menghubungkan Kampung Seberang Tok Pi di sebelah Pekan Kuala Perlis ke penempatan asal Kuala Perlis di Kampung Hujung Tanjung, Seberang Ramai. Jambatan ini telah diganti sebanyak 3 kali atas faktor keselamatan.

 

Jambatan yang dicat oleh Persatuan Mendaki Perlis 

Jambatan ini kini dikenali sebagai Jambatan Pelangi kerana dicat dengan warna-warna pelangi hasil sentuhan Persatuan Mendaki Perlis. Ia bermula pada 17 Januari 2021 dan siap dalam masa 12 hari.

Jambatan ini kini menjadi ikon di Kuala Perlis di samping kampung Seberang Ramai di seberang sana yang dikenali sebagai Kampung Warna Warni.  

Pohon mati di pinggir panta

Kemudian kami mengunjungi Kampung Warna Warni bagi melihat keindahan rumah-rumah disini yang sudah kelihatan cantik dan bersih. Kampung Warna Warni adalah perkampungan nelayan tradisional yang merangkumi beberapa kampung seperti Kampung Tengah, Kampung Hujung Tanjung, Kampung Tandiap, Kampung Baru Seberang, Kampung Seberang Alor, Kampung Seberang Jaya dan Kampung Pulau Ketam.

Tembok sempadan Antarabangsa

Kemudian kami menelusuri laluan tepi pantai menuju ke arah Pos Batu Putih dan singgah ke satu kawasan di pagar sempadan bagi melihat tembok sempadan. Tembok konkrit setinggi ± 2.4 meter dibina bagi memisahkan Kuala Perlis-Satun.

Sempadan Malaysia-Thailand bermula dari Bukit Batu Putih, hingga Bukit Bunga, Kelantan dipisahkan oleh daratan sejauh 551 kilometer manakala sempadan mengikut thalweg (bahagian terdalam) aliran utama Sungai Golok, hingga Pengkalan Kubor, Kelantan sejauh 105 kilometer.

Kayuhan kami ke sini selepas PKP1 -  KLIK SINI

Grand Canyon Perlis @ Kampung Wai - Pada waktu tertentu air sungai ini jernih dan menghijau.
 

Selepas itu kami ke Kampung Wai, ke jambatan viral berhampiran Terowong Lencongan Banjir Barat Timah Tasoh. Terowong sepanjang 756 meter yang bermula dari kampung Tebing Tinggi dan menembusi Bukit Banjaran Nakawan ke Kampung Wai, Kuala Perlis. Dikatakan sebagai terowong laluan air terpanjang di Malaysia. Ia selebar 10 meter dan berketinggian 7 meter. Projek Lencongan Banjir ini bermula pada Disember 2012 dan siap pada tahun 2016.

Kami melanjutkan perjalanan dengan menelusuri laluan mini tar menghala ke arah kawasan dusun. Perjalanan mengambil masa ± 10 minit hingga kami sampai ke kawasan lapang dan dikenali sebagai ‘Dusun Senget’. Disini terdapat air terjun kecil yang mengalir melalui batu-batu kapur. Punca air terjun ini adalah dari matair yang keluar melalui celahan batu dari kawasan bukit berhampiran.

Air terjun ini terletak di atas tanah persendirian. Kebetulan tuan tanah sedang memperbaiki dangaunya lalu aku meminta izin untuk memasuki kawasan dusunnya.

Mencari batu sempadan

Selepasa bergambar, kami meneruskan perjalanan merentas hutan kecil, melalui kawasan dusun untuk mencari batu sempadan Malaysia/Thailand. Malangnya kami tersasar di simpang yang membawa kami ke kawasan dusun yang tamat dipinggir hutan. Memandangkan masa terhad (dah nak masuk jumaat) kami terpaksa menangguhkan pencarian batu sempadan. 

V Tree
Bunga Kantan Hutan. Terima kasih
Santai di Kolam Renang @ Orang-orang Village

Usai solat Jumaat kami ke Orang-Orang Village (N6.4006, E100.2269) di tepi Jalan Jejawi - Tambun Tulang, berdekatan kampung Alor Redis.

Ia adalah penginapan ala Kabin yang pertama di Perlis. Terdapat 3 buah kabin dan yang bestnya ada kolam renang. Ia dikelilingi oleh sawah padi. Kami ke sini bagi meninjau kesesuaian aktiviti di masa hadapan.

    
Bendang View. Kabin atau bilik atau mengadap sawah
    
 

Monday, May 03, 2021

MENJEJAKI LOKASI FILEM ‘LANGSUIR’ DI GUA LANGSIAQ

LANGKAWI 04H 03M
Tarikh  :  25 Mac 2021  - Day 04
Lokasi  :  Gua Langsir - Hutan Simpan Kuala Kisap, Langkawi, Kedah.
Coordinate :  N6.41929° E99.88208°

… BERSAMBUNG

Gua Langsir@ Langsuir ini bukanlah Gua Langsuir yang terletak di Tasik Dayang Bunting. Ia adalah Gua Langsir di Hutan Simpan Kuala Kisap di dalam Kilim Karsk Geoforest Park yang menghadap Pulau Langgun. Batuan dari kawasan ini terdiri dari formasi Setul yang terdiri dari lapisan batu kapur yang kebanyakannya berwarna gelap dan berpelapisan tebal. Banyak fosil dijumpai di kawasan ini yang terbentuk pada zaman Ordovisi hiongga Devon (505 juta – 390 juta tahun). Batuan mudah larut dengan proses hakisan membentuk bukit-bukit berceragah tajam, gua dan dolina.

Pembentukan dolina atau tasik air payau ini menjadikan kawasan ini menarik. Kami memanjat tangga dan pelantar batu yang tersedia yang membawa kami mengelilingi lereng bukit hingga ke tengah tasik. Tasik seluas ± 0.9 ekar juga ditumbuhi dengan bakau. Ia dikelilingi oleh tebing batu kapur yang berceragah tinggi. Disamping itu ada gua tembus yang sempit yang boleh dilalui dengan bot semasa air pasang. Kononnya kawasan ini dihuni oleh Langsiaq (Banshee) sebab itu sebahagian filem Langsuir lakonan Hannah Delisha dan Syafiq Kyle dibuat di sini. Masih terdapat pondok yang dibina untuk filem tetapi sebahagiannya telah rosak dan runtuh.

Tasik seluas hampir 1 ekar ini  dikelilingi oleh bukit-bukit bertebing
Tinggalan pondok dari filem Langsuir dan kelihatan gua tembus disebelah kiri

Sedutan dari filem Langsuir

Saturday, May 01, 2021

PULAU LANGGUN: PANTAI PASIR/BATU HITAM

LANGKAWI 04H 03M
Tarikh  :  25 Mac 2021  - Day 04
Lokasi  :  Pulau Tanjung Dendang, Langkawi, Kedah.
Coordinate :  N6.427088°, E99.916064°

Dari pulau Langgun kami ke pulau berhampiran iaitu Pulau Tanjung Dendang (Berada dalam Kilim Karst Geoforest Park seluas 2.451ha). Pulau ini unik dan mempunyai nilai geologi. Terdapat fosil dan ada garis-garis atau takik laut kuno di pantai bertebingnya. Sempat aku mendongak mengamati spesis bogak yang hidup tergantung di tebing.

Terdapat dua buah gua di pulau ini iaitu Gua Assam dan Gua China. Namun kami tidak sempat untuk menjengah dan singgah ke sebuah pantai yang mempunyai batu kerikil (bersaiz 0.5in - 6 in ) yang terhampar di pantai. Ia dipanggil Pantai Pasir(batu) Hitam kerana kebanyakkan batu disini berwarna hitam.

Batu-batu kerikil yang terhampar di pantainya

Thursday, April 29, 2021

PANTAI TALAM DUA MUKA: BETING PENGHUBUNG PULAU

LANGKAWI 04H 03M
Tarikh  :  25 Mac 2021  - Day 04
Lokasi  :  Pulau Langgun, Langkawi, Kedah.
Coordinate :  N6.42445°, E99.90572°

GOPR0728

… SAMBUNGAN

Dari Gua Cerita kami ke sebuah pulau yang menghadap ke laut Andaman iaitu pulau Langgun. Pulau Langgun ialah sebuah pulau yang tidak berpenghuni. Bentuk mukabuminya yang menyebabkan ia tidak sesuai untuk penempatan. Namun pulau ini sangat sangat bernilai dari segi geologinya.

Pulau ini mempunyai pantai yang cantik dan salah satu pantai yang akan kami kunjungi ialah sebuah pantai yang dikenali sebagai Pantai Talam Dua Muka. Namanya timbul kerana ia mempunyai pantai dikedua sisinya. Ia adalah beting pasir yang menghubungkan pulau besar (pulau Langgun) dengan sebuah pulau kecil. Beting pasir sepanjang ± 30 meter dan lebar ± 12 meter. Ia mengingatkan aku pada  Had Mungkorn atau Golden Dragon Spine Beach iaitu pantai belakang naga sepanjang 4km bila timbul yang terletak Tanyong Po, Satun dan kebetulan ia terletak tidak jauh dari pantai ini.

Selepas menikmati suasana di pantai, aku menyelinap ke pulau kecil dan mendapati ada sebuah gua kecil lantas meronot dan menjumpai lohong yang membawa aku ke atas untuk menuju ke puncak pulau. Pemandangan dari atas ….. (subhanallah).

Kedudukannya yang agak terpencil (jauh oo) dan sedikit tersorok menyebabkan ia jarang dikunjungi.

Pantai di pulau terpencil


di pulau kecil ini ada gua
pantai dua disi berbentuk Y
BESAMBUNG …

 

Monday, April 26, 2021

CERITERA GUA CERITA

LANGKAWI 04H 03M
Tarikh  :  25 Mac 2021  - Day 04
Lokasi  :  Gua Cerita - Hutan Simpan Gua Cherita, Langkawi, Kedah.
Coordinate :  N6.46724° E99.84664°

… BERSAMBUNG

Dari teluk Dedap kami menuju ke sebuah pantai yang mempunyai sebuah gua lagenda yang dikenali sebagai Gua Cerita. Gua cerita terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Gua Cherita. Ia hanya boleh di akses dengan bot dari Tanjung Rhu (sejauh ± 5km).

Gua Cerita atau gua legenda, memperoleh namanya dari legenda Hikayat Merong Mahawangsa mengenai Puteri Cina dan Putera Rom yang diserang garuda dan gua ini menjadi tempat persembunyi mereka.

Gua Cherita adalah gua batu kapur yang terbentuk kerana proses hakisan. Gua Cherita terdiri daripada dua gua yang terletak 18m di atas permukaan laut sementara yang satu kira-kira 1.5m dari permukaan laut semasa.

Ada terdapat tangga kayu yang dibina untuk ke gua pertama (menghadap ke laut). Gua ini bukaan mulutnya yang kecil dan semakin membesar di dalamnya. Menariknya gua ini mempunyai Stalaktit dan stalagmit yang turut membentuk tiang tinggi dan pelbagai formasi dan yang uniknya ada bentuk seperti katil yang dikatakan tempat beradu sang puteri. Jika diamati pada dinding gua, kelihatan pelbagai warna seperti putih, kekuningan,kemerahan dan oren. Ia terjadi kerana kandungan mineral di dalam batuan gua. Bahkan terdapat warna hijau kebiruan dan tompokan hitam menandakan kehadiran belerang, flourida dan mangan. Memang unik gua ini.

Kalau di dinding ruang bawah ada banyak grafiti, tanda tangan pengunjung sejak tahun 1950-an bahkan ada tulisan kuno yang dikatakan rangkap dari kitab suci Al quran (samar).

Kononnya katil tempat beradu puteri China. Lihat warna di dinding gua
Ada pelbagai Stalaktit dan stalagmit yang membentuk pelbagai formasi dan pelbagai warna di dinding gua
BERSAMBUNG …

Video Gua Cerita & Teluk Dedap

Monday, April 19, 2021

GUA DEDAP: MENEROBOS TEROWONG ALAMI

LANGKAWI 04H 03M
Tarikh  :  25 Mac 2021  - Day 04
Lokasi  :  Hutan Simpan Gua Cherita, Langkawi, Kedah.
Coordinate :  N6.46994°, E99.83380°

… Sambungan

Kami menuju ke satu kawasan telok yang dikenali sebagai Teluk Dedap dan di situ terhadap sebuah gua kecil yang menarik yang dikenali sebagai Gua Dedap. Gua ini adalah sebuah gua tembus kecil yang menghubungkan laut dengan paya atau dikenali sebagai dolina. Gua ini berada di dalam kawasan Hutan Simpan Gua Cherita dan untuk ke sini hanya boleh diakses dengan bot.

Menurut ahli geologi, kawasan ini adalah dari formasi Setul dan gua ini terbentuk daripada hakisan ombak terhadap batuan yang lembut ribuan tahun lampau.

Kami kesini dengan menaiki bot milik saudara Ruslan dari Jeti Tanjung Rhu. Sebelum sampai ke sini kami melalui kawasan pinggiran pantai bertebing dan berceragah. Kawasan ini suatu masa dahulu pernah ditenggelami oleh laut jutaan tahun lalu (zaman Holosen). Tebing yang bergerigi dan bergaris terbentuk hasil dari hakisan ombak.

Dari Teluk Dedap kami menhampiri dengan bot hingga ke muka gua dan air yang cetek membolehkan kami berjalan memasuki gua hingga ke kawasan dolina. Kawasan ini dikelilingi oleh bukit dan tebing yang curam dan sebahagian kawasan ditumbuhi dengan pokok bakau.

Gua in pernah menjadi sebahagian dari scene filem “Langsuir” (2018) arahan pengarah kelahiran Langkawi, sdr Othman Ali yang turut dibintangi oleh Syafiq Kyle, Hannah Delisha dan lain-lain lagi.

Menarik suasana di sini dan memang berbaloi datang dan menjelajah gua ini.


suasana disebelah paya
Di muka gua ini dijadikan scene filem Langsuir
Gua tembus ke laut andaman
Dolina dengan hutan bakau
BERSAMBUNG …

Gua cerita dan gua dedap