Tarikh : 05 Ogos 2016
Koordinate: N6.55683° E99.98412°
Misi: Menjelajah Golden Dragon Spine Beach
Lokasi: Tanyong Po, Satun, Thailand
Thale Waek Di Krabi –
‘ketika’ yang tidak kena – air tidak surut ketika ku kunjungi dahulu
Menunggu beting pasir di Satun timbul sepenuh Ianya memanjang dan berlingkar sejauh 4km hingga ke Pulau hujung sana
Sekiranya anda pernah ke Krabi mungkin pernah merasai/ mengharung air atau berjalan di atas beting pasir sejauh 70 meter yang menghubungkan 2 buah pulau iaitu Koh Tup ke Koh Mu (N7° 57.649' E98° 48.640'). Beting pasir akan muncul perlahan-lahan bagaikan jambatan dan hanya berlaku pada waktu tertentu terutama ketika air surut. Fenomena ini dikenali sebagai ‘Thale Waek’ atau Separated sea. Tetapi di Satun ada fenomena alam sebegini yang lebih hebat dan menakjubkan. Kemunculan beting pasir yang berlingkar-lingkar memanjang bagaikan seekor naga mahu timbul dan hanya boleh dilihat pada waktu tertentu dan adalah yang terpanjang di Thailand. Tidak hairanlah ianya digelar ‘The Miracle Satun’ atau ‘Unseen Thailand’.
The Miracle Satun ini adalah Had Mungkorn atau Golden Dragon Spine Beach. Aku mendapat tahu lokasi pantai ini dari rakan facebook dari sana. Beberapa kali aku merancang, namun terpaksa menangguhkan dahulu misi ke sini kerana beberapa masalah.
Minggu sebelumnya selepas hari raya puasa aku sudah datang kesini, namun keadaan ‘air laut yang mati’ menyebabkan aku tidak meneruskan niat untuk kesana kerana pasti pantai ini tidak timbul sepenuh. Aku ambil kesempatan meronda ceruk kampung dan sempat berbual dengan penduduk tempatan. Mereka memaklumkan bahawa ada 14 jenis pantai sebegini dari Satun hingga ke Trang. Namanya diberi berdasarkan ciri dan warna seperti ‘Double Dragon Spine Beach’ di Tammalang, Satun, ‘Black Dragon Spine Beach’, Golden Stone Dragon Spine Beach, di Koh Lidi, Jade Dragon Spine Beach’ di Koh Sukorn, Trang dan lain-lain lagi. Laaaa … kebanyakkan tempat tu aku dah pernah sampai, tapi mungkin kerana kabur tidak tahu bahawa adanya fenomena sebegini disitu dan mungkin juga kerana MASA yang tidak sesuai.
Hari ini aku datang lagi ke Satun dan menuju ke Tanyung Po. Aku tidak ke jeti yang selalu orang ikuti iaitu di Jeti Ban Bakan Koey (N6.59703° E99.97365°) atau ke Kampung Tengah sebaliknya aku ke kampung Pasir Panjang atau ke Ban Sai Yao (N6.61176° E99.95117°). Perjalanan ke sini agak jauh namun sengaja aku mencari kelainan disini. Aku bertanya apakah masih lagi sesuai untuk ke sana kerana dimaklumkan bahawa air surut(low tide) berlaku pada hari isnin lalu dan hari ini adalah Jumaat. Setelah disahkan masih berpeluang maka aku pun bertolak dengan bot pancung (long-tailed boat) milik bang Nin (Kos ±THB2000 – pandai kowtim kalau mau harga lagi murah).
Singgahan pertama kami ialah ke Pulau Rusa(Koh Kwang) ( N6.53859° E99.99134°). Sebuah pulau kecil sepanjang ±160 meter dan selebar ±90meter. Pulau ini berjarak ±9km dari jeti Pasir Panjang yang mengambil masa ±40 minit. Disini ada sebuah bukit setinggi ±30meter. Biasanya pengunjung berhenti berehat dan naik bukit ini untuk melihat Dragon Beach dari atas. Dari pulau ini kita dapat melihat Langkawi yang jauhnya ± sejam perjalanan.
Selepas puas bergambar dan mengambil angin kami menuju ke Pulau Ubi (Koh Hua Man) (N6.56017° E99.98224°) pula yang jaraknya ±2km sahaja . Disini kelihatan ada 12 buah rumah penduduk yang kebanyakkannya adalah nelayan dan mereka mahir menangkap ketam. Pulau seluas 0.2km ini ditumbuhi dengan hutan bakau ada juga sedikit tanaman getah yang tidak diurus sebaiknya. Lama kami disini menunggu air surut hingga aku terlena diatas buaian sambil dibuai angin laut. Sedar sahaja anak-anak aku mengajak untuk ke hujung pulau melihat beting pasir yang semakin menimbul.
Selepas itu kami menaiki bot menuju ke tengah laut bagi menjejak kaki di beting pasir ini. Hmm… akhirnya berjaya juga aku menginjak atas belakang naga ini. Dari sini aku melihat riak-riak air yang berlingkar-lingkar memanjang bagaikan naga yang akan timbul. Kami mengambil masa bergambar dan aku menghayati sepenuhnya fenomena ini. Aku dimaklumkan bahawa hari ini beting ini tidak timbul sepenuhnya seperti kelmarin dulu. Ia memanjang sejauh 4km menghubungkan Pulau Rusa ke Pulau Ubi hingga ke Pulau Tiga Besar dan Pulau Tiga Kecil. Mengikut cerita penduduk tempatan ia fenomena ini dikaitan dengan cerita/lagenda dahulu dimana KONONNYA berlakulah petempuran dahsyat antara Sang Naga(Great Dragon of Ban Pak Ngu) & Helang (Great Eagle of Langkawi ) lalu alahlah sang naga, matinya ia dan terdampar disini. Kepalanya di Pulau Tiga ekornya di Pulau Ubi manakala badannya tenggelam kedalam air dan boleh dilihat ketika air surut (low tide) – iaitu pantai ini
Selepas hampir berlabuh senja, pantai ini tidak timbul sepenuhnya maka kami mengambil keputusan untuk balik. Dalam pada itu kami singgah juga di beberapa tempat yang pasirnya timbul. Sesungguhnya kunjungan sebegini memang berbaloi dilawati dan pastinya banyak lagi akan aku jejaki.
Berlabuh di Pulau Rusa
Bukit setinggi 30 meter – ada laluan disediakan untuk naik ke atas
Menghadap Langkawi
Antara Rumah Nelayan di Pulau Ubi – penduduknya adalah orang melayu
Posing di Pulau Ubi – menanti air surut
Air semakin surut menampakkan beting pasir
Kelihatan beting pasir perlahan-lahan timbul
Di atas belakang naga yang sudah mula timbul
Melingkar-lingkar badan naga
Berhenti di sebahagian beting pasir yang timbul sebelum balik ke Jeti.
Untuk makluman fenomena sebegini banyak berlaku di Laut Andaman dan ada dikesan di Sri Langka dan lain-lain tempat lagi
…. BERSAMBUNG …
Salam. Boleh saya copy catatan saudara dalam blog saya? Sy akan credit blog ini dalam catatan saya.
ReplyDeleteWa'alaikumussalam
ReplyDeleteSilakan ...