Tarikh : 01/09/2019
Lokasi : Istana Raja Bilah, Papan, Perak, Malaysia.
Coordinate: N4.51554° E101.01294°
https://goo.gl/maps/NmsVbohfv6zUDmEw5
Kami menuju ke pekan Papan, sebuah Pekan lama yang terletak ± 11km dari Batu Gajah. Pekan ini kelihatan seperti pekan koboi atau ghost town kerana banyak bangunan lama dan kelihatan usang seperti tidak ada penduduk. Pekan Papan dikatakan telah wujud sejak 200 tahun yang lalu dan namanya diambil sempena pengeluaran dan perusahaan papan serta pembalakan yang merupakan sumber kegiatan ekonomi yang utama di kawasan tersebut. Papan dikatakan telah dimajukan oleh orang-orang Mandailing dari Sumatera dan setelah itu kaum Cina datang berhijrah apabila berlaku ledakan aktiviti perlombongan bijih timah. Majoriti penduduk di pekan ini kini adalah orang Cina.
Sesampai ke sini kami mencari sebuah rumah agam lama yang terletak dibelakang pekan ini. Rumah yang dikenali sebagai ‘Rumah Raja’ adalah kepunyaan Raja Billah yang merupakan penghulu Papan. Beliau yang berketurunan Raja Mendailing dari Sumatera telah melarikan diri ke Tanah Melayu setelah tercetusnya perebutan kuasa dalam istana di sana. Raja Bilah bersama isteri dan keluarganya menetap di Pekan Papan semenjak tahun 1877. Oleh kerana beliau adalah seorang yang berpengaruh, disegani, mempunyai kewibawaan dan pengetahuan keagamaan yang luas, pihak Inggeris telah melantik beliau sebagai Penghulu Mukim Belanja dalam tahun 1882. Beliau mewarisi urusan perlombongan bijih timah di Papan dari bapa saudaranya. Dengan kekayaan itu, tidak hairanlah beliau mampu untuk membina sebuah rumah agam yang hebat ini.
Rumah ini siap dibina pada tahun 1896. Rumah dua tingkat yang dibina campuran kayu dan batu dengan gaya senibina Mandailing (Bagas Godang). Aku mengamati senibina kayunya yang menarik tetapi tidak berpeluang memasuki ke dalam rumah kerana berkunci.
Menariknya rumah ini, ia tersergam indah diatas bukit dan terdapat pintu gerbang dan tangga untuk naik ke rumah ini. Ia mempunyai laman menghijau yang cantik dan ada rumah penjaga/orang gaji disebelah kiri rumah.
MASJID LAMA PAPAN
Coordinate: N4.51544° E101.01327°
https://goo.gl/maps/TAawRiNxdrSFSbT16
Disebelah rumah ini terdapat sebuah masjid kayu yang boleh dikatakan sebagai masjid kayu tua di Perak. Sebelum masjid ini rosak dan rebah menyembah bumi, maka aku harus menziarahinya. 'Merasai' dan 'berkomunikasi' dengan binaan hebat yang mempunyai nilai yang tersendiri.
Dengan perkembangan pesat pekan Papan sekitar tahun 1887 telah menyebabkan pertambahan penduduk terutama yang beragama Islam. Al-Fadil Tuan Syed Sheikh Mohd Taib yang merupakan Ketua Agama Islam Perak ketika itu telah menggesa agar sebuah masjid didirikan di kampung tersebut bagi menampung jumlah jemaah yang semakin ramai. Di atas keprihatinan beliau, Raja Bilah telah mewakafkan sebidang tanah miliknya untuk pembinaan masjid yang siap dibina pada tahun 1888.
Masjid ini terletak di hadapan Istana Raja Billah. Senibina masjid ini banyak dipengaruhi oleh senibina Mandailing, Inggeris dan Cina. Ia tidak mempunyai menara dan kubah. Bumbungnya berkonsep bumbung limas bungkus yang berlapis (dua tingkat - bumbung Juglo). Binaan dengan lantai berpanggung dan dibina dari kayu bermutu seperti cengal, merbau dan damar laut.
Masjid ini pada pengamatanku bersaiz ± 25’ x 35’. Ia disokong oleh 30 tiang kayu yang dilapik dengan pelapik batu dan sebuah tangga batu dibahagian belakang untuk naik ke serambi dan terus ke dewan sembahyang. Aku memasuki masjid ini (dari sisi kanannya) dengan meninjau serta mengamati suasana didalamnya. Secara asas, masjid ini mempunyai ruang serambi, dewan sembahyang, mihrab dan mimbar serta lantai yang masih kukuh. Ruang dewan sembahyang utama berbentuk segi empat sama dengan kedudukan serambi tertutup dibahagian belakang. Di bahagian hadapan, terdapat bukaan di dinding yang aku rasa berfungsi untuk pengudaraan dan pencahayaan. Ditengah ruang utama terdapat empat batang tiang seri yang bertujuan untuk menyokong struktur bumbung. Kelihatan beduk dan ‘gendang raya’ yang berada dibahagian belakang masih utuh dan dapat berfungsi dengan baik (cuma gendang raya tiada kulit lembu dipasang).
Tampak dari bahagian hadapan Masjid
Tampak sisi (kiri) masjid
Tampak belakang masjid – Pintu utama untuk masuk ke masjid tetapi pintunya berkunci. Ada tangga batu untuk naik
Tampak sisi (kanan) – disini juga ada pintu masuk tetapi telah terkopak. Masjid ini tiada kolah dan di bahagian sini juga ada telaga untuk jemaah mengambil wuduk
Mimbar masjid kelihatan masih utuh dan diperbuat dari kayu bermutu. Ada bukaan untuk pengudaraan dan pencahayaan
Ruang dewan sembahyang. - Selain azan, ketika masuknya waktu sembahyang tabuh dan gendang akan dipalu. Tabuh dan gendang raya ini masih kelihatan utuh dan ia ditempatkan dibahagian belakang ruang sembahyang (peran)