Friday, October 18, 2019

Masjid Kayu Tertua di Selangor

Tarikh       :  30/08/2019
Lokasi       :  Simpang Tiga, Ulu Bernam, Selangor, Malaysia.

Coordinate:  N3.67541° E101.52178°

https://goo.gl/maps/e5XRrNXeH1YQxX1M6


Negeri Selangor mempunyai sejumlah > 100 aset warisan yang telah dikenalpasti yang meliputi bangunan/monumen. Sebuah masjid yang terdapat di Hulu Selangor telah disenaraikan sebagai sumber warisan ialah masjid Syeikh Ismail. Ia dikenalpasti antara masjid kayu tertua di Selangor.

Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur aku singgah ke sini bagi menyaksikan sendiri masjid kayu yang dikatakan berusia lebih dari 100 tahun itu. Ia terletak di Simpang Tiga, Ulu Bernam.  Kedudukannya di tengah pekan berhampiran lampu isyarat di tepi jalan menyebabkan masjid itu mudah kelihatan.

Masjid yang dinamakan Masjid Sheikh Ismail Ulu Bernam (Masjid Tua)  bersempena nama seorang tokoh ulama sufi iaitu Syeikh Ismail Al Khalidi An Nasqsyabandi atau nama penuhnya Syeikh Ismail bin Hj. Mohd Arif, seorang tokoh tarekat Naqsyabandiyyah al-Khalidiyyah. Ianya dibuka  pada 15 Safar tahun 1345 H(berdasar tulisan jawi di pintu masjid) bersamaan 23 Ogos 1926.

Walaupun sudah berusia lebih seratus tahun namun ia masih utuh dan digunakan oleh umat Islam untuk beribadat. Reka bentuk bangunan yang keseluruhannya adalah daripada kayu dan papan kelihatan masih kukuh dan menampilkan hasil binaan kesenian melayu lama.

Masjid berbentuk empat segi, mempunyai bumbung limas dan mempunyai 2 tingkat. Ditengahnya ada sebuah menara yang menjadikan ia bertingkat dan dihiasi dengan kubah kecil diatasnya. Bumbungnya adalah dari zink berwarna hijau (tidak pasti samada bumbung asal atau diganti semula). Sepanjang tepian hujung bumbung pula dihiasi 'papan cantik' berukir. Di sebelah sisi kirinya adalah juga  pintu utama masuk ke masjid dan ada kolah dibina untuk mengambil wuduk

Dindingnya dibina dengan susunan papan lapis secara menegak dan tingkap kepak serta pintu kayu yang disusun dengan kemas. Cermin warna yang pasang pada bahagian atas tingkap menjadikan ruang dalaman masjid lebih terang dengan pencahayaan, menarik dan cantik terutama ketika matahari menyinarinya.

Ruang dalamannya agak luas dan terdapat 4 tiang utama ditengah masjid yang dibina bagi menyokong struktur menara. Ada loteng dibina untuk naik ke menara ada ada 2 tangga bertingkat yang curam menghubungkan loteng dan menara. Aku memanjat naik ke loteng dan dari sini kita boleh melihat dengan lebih jelas reka dalaman masjid ini. Dari loteng ada tangga untuk naik ke menara dan aku memanjat naik dan menolak pintu atas dan mendapati ada pembesar suara disini. Menariknya silingnya dipasang dengan kayu berlapis yang menutup bahagian bumbung kecuali di bahagian menara.

Mimbar dan pencahayaan dari kaca berwarna

No comments:

Post a Comment