Tarikh : 09 November 2018
Misi : Mencari, Mendaki Bukit, Tasik & Air Terjun
Lokasi : Ton Nga Chang Wild Life Santuary, Hadyai, Songkhla, Thailand
Jarak : 70 km
Coordinate: N6.94645° E100.23068°
Maps Link : https://goo.gl/maps/ujB3kH44h3G2
Bersambung ….
Turun dari Bukit Khuan Chu, sengaja mengikuti jalan luar bandar untuk melihat kehidupan masyarakat desa. Oleh itu kami menelusuri ‘Ro Pho Cho Songkhla Road’ dan ± 3.5 km kami belok ke kanan dan telusuri pula ‘O Bo Cho Songkhla 3069 Road’ dan rural road sejauh ± 11 km sehingga bertemu Highway 4145 dan Songkhla 4034 Rural Road dan seterusnya menuju ke Khlong Cham Rai Reservoir (N6.82388° E100.33084°)
Ia adalah sebahagian Projek Pembangunan Basin Sungai Khlong Hai dan Terusan Hoi Khong. Terletak di Moo 7, Ban Thung Yung, Daerah Khlong Hoi Khong, Songkhla.
Takungan ini dibina dalam tahun 1983 dan memakan masa 3 tahun untuk disiapkan (1983 - 1985). Projek yang menelan belanja THB 152,192,000.00. Berkeluasan ± 7 km2 dan bertujuan untuk:-
- Mengairi kawasan pertanian seluas 8,000 hektar
- Membekal air untuk kegunaan > 500 keluarga
- Kawasan tadahan air dan mengurangan masalah banjir di kawasan Hadyai,
- Tempat pembiakan ikan air tawar
- Tempat rekreasi di daerah Khlong Hoi Khong dan kawasan berdekatan.
Selepas berswafoto, menikmati pemandangan dan menghirup udara segar kami meneruskan perjalanan menelusuri ‘O Bo Cho Songkhla Road’ sehingga ke Ton Nga Chang Waterfall.
Air terjun ini dinobatkan antara yang tercantik di Selatan Thailand. Namtok Ton Nga Chang atau Air Terjun Gading Gajah mempunyai 7 Tingkat (level) yang memikat. Ia mengalir turun dari pergunungan Hutan Simpan Ton Nga Chang. Ia terletak ± 30 km dari bandar Hadyai. Untuk masuk ke Taman Negara ini dikenakan sebanyak THB200 (wisatawan asing).
Biasanya pengunjung akan berada pada air terjun di level 1 sahaja dan menariknya dari sini kelihatan berpuluh tan ikan kelah berenang-renang sambil mengerumuni pengunjung di sepanjang sungai.
Kami bercadang untuk mengunjungi hingga ke level 4. Sebelum mula mendaki kami perlu mendaftar nama di pondok ranjer dan seterusnya menghayun langkah ± 400 meter mendaki ( ketinggian ±160 meter) ke air terjun di level 2. Di sini tampak 2 curahan air setinggi ± 20 meter yang turun di kiri dan kanan tebing.
Kami gagahi mendaki lagi ±600 meter ke ketinggian ±250 meter untuk melihat air terjun level 3 yang lebih dramatik. Di sinilah lokasi air terjun yang terbaik dimana 2 curahan air terjun bagaikan gading gajah. Agak bahaya di kawasan ini kerana curahan air terjun level 3 akan mengalir ke tebing yang curam dan pernah dilaporkan pelancong asing jatuh. Untuk sampai ke sini, penat jugalah berhempas pulas melawan mental dan mengerah kudrat (adakalanya laluan licin ) tetapi sangat bebaloi bila sampai.
Tidak sempat ke level 4, lantaran langit semakin mendung (bimbang juga), lalu membatalkan pendakian, lagipun hanya kami berdua di sini
Untuk makluman, Taman Negara ini pernah ditutup hampir 15 tahun hingga tahun 1976 kerana masalah keselamatan(kawasan hitam). Jabatan Hutan Diraja (The Royal Forest Department) telah menghantar pegawai Wildlife Conservation Division ke sini dan mendapati kawasan ini mempunyai banyak hidupan liar terutama tapir yang menjadi kawasan habitatnya. Hutan ini juga menjadi kawasan tadahan hujan dan sumber air dan dapat menyuburkan ribuan ekar kawasan sekitar Songkhla. Apabila laporan diserahkan, Pihak Kerajaan mendapati kawasan ini harus dilindungi kerana mempunyai sumber alam yang sangat bernilai dan mesti dijadikan kawasan perlindungan hidupan liar dan susulan itu ia di istiharkan sebagai ‘TON NGA CHANG WILDLIFE SANCTUARY’ pada 2 Julai 1978
Level 1
Di level 1 ni berpuluh ikan akan mengerumuni kita tambahan apabila di tabur makanan ikan. Makanan ikan ada dijual di kedai dan gerai di sini. Harga THB20 sepeket
Level 2 – Di sini pun cantik dah. Perlu daftar nama dahulu sebelum mendaki untuk tujuan keselamatan
Laluan mendaki agak curam terutama ke Level 3 ke atas
Level 3 : Hati-hati d isini. Untuk mendekati air terjun sini kena menyeberang dan kawasan sini agak bahaya kerana di hadapan ada tebing yang tinggi dan diberitakan ada pelancong yang pernah jatuh.
Level 3: Di sini dikatakan air terjun paling cantik . Dengan 2 aliran air terjun bagaikan Gading Gajah yang membawa nama Ton Nga Chang
Pautan Kembara Berkaitan
1. Padang Besar: Puncak 2 Sempadan
2. Ton Nga Chang: Air Terjun Yang Hebat Lagi Memikat
No comments:
Post a Comment