Tarikh : 24 Disember 2013
Kos : ± RM700.00 (All-in satu famili)
Jarak : 310 km/780 km
Laluan: Wang Kelian – Khuan Don – Chalung – Thung Wa – Kantang – Pak Meng Pier
Trang katanya adalah sebahagian dari wilayah Kedah Tua satu ketika dahulu. Terletak di selatan Thailand. Ia bersempadanan dengan wilayah Satun diselatannya, Phathalung di Baratnya dan Krabi di Utaranya. Lokasinya yang menghadap laut Andaman pernah menjadikan Trang sebagai salah sebuah pelabuhan utama. Keunikan Trang adalah pada pantai, pulau dan lautan membiru kehijauan disamping airterjun dan gua-guanya. Ia juga menjadi wilayah pertama yang ditanam dengan pokok getah di Thailand.
Keunikan inilah yang menarik perhatianku, jadi bersempena dengan cuti Hari Krismas aku membawa keluargaku bercuti ke sana. Sebelum bertolak aku merancang perjalananku dengan mencari dan menetapkan posisi (koordinate) beberapa lokasi sebagai ‘pengisian’ sepanjang perjalanan untuk memenuhi masa dan mengelak kebosanan. Aku juga membawa bekalan makanan seperti beras, sardin, roti dan makanan kering disamping membawa periuk letrik serbaguna sebagai persediaan mendapatkan ‘makanan’.
Kembara kami bermula dari Alor Setar pada jam 8.30 pagi dengan menuju ke arah pintu sempadan Wang Kelian. Letupan bom yang berlaku tempohari (22/12/2013) di hadapan Balai Polis Padang Besar (Thailand), Balai Polis Sadao dan di hadapan Hotel Oliver di pekan Danok menyebabkan aku memilih untuk masuk ke Thailand melalui laluan ini. Lagipun aku memang suka dengan wilayah Satun yang bagiku lebih selamat berbanding wilayah lain. Ia tidak pernah digemparkan dengan serangan pengganas atau dicemari dengan pergaduhan kaum atau agama.
Urusan imigresen (passport) kami berjalan lancar dan mudah sekali, pukul 9.45 pagi sudah berada ‘diseberang’ namun sebaik melewati Kampung Wang Prachan, hujan mula turun sehingga ke Khuan Don. Hasrat untuk menikmati mee Kuan Dhon(KLIK) tidak kesampaian apabila kedainya masih belum dibuka.
Perjalanan diteruskan dengan melalui pekan Chalung (N6 43.524 E100 04.017) membelok ke kanan menghala ke Thung Wa dan singgah ke air terjun ThanPlew (KLIK) (N7 06.664 E99 50.602) yang juga menjadi kawasan tadahan air. Cantik dan tenang disini. Hampir 2 jam aku menikmati suasana kedamaian disini. Pada pemerhatianku ada banyak air terjun, jeram dan gua di kawasan ini.
Pokok getah pertama di negara Thai.
feri menyeberangi Sungai Trang seluas ±500 meter
Selepas itu aku meneruskan perjalanan ke pekan Kantang untuk melawat sepohon pokok getah (KLIK) (N7 24.576 E99 31.372) yang dikatakan sebagai pokok getah pertama yang di tanam di Thailand. Aku tiba ± pada jam 2.00 petang, selepas mendapat sedikit maklumat aku terus ke pengkalan feri(N7 24.415 E99 30.495) untuk menyeberangi sungai Trang ke seberang. Tiket untuk kereta dan penumpang hanya TNB25.00 sahaja.
Sebaik sampai ke Jeti, aku mengikuti jalan Tha Som Soi yang sedang dalam pembinaan terutama yang melibatkan jambatan (mungkin aliran air yang deras merosakkan jambatan tersebut) dan ± 5km aku belok ke kanan mengikuti jalan Bo Nan Ron ke Kantang Hotspring atau Khuan Khaeng Hotspring (KLIK) (N7 24.550 E99 27.777). Sebuah paya dan kolam air panas yang kini sedang proses menaik taraf dan penyediaan pelbagai kemudahan.
Selesai meninjau kawasan terus menuju ke Hat Chao Mai National Park (N7 25.464 E99 20.841) dan meninjau pantai lautan Andaman yang memanjang ini. Singgah makan tengahari di sebuah kedai muslim di pantai Pak Meng (N7 29.581 E99 19.718). Hmmm .. kurang enak, sotong yang berbau, udang yang kecil bahkan harganya agak mahal, tidak disyorkan. Ada beberapa kedai makanan muslim yang berhampiran sekitar pantai ini. Ada perkampungan islam berdekatan dan Masjid Ban Na La (N7 29.182 E99 20.401) tidak jauh dari ini dan Masjid Muhajirin Islam (N7 27.380 E99 21.446)
Selepas itu aku meronda sepanjang pantai untuk mencari tempat bermalam. Aku mencari satu lokasi yang berhampiran dengan Jeti untuk aktiviti esoknya dan berdekatan pula dengan gerai/kedai yang menyediakan makanan muslim. Jadi aku memilih Laytrang Chalet (N7 30.453 E99 18.773) yang hanya beberapa meter dari Jeti Pak Meng (diseberang jalan sahaja). Chalet ini menawarkan bilik yang berharga dari THB1500 – THB 800. Aku memilih bilik yang agak selesa untuk kami sekeluarga iaitu dengan kadar THB1000. Aku rasa malam tu hanya 2 bilik sahaja yang disewa termasuk bilik kami. Malam yang terasa sungguh sunyi apatah lagi siangnya tiada letrik dan hanya beroperasi pada jam 8.00 malam (sedang dalam pembaikan). Wifi hanya boleh diakses sekitar pejabat. Kedai makanan muslim berada dijalan masuk dan hanya beberapa meter sahaja iaitu MusaLim Food (N7 30.456 E99 18.746)
Bersambung ….
Lagi Gambar di Facebookku
Bilik yang agak selesa
Muslim Food – ada nasi, laksa siam & pulut ayam