Tarikh : 08 Julai 2013
Jarak : ± 39 km
Laluan: | LTSAH – Kepala Batas – Titi Gajah – Titi Besi – Pengkalan Gelong - Alor Ganu – Kg. Bohor – Pulau Kerengga – Alor Melintang – Alor Gonchar – Gunung Keriang – Kubang Teduh - Kota Rentang – Telaga Batu – Kampung Budi - Pulau Timbul – Chegar – Pulau Pisang – Telok Malik – Padang Pekan |
Sebenarnya perancanganku adalah untuk membawa krew produksi ini ke trek Bukit Kelubi @ Trek Hosba yang lebih mencabar, namun atas sebab tertentu aku memilih laluan yang mendatar ini disamping untuk menyesuaikan dengan tema Kedah sebagai negeri ‘Jelapang Padi’ dan mengetengahkan beberapa tempat bersejarah yang dilupakan.
Aku menggelar trek ini sebagai trek Nostalgia kerana laluan ini pernah digunakan oleh penduduk sejak lama dahulu. Menelusuri laluan sungai(lama) dan menjejaki beberapa tinggalan sejarah yang dilupakan. Laluan ini aku pernah gunakan sejak dahulu lagi samada dengan motosikal atau basikal (sejak 90an). Ketika itu beberapa jalannya masih ‘kelam’ dipenuhi dengan semak samun. Bolehkata hampir setiap batas ban atau lorong ku lalui.
Bersama Krew Penggambaran: dari kiri Rashid Ramli (Asst. diector). Kama (Audio), Yat, Pudin, Danny, Dak Seli(Director) dan Pn Anif (PA)
Aquila Emas adalah produksi filem yang menerbitkan 13 siri rancangan travelog - ‘Jom Kayuh untuk siaran TV di RTM @ TVi saluran 180 Astro. Ia membuat penggambaram dibeberapa trek di seluruh negeri di Malaysia. Kelmarinnya mereka membuat penggambaran Trek Downhill Gunung Jerai bersama team KeDH. (Aku tidak dapat bersama dengan team aku ini kerana komitmen kerja) dan sehari sebelumnya mereka dibawa oleh team GCA menjelajah Trek XC Gunung Jerai. Besoknya mereka akan merakam aksi Downhill di Trek Darulaman Downhill. Rujuk SINI untuk ceritanya.
Produksi filem ini diketuai oleh Pengarahnya En. Rosli Mohamad Jidin (DakSeli), Penolong Penerbit, En. Rashid Ramli dan dibantu oleh 5 orang krew lagi. Rider tetap mereka ialah Mohd. Danny dan Syed Ahmad Fuad (Yat Al-Aydrus).
Sebelum memulakan penggambaran aku berbincang dahulu dengan pengarahnya mengenai laluan dan menetapkan ‘point-point’ disepanjang laluan ini. Basikal aku juga dipasang dengan kamera Go Pro bagi mendapatkan sudut pengambaran yang berbeza.
POINT: 1. MULA – Pancaran Mahkota, LTSAH, Kepala Batas, Alor Setar 2. Pekan Kepala Batas - KUBU (N6 11.963 E100 24.723) 3. Lorong Pengkalan Gelong - Naik Feri (N6 11.676 E100 22.912) 4. Gunung Keriang - Pusat Jualan Batu Kristal (Hiasan) dan Muzium Padi (N6 11.487 E100 19.587) 5. Chalet MADA kampung Pisang (Chalet Pak Atan) (N6 16.251 E100 22.650) 6. Makan Tunku Anum (N6 16.031 E100 22.870) 7. TAMAT - Tasik - mandi |
Al-kisah maka bertemulah aku dengan 2 orang rider dari Kula Lumpur iaitu Mohd. Danny dan Syed di pancuran air berdekatan dengan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim(LTSAH). Pancuran air yang nama sebenarnya ialah ‘Pancaran Mahkota’. Lokasi asalnya adalah di Bulatan Telok Wanjah, Alor Setar. Ia dirobohkan dan dibina semula disini dalam tahun 2010 bagi memberi laluan untuk pembinaan jejantas akibat dari projek pembinaan landasan keretapi berkembar.
Pancaran Air Mahkota - Lokasi asal, proses pembinaan dan siap pembinaannya. Satu masa lalu ia menjadi ‘landmark’ Alor Setar. Pancutan air berwarna-warni yang menarik pada malam harinya. Dikenali dengan air pancut oleh penduduk tempatan
Pancaran Mahkota(yang asal) dibina dalam tahun 1971 bagi memperingati pertabalan KDYMM Sultan Kedah sebagai Yang DiPertuan Agung Yang Kelima pada 21 September 1970. Perletakkan batu asas disempurnakan oleh KDYMM Sultan Kedah pada 24 Jun 1971 dan pembukaan rasminya pada 25 Januari 1973. Pembinaannya berasaskan kepada konsep Rukunegara dimana terdapat 5 piring pancuran yang setiap satunya merujuk kepada prinsip Rukunegara dan ia juga melambangkan perpaduan rakyat negeri Kedah.
Bermula dari sini kami bergerak ke persimpangan Jalan Kepala Batas – Bukit Pinang bagi melawat kubu lama era British, Sebelum tiba ke sini kami melewati beberapa buah kubu iaitu di Titi Besi dan didalam kawasan Mess Pegawai Tentera Udara DiRaja Malaysia(TUDM). Di kepala batas ini ada kubu dan pondok yang menyediakan sedikit maklumat berkaitan kubu-kubu di Kedah.
Kubu-kubu ini bina sekitar tahun 1940an oleh pihak British sebagai persediaan untuk menghadapi serangan Jepun yang dijangka akan masuk melalui Selatan Thailand. Pembinaannya dikawasan strategik seperti lapangan terbang dan jambatan. Terdapat 26 buah kubu yang dibina di seluruh Kedah. Kebanyakkan terletak di daerah Kota Setar, Kubang Pasu dan Sungai Petani. Kubu ini tidak pernah digunakan kerana ia bina pada musim kering dan sentiasa digenangi air.
Aku cuba mengelakkan penggunaan jalan raya oleh itu aku membawa mereka menelusuri jalan belakang(bendang) di Titi Besi, sambil menunjukkan kepada mereka(dari kejauhan) satu kubu yang berada ditengah bendang berdekatan dengan pagar lapangan terbang. Kemudian mengikuti laluan berhampiran kompleks/Hotel TH (Tabung Haji) sebelum melewati Lorong Salam dan menyeberang ke Lorong Pengkalan Gelong untuk menaiki feri ke seberangnya.
Lorong Pengkalan Gelong juga pernah dikenali sebagai Lorong Gajah. Suatu masa dahulu ia menjadi tempat pendaratan barangan para pedagang dan diangkut dengan gajah ke lokasi sekitarnya. Dahulunya sampan digunakan oleh penduduk tempatan. Bahkan sungai ini digunakan oleh keluarga mentuaku dari Pulau Timbol untuk menziarahi rumah keluarga di Titi Gajah.
Laluan Alor Ganu – Pulau Kerengga – Alor Melintang – Alor Gonchar.
Selepas menaiki feri ke Alor Ganu, kami menelusuri laluan bendang menuju ke Kampung Bohor, melewati sebuah chalet yang tersergam cantik ditepi sungai dalam kawasan sawah padi ini. Ketika ini baru selesai musim menanam padi, maka laluan kami dihidangkan dengan pemandangan bak hamparan karpet hijau. Kami mengikuti laluan batas ‘ban’ dan jalan kampung memasuki kampung-kampung tradisional dengan melewati kampung Pulau Kerengga – Alor Melintang dan Alor Gonchar sebelum keluar berhampiran simpang ke Gunung Keriang dan seterusnya ke kawasan rekreasi Gunung Keriang dan singgah dibeberapa gerai yang menjual batu kristal atau dikenali sebagai batu bunga.
Batu-batu yang dijual ini diambil dari Gunung Keriang oleh pencari batu. Batu-batu kristal ini sesuai untuk dijadikan perhiasan dan ada yang mengatakan ia mempunyai khasiat tertentu. Ada juga yang menggelarnya batu ‘hidup’, kerana batu ini kalau di sembur dengan air ia akan tumbuh bercambah dan berkilau apabila terkena cahaya lampu.
Gunung Keriang terletak ± 8km dari bandaraya Alor Setar, Sebuah gunung setinggi 217.92 meter yang tersergam di tengah kawasan sawah padi. Berbentuk seperti kapal yang terbalik kononnya kerana disumpah oleh ‘Sang Kelembai’ suatu masa lalu. Selain misteri dan mitos, guanya juga menjadi tarikan pelancong untuk dikunjungi. KLIK SINI mengenai penjelajahanku ke dalam gua
Selepas itu kami singgah ke Muzium Padi yang terletak berdekatan dengan Gunung Keriang. Muzium ini dibuka dengan rasminya oleh KDYMM Tuanku Sultan Haji Abdul Halim Mu’adzam Shah, pada 12 Oktober 2004, bersamaan 27 Syaaban 1425. Tujuan utama muzium ini dibina ialah bagi mewujudkan sebuah muzium yang unggul untuk mempamerkan bahan-bahan berkaitan padi yang melibatkan budaya, penyelidikan dan pembangunan serta perkembangan teknologi padi disamping mengadakan pameran secara tetap atau sementara berkaitan budaya dan sebagainya.
Muzium ini dibuka setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang (kecuali Jumaat tutup sementara - 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang). Ia hanya ditutup pada Hari Raya Aidilfitri & Hari Raya Aidiladha (hari raya pertama sahaja)
Bayaran masuknya ialah RM 5.00 seorang (Dewasa), Kanak-kanak / Rombongan Sekolah (Beruniform) - RM 2.00 seorang
menikmati pemandangan 360°
Di aras pertama ada ruangan pameran yang menunjukkan sejarah berkaitan penanaman padi Kedah, koleksi variati-variati padi dan alatan-alatan persawahan tradisional seperti onak, renggam, kapok, tenggiling dan lain-lain.
Di aras kedua terdapat mini galeri yang memuatkan lukisan-lukisan yang menggambarkan aktiviti-aktiviti pertanian bermula dari zaman purba hingga ke zaman sekarang. Dokumentari mengenai kaedah penanaman padi juga yang ditayangkan setiap hari dan dari aras dua ini juga pengunjung boleh melihat aktiviti-aktiviti harian pesawah seperti mencabut semai, menyulam, membaja dan menuai.
Aras ketiga pula menempatkan tempat duduk berputar bagi melihat panorama tanaman padi pada satu musim dalam bentuk mural dan lanskap di mana mural ini mempunyai ketinggian lapan meter serta 103 meter panjang dan merupakan salah satu mural yang terbesar dan tercantik di Malaysia.
Selesai melawat Muzium Padi, kami mengikuti jalan Kubang Tedoh – Telaga Batu – Chegar dan terus ke Homestay MADA Pulau Pisang (Chalet Pak Atan). Sepanjang perjalanan menyaksikan beberapa projek tanaman padi secara kelompok/mini estet dijalankan.
Homestay Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Kampung Pulau Pisang terletak ± 28 kilometer dari Bandaraya Alor Setar. Inap desa tersebut terletak di sebuah kampung tradisional dan berkonsepkan ‘Agro-pelancongan'. Ia diusahakan oleh Encik Norhizan Abdul Ghani atau lebih mesra dengan panggilan Pak Atan hampir 12 tahun yang lalu. Pihak MADA juga telah memberi bantuan kepadanya bagi memajukan lagi industri ini.
Di sini pengunjung boleh merasai satu pengalaman unik cara hidup di kampung dengan merasai pelbagai aktiviti seperti menangkap ikan air tawar secara menjala, memancing dan belajar menggunakan alat menangkap ikan tradisional seperti serkap, belat, bubu dan taut. Pelbagai barangan antik turut dikumpulkan dan dipamer didalam homestaynya. Barangan tradisional berkaitan penanam padi juga turut dipamerkan disamping mini zoo.
Lawati facebook nya (KLIK)
Beliau turut membela beberapa binatang eksotik sperti ular sawa sepanjang 30 kaki yang dipeliharanya sejak kecil, burung merak, hedgehog, iguana dan lain-lain lagi.
Ada kolam ternakan ikan yang airnya jernih dan kini beliau sedang mengusahakan projek kolam ternakan ikan seluas ± 1 hektar
beberapa chalet disediakan
Rumah Tok Wan - Pihak crew bermalam di chalet ini
Kipas ‘menguroi’ dan tenggala yang dipamerkan dibawah chalet ini
Lesung hindik(unik) bermuka kuching berusia lebih dari 100 tahun
Penggambaran dikediamannya dengan merakam pelbagai barangan traditional dan antik
Kami meneruskan perjalanan ke Makam Tunku Anum yang jaraknya hanya 800 meter dari chalet Pak Atan. Makam pahlawan yang menjadi Raja Di Kubang Pasu ini.
Tunku Anum Abdul Rahman diputerakan pada 1790M. Beliau ditugaskan sebagai raja penghantar bunga emas dan perak semasa penaklukan Siam di Kedah (1821 - 1841). Jasanya memujuk raja Siam untuk mengembalikan takhta kerajaan Negeri Kedah kepada Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II menyebabkan Sultan telah mengurniakan kawasan Kubang Pasu bersama 24 mukim pada Tunku Anum. Semenjak dari tahun 1841, Tunku Anum menjadi raja Negeri Kubang Pasu Darul Qiyam yang berpusat di bandar Pulau Pisang sehinggalah beliau mangkat pada hari Selasa 22 Syaaban 1269 bersamaan 31 Mei 1853
Maklumat lanjut boleh diperolehi disini (KLIK)
Menikmati buah-buahan tempatan
Yat Al-Aydrus
Mohd. Danny
Perjalanan kami berakhir di sebuah kolam yang terjadi dari tinggalan kuari tanah yang kini dipenuhi dengan air mata air. Airnya yang jernih dan bersih membuatkan aku dan krew turut mandi didalamnya. Ada beberapa lagi kolam sekitarnya dan menjadi lokasi penggemar kaki pancing.
Sebenarnya ada lagi tempat bersejarah seperti tinggalan Kota Naga di Padang Senjaya(tidak jauh dari tempat ini) yang pernah menjadi pusat pentadbiran Sultan Rijaluddin Muhammad Shah (1626-1651) , Sultan yang ke 13. Tidak hairanlah sungai-sungai sekitar laluan ini menjadi laluan penting kepada jaringan perhubungan dahulukala.
Menikmati Cendul Pulut