Pakej: Umrah Ramadan 16 Hari 14 Malam
Syarikat : Al Farhan Travel & Tour Sdn. Bhd.
Alhamdulillah .. satu perjalanan paling manis dikecapi olehku menuju ke bumi Anbia bagi menunaikan umrah.
Bersama 21 jemaah lainnya(termasuk ibu dan bapaku), perjalanan bermula dari Alor Setar pada hari Isnin 25/07/2011 jam 5.00 pagi dengan menaiki bas syarikat. Kemudian bertolak ke Singapura pada jam 10:15 am dengan Singapore Airlines (SQ 5309) dan tiba di lapangan terbang Changi pada jam 11:40am. Seterusnya kami bertolak ke Jeddah pada jam 12:45 tgh dengan Singapore Airlines (SQ 456). Setelah kebas pungkoq selama hampir 12 jam akhirnya kami tiba di King Abdul Aziz International Airport pada jam 7.00 malam waktu Saudi(12.00 tengahmalam). Keluar sahaja dari Lapangan terbang, hawa panas menerpa ke wajahku, dengan suhu ± 39 °C keliling berjerubu sekali. Terus sahaja kami di bawa dengan bas ke Madinah. ± pukul 4.00 am(Saudi) kami tiba di hotel Qasr Aus yang jaraknya hanya ± 300 meter dari Masjidi Nabawi. Selepas check in terus sahaja aku ke masjid untuk solat subuh kerana subuh disini pada jam 4:20am.
Selepas subuh, kami dibawa ke menziarahi Masjid Nabawi. Sungguh terharu lagi kagum sebaik melangkah masuk ke masjid nabi ini, keindahan senibinanya dan peluang bersolat disini.. Syukur sekali kerana solat di sini lebih utama dari 1,000 solat di tempat lain (kecuali Masjidil Haram), jadi jangan lepaskan peluang tersebut…
Babus Salam – Masjid Nabawi
Ya Allah, aku ingin bersua dengan kekasihmu. Kaki kananku melangkahi memasuki Babus Salam, sesudah sembahyang sunat aku bergerak mengunjungi Makam Rasulullah (SAW), dengan berdiri dihadapan muwajahah sambil menghadapnya dengan menghadirkan hati akan mulianya Rasulullah (SAW), aku memberi salam padanya dan menyampaikan salam rakan-rakan. Sesudah itu aku bergerak ke kanan dan memberi salam pada sahabat junjungan, Saidina Abu Bakar As Sidiq dan seterusnya melangkah untuk menghadap makam Saidina Omar dan memberi salam padanya dan seterusnya bergerak membelakangi makam mereka dengan mengadap kiblat lantas berdoa. Sesungguhnya airmata akan meleleh keluar jika kita kusyuk dan keseorangan. (Kalau berdoa dalam kumpulan – pasti tak jadi punya – maluuuu)
Makam Rasulullah SAW, makam Sy Abu Bakar dan Sy Omar
Mimbar
Sesudah itu aku berpeluang bersama bapaku solat di Raudhah dan seterus melawat perkuburan Baqi’ yang menempatkan para ummahatul mukminin isteri-isteri Nabi, puteri Nabi Fatimah Az Zahro, Sy Hassan Bin Ali dan lain-lain lagi.
Esoknya, 27/07/2011 kami di bawa melawat ke beberapa tempat menarik. Pertamanya ke Masjid Quba yang berjarak 5 kilometer sebelah tenggara Madinah. Ia adalah masjid pertama dibina oleh Rasulullah SAW. Kami di ingatkan supaya mengambil wudu’ sebelum bertolak ke sana disamping melakukan Solat Sunat Tahiyatul Masjid dan Solat Sunat Dhuha kerana kelebihan solat didalamnya: pahalanya seperti mengerjakan umrah .. Hadis Riwayat Sahal Bin Hunaif. Masjid ini kini mampu menampung ±20,000 jemaah. Masjid Qiblatain sekadar melihat dari kejauhan kerana rombongan lain sudah mula bersesak disitu.
Destinasi kami seterusnya adalah ke Jabal Uhud. Tempat dimana terjadinya peperangan Uhud yang mengakibatkan puluhan sahabat yang syahid termasuk bapa Saudara Nabi iaitu Saidina Hamzah bahkan Nabi sendiri patah giginya. Hanya meninjau dari kejauhan Jabal Rummat (bukit memanah). Bukit stategik posisi kaum Muslimin yang telah ingkar arahan dan meninggalkan posisi yang menyebabkan kekalahan dipihak Muslimin. Bukit yang kecil sahaja yang panjangnya sekitar 180m dan lebar 40 m sahaja.
Banyak peniaga yang menjual pelbagai barangan, apa yang menarik ialah buah kurma madinah yang agak murah dijual disini berbanding ditempat lain. Kurma Ajwa(besar punya) boleh dapat dalam harga SR60.00/kilo berbanding tempat lain dari SR70 – SR100/kilo. (Apalagi borong sakan laaaa buat bekalan aku di bulan puasa.. nak jamu kawan depa posa)
Kesempatan untuk aku mengunjungi kilang percetakan Al Quran hampa .. kami ke Jabal Magnet, bukit unik yang menjadi salah satu tempat rekreasi Tok-Tok Arab(husssh.. sakan depa gak no). Semasa menuruni bukit, pemandu meninggalkan tempat pemanduan bagi membuktikan bahawa bas ini ditarik naik ke atas.(gostan NAIK sendiri) Masyaallah ….
28/07/2011 – sesudah subuh aku melakukan ziarah wida’ di Masjid Nabi. Kali ini berlinang air mataku, sedih, pilu kerana aku akan meninggalkan Rasulullah SAW yang bersemadi di Masjid ini. Doaku semoga kedatanganku ini bukanlah kali yang penghabisan ………. Sudah 3 hari aku di Madinah pasti aku akan merindui suasana di Masjid Nabawi, suasana solat fardhunya.
Madinah sememangnya menarik kerana ianya bukan lagi Yathrib
Jam 8.00am kami bertolak untuk ke Mekah yang jaraknya 423km ± 7 jam perjalanan. Agaknya berapa lama Rasulullah naik unta untuk sampai ke sana ya? Dari Hotel kami sudah berpakaian ihram …….
Lagi Gambar di FACEBOOK
No comments:
Post a Comment