Friday, January 31, 2020

Menjejaki Kubur Mat Arshad

Tarikh      :  04/01/2020   
Kubur Mat Arshad
Bandar Baharu, Pulau Besar
Kampung Gajah, Perak, Malaysia.
Coordinate: N4.11829° E100.99239°
https://maps.app.goo.gl/p83nDHreCniWLh5Q7

Mat Arshad adalah kerani atau penterjemah kepada Residen British di Perak iaitu J.W.W. Birch. Beliau adalah dari suku Rawa yang berasal dari Sumatera. Pernah berkhidmat dengan kerajaan British di Pulau Pinang menyebabkan beliau mahir bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris.

Mat Arshad telah diarahkan oleh Birch untuk menampal surat perisytiharan mengenai pentadbiran Perak yang akan dikendalikan oleh Residen British dan perjalanan kutipan cukai. Selepas ditampal surat tersebut, berlakulah pertengkaran diantara penduduk kampung sehingga keadaan menjadi tegang lalu Mat Arshad melarikan diri dan di kejar oleh Pandak Indut dan Panjang Bur. Mat Arshad lari menuju ke tempat Birch mandi dan ditikam oleh Pandak Indut dan kemudiannya merejami Birch, diikuti dan dibunuh oleh beberapa orang lagi. (KLIK untuk kisah pembunuhan Birch). Mat Arshad yang cedera berjaya diselamatkan dengan perahu oleh beberapa orang temannya dan ketika sampai ke Kuala Trus, beliau menghembuskan nafas terakhirnya. Beliau mengalami kecederaan di bahagian perut, kepala dan bahu. Luka di perut disebabkan oleh senjata tajam seperti lembing dan dikepala akibat pedang atau senjata tajam.

Beliau dikebumikan di Bandar Baru dan kuburnya terletak ± 250 meter ke utara dari makam Almarhum Sultan Abdul Malik Mansur Shah (Sultan Perak ke 19) dan ± 450 meter ke selatan dari Kubur Birch. Kuburnya terletak dalam kawasan berpagar (telah roboh) tetapi tidak terjaga (terbiar) dan dikeliling oleh semak samun. Berpandukan garmin aku berjaya menjumpai kubur ini. Terima Kasih kepada mereka yang menanda koordinate dengan tepat.

Thursday, January 30, 2020

Marhum Jamalullah: Sultan Perak Yang Ke-19

Tarikh      :  04/01/2020 

Kg. Bandar Baharu, Pulau Besar
Kampung Gajah, Perak, Malaysia.
 
Coordinate: N4.11701° E100.99376° 
https://goo.gl/maps/LViN6Ewb9xiTLdDx7 

Dalam usaha mencari beberapa tinggalan sejarah sekitar Pasir Salak, kami turut menziarahi beberapa makam dan kubur. Hari ini kami ke  Bandar Baharu, Pasir Salak dan sampai ke KAmpung tersusun Teluk Memali, kami  menelusuri jalan kecil (mini tar) di dalam ladang kelapa sawit hingga ke pinggiran sungai Perak sejauh ± 1.9km sebelum berjumpa dengan makam Sultan Abdul Malik Mansur Shah. Makam ini terletak di dalam kawasan pagar seluas 30’ x 30’ dan berbumbung kuning.

Sultan Abdul Malik Mansur Shah adalah putera sulung Sultan Ahmaddin Shah. Baginda telah memerintah mulai 1806 sehingga 1825. Mewarisi takhta Kesultanan Perak selepas kemangkatan ayahandanya Sultan Ahmaddin Shah pada 1806 TETAPI selepas tiga bulan kemangkatan ayahandanya KERANA pewaris sah, Raja Mahmud ibni Raja Ibrahim ibni Sultan Mahmud Shah II enggan turun ke Sayong untuk ditabalkan dan bersemayam di Bandar Baru.

Semasa pemerintahannya, Perak pernah dilanggar oleh Kedah dan Siam, menimbulkan konflik dengan Selangor. Sultan Abdul Malik Mansur Shah mangkat pada Ogos 1825 dan dimakamkan di Bandar Baharu, Pulau Besar, Daerah Perak Tengah dan digelar "Marhum Jamalullah". Selepas kemangkatannya, takhta Kesultanan Perak diwarisi oleh puteranya Raja Abdullah.

Sunday, January 26, 2020

Batu Bertenggek Teluk Intan : Memorial Perang Dunia Pertama

Tarikh      :  04/01/2020  
Memorial Perang Dunia Pertama
Pekan Teluk Intan, 36000 Teluk Intan, Perak, Malaysia  
Coordinate: N4.02208° E101.02059° 
https://goo.gl/maps/uQGGmcMaqgsm5tuM9

Di Teluk Intan selain Menara Condong terdapat juga sebuah tugu peringatan Perang Dunia Pertama yang diletakkan oleh tentera British semasa era pemerintahan mereka. Ia adalah sebuah batu besar yang terletak berhadapan dengan Kompleks SKOMK, (berdekatan pejabat Cawangan Tabung Haji Teluk Intan) di jalan Mahkamah. Batu yang berbentuk hampir 4 persegi bersaiz ± 2’ x 4’. Ia diletakkan di atas sebuah platform batu yang terpahat serangkap kata-kata seperti berikut:

AT THE GOING DOWN OF THE SUN AND IN THE MORNING
WE WILL REMEMBER THEM
(1914-1918)

Batu yang mempunyai mitos tersendiri, kononnya batu ini asal hanya sebesar kotak mancis dan lama kelamaan menjadi semakin besar. Ketika projek membuat jalan, batu ini cuba dipindahkan namun dek terlalu berat MAKA batu tersebut dijadikan tugu sahaja untuk memperingati para askar yang gugur semasa Perang Dunia Pertama.Rangkap kata-kata di atas adalah sebahagian dari sebuah puisi nukilan Robert Laurence Binyon yang bertajuk “For the Fallen” ditulis pada pertengahan bulan September 1914 ketika Perang Dunia Pertama (1914 – 1918).

Thursday, January 23, 2020

Memorial Pelanggaran Gajah/Keretapi

Tarikh      :  04/01/2020  
Memorial Tapak Pelanggaran Gajah
Lorong 14, Taman Melor,
36000 Teluk Intan, Negeri Perak
Coordinate: N4.02354° E101.04511° 
https://maps.app.goo.gl/fE4LTkFevUZLRvNy7


Penemuan bijih timah telah telah menjadikan jalan kereta api di Tanah Melayu semakin berkembang. Perkhidmatan kereta api Taiping – Port Weld (kini dikenali sebagai Kuala Sepetang) diperkenalkan pada tahun 1885. Manakala jalan kereta api Tapah Road – Teluk Anson (Teluk Intan) sejauh 25km  beroperasi secara rasmi pada tahun 18 Mei 1893 (Pembinaannya memakan masa selama 2 tahun iaitu dari tahun 1891 – 1893). Ia berperanan mengangkut bijih timah dari Lembah Kinta ke pelabuhan Teluk Intan yang menempatkan dermaga di Jalan Denison (kini dikenali sebagai Jalan Wah Keng Jooi).

Sejarah awal kereta api diserang gajah berlaku dalam pada 17 Sept 1894 di landasan antara Teluk Anson ke Tapah Road. Kereta api wap dengan 3 gerabak yang bergerak laju bertembung secara berhadapan dengan gajah jantan yang menunggu bersama sekawan gajah lain. Rempuhan ini menyebabkan gerabak tergelincir dan bahagian enjin mengalami kerosakan. Semua penumpang selamat kecuali pemandunya yang tercampak keluar dan gajah tersebut mati di tempat kejadian.

Lokasi tapak ini terletak di belakang Taman Melor dulu dikenali sebagai Kampung Bahagia, Telok Intan, Perak.

Bagi memperingati kejadian tersebut yang sangat signifikan ( gajah tersebut dianggap sebagai “elephant hero” ) tambahan berhubungkait dengan sejarah awal pembangunan kereta api di Tanah Melayu MAKA satu tapak peringatan telah didirikan berhampiran lokasi kejadian. Nilai sejarah tersebut telah juga menyebabkan tengkorak serta gading gajah telah dibersihkan dan diawet untuk dijadikan sebahagian daripada koleksi utama di Muzium Perak.

Untuk makluman perkhidmatan kereta api Tapah Road – Teluk Intan diberhentikan (telah beroperasi selama 96 tahun iaitu dari 1893 – 1989) kerana kekurangan penumpang, perkembangan jaringan jalan raya dan kemerosotan pelabuhan Teluk Intan.

Monday, January 20, 2020

Lukisan Luaran 3D Terbesar Di Malaysia

Tarikh      :  03/01/2020 
Biggest Outdoor 3D Mural Painting
Taiping, Perak, Malaysia.

Coordinate: N4.85159° E100.73792°
https://maps.app.goo.gl/r6uDai4H5N1cFU8RA

Bandar Taiping mencipta rekod apabila menerima pengiktirafan The Malaysia Book of Records menerusi "The Biggest 3D Outdoor Painting" pada 27 Disember 2019 lalu.

Mural yang dilukis pada dinding sebuah rumah kedai di Jalan Abdul Jalil berhampiran Hospital Taiping. Ia berketinggian 14.6 meter dan lebar 27.44 meter dengan keseluruhan keluasan 281.07 meter persegi. Ia dihasilkan oleh enam pelukis dan siap pada 31 Ogos 2019 lalu ditambah baik menjadi lukisan 3D menggunakan tujuh warna berbeza iaitu putih, kelabu, light grey, medium grey, dark grey, hitam dan warna emas di mana cat-cat yang digunakan merupakan cat kalis air dan tahan cuaca. Kos keseluruhan bernilai RM280,000 dan ditaja sepenuhnya oleh pihak swasta.

Lukisan yang menampilkan Amelia Earhart seorang penerbang solo wanita pertama mengelilingi dunia merentasi Lautan Atlantik pada 1937. Beliau singgah di Lapangan Terbang Tekah pada 7 Jun 1937 untuk mengisi bahan api sebelum meneruskan perjalanannya dan hilang tanpa dikesan sehingga sekarang.

Untuk makluman Lapangan Terbang Tekah, Taiping adalah lapangan terbang Aerodrome pertama dibina di Tanah Melayu. Ia dibina dalam tahun 1929.