Friday, January 31, 2020

Menjejaki Kubur Mat Arshad

Tarikh      :  04/01/2020   
Kubur Mat Arshad
Bandar Baharu, Pulau Besar
Kampung Gajah, Perak, Malaysia.
Coordinate: N4.11829° E100.99239°
https://maps.app.goo.gl/p83nDHreCniWLh5Q7

Mat Arshad adalah kerani atau penterjemah kepada Residen British di Perak iaitu J.W.W. Birch. Beliau adalah dari suku Rawa yang berasal dari Sumatera. Pernah berkhidmat dengan kerajaan British di Pulau Pinang menyebabkan beliau mahir bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris.

Mat Arshad telah diarahkan oleh Birch untuk menampal surat perisytiharan mengenai pentadbiran Perak yang akan dikendalikan oleh Residen British dan perjalanan kutipan cukai. Selepas ditampal surat tersebut, berlakulah pertengkaran diantara penduduk kampung sehingga keadaan menjadi tegang lalu Mat Arshad melarikan diri dan di kejar oleh Pandak Indut dan Panjang Bur. Mat Arshad lari menuju ke tempat Birch mandi dan ditikam oleh Pandak Indut dan kemudiannya merejami Birch, diikuti dan dibunuh oleh beberapa orang lagi. (KLIK untuk kisah pembunuhan Birch). Mat Arshad yang cedera berjaya diselamatkan dengan perahu oleh beberapa orang temannya dan ketika sampai ke Kuala Trus, beliau menghembuskan nafas terakhirnya. Beliau mengalami kecederaan di bahagian perut, kepala dan bahu. Luka di perut disebabkan oleh senjata tajam seperti lembing dan dikepala akibat pedang atau senjata tajam.

Beliau dikebumikan di Bandar Baru dan kuburnya terletak ± 250 meter ke utara dari makam Almarhum Sultan Abdul Malik Mansur Shah (Sultan Perak ke 19) dan ± 450 meter ke selatan dari Kubur Birch. Kuburnya terletak dalam kawasan berpagar (telah roboh) tetapi tidak terjaga (terbiar) dan dikeliling oleh semak samun. Berpandukan garmin aku berjaya menjumpai kubur ini. Terima Kasih kepada mereka yang menanda koordinate dengan tepat.

No comments:

Post a Comment