Thursday, March 05, 2015

Sumatera Utara: Kembara Wisata Alam – Samosir, Pulau Sejuta Keindahan

Tarikh : 20 Februari 2015
Lokasi : Sibolga – Parapat – Tomok - Pangururan
Jarak : 190 km
Coordinate :

Day 4

Samosir adalah sebuah pulau yang terletak di Danau Toba. Ia adalah pelengkap kepada keindahan Danau Toba. Pulau Samosir dan  Danau Toba terbentuk hasil dari letusan gunung berapi ratusan tahun yang lalu. Danau Toba merupakan danau terbesar di Indonesia dan danau vulkanologi terbesar di dunia. Pulau Samosir sendiri memiliki keluasan ± 640 km2 (melebihi keluasan Singapura) dan terletak 1,000 meter dari paras laut dan merupakan pulau tengah danau kelima terbesar di dunia.

Pukul 12.00 malam kami bertolak dari Sibolga menuju ke Parapat dengan melalui jalan Nasional Sibolga – Tarutung. Jalan yang berkelok-kelok (berliku) sejauh 66km dengan jumlah kelokan sebanyak ± 1,200 liku … (Wow!) tetapi jalan yang sangat teruk.

Sejuk Bangat

Di atas feri - Kanak-kanak menunjukan kehebatan menyelam mencari duit

Jam 5.00 pagi kami sudah sampai ke Parapat dan siap beratur untuk menaiki feri awal di Labuhan Ajibata (N2° 39.242' E98° 56.015'). Kelihatan banyak sekali kereta yang beratur. Ini kerana kesempatan yang diambil oleh pelancong bersempena cuti Tahun Baru Cina. Kami bernasib baik kerana dapat menaiki feri awal yang bertolak pada jam 9.30 pagi.

Hampir sejam menaiki feri dan tiba ke Pelabuhan Feri Tomok pada jam 10.30 pagi dan terus ke Rumah Adat Tomok ( N2° 39.139' E98° 51.661'). Disini terdapat empat deretan rumah adat Batak dan sebuah Patung Sigale-gale di depannya. Kami diberi penerangan tentang sejarah batak dan patung ini. Kononnya patung ini suatu ketika dahulu boleh menari sendiri bagi menghibur hati Sang Raja yang berdukacita akibat kematian puteranya.  Kini Patung Sigale-gale masih boleh menari tetapi digerakkan dengan tali oleh seorang dalang dari belakang. Kami juga diberi peluang untuk turut menari bersama Sigale-gale diiringi muzik khas Batak.

Setelah selesai menari masa untuk bershoping pulak. Di sepanjang jalan di kawasan ini ada banyak kedai-kedai yang menjual cenderamata. Kami hanya membeli sedikit cenderamata seperti T Shirt untuk kenangan.

Welcome To Samosir

Air Terjun Sampuran Efrata (N2° 32.310' E98° 38.700')

Air Terjun Efrata dari kejauhan

Air terjun ini terletak di Desa Sosor Dolok. ± 20 km dari pusat kota di Kabupaten Toba Samosir. Kedudukannya yang agak terpencil dan jalan untuk ke sana yang agak teruk menyebabkan tidak ramai pelancong mengunjunginya. Air terjun ini turun melalui tebing-tebing yang curam dari kawasan bukit. Airnya yang sangat dingin cukup untuk membuat kami menggigil kesejukan. Perjalanan yang jauh terubat dengan kesegaran airnya. Kami menikmati makan tengahari disini. Terasa cukup enak sekali makan disini yang dikelilingi oleh kehijauan alam yang mendamaikan.

Foto Kredit to : Mashitah Abu Bakar

Bukit Tele (N2° 31.955’ E98° 41.433')

Kami ke sebuah bukit yang berketinggian 1,100 meter. Bukit berumput renek yang mengadap ke sebuah telok. Kami memanggilnya ‘Bukit Teletubbies’ kerana kehijauan rumput dan keindahan pemandangannya. Kami singgah ke Masjid Al Mubarokah (N2° 31.952’ E98° 41.380') yang berdekatan. Masjid ini terletak di desa Holbug Janji Martahan, Kacamatan Harian. Dibina dalam tahun 2012 dan dirasmikan pada 1 September 2013. Menurut imamnya, kawasan ini hanya mempunyai 20 keluarga yang berugama islam. Selepas solat kami menuju ke sebuah bukit lagi untuk menikmati pemandangan indah Danau Toba dan Pulau Tulas.

Riang & Girang

20150220_155705

Masjid Al Mubarokah

Kami bermalam di Penginapan Irdiyospande Family (N2° 37.075' E98° 40.655') yang berugama islam. Penginapan ini turut menyediakan makanan halal. Ia terletak di Jalan Gereja, Pangururan.


Pautan Kembara Berkaitan

1. Sumut: Kembara Wisata Alam – Day 1
2. Sumut: Kembara Wisata Alam – Day 2
3. Sumut: Kembara Wisata Alam – Day 3
4. Sumut: Kembara Wisata Alam – Day 4
5. Sumut: Kembara Wisata Alam – Day 5
6. Sumut: Kembara Wisata Alam – Day 6

Tuesday, March 03, 2015

Sumatera Utara: Kembara Wisata Alam – Keunikan Pulau Mursala

Tarikh : 19 Februari 2015
Lokasi : Sibolga – Mursula Island – Sibolga
Jarak : 97.5 km
Coordinate : N1° 41.836' E98° 27.065'

Day 3

Kami tiba ke Kota Sibolga pada jam 12.10 pagi (waktu Indonesia) lalu ke penginapan kami di Hotel Utara Indah (N1° 44.414' E98° 46.668') di Jalan Ahmad Yani. Sempat meronda di Sibolga Square yang berada dihadapan hotel kami. Medan Selera yang menjual pelbagai juadah makanan. Dibuka dari jam 7.00 malam hingga 4.00 pagi (wow!).

Kota Sibolga terletak di pantai barat Pulau Sumatera dan berada di dalam kawasan Teluk Tapian Nauli. Kota berkeluasan ± 35.36 kilometer persegi. Letaknya  350 km dari Medan.

Kedudukannya yang strategik menjadi titik pertemuan perjalanan ke Acheh atau kepulauan di Sumatera Barat. Tidak hairanlah ia dikenali sebagai ‘Negeri Berbilang Kaum’ kerana situasinya yang menjadi tumpuan penduduk dengan mempunyai pelbagai suku etnik seperti Banjar, Jawa, India, Simalungun, Cina, Bugis, Batak, Minangkabau, dan Melayu.

Bangun paginya,  aku meronda pinggiran Kota Sibolga yang terletak berhampiran teluk. Banyak bangunan lama yang aku saksikan dan tidak sempat menikmati sarapan pagi dengan makanan tradisi mereka.

Menuju Mursala

Jam 11.00 pagi (hmmm lewat sangat ooo ..) kami bertolak dengan bot nelayan. Sepatutnya kami diberikan bot dolphin yang selesa dan dilengkapi dengan peralatan keselamatan dan snorkeling.

Pulau Mursula (N1° 41.836' E98° 27.065') terletak dilautan Hindi dan berada di antara Pulau Sumatera dan Pulau Nias. Terletak di sebelah barat daya kota Sibolga. Jauhnya ± 38km dari Kota Sibolga atau 3 jam perjalanan. Pulau ini juga dikenali sebagai Mansalaar Island, merupakan pulau terbesar yang dimiliki Kabupaten Tapanuli Tengah. Terdapat gugusan pulau lainnya seperti Pulau Setungkus atau nasi bungkus, Pulau Tarika atau setrika, Pulau Talam, Pulau Silabu-labu, Pulau Puti, Pulau Silabu Na Godang, Pulau Kalimantung Na Menek, Pulau Jambe, dan banyak lagi pulau yang kebanyakannya tidak berpenghuni.

Sebelum tiba ke Pulau Mursala kami singgah dahulu ke Pulau Putri (N1° 38.730' E98° 35.838') Sebuah pulau kecil berkeluasan ± 2 km persegi. Sebuah pulau yang pesonanya cukup indah. Hamparan pandai indah yang dapat menyaksikan samudra luas(Lautan Hindi) sambil menghirup udara segar. Pantainya berpasir putih dan air lautnya yang membiru. Sangat cocok untuk melakukan aktiviti pantai seperti memancing, berenang, snorkling dan sebagainya. Beraneka ikan yang mudah memakan umpan dan nikmatilah pemandangan di bawah airnya yang indah dengan hidupan laut dan terumbu karang. Di pulau tersedia penginapan sederhana berupa chalet (agak terbiar kini).

Satu ketika dahulu ada sumber matair tawar disini. Namun setelah berlaku Gempa bumi Acheh pada tahun 2004, tiada lagi sumber matair di sini

Selepas bersolat, bergambar dan menikmati sepuasnya keindahan pulau ini lalu kamipun bertolak ke Pulau Mursala yang terletak ± 18km dari Pulau Putri atau memakan masa ± 1 jam lebih dengan bot nelayan.

Pulau Mursala adalah pulau yang paling besar dalam gugusan pulau ini dan juga tidak berpenghuni. Keunikan Pulau ini ialah air terjunnya yang langsung jatuh ke laut. Ketinggian air terjun ini ± 35m. Airnya mengalir pada batuan granit di tebing pulau dan langsung jatuh tercurah ke permukaan Lautan Hindi dengan bunyi bergemuruh. Fenomena alam sebegini hanya ada beberapa sahaja di dunia. Ia amat unik dan sangat ‘rare’ . Hanya ada 2 sahaja air terjun sebegini di Indonesia. Satu lagi ialah Kahatola waterfall di Maluku. Yang lainnya seperti Kilt Rock Waterfall (55m) di Scotland, Stirling Falls(155m) Milford Sound, Fiordland, New Zealand dan Jeongbang waterfall (23m) di Pulau Jeju, Korea Selatan.

ANGKER! … MISTERI & MISTIK

Kami dinasihati untuk tidak mendekati Pulau ini. Menurut Jurumudi bot, pernah berlaku ‘kesurupan’ sebelum ini.

Air terjun Pulau Mursala berasal dari aliran sungai terpendek di dunia. ( Panjangnya ± 700 meter dan lebar 400 meter). Ada penduduk mendakwa sumber airnya berasal dari Danau Toba. Ini berdasarkan penemuan jerami di aliran air terjun pada musim menuai padi di kawasan danau Toba. Tapi ada juga yang menyebut, airnya berasal dari sebuah sungai yang membelah Pulau Mursala (Wallahu a'lam). Pulau ini pernah dijadikan sebagai lokasi untuk penggambaran filem King Kong tahun 1933.

Jam 6.00 ptg kami bertolak balik dan sampai ke jeti dalam pukul 9.30 malam. Fuhhh … hampir 11 jam dilambung ombak !!! Tidak sempat singgah ke beberapa pulau lagi seperti dijanjikan kerana kesuntukan masa

Selepas makan malam bertolak  ke Parapat. Singgah di sebuah lokasi yang dikenali sebagai Batu Lobang

Terowong Batu Lobang  terletak di Km 8, Kawasan Dusun Simaninggir, Desa Bonandolok, Kecamatan Sitahuis. Jarak perjalanan sekitar 15 minit dari  Kota Sibolga.

Terdapat 2 terowong Batu Lobang dan terletak berdekatan. Batu Lobang pertama (N1° 45.860' E98° 47.917') panjangnya ± 10 meter. Di atasnya ada air terjun. Manakala Batu Lobang kedua (N1° 45.958' E98° 47.861') lebih pendek ± 8 meter. Jalannya sempit dan hanya boleh dilalui oleh sebuah kenderaan sahaja.

Dibina di Era zaman kolonial Belanda dengan  mengerah rakyat Tapanuli (khususnya warga Sibolga dan Tapanuli Tengah) serta pejuang – pejuang kemerdekaan yang menjadi tawanan Belanda masa itu. Tujuan pembukaan Batu Lobang itu adalah untuk mempermudah perjalanan menuju Tarutung sekaligus juga untuk mempermudah pengangkutan hasil bumi dari tanah Batak dan menumpaskan perjuangan  pejuang kemerdekaan Indonesia.

Konon ceritanya pembinaan yang mengorbankan banyak nyawa, sebab itu ada unsur mistik disini.


Pautan Kembara Berkaitan

1. Sumut: Kembara Wisata Alam – Day 1
2. Sumut: Kembara Wisata Alam – Day 2
3. Sumut: Kembara Wisata Alam – Day 3
4. Sumut: Kembara Wisata Alam – Day 4
5. Sumut: Kembara Wisata Alam – Day 5
6. Sumut: Kembara Wisata Alam – Day 6

Sunday, March 01, 2015

Sumatera Utara: Kembara Wisata Alam – Yang ‘Langka’, Yang Unik

Tarikh  : 18 Februari 2015
Lokasi :  Parapat – Porsea – Sipoholon-Tarutung - Sibolga  
Jarak   :  280 km 
Coordinate :

Day 2

Ponot Waterfall  (N2° 33.301' E99° 18.286')

Awal pagi selepas sarapan kami memulakan perjalanan menuju ke arah Porsea sejauh ± 36km. Belok ke kiri memasuki jalan kawasan perindustrian dan projek janakuasa elektrik milik Jepun. Laluan luarbandar sejauh ±40km yang kadangkala berbatu untuk menikmati keindahan air terjun eksotik yang terletak di Desa Tangga, Kecamatan Aek Songsongan iaitu Air Terjun Ponot.

Air Terjun Ponot adalah salah satu dari begitu banyak air terjun yang terdapat di Kabupaten Asahan. Air terjun 3 tingkat dengan ketinggian keseluruhan ± 250 meter yang menjadi antara air terjun tertinggi di Indonesia. Kedudukannya yang agak terpencil dan keadaan jalan yang tidak ‘mulus’ membuat air terjun ini jarang dikunjungi oleh pelancong.

Kota Siborong Borong – jumpa banyak beca seperti ini. Vescak (Vespa Becak) dimana vespa diubahsuai dan digunakan sebagai alat pengangkutan seperti beca. Sebenarnya VESCAK cukup popular di Kota Padang Sidempuan, Tapanuli Selatan. Manakala di Siantar ada becak mesin yang menggunakan motor BSA tua.

Sipoholon Hotspring (N2° 04.488' E98° 56.719')

kolam mata air panas

Jam 11.00 pagi bertolak ke Sipoholon  yang terletak ± 105km untuk mengunjungi objek wisata air panas di Kota Tarutung, Tapanuli Utara

Air panas bersuhu ± 70º C yang datang dari kolam dari bukit batu kapur. Kami mendaki bukit kapur ini untuk melihat fenomena  yang membentuk ukiran alam yang indah. Air panasnya yang mengandungi sulfur dipercayai dapat menyembuhkan berbagai penyakit kulit disamping dapat menjadikan kulit lebih halus dan cerah (dengan izinNYA).

Keunikan bukit kapur

Keindahan Bukit Kapur ini MUNGKIN akan terancam kerana penduduk mula mengorek bukit-bukit bagi mendapatkan batu kapur untuk dijual ke Medan. SAYANG sekali jika keindahan & keunikan alam ini dirosakkan oleh tangan manusia.

Dibelakang sana banyak pengusaha rumah permandian suana

MUSNAH – Bukit ditarah & dikorek – memusnahkan keindahan bukit

Hujan yang turun menyebabkan kami tidak dapat berada lama disini.

Permandian Air SODA  (N2° 00.034' E98° 57.946').

Dari Sipoholon kami bergerak ±13.5km menuju ke Desa Parbubu, Tapanuli Utara untuk ke Pemandian Air Soda.  Kami sampai pada jam 3.45 petang dalam hujan yang renyai.

Kolam mandian yang dikelilingi panorama indah sawah dan bukit bukau. Lebihan air dialirkan ke outlet

Punca mata air di dalam kolam yang mengeluarkan buih-buih kecil yang bersoda

Permandian air soda ini sangat unik kerana ia adalah matair panas yang keluar dari perut bumi dengan buih halus dengan rasa seperti ‘sprite’ (sebab itu ia digelar permandian air soda). Sumber mata airnya yang sentiasa mengalir keluar dan ditampung dengan membuat kolam. Kecantikannya terserlah dengan panorama sawah padi dan berlatarkan gunung yang menghijau pasti menenangkan jiwa. Keunikan alam yang sebegini hanya ada 2 sahaja di dunia. Selain di Desa Parbubu, satu di Venezuela, Amerika Selatan. Walaupun hujan aku tidak melepaskan peluang untuk merasai dan menikmati khazanah alam ini. Terasa pedih mata bila menyelam disamping menyengat hidung. Walaupun seperti bersoda namun airnya tidak melekit di badan, badan terasa segar dan ringan.

sedang menuramah Mbah Tobeng mengenai mata air ini

Pemandian Air Soda ini ditemui pada tahun 1976 oleh Minar Sihite @ Mbah Tobeng secara tidak sengaja apabila sedang mencangkul tanah lalu menemukan aliran air soda yang keluar dari semak belukar. Beliau yang juga seorang bidan mendapat alamat melalui mimpi dan selepas itu beliau mula menjadikan kawasan ini sebagai lokasi permandian.

Sejuk bangat - Senja di Hutan pinus

Selepas itu kami bergerak ke arah barat menuju ke Kota Sibolga (N1° 44.417' E98° 46.667') yang mengadap Lautan Hindi. Perjalanan malam yang membosankan dilaluan yang sungguh mencabar. Jalannya yang teruk, sempit, berlubang-lubang  dan cabaran semasa berselisih dengan kenderaan atau ingin memotong. Jaraknya hanya ±65km namun kondisi jalan menyebabkan perjalanan mengambil masa hampir 4 jam.


Pautan Kembara Berkaitan

1. Sumut: Kembara Wisata Alam – Day 1
2. Sumut: Kembara Wisata Alam – Day 2
3. Sumut: Kembara Wisata Alam – Day 3
4. Sumut: Kembara Wisata Alam – Day 4
5. Sumut: Kembara Wisata Alam – Day 5
6. Sumut: Kembara Wisata Alam – Day 6

Wednesday, February 25, 2015

Sumatera Utara: Kembara Wisata Alam – Permulaan Perjalanan

Tarikh :  17 – 22 Februari 2015
Lokasi : Medan – Parapat – Sibolga – Samosir – Silalahi – Brastagi 
Jarak : ± 1,026 km 
Kos    : RM750.00 – Ground Tour 
Peserta: 9 orang – Amerda, Mashitah, Nofanil, Azfa, Zakiah, Saifuddin, Khairil, Azmi dan Nasha

Kembara ku kali ini adalah bersama isteri. Kembara ala backpacker. Mungkin aku sudah biasa mengembara sebegini tetapi tidak pada isteriku. Kembara yang merentas Sumatera, dari Medan hingga Sibolga. Mengelilingi bahagian utara Pulau Samosir dan menelusuri bahagian utara pinggiran Lake Toba. Menikmati pemandangan indah bukit bukau, air terjun dan pulau. Serta mengunjungi beberapa wisata yang tersembunyi lagi unik.

16hb Februari, sebelum subuh aku bersama isteri bertolak dari Alor Setar ke Penang dengan menumpang kereta sahabatku(Saiful Azman). Jam 8.00 pagi sudah berada di Lapangan Terbang Bayan Lepas. Walaupun program kami akan bermula pada 17hb namun untuk memastikan kami dapat bersama dengan mengikuti program yang dirancangkan kami bertolak awal sehari.

Penerbangan Air Asia QZ107 berlepas dari Lapangan Bayan Lepas jam 11.20 pagi  dan tiba ke Bandara Kualanamu pada jam 11:10 pagi (waktu Indonesia). Dari sana kami mengambil kereta sewa dengan bayaran IND180.000 hingga ke tempat penginapan kami di Alpha Inn (N3° 35.596' E98° 40.078'). Hotel 3 bintang tetapi kecil sangat biliknya. Sewaan sebanyak IND279.000 (RM80.30)

Dikota Medan

Day 1

Pagi besoknya kami dijemput oleh Joe (tour guide) dan dibawa ke lapangan terbang Kuala Namu untuk berjumpa dengan peserta lain dari Kuala Lumpur iaitu Khairil, Azfa, Mashitah, Norfanil, Nasha dan Amerda. Manakala Cikgu Azmi penerbangannya ditunda dan dijangka tiba pada jam 11.00 waktu Indonesia. Sementara menanti kedatangan Cikgu Azmi kami bersarapan di lapangan terbang dengan bekalan yang dibawa oleh Joe.

Hari pertama tiada aktiviti cuma perjalanan yang panjang sehingga petang ke Parapat. Menikmati makan tengahari yang lewat di RM Bundo Minang pada jam 7.45 petang dan sempat bersolat di masjid Raya Taqwa, Parapat. Kami bermalam di hotel Sedayu (N2° 40.016' E98° 56.493') yang sederhana sahaja. Suasana yang dingin dan tidak memerlukan air-cond.

Makan Tengahari + makan malam

Parapat

Masjid Raya Takwa, Parapat, Medan, Indonesia

Masjid Taqwa Parapat mempunyai nilai sejarah tersendiri. Sekitar tahun 1949 ketika Presiden Indonesia yang pertama (dari 1945 ke 1967) Ahmed Soekarno atau mesra dikenali sebagai Bung Karno yang ketika itu sedang dikenakan tahanan oleh tentera Belanda di Parapat. Beliau tidak menemukan masjid di kota ini ketika ingin bersolat jumaat. Beliau menyarankan agar sebuah masjid dapat dibina bagi kemudahan umat islam bersolat. Apabila berita ini sampai kepada H. Abd Halim Pardede - Lobe Tinggi Pardede @ Ompu Sitoga Pardede seorang tokoh masyarakat islam disini, beliau telah  telah mewakafkan sebidang tanah untuk mendirikan masjid. Kini masjid ini sudah mengalami banyak perubahan dan kemudahan asasnya.

Makam H. Abdul Halim Pardede  (23 Julai 1870 – 07 April 1976) dan isterinya dibelakang masjid ini


Pautan Kembara Berkaitan

1. Sumut: Kembara Wisata Alam – Day 1
2. Sumut: Kembara Wisata Alam – Day 2
3. Sumut: Kembara Wisata Alam – Day 3
4. Sumut: Kembara Wisata Alam – Day 4
5. Sumut: Kembara Wisata Alam – Day 5
6. Sumut: Kembara Wisata Alam – Day 6